Edisi Terakhir Majalah Berita Mingguan MASSA

CATATAN A.F.YASSIN

Berakhirnya Riwayat Majalah Berita Mingguan MASSA

 

“Baca berita pagi ini. Majalah MASSA dah tutup,” kata Datuk Chamil Wariya, dalam pertemuan di rumah Wahba, di Kepung Ahad  lalu. Ada majlis kenduri kahwin di rumah Wahba dan Chamil serta beberapa kakitangan Utusan Melayu, yang bekas dan yang masih bertugas berkumpul di rumah Wahba, juga bekas kaki tangan Kumpulan Utusan Melayu. Chamil yang kini bertugas di stesen swasta TV3 tidak melanjutkan kata-katanya tentang nasib majalah berita mingguan itu. Tidak pasti sama ada Datuk itu kecewa dengan penutupan majalah berkenaan atau semamangnya dia merasakan bahawa sudah agak terlewat majalah itu ditutup.

 

Chamil merupakan editor terawal memimpin MASSA yang mula mengetuk pintu pasaran sembilan tahun lalu. Chamil barangkali tahu benar suka duka “mendodoi” majalah itu ketika ia masih di peringkat bayi. Harapannya MASSA akan menjadi majalah berita satu-satunya di Malaysia yang menyajikan apa yang diharapkan rakyat kelas menengah, terutama golongan pembuat dasar. MASSA diharapkan menjadi majalah dalam bahasa Melayu yang boleh menyaingi TEMPO di Indonesia, Time, Newsweek atau Far Eastern Economic Review yang diterbitkan di Hongkong.

 

Difahamkan majalah MASSA merupakan majalah harapan yang menjadi Flagship Kumpulan Utusan Melayu satu hari nanti dan ia dilahirkan dengan restu istimewa Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan waktu itu, Tan Sri Kamarul Ariffin. Bagaimanapun harapan Chamil dan Kamarul tidak kesampaian apabila riwayat majalah berakhir 6 Jun 2004 lalu. Dalam ruangan “Bisik-Bisik Mingguan”nya,  Awang Selamat memberi sebab “tidak laku” sehingga  “terpaksa diberhentikan penerbitannya.” Tujuan Awang Selamat mengumumkan “kematian” majalah ini adalah untuk menyedarkan  pembaca  “akan tabiat membaca  di kalangan rakyat Malaysia yang masih tidak banyak berubah.”

 

Awang Selamat menjelaskan hanya 6,000 orang membeli MASSA setiap minggu. Ini bererti jumlah yang terjual setiap minggu hanya 6,000 naskhah. Dengan demikian purata sebulan 24,000 naskhah. Jumlah ini tidak banyak bezanya dengan majalah bulanan Dewan Masyarakat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Mengikut statistik, Dewan Masyarakat baru dua tiga bulan kebelakangan ini meningkat  jualannya setelah berada pada titik terendah sebanyak 13,000 naskhah  sebelumnya.

 

Membandingkan MASSA dengan Dewan Masyarakat mungkin tidak begitu adil kerana Dewan Masyarakat dikeluarkan sebulan sekali dan kandungannya tidak seluruhnya analisis berita seperti yang terdapat dalam MASSA. Lagi pula Dewan Masyarakat telah mengalami jatuh bangun dari sudut jualan dan jumlah cetakan. Satu ketika jumlah terjual mencecah 100,000 naskhah. Itu di zaman Datuk Johan Jaafar menjadi Ketua Pengarangnya. Namun “tangan emas” Johan tidak menjadi ketika mempin MASSA sebagai Ketua Pengarangnya satu ketika. Pengalaman Chamil, Ratnawati Jamil, Hassan Mohd Nor atau Baharom Mahusin turut tidak banyak membantu meningkatkan jualan.

 

Apa yang terjadi kepada MASSA ini pernah juga dialami oleh majalah berita mingguan yang pertama, iaitu ERA di bawah pimpinan Ketua editor, Datuk Baharuddin Zainal dan editornya allahyarham Ma’arof Saad. ERA sempat bertahan dua tahun berbanding MASSA sembilan tahun.  ERA mula diterbitkan pada pertengahan tahun 1980an, sementara MASSA pertengahan tahun 1990an. Sebelum lahirnya ERA dan MASSA, telah ada cadangan untuk menerbitkan majalah berita mingguan pada tahun 1970an.

 

Ketika itu Datuk M. Noor Azam dan Datuk Usman Awang pernah membayangkan untuk menerbitkan majalah berita ini melalui penubuhan sebuah syarikat penerbitan, tentunya setelah bersara dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Bagaimanapun bayangan ini hanya tinggal bayangan setelah kajian  secara mendalam tentang risiko tinggi menerbitkan majalah berita seumpamanya, terutama risiko pengiklanan dan pulangan. Malah, masalah iklan menjadi dasar pertimbangan kerana tanpa iklan untuk setidak-tidaknya menampung kos penerbitan dan overhed, majalah tidak akan kekal bertahan.

 

Dan masalah iklan ini pula yang menjadi faktor utama “mati”nya MASSA seperti yang dimaklumkan Awang Selamat. Menurut Awang, “Pengiklan tidak suka  majalah seperti itu. Apa yang pengiklan suka? Itu  satu cerita lain.” Satu ketika dalam pertengahan tahun 1970an, pemimpin sebuah majalah berita terkemuka yang diterbitkan di Hongkong pernah memberitahu seorang pemimpin Dewan Masyarakat bahawa jumlah naskhah yang terjual tidak menjadi penentu hidup matinya sesebuah majalah. Yang menentukannya ialah jumlah iklan yang diterima. Malah majalah TEMPO yang terbit di Jakarta dapat bertahan kerana jumlah iklan yang begitu banyak menghiasi halamannya.

 

Soalnya bagaimana hendak mendapatkan iklan atau meyakinkan syarikat untuk mengiklankan produknya dalam majalah berbahasa Melayu. Seorang pemerhati media berpendapat mati hidupnya majalah berita bergantung kepada bagaimana meyakinkan syarikat, baik swasta mahupun awam. Jika  syarikat atau pengiklan tidak suka  majalah seperti MASSA atau ERA, maka perlu pula dicari sebab mengapa “mereka tidak suka”. Dan jika kita tinjau secara rambang di pasaran tidak semua majalah yang berbahasa Melayu memperoleh keyakinan pengiklan, kecualilah mungkin majalah Wanita. Lain halnya majalah berita (mingguan, dwibulanan atau bulanan) dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina terbitan dalam atau luar negeri. yang banyak menerima tempahan iklan.

 

Tabiat membaca yang tidak berubah seperti yang disebut Awang Selamat mungkin satu faktor mengapa majalah tidak laku, tetapi ia tidak pula menjadi  faktor penentu. Belum ada kajian khas tentang hal ini. Maka ada baiknya satu kajian terperinci dilakukan untuk mencari kepastian apakah tabiat membaca yang tidak berubah menjadi penyebab kematian sesebuah majalah berita dan ilmiah atau ada sebab-sebab lain. MASSA hanya sebuah majalah berita. Keilimiahnya tidak dapat disamakan dengan apa yang disajikan, misalnya oleh Dewan Masyarakat. Namun, tidak tahulah jika MASSA sudah tergelincir dari landasan analisi beritanya dan menjadi ilmiah sehingga menyaingi majalah Pemikir yang terbit suku tahunan itu.

 

Pemerhati media berkenaan menilai kematian MASSA dapat dikaitkan dengan faktor semangat cintakan bahasa Melayu. Dia membandingkan sambutan orang ramai terhadap majalah berita bukan bahasa Melayu seperti Time, Newsweek, Asia Incorp., atau Malaysian Business. Dia juga membandingkan jumlah pengiklan dalam majalah-majalah ini. Lebih penting dia membandingkan golongan pembeli dan pembaca majalah-majalah ini dengan majalah berita berbahasa Melayu, persisnya MASSA. Katanya, “Tidak pernah saya dengar penerbit majalah-majalah berkenaan berkata  pengikalan tidak suka kepada majalah-majalah seumpama itu.”

 

Mesej yang ingin disampaikan pemerhati ini ialah pengiklan masih suka kepada majalah berita. Namun majalah berita berbahasa Melayu perlu meyakinkan pengiklan agar kandungan majalah menepati citarasa pembaca, terutama pembuat dasar dan golongan menengah dan dapat dimanfaatkan oleh mereka. Pimpinan majalah juga perlu mengkaji sejauh manakah pengaruh psikologi golongan ini terhadap bahasa Melayu. Bagaimanakah  sikap mereka terhadap bahan majalah berita berbahasa Melayu. Barangkali ada yang akan berkata, analisis berita dan peristiwa dalam majalah berbahasa Melayu belum setanding dengan anlisis dalam bahas Inggeris.

 

Dengan lain perkataan, golongan ini masih menganggap apa sahaja yang disajikan dalam bahasa selain daripada bahasa Melayu mempunyai nilai yang tinggi dan patut dibaca. Malah perlu.  Jika ini sikap mereka, maka tidak akan ada sebarang majalah berita dalam bahasa Melayu yang dapat  bertahan. Dan seperti kata pemerhati media itu, “Tempoh sembilan tahun bertahan bagi MASSA sudah dianggap cukup baik.”  (Catatan modified on 26 June 2004).

One Response “Edisi Terakhir Majalah Berita Mingguan MASSA” →
  1. Google is fine with it. I would highly recommend using multiple types of ads on your site so you can get a good mixture of products for your visitors to use.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,113 other followers

%d bloggers like this: