Pertemuan Sasterawan Nusantara di Johor Bahru April 1999
SELAMAT BERSIDANG PARA SASTERAWAN SENUSANTARA!
15 April 1999
Pada hari ini (Ahad) sedang berlangsung Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN) kesepuluh di Johor Bahru. Malaysia yang menjadi tuan rumah kali ini menyerahkan tanggungjawab penyelenggaraan kepada Yayasan Warisan Johor secara bersama dengan Gapena, Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Terakhir, Indonesia menjadi tuan rumah dengan menyerahkan penyelenggaraan kepada pihak wewenang kesusasteraan di Sumatera Barat pada tahun 1997. Pertemuan diadakan dua tahun sekali secara bergilir antara empat negara tuan rumah, iaitu Singapura, Indonesia, Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.
Pertemuan di Johor Bahru ini memberi makna bahawa sudah 22 tahun usia institusi tidak formal ini sejak ia “lahir” di Singapura pada 24 Disember 1977. Pada hari kelahirannya di pulau republik itu Pertemuan berkenaan mengisytiharan antara lain ia akan menjadi forum “bagi saling bertukar pengalaman, pandangan, dan pendapat serta tunjang-menunjang dalam tiap gerakan dan kegiatan sasterawan dan penulisan yang terarah bagi kemajuan dan ketinggian kebudayaan/kesusasteraan Nusantara.”
Turut sama penting adalah pengisytiharan bahawa ia menjadi “forum usaha untuk lebih meyakinkan pemerintah masing-masing tentang pentingnya kebudayaan, khususnya kesusasteraan, dalam pembangunan bangsa dan kebudayaan. Bahasa dan sastera semestinya mendapat tempat dalam pembangunan negara masing-masing.”
Walaupun banyak “pengisytiharan” berupa rumusan dibuat setiap kali berakhirnya pertemuan, namun ada beberapa sahaja daripada rumusan itu yang kini sudah menginstitusi secara formal dan ditangani oleh pemerintah masing-masing negara dengan baik. Misalnya, salah satu rumusan PSN ke-3 (berlangsung di DBP, Malaysia tahun 1981), supaya “Majlis Bahasa Indonesia Malaysia (MBIM) yang sedang bergerak, mempelawa pihak kerajaan Brunei dan Singapura menyertai majlis ini” sudah pun dilaksanakan atau paling-paling Negara Brunei Darussalam sudah ikut serta. Kemudian turut sudah dilaksanakan ialah Hadiah Sastera Nusantara, hasil rumusan tahun 1981 juga. Kalau tak silap majlis penyampaian Hadiah sastera Nusantara pertama kepada pemenang telah pun diadakan dalam PSN ke-IX di Sumatera Barat dua tahun yang lalu. Cuma pemenangnya semua berasal dari Indonesia. Barangkali karya sastera di negara-negara anggota lain gagal meraih sebarang kemenangan kerana nilainya masih belum setahap nilai karya Indoensia.
Turut telah diinstitusikan ialah Majlis Sasterawan Nusantara, yang penubuhannya dirumuskan dalam pertemuan di Negara Brunei Darussalam pada tahun 1994. Gapena telah diberi kepercayaan untuk menubuhkan Sekretariat Majlis di Kuala Lumpur dengan anggotanya terdiri daripada Angkatan Sasterawan dan Sasterawani Negara Brunei Darussalam atau Asterawani, Dewan Kesenian Jakarta atau DKJ, Gapena, dan Angkatan sasterawan ’50 atau Asas ’50. Majlis ini bertanggungjwab sebagai penyelaras panitia PSN, sebagai pusat pengumpulan maklumat mengenai karya serta kegiatan sastera Nusantara dan menyebarkannya kepada anggota majlis.
Demikianlah, PSN sejak dimulakan pada tahun 1977 telah mencapai beberapa kejayaan dalam usaha mengintimkan bidang bahasa dan sastera kepada masyarakat nusantara. Walaupun, menurut Tan Sri Prof. Ismail Hussein, Ketua Satu Gapena, masih wujud sedikit kesukaran bagi Majlis Sasterawan Nusantara “mengumpulkan orang-orang yang bekerja secara sukarela itu bermesyuarat.”
Kesulitan demikian barangkali boleh sahaja dibincangkan secara tidak formal di PSN yang berlangsung di Johor Bahru sekarang ini. Malah sedikit tumpuan boleh diberikan kepada kesulitan ini. Sebabnya, semua anggota majlis berhimpun di sana. Kesulitan yang digambarkan Ismail Hussain adalah satu realiti yang perlu diakui dan ditangani secara tuntas sebelum ia menjadi barah kepada Majlis. Satu formula atau mekanisme perlu dicari supaya Majlis boleh terus bertahan dan seterusnya pertemuan boleh terus diadkan setiap dua tahun.
Jika diteliti kekerapan pertemuan dan giliran negara penyelenggara mengadakanya nescaya terdapat sedikit flaktuasi dan kurang teratur. Tempoh giliran antara negara penyelenggara tidak konsisten. Ada pertemuan diselenggarakan setelah genap tempoh dua tahun, ada yang tiga tahun, malah ada ketikanya hanya setahun, iaitu ketika giliran Makasar menyelenggarakan pertemuan pada tahun 1986 setelah Negara Brunei Darussalam, setahun sebelumnya. Kemudian, jika diteliti urutan negara penyelenggara, ternyata ia juga tidak konsisten. Pada empat pertemuan pertama ia diselenggarakan secara bergilir dimulai oleh Singapura (1977) dan diikuti oleh Indonesia (1979, Malaysia (1981 dan Brunei (1985). Setelah selesai satu pusingan empat negara, Singapura sepatutnya memulakan giliran untuk pusingan kedua, tapi nyatanya Indonesia mengambil alih dengan mengadakannya di Makasar (1986), diikuti oleh Malaysia (1988), dan kemudian baru Singapura (1991) dan setelah itu Brunei (1994). Pada pusingan ketiga ini kelihatannya ada kecenderungan untuk mengikuti sistem giliran yang diamalkan pada pusingan kedua. Jika sistem giliran ini dipatuhi maka pertemuan seterusnya akan selenggarakan oleh Singapura pada tahun 2001.
Kurang jelas mengapa terjadinya flaktuasi dalam sistem giliran dan tempoh penyelenggaraan. Barangkali flaktuasi ini disengajakan oleh pembuat keputusan dengan alasan-alasan tertentu. Barangkali juga negara yang sepatutnya mendapat giliran belum memberikan “lampu hijau”. Setelah Majlis Sasterawan Nusantara ditubuhkan, sepatutnya keadaan flaktuasi ini dapat dihapuskan. Pihak pengurusan majlis tentunya mampu mematuhi sistem giliran antara empat negara nusantara ini.
Namun keluhan Ismail Hussein tentang kesulitan yang dialami majlis sedikit menggusarkan. Semua orang tahu nadi penggerak sesuatu organisasi adalah wang atau aliran tunainya. Dana majlis tidak setegap Gapena atau Pena sehingga untuk mengadakan mesyuarat pimpinan pun sukar dilakukan. Kesulitan dana ini belum lagi dikaitkan dengan kekurangan tenaga sukarela yang sedia membantu majlis dalam urusan hariannya. Oleh itu selagi masalah tenaga penggerak dalam bentuk dana dan personalia tidak diatasi, maka selagi itu pula kita akan mendengar keluhan Ismail dari masa ke semasa. Dan mana tahu akan tiba masanya pertemuan dua tahun sekali yang dijadikan “kegiatan wajib” majlis akan menghadapi zaman flaktuasi yang lebih parah dari dahulu.
Masalahnya bagaimanakah majlis dapat mengisi dana pengurusannya secara berterusan? Gapena atau Pena sendiri tidak mungkin dapat membantu kecuali tenaga sukarela yang mereka ada, walaupun kedua-dua pertubuhan penulis ini sudah relatif kukuh dari segi kewangan. Sebenarnya, majlis, secara teorinya boleh memiliki dana yang lebih kukuh kerana ia merupakan organisasi (penulis) yang menyebar ke empat negara di wilayah Nusantara. Malah keluhan Ismail “Kalau PSN sudah ada harta sendiri, sudah ada yayasan barangkali, sudah cukup kewangan untuk menampung tambang kapalterbang, saya rasa MSN (majlis) akan kerap boleh bersidang dan lebih rancak bergiat untuk kepentingan penulis” tidak akan timbul langsung jika majlis dapat memanfaatkan kedudukannya. Yang perlu difikirkan ialah mewujudkan satu sistem pengurusan kewangan yang lebih efektif, seperti yang diwujudkan Gapena dan Pena sendiri. Barangkali kejayaan Yayasan Warisan Johor memperoleh tajaan sepenuhnya dari kerajaan negeri boleh dijadikan iktibar. Ini merupakan satu kemajuan yang memberi manfaat kepada peserta pertemuan.
Akhir tahun lalu keadaan organisasi penulis di negeri ini pernah saya bincangkan santai dengan tiga tokoh penerbitan swasta yang minat dalam bidang sastera. Mereka ialah Koh Seng Hwi, Timbalan Ketua Pengarah sebuah perusahaan penerbitan yang terkemuka, dan Allahyarham Wahab Yaakob, seorang akauntan. Mereka tumpang seronok apabila mengetahui yang Gapena dan Pena sudah agak kukuh dari segi kewangan dan pengurusan, tetapi mereka berasa prihatin apabila diberitahu yang keadaan kewangan majlis tidaklah sekukuh kedua-dua organisasi itu.
“Jika itu profesor boleh gerakkan Gapena, dia juga boleh gerakkan Majlis dengan lebih baik. Dia seorang tokoh sastera Melayu yang disegani di keempat-empat negara. Kita tahu, dan ini adalah potensi yang patut dimanfaatkan,” kata Koh Seng Hwi. Menurut Allahyarham Wahab pula, Ismail Hussein perlu mengatur strategi secara horizontal dan vertikal apabila berbincang tentang kewangan dengan negara-negara berkenaan. Kalau perlu katanya siapkan pelan induk majlis untuk lima atau sepuluh tahun dengan peruntukan yang diperlukan. “Sebaiknya profesor kita itu mendekati negara-negara ini atas nama G to G,” kata Wahab. Ujarnya, dalam keadaan di mana kerajaan meletakkan bidang sastera di prioriti yang kurang penting maka strategi pendekatan adalah penting untuk meyakinkan kerajaan. Saya kurang pasti apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan mengatur strategi secara horizontal dan vertikal, tetapi ia dikaitkan dengan pendekatan menegak dan mendatar yang berasaskan sistem heiraki pentadbiran awam.
Satu golongan lagi yang boleh diajak berunding ialah golongan korporat. Malaysia telah memberikan contoh terbaik dalam hal membantu bidang ini seperti kerjasama yang sedang berterusan sekarang ini antara Gapena dengan Esso atau DBP dengan Bank rakyat atau Utusan Melayu dengan Public Bank atau Bank Simpanan Nasional dengan Jabatan Perpaduan Negara dalam mempromosikan sastera. Barangkali lebih banyak lagi bidang korporat yang boleh memberikan kerjasama dalam bentuk kewangan ini, sekiranya mereka dapat diyakinkan.
Komitmen kerajaan negara-negara penyelenggara dalam pertemuan nusantara telah pun ditunjukkan dengan baik setiap kali pertemuan diadakan. Walaupun jumlah dana yang disumbangkan berbeza-beza antara negara penyelenggara namun komitmen itu sudah merupakan satu “lampu hijau” bagi Ismail untuk mengambil inisiatif lebih berani, kali ini untuk mengisi tabung majlis. Dan tidak ada yang lebih baik daripada memulakanya dengan kerajaan negeri Johor sendiri di saat-saat pertemuan sedang berlangsung hari ini.
Barangkali juga usaha seumpama ini telah pun diusahakan Ismail dan Majlis dan telah membauhkan hasil sebanyak sedikit. Namun keluhan Ismail dalam “Dewan Sastera”, keluaran April 1999 menunjukkan usaha seumpama itu belum cukup memberi kesan. Apapun jua, Ismail memerlukan lebih ramai sukaralewan untuk mengurus Majlis Sasterawan Nusantara dengan lebih efektif dari sudut kewangan. Saya cadangkan salah seorang sukarelawan itu ialah Hj. Ismail Zamzam sendiri, yang merupakan setiausaha Pertemuan Sasterawan Nusantara ke-10.
Apapun jua, selamat bersidang “pertemuan sasterawan nusantara”!
konto firmowe
March 19, 2012
Extraordinarily educative thank you, I believe your trusty readers might want even more information like this carry on the great effort.
Moses Bergum
April 6, 2012
Hey, awesome site.I saw this on bing on a semi related term. Reguards from Africa