DIALOG BERSAMA ANAK SENI DI KAMPUS UMS

Posted on August 29, 2017

0


Dekan Pusat Kokurikulum dan Kesenian (PKK) Universiti Malaysia Sabah (USM), Prof. Madya Hj Inon Shaharuddin mendedahkan para mahasiswanya dalam satu pertemuan dengan penggiat sastera-budaya di Kota Kinabalu, minggu lalu. Kira-kira 100 mahasiswa tahun tiga  Pusat tersebut menghadiri pertemuan berupa dialog dengan antara lain sasterawan Dr Othman Puteh, bekas pengarang Sastera Berita Harian,  A. Rahim Abdullah dan Dee Jay  Time Highway Radio (THR) Wiramanja. Turut diundang dalam pertemuan editor sastera suratkhabar Borneo Post, Naddin Hj. Saidin.

Ini punya mesej untuk disampaikan kepada para mahasiswanya. Mesej ini bersesuaian dengan hasrat UMS bagi mempastikan para mahasiswanya memperolehi serta menguasai ilmu untuk membina ketrampilan diri yang komprehensif dan sempurna. Naib Canselor UMS, Dato’ Dr. Abu Hassan Othman, dalam pertemuan singkat sehari sebelum majlis dialog, menjelaskan kepada penggiat sastera-budaya ini tentang peri pentingnya mahasiswa didedahkan kepada unsur-unsur profesionalisme di luar kampus. Abu Hassan mahu apabila mahasiswanya mengakhiri zaman kampusnya selama tiga tahun, mereka sudah bersedia mengharungi dunia kerjayanya dengan yakin. Barangkali maksud Abu Hassan, pendidikan mahasiswa UMS lebih berorientasikan kerjaya berbanding akademik semata-mata.

Saya tak fikir pertemuan dengan penggiat Sastera-budaya kali ini bukan yang pertama kali. Othman, Rahim dan Wiramanja (Abdul Rahman Ahmad Hanapiah) pun tidak menjangkakan demikian. Malah Othman lebih santai apabila berdepan dengan kumpulan mahasiswa anak seni ini. Sebabnya sebahagian daripada mereka merupakan bekas anak didiknya di Akademi Seni Kebangsaan Kuala Lumpur. Begitu juga halnya dengan Wiramanja, deejay bersuara garau dan memukau itu. Ketika Wiramanja memperkenalkan diri, spontan sebahagian besar anak-anak seni ini “menjerit histeri” buat beberapa ketika. Suara itu mengingatkan mereka kepada rancangan “Hello Sayang!” THR mulai jam 2.00 pagi hingga 6.00 pagi.

Kedengaran anak-anak seni berbisik sesama sendiri. Spontan pula Wiramanja berkata secara jenaka, “Lebih baik dengar suaranya dahulu daripada orangnya kerana kalau lihat orangnya dahulu baru suaranya, nanti saudara-saudara tidak lagi akan terpukau.” Kurang jelas apa sebenarnya maksud Wiramanja.

Dialog pagi di Kampus Tuaran membawa erti besar kepada anak-anak seni  Tahun Tiga ini. Setelah memperkenalkan diri dengan kerjaya masing-masing, kami berlima dihujani dengan pertanyaan yang bersifat “probing” dan rasa ingin tahu. Misalnya seorang anak seni bertanyakan tentang kerjaya penulisan sepenuh masa. Apakah ia punya masa depan. Ada pula meminta pandangan Othman tentang karya eksperimen yang hari ini sangat digemari penulis-penulis muda. Kemudian ada pula soalan yang berkait dengan isu-isu sensitif dalam berkarya; masalah hakcipta dan royalti dalam penulisan intertekstualiti dan akhirnya buku-buku negara jiran yang banyak membanjiri negara kita. Yang lebih menarik karya Shahnon Ahmad “Shit” turut dipergonjengkan.

Daripada soalan-soalan ini maka dapat disimpulkan bahawa para mahasiswa ini memang mengikuti pergolakan seni-budaya semasa. Hal ini sedikit berbeza dengan sesetengah dialog dengan mahasiswa di beberapa buah universiti lain. Nilai soalan oleh mahasiswa dari universiti termuda (akan mengadakan konvokesyen sulungnya pada 9 September depan) di Malaysia membanggakan. Misalnya, Rahim terpaksa berfikir panjang apabila membnerikan pandangannya tentang intertekstualiti yang dikaitkan dengan hakcipta dan royalti. Othman mengambil masa yang panjang memperjelaskan minat penulis muda tentang karya-karya eksperimen.

Kedua-dua Rahinm dan Othman setuju bahawa pada umumnya semua karya adalah bersifat eksperimen bagi penciptanya. Tidak kiralah sama ada eksperimen itu menghasilkan karya konvensional atau non-konvensional. Semuanya bergantung kepada kebebasan berkarya yang selama ini tidak pernah tergugat. Barangkali ada di kalangan mahasiswa itu yang terfikir bahawa Shahnon Ahmad mahu bereksperimen apabila dia mencipta “Shit”. Eksperimen  Shahnon ini lebih dianggap banyak orang bermotif politik kerana “Shit” sebuah satira politik.

“Apakah Shahnon tidak memikirkan bahawa dia mungkin mencipta sesuatu yang terlalu sensitif kepada masyarakat?” tanya seorang mahasiswa.

Salah seorang daripada kami (kurang pasti siapa) menjawab bahawa justru Shahnon telah memikirkan hal-hal yang sensitif begitulah dia mencipta “Shit”, Namun sensitiviti yang dibawa karya “Shit” tidak sampai ianya diharamkan kerana barangkali pihak berkuasa maish melihat karya itu masih berada dalam lingkungan dan batas-batas kebebasan berkarya sang seniman.

“Itu kan hak Shahnon. Malah dengan tidak mengharamkan karya itu pengarang terasa rugi pula dari segi pendapatan kerana orang ramai tidak lagi berminat yang berlebihan untuk membeli  buku itu,” kata Othman.

Tentang masa depan karya eksperimen jawapan Othman seperti membawa harapan kepada penulis muda. Menurut Othman lambat laun masyarakat pembaca akan menerimanya sebagai karya biasa, malah akan disenangi. Yakinlah, kata Othman, karya yang dianggap eksperimen hari ini akan menjadi karya normal pada suatu hari nanti. Melakukan eskperimen bererti cuba mencipta sesuatu yang baru dan setiap yang baru itu akhirnya menjadi lama dan biasa. Makanya karya eksperimen akan menjadi karya biasa apabila sampai masanya nanti.

Bagaimana dengan bahasa kompleks yang sering digunakan dalam karya eksperimen sehingga ia sukar difahami? Ada mahasiswa yang cuba membaca sebuah karya eksperimen tetapi minatnya “mati” setelah mencuba beberapa halaman. Ada pendapat bahawa lebih kompleks bahasa yang digunakan maka lebih hebatlah karya itu di mata masyarakat pembaca. Dan dalam hal ini ada pula pendapat bahawa yang menganggap karya itu hebat adalah penciptanya sendiri. Seperti halnya juga seorang pengarang tulisan ilmiah. Dia menganggap lebih panjang sesuatu ayat dan lebih banyak menggunakan istilah-istilah yang kurang dimengerti maka akan lebih tinggi nilai ilmiahnya. Faktor penentu tinggi rendahnya nilai sesuatu karya itu amat bergantung kepada  penguasaan bahasa sang pencipta atau masyarakat pembaca.

Wiramanja menyentuh lebih panjang tentang intertektualiti dalam berkarya. Katanya intertekstualiti sudah tidak dapat dipisahkan lagi kerana wujudnya apa yang disebut media cetak dan media elektronik. Wiramanja menganggap karya seumpama itu sebagai karya intermedia. Katanya sebuah cerpen yang baik boleh sahaja digubah semula menjadi sebuah skrip drama radio atau TV melalui pengadaptasian yang sempurna. Malah katanya sebuah cerpen yang sukar difahami akan menjadi drama TV yang popular jika pengolahannya dilakukan melalui pendekatan  popular dan komersial. Begitu juga sebaliknya, sebuah filem atau drama TV boleh diolah semula menjadi sebuah novel yang baik dan popular.

Di Malaysia karya seperti ini masih belum banyak digubah orang. Di luar negeri terutama di Barat gubahan seperti ini sudah terbiasa. Karya asal dan karya gubahan atau istilahnya adaptasi saling memerlukan, malah saling mengiklankan. Soal hakcipta dan royalti diserahkan kepada perundangan dan biasanya sebelum sesuatu gubahan atau adaptasi dilakukan akan ada rundingan terlebih dahulu.

Dialog yang memakan masa dua jam setengah itu bersurai waktu makan tenagari. Namun Othman dan Wiramanja masih menjadi tumpuan mahasiswa yang agaknya masih ingin mendapatkan penjelasan lanjut tentang permasalahan yang dibangkitkan. Keghairahan anak-anak seni ini mendapatkan penjelasan barangkali pula berputik daripada kata-kata dekannya, Inon Shaharuddin bahawa apa yang diungkapkan dalam dialog akan menjadi salah satu bahan peperiksaan akhir tahun.

Atau anak-anak seni ini masih teringatkan kata-kata Naib Canselornya melalui satu perutusan yang tersiar dalam lidah rasmi UMS “Suara Sepanggar”. Antara lain katanya, “Tiap-tiap para pelajar UMS perlu membentuk personaliti dan karektor diri yang bersifat positif. Di antara ciri-ciri personaliti yang perlu ada pada setiap orang  mahasiswa ialah kesedaran untuk bekerja kuat, membina kegigihan dan keseronokan  yang tinggi untuk mendapatkan ilmu. Apabila wujud kegigihan dan keseronokan untuk belajar, saya yakin para pelajar sekalian akan memiliki kebolehan spontan untuk merangsang dan memotivasikan diri, serta mampu untuk bersaing menguasai ilmu yang dipelajari.”

Demikianlah, lawatan singkat kami ke UMS minggu lalu dan menjadi tamu Pusat Kokurikulum dan Keseniannya memberi kesan yang begitu mendalam tentang kehidupan kampus sebuah universiti yang termuda. Ghairah belajar mahasiswanya seperti memberitahu kami bahawa “Masih ada sebahagian besar mahasiswa yang tetap memberikan keutamaan kepada pendidikan akademik.” Semasa kami dibawa mengunjungi kampus baru seluas 999 hektar berdekatan dengan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sabah, terukir rasa megah melihat kawasan cantik yang sedang dilakar untuk menjadi sebuah kampus institiut pengajian tinggi yang dianggap Perdana Menteri sebagai “universiti kedua tercantik di dunia.”

Nun terletak di sebuah puncak bukit bangunan kembar pentadbiran  yang dihubungi oleh sebuah jambatan seperti halnya KLCC di Kuala Lumpur. Cuma bangunan kembar pentadbiran UMS ini tidak setinggi bangunan Yayasan Sabah, yang letaknya tidak beberapa jauh dari kampus baru ini! A.F.Yassin, 5 Ogos 1999.

 

 

 

 

Advertisements
Posted in: Uncategorized