MENGENANG A. RAHMAD – AL-FATEHAH

Posted on June 25, 2019

0


CATATAN A.F.YASSIN

  1. Rahmad: Dunia Milik Kita

 

Anak Pendang, Kedah, A. Rahmad seorang penulis lahir pada tahun 1951. Dalam pada itu A. Rahmad seorang Pegawai Tadbir Negeri setelah meletak jawatan daripada kumpulan PTD (Pegawai Tadbir Diplomatik. Kurang pasti apakah kerana A. Rahmad mahu berbakti kepada negri kelahirannya atau Ibukota tidak lagi menarim baginya. A. Rahmad pernah satu ketika bertigas sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Lumpur dan Penolong Setiausaha Perbendaharaan dengan pejabatnya di Jalan Duta.

 

Di kalangan kawan-kawan penulis barangkali timbul anggapan bahawa A. Rahmad atau Datuk Abdul Rahman Ahmad mahu menghindari hingar-bingar suasana kota sebesar Kuala Lumpur. Bandar-bandar yang berselerak di Kedah adalah lebih tenang dan membuatnya mampu menghening cipta. Kini A.Rahmad bertugas sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani.Lazimnya jawatan Yang Dipertua itu datang bersama jawatan Pegawai Daerah. Bagaimanapun dalam biodata yang mengiringi novel terbarunya “Lutfiah” tidak pula dinyatakan jawatan rangkapnya.

 

Sesibuknya A. Rahmad dengan rutin pentadbiran tidak pula mengendurkan semangatnya untuk berkarya. Dan ini dibuktikannya melalui novelnya “Lutfiah” yang pelancarannya disempurnakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abdul Aziz Deraman Juma’at malam, 7 Mac lalu di Rumah Gapena. A. Rahmad mencanangkan (novel pertamanya berjudul “Canang”) bahawa dia masih “alive and kicking” dalam dunia persuratan. Pengurniaan gelaran Datuk oleh Sultan Kedah tahun lalu meletakkan namanya sebaris dengan golongan  datuk-datuk sasterawan.

 

Malam Lutfiah di Rumah GAPENA berlangsung meriah. Lebih 100 orang penulis dan peminat sastera, separuh daripadanya dari Kedah (ASASI) meraikan kejayaan Lutifiah@A.Rahmad, melahirkan karya yang dianggap Aziz Deraman global sifatnya. Dan anggapan Aziz Deraman ini diperkukuh Rahman Shaari (tahniah atas lantikan profesor penuh baru-baru ini) yang memperkenalkannya malam itu. Rahman melihat A. Rahmad “pengarang Malaysia yang paling rajin memungut maklumat dari luar negara.”

 

Kecenderungan A. Rahmad memungut maklumat yang bukan lokal ini sebagai bahan karyanya adalah identitinya. Begitu kata Rahman. Namun, A. Rahmad tidak pula bercerita kosong tanpa memasukkan “pesan-pesan” seperti yang semestinya apabila mencipta. A. Rahmad obses dengan sumber yang dianggapnya melintasi dunia tanpa sempadan a.k. a asing. Katanya, “Memanglah cukup nikmat menulis karya yang melintasi dunia tanpa sempadan. Fikiran bebas terbang sejauh-jauhnya. Ilmu pengetahuan disebar seluas-luasnya. Catatan geografi, sejarah budaya, falsafah dan peradaban asing menjadi sumbangan yang besar di dalam khazanah ilmu. Penulisan … dalam arena sarwajagat dunia yang luas memberikan kebebasan yang seluas-luasnya kepada pengarang untuk bergerak dan menggerakkan hala tuju kepengarangannya.”

 

Lufiah bukan karya pertama A. Rahmad yang mempunyai unsur sarwajagat ini. Dua antologi cerpennya “Sarwajagat” terbitan Dewan Bahasa (1995) dan “Samudera” terbitan Teks tujuh tahun sebelumnya, merupakan pengenalan kepada keghairahan A. Rahmad dengan sumber asingnya itu. Cuma yang pernah pula diakui A. Rahmad karya-karyanya masih miskin dengan “nilai-nilai ketanahairan.”Dan sememangpun amat sukar untuk mengadun nilai-nilai lokal dengan asing dalam satu “kesebatian” yang bernama ciptasastera. Seperti kata A. Rahmad, “Saya amat perit untuk mendapatkan satu titik pertemuan yang harmonis di antara ciri-ciri global dan ciri-ciri lokal yang didukung oleh kedua-dua watak” seperti yang terdapat dalam Lutfiah.

 

Bagaimanapun, Lutfiah tidak pula memberikan gambaran kemiskinan nilai itu. Menurut Rahman, pengarang Lutifaih “menekankan hal hubungan antara orang Melayu Malaysia dengan orang Melayu Cape Town”.  Katanya, “Novel ini kira-kiranya mahu menyuarakan bahawa Cape Town itu dekat sahaja bagi sesiapa yang mahu merasakan kedekatan. Demikianlah antara lain inti pandangan A. Rahmad yang menyokong globalisasi.”

 

Salah satu watak penting “Lutfiah” ialah Pak Dollah. Ketika menyelami watak ini Rahman teringat akan watak realiti Pak Dollah dalam politik Malaysia. Kata Rahman, “Adalah kebetulan, ketika novel ini dibicarakan, Pak Dollah dalam realiti politik Malaysi , baru sahaja membubarkan Parlimen. Adalah kebetulan, tetapi mungkin juga terfikir di akal bawah sedar A. Rahmad bahawa Pak Dollah dalam Lutfiah ialah Pak Dollah yang sudah beberapa bulan mentadbir Malaysia.”

 

Rahman menilai Lutfiah sebagai kisah sebuah keluarga, berkisar di sekitar nilai moral dan perjuangan dalam erti pembangunan yang bercirikan Islam dan moral. Watak Lutfiah ada sentral yang menjadi tunggak kepada pengembangan plotnya. A. Rahmad mengadunkan watak penting di pinggir sebuah tasik di daerah Sik, Kedah dengan seorang watak penting di Makasar, Cape Town. Baik Muin, ayah Lutfiah, mahupun Pak Dollah, bapa angkatnya, kedua-duanya melihat Lutfiah sebagai seperti yang dikatakan Rahman “senjata” apabila saling bersemuka. Tidak salah kalau Lutfiah diibaratkan seorang moderator antara protagonis (Pak Dollah) dengan antagonis (Muin). Lutfiah “memperalatkan”Lutfi, anak Hj Sarif dari Cape  Town yang Lutfiah temui ketika belajar di London. Maka wajarlah mauduk Rahman di malam pengenalan novel ini “Lutfiah Pembalun Kesombongan.”

 

Ada kesungguhan dalam daya kreatif A. Rahmad kali ini. Demikian menurut Rahman. Dan sememang pun elemen kesungguhan inilah yang membuatkan Profesor Thana Na Nagara dari universiti luar negeri mengembalikan manuskrip “Lutfiah” dengan senyum lebar setelah dua hari berada dalam tangannya. Tulis A. Rahmad dalam Bab 21, “Aku tidak tahu, apakah senyum lebarnya itu mempunyai apa-apa erti di sebaliknya atau senyum lebar itu hanyalah lahir seada-adanya sebagai kebiasaan seorang yang disebut sebagai pemurah senyum.” A. Rahmad kelihatannya masih skeptikal dengan kelibat senyum sang profesor. Barangkali dia teringatkan komen seorang penerima anugerah SEA Write Award dari Malaysia bahawa karya-karyanya “agak stereotaip, merupakan catatan perjalanan seorang pengembara semata-mata.”

 

Rahman menyimpulkan Lutfiah merupakan “Karya yang baik, sedap dibaca dan berguna.” Menurutnya novel ini berjaya melukiskan manusia Melayu yang berupaya  untuk berada di mana-mana, dan mencapai kejayaan seperti yang dicapai oleh semua bangsa. Katanya lagi, “Usaha  A. Rahmad untuk mencipta novel globalisasi yang diimpikannya memang berjaya, namun kejayaan sebenar novel ini lebih ketara salam hal mendedahkan kesombongan manusia, dan rebahnya kesombongan itu yang dibalun oleh anak sendiri.” Lutfiah telah membawa kesedaran bahwa budi dan fikiran mengatasi kekayaan dan kebendaan.

 

Baik Aziz Deraman mahupun Ismail Hussein, kedua-duanya amat bersetuju sudah sepatutnyalah A. Rahmad mendedikasikan Lutfiah  “Buat bangsaku yang mahu mengerti bahawa kita milik dunia dan dunia milik kita.” Promosi Lutfiah memang hebat di malam pelancaran kerana bukan sahaja hadirin didendangkan dengan lagu-lagu tradisi oleh kumpulan yang dibawa khas dari Kedah tetapi juga setiap seorang yang hadir menerima hadiah ikhlas  senaskhah “Lutfiah” daripada pengarangnya. Ends.

 

 

Posted in: Uncategorized