Apabila Waheeda Dalam Dakapan Sanak Keluarga

Bila Waheeda Berada Dalam Pelukan Sanak Saudara

 

Banyak anggota keluarga besar berasa  janggal menyebut nama Waheeda, artis yang sedang melonjak popularitinya setelah meletup lagu “Wassini” nya. Ini kerana nama Waheeda bukan nama panggilan sehari-hari di kalangan mereka. Baik ibu bapanya, mahupun adik-adik dan anggota keluarga besarnya. Nama panggilan hariannya ialah Wawa, nama manja yang diperkenalkan nenda lelakinya, Datuk Yusoff Rahiman, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Juga bekas Pengerusi Lembaga Pelabuhan Pasir Gudang.

 

Datuk Yusoff ini pula adalah adik lelaki Datuk Haji Sujak Rahiman, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Kedua-dua datuk ini pula mempunyai dua abang, iaitu Karwi dan Sulaiman. Maka Karwo, Sulaiman dan Datuk Sujak adalah bapa saudara Wawa.

 

Pada hari raya kedua Isnin lalu, semua anggota keluarga besar Rahiman ini bertemu di rumah Sulaiman di Kg. Melayu Majidee Johor Bahru. Hampir 50 orang hadir dalam pertemuan itu yang diadakan kira-kira jam 2.00 petang. Dalam kemeriahan suasana timbul tanda tanya bagaimana hendak memanggil Waheeda atau Wawa. Ibu Waheeda, Asri yang juga pengurusnya meminta agar Waheeda dipanggil Wawa sahaja kerana itulah panggilan manjanya di kalangan keluarga.

 

Namun seorang ibu saudara Waheeda bernama Rubiyah Suleiman hampir pula kekok memanggil Waheeda, Wawa. Sebabnya nama Waheeda telah begitu mesra di bibirnya, terutama setelah nama itu tersebar luar dalam media dan disebut-sebut melalui radio dan televisyen . Begitu juga halnya dengan sepupu-sepupu Waheeda yang ramai datang hari itu.

 

Biarpun di kalangan sanak saudara, Waheeda tetap dilihat sebagai selebriti. Beberapa ahli keluarga yang mempunyai kamera tidaik putus-putus mengambil gambarnya dari pelbagai sudut. Bapanya Wahab Datuk Yusoff buat tak kisah dan masih juga rancak berbual dengan sepupu-sepupunya. Rubiyah, ibu saudara Waheeda ditegur Faridah, seorang lagi ibu saudaranya  kerana memberi memberi tumpuan kepadanya.

 

Kata Faridah, “Amboi dengan Wawa saja. Kita ini macam dia tak nampak. Mentang-mentang Wawa selebriti.” Rubiyah menyangkal, “Bukan begitu, Wawa jarang jumpa. Awak dah selalu datang.” Faridah berkata demikian kerana sebaik sahaja Waheeda tiba Rubiyah langsung mendakap dan memeluk mesra anak saudaranya itu sambil berkata, “Ha! Ini budaknya yang selalu masuk TV itu.”

 

Ibu Waheeda, Asri bercerita tentang Waheeda, anak sulungnya itu. “Dia ini lain sikit minatnya berbanding tiga orang adiknya yang lain. Wawa minat menyanyi. Sejak sekolah lagi. Dia dah minat, nak kata apa. Pernah dalam satu majlis dia hendak sangat menyanyi. Kita benarkanlah dengan syarat tidak banyak goyang badan.”  Waheeda cucu sulung Datuk Yusoff. Lalu dia dipanggil manja dengan sebutan “Wawa”.

 

Bapa Waheeda, Wahab Yusoff, seorang jurutera yang telah sudah bersara daripada Tenaga Nasional Berhad. Sementara ibunya pernah bertugas dengan Jabatan Imigresyen, Johor. Hari ini difahamkan kedua-dua ibu bapa ini tidak pernah berenggang dengan Waheeda. Mereka telah menjadi dewa pelindung (guardian angels) kepada Waheeda. Mereka terpaksa meninggalkan kediaman selesanya di Ulu Tiram, Johor Bahru hanya untuk menjaga kepentingan Waheeda. Mereka mahu Waheeda mendapat yang terbaik demi kerjayanya sebagai artis. “Asri terpaksalah berkorban sikit,” kata Rubiyah, “Untung jugalah awak dan Wahab sudah tak bekerja. Dapat juga tumpukan kepada Wawa.”

 

Di Kuala Lumpur Waheeda masih mempunyai ramai bapa saudara. Antaranya yang sering dihubungi ialah Senator Dato’ Ikhwan Salim Sujak, sepupu ayahnya. Ada pula Mohd Khir Yusoff, seorang pewagai PTD yang bertugas di Kementerian Kewangan, di Putrajaya. Adik Wahab, Shukur, bapak saudara terdekat Waheeda bertugas dengan Malaysian Airlines (MAS). Nana, ibu saudara paling bongsu Waheeda menyemenda pula ke Negeri Sembilan, apabila berkahwin dengan salah seorang anak bekas Undang Rembau, Dato’ Adnan Maah.

 

Suasana di rumah Sulaiman semakin  hingar-bingar bagaikan di sebuah pasar malam. Inilah momen yang ditunggu setiap tahun oleh keluarga besar ini. Dan bagi Waheeda tradisi mengunjungi rumah nenek saudara telah berakar sejak dia masih anak-anak lagi. Rubiyah masih ingat bagaimana bapa saudaranya Dato’  Yusoff dan Dato’ Sujak mengunjungi bapanya Sulaiman di pagi raya pertama atau kedua.

 

Dato’ Yusoff akan mempastikan anak-anak dan cucunya, termasuk Waheeda ikut sama. Waktu itu Waheeda lebih bersifat “tomboy” seperti yang dijelaskan Iwan Fazlee, saudara dua pupu Waheeda yang bertugas dengan Metro Nationwide Bhd di Kuala Lumpur. Iwan tidak menyangka hari ini Waheeda menjadi artis pujaan. Katanya kepada kawan-kawan sekuliahnya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ketika mula mendengar nama Waheeda, “Iwan mulanya ingat Waheeda ini entah siapa, tapi bila dapat tahu dia ada hubungan keluarga, Iwan terkejut juga.”

 

Ramai saudara sepupu  Waheeda yang berkata begitu. Malah bukan tidak mungkin Wahab sendiri pun terkejut dengan kemampuan anak sulungnya itu. Asri tidak begitu sangat kerana melihat keazaman yang ditunjukkan Waheeda dalam bidang seni nyanyi ini. Cuma nasihat Asri kepada Waheeda, “Belajar dulu sampai selesai. Jangan asyik menyanyi. Nanti bapak engkau marah.” Waheeda tidak mensesiakan nasihat ibunya. Dia hanya mula memberikan tumpuan kepada bidang nyanyiannya  setelah tamat pengajiannya di salah sebuah kolej universiti di Kuala Lumpur.

 

Kini, Waheeda yang mempunyai suara ala Timur Tengah dan boleh bermain beberapa alat muzik, terutama piano itu melangkah pula ke dunia lakonan. Tiga filem disempurnakan, iaitu “Jutawan Fakir”, “What Did You Do Last Raya” dan “Tujuh Perhentian”. Dua terakhir itu diarahkan Prof Madya Razak Mohaideen. Namun bagi kebanyakan peminat dan sanak keluarga Waheeda masih tetap dikaitkan dengan “Wassini”, lagu yang melonjakkan namanya sebagai selebriti. Tiba-tiba sahaja dia menjadi milik orang ramai, bukan lagi sekadar milik keluarga dan sanak saudaranya.

 

Tidak pasti apakah Waheeda terhutang budi dengan penyanyi Yassin yang memperkenalkannya dengan dunia seni atau Waheeda mula menyesali pemilihan kerjayanya kerana dalam sekelip mata dia berada dalam “lampu sorot”  media umum yang sentiasa sahaja “mengendap dan memerhati” setiap gerak langkahnya  untuk dijadikan bahan berita. Selebriti yang diraihnya datang bersama sebuah pengorbanan, dalam erti Waheeda tidak lagi dapat mengelak daripada menjadi bahan gosip dan tunduk kepada karenah seni yang lain. Pengalaman pahit Siti Norhaliza akhir-akhir ini sehingga melibatkan mahkamah dan pengadilan boleh dijadikan iktibar buat Waheeda yang begitu ayu dengan penampilan bertudungnya.

 

Keakraban Waheeda dengan keluarga besarnya boleh menjadi benteng. Dia begitu mesra dalam pertemuan itu, hinggap dari satu kelompok kepada kelompok kecil yang lain sambil menggunakan telefon bimbitnya sebagai kamera. Petik sana, petik sini. Katanya kepada ibu saudaranya Rubiyah, “Kalau nanti saya ada jodoh dan kahwin. Majlis akan dibuat asing-asing. Kalau keluarga dengan keluarga saja. Artis lain lagi.” Seolah-olah Waheeda mahu mengingatkan sanak saudaranya bahawa mereka masih mempunyai tempat istimewa dalam hatinya.  (17 November 2004)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: