Siti Norhaliza & Dayang Norfaizah

Antara Siti Norhaliza dan Dayang Norfaiza Siapa Hebat?

A.F.Yassin

 

Sejak berlangsungnya Anugerah Industri Muzik (AIM) 2002 di Pusat Perdagangan Dunia Putera baru-baru ini, nama Dayang Norfaizah mula disaingkan dengan nama Siti Norhaliza. Dua nama ini mewakili pemiliknya untuk merebut hati peminat. Dan kelihatannya nama Dayang semakin menggugat nama Siti. Pada malam anugerah itu Siti menang kategori vokal terbaik wanita, melalui lagu “Percayalah” sementara Dayang diangkat kerana kategori lagu terbaik, “Seandainya Masih Ada Cinta”.

 

Kemudian dalam pilihan lagu popular RMKL di Dataran Merdeka malam 4 Mei lalu, sekali lagi dua nama ini disaingkan. Akhrinya, Siti menang dalam kategori Persembahan Terbaik sementara Dayang menang melalui lagu paling popular, sekali lagi melalui “Seandainya Masih Ada Cinta”. Siti menang bukan kerana lagu “Percayalah” tapi lagu lain. Sekali imbas kelihatan nama Siti naik dalam dua anugerah dan pertandingan ini bukan kerana satu lagu seperti halnya Dayang, yang semata-mata menaruh harap daripada sebuah lagu. Kelihatannya juga tahun 2002 menyaksikan lagu Ajai “Seandainya Masih ada Cinta “ menduduki takhta juara tanpa saingan.

 

Maka sosek-sosek pun bermaharajalela, yang membatu-apikan dua artis popular ini – Siti sebagai penyandang artis paling popular selama tiga tahun kebelakangan ini  (incumbent) sementara Dayang diadu-dombakan cuba merebut takhta artis paling popular. Masihkah kita ingat Siti menjadi ternama dan “ngetop”dan terpopuler (meminjam istilah Indonesia) kerana lagunya “Jerat Percintaan” dalam satu pertandingan anjuran RTM sedikit masa lalu. Kurang pasti apakah Siti ketika itu menang kerana lagunya, persembahannya atau vokalnya! Tapi dipercayai Siti menang secara keseluruhan kerana pertandingan menggunakan kategori “Bintang”. Ia amat berbeza dengan pertandingan dalam Anugerah AIM atau pertandingan Lagu Popular RMKL yang lebih mengkhusus mengikut kategori.

 

Di sinilah letak persoalan. Anugerah keseluruhan artis tidak kelihatan dalam Anugerah AIM dan Pertandingan Lagu Popular, tidak seperti pertandingan “Bintang RTM”. Maka timbullah perlbagai persepsi dan reaksi. Dan pelbagai persepsi dan reaksi yang salah kaprah ini wujud dari satu permainan perhubungan awam (PR) yang dicipta secara mana dikehendaki (false). Ringkasnya Siti dan Dayang telah “diperhubung-awamkan”oleh pihak tertentu untuk pastinya bermotifkan komersial. Dayang terutamanya.  Setakat ini belum kita dengar Dayang menggondol anugerah “Bintang Paling Popular”, kecuali lagu “Seandainya Masih Ada Cinta” yang dinyanyikannya menang anugerah. Dan lagu ini satu-satunya lagu Dayang yang menaikkan namanya.

 

Maka tidak kita tidak akan terkejut Dayang mendapat tepukan paling gemuruh apabila Seandainya Masih Ada Cinta menang kategori lagu terbaik pada malam Anugerah AIM 2002 dulu. Tetapi yang naik  ke pentas penciptanya, Ajai. Dayang naik cuma kata orang “tumpang semangkuk”.  Ketika Dayang naik ke pentas, Dayang kelihatan dalam keadaan  serba salah, kerana Dayang amat faham mungkin yang menang bukan Dayang tapi lagu Seandainya Masih Ada Cinta. Begitu juga halnya dengan Siti yang tumpang semangkuk apabila Tan Sri S.M. Salim naik ke pentas mengiringi  S.M. Salim seperti yang diminta SM Salim sendiri meraikan kemenangan.

 

Reaksi kedua-dua artis, Siti dan Dayang, ini terhadap kedudukan dan status mereka hari ini sedikit berbau poilitik. Bukan politik per se tetapi politik di kalangan orang-orang artis. Reaksi mereka berlapik. Jawapan mereka kepada soalan yang bersifat “mengadu-domba”oleh segelintir wartawan hiburan baru=baru ini  adalah jawapan politik. Siti dan Dayang bagaikan mahu menyembunyikan keinginan dan hasrat, malah cita-cita mereka dalam meraih takhta artis pujaan. Dalam satu ruangan “pojok”hiburan sebuah akhbar mingguan  5 Mei lalu, Dayang  begitu merendah diri apabila menjawab satu pertanyaan. Katanya, “Opp… jangan cakap begitu! Sebenarnya Dayang ni masih berusaha  memberikan yang terbaik untuk mendapat tempat  di hati peminat. Dayang tak nafikan sebelum menjadi penyanyi terkenal dulu, Dayang ada angan-angan……Dayang perlu banyak berusaha.” Satu diplomasi kata-kata yang mempunyai makna tersirat.

 

Begitu juga dengan Siti. Dalam satu wawancara dengan Zubir Mohd Yunus melalui “Bintang Popular”Berita Minggu pada hari yang sama, Siti memberi pendapatnya, “Siti tidak berkecil hati kerana sejak awal Siti terbabit dalam bidang seni, populariti bukanlah perkara  utama  yang mahu Siti raih. Siti mahu berkongsi bakat Siti dengan semua orang dan alhamdulillah, bakat Siti diterima. Soal kurangnya populariti atau populariti jatuh dengan tepukan hambar untuk Siti di AIM2002  tempoh hari, Siti tidak berasa sedih kerana Siti percaya setiap individu mempunyai  artis pujaan masing-masing. Mungkin juga tidak ramai peminat Siti yang hadir  pada malam AIM2002 di Dewan Merdeka..”

 

Yang manarik ialah cara tajuk pojok itu ditulis. Untuk Dayang tajuknya ialah “Jangan Kata Saya Dah Atasi Siti Nurhaliza – Dayang”, sementara untuk Siti pula tajuknya ialah “Siti Tak Takut Jatuh”. Ini tajuk berlatarkan sikap mahu merendah diri. Kata-kata diplomasi yang datangnya dari dua nama besar dalam bidang seni suara. Semacam ada kaitan apabila dteliti kedua-dua tajuk yang kebetulkan disiarkan pada hari yang sama. Cuma satu disiarkan dalam “Pancaindera” dan satu lagi “Bintang Popular” yang kebetulan juga datangnya dari dua syarikat akhbar yang berlainan.

 

Soalnya sekarang ialah apakah kayu ukur yang digunakan untuk membandingkan populariti dua artis Dayang dan Siti ini? Orangnyakah, vokalnyakah, lagunyakah  atau ada kayu ukur yang lain? Jika diteliti kenaikan mendadak Dayang kebelakangan ini sehingga dianggap menggugat Siti, nescaya akan terlihat bahawa terserlahnya nama Dayang adalah kerana lagu  “Seandainya Masih Ada Cinta” yang dianggap lagu terbaik tahun ini. Kata seorang peminat sepatutnya Ajai yang patut dipuja bukan Dayang kerana Dayang hanya menjadi media penyampai sahaja. Tetapi ada pula yang berkata kalau bukan Dayang yang menyanyikannya mungkin lagu itu tidak menang AIM2002. Malah ada yang secara ekstrim berkata jika Siti yang membawa lagu itu, tidak mungkin “Seandainya Masih Ada Cinta” akan menang kategori lagu terbaik.

 

Begitu juga dengan kes Siti menang Bintang RTM pada tahun 1996 dulu dengan “Jerat Percintaan”nya. Peminat yang sama kata jika Dayang yang membawa lagu itu pada malam itu nescaya Dayang menjuarai Bintang RTM 1996. Diyakini peminat ini mestilah begitu obses dan fanatik dengan Dayang sehingga sanggup membuat andaian demikian. Maka dalam hal ini terdapat dua kayu ukur untuk menjadikan seseorang itu artis popular. Pertama, emosi dan sentimen peminat dan  kedua lagu. Jarang sangat suara dan kemampuan vokal menjadi kayu ukur yang menjadi sebahagian daripada penentu. Oleh yang demikian apabila ada keputusan yang berpihak kepada lagu, ramai yang beranggapan bahawa artis kesayangan mereka telah muncul juara, tetapi apabila ada keputusan yang berpihak kepada vokal ramai pula yang marah-marah kerana ärtis kesayangan mereka tidak menjuarai kategori vokal ini. Sudahnya timbullah sedikit suasana kelam-kabut di kalangan peminat seni suara, yang menyanjung seorang artis tanpa melihat kemampuan sebenarnya. Inilah yang berlaku pada malam Anugerah AIM2002? Lagu menang tetapi penyanyinya disanjung bukan penciptanya . Bak kata orang tua-tua, “Lembu punya susu, sapi dapat nama.”

 

Maka dengan tiba-tiba sahaja tepukan gemuruh diterima Dayang yang menumpang popular daripada lagu “Seandainya Masih Ada Cinta”, sementara tepukan tidak begitu gemuruh apabila Siti menang peribadi melalui vokal terbaik. Begitu juga yang berlaku di Dataran Merdeka baru-baru ini. Suara gemuruh kedengaran apabila Dayang  tumpang menang melalui lagu “Seandainya Masih Ada Cinta” tetapi tidak begitu apabila Siti menang kategori persembahan terbaik. Ada yang kata kecenderungan untuk mengelirukan peminat dalam mencari artis popular ini didorong oleh sesetengah pihak yang berkepentingan dalam bidang seni muzik, terutama jika kepentingan itu dikaitkan dengan unsur komersial. Ertinya ada pihak yang ingin melaga-lagakan  dua artis pujaan – yang baru naik dan yang sudah lama naik – ini untuk mempengaruhi pasaran seluas-luasnya. Lagi banyak artis yang dilaga-lagakan maka semakin banyaklah lagu dan kasetnya (serta cakera padat) dapat dijual. Cuba fikirkan, kalaulah hanya Siti sahaja yang “ngetop”setiap tahun maka syarikat rakaman terpaksa berlumba-lumpa mendapatkan khidmat Siti. Tetapi kalau ada dua orang yang saling berebut tempat juaba dan popular. Bukankah itu akan menambahkan lagi artis yang boleh dimanfaatkan.

 

Ini hanya andaian kerana lazimnya elemen komersial dalam seni suara dan muzik banyak dipengaruhi oleh emosi dan sentimen peminat. Dan antara Siti dan Dayang, siapa yang lebih popular bukan soalnya bagi syarikat rakaman, tetapi siapa yang lebih mempunyai nilai komersialnya untuk dimanfaatkan. Maka bukan tidak mungkin  kedua-dua Siti dan Dayang dilaga-lagakan untuk motif komersial ini. Menaikkan seseorang untuk tujuan begini boleh juga diistilahkan sebagai satu permainan “mencipta suasana palsu dalam perhubungan awam.” Dan bagi penerbit dan pencipta lagu pula, mereka lebih berpengaruh dalam menentukan siapa di kalangan artis yang mahu mereka ketengahkan a.k.a menjadi bintang pujaan. Mereka yang menentukan lagu apa yang akan dinyanyikan oleh artis mana.

 

Bagaimanakah atau di manakah  kedudukan Siti dan Dayang pada tahun ini jika Siti menyanyikan lagu “Seandainya Masih Ada Cinta” dan Dayang menyanyikan lagu “Percayalah”. Akan menjadi semakin peningkah peminat Siti dan peminat Dayang?Ada pula yang bertanya: Bagaimana kalau kedua-dua Siti dan Dayang membawakan lagu yang sama seperti  “Seandainya Masih Ada Cinta”   yang dianggap lagu terbaik tahun ini? Atau Siti menyanyikan lagi “Seandainya Masih Ada Cinta”dan Dayang menyanyikan lagu “Percayalah”? Siapalah agaknya  menjadi Artis terbaik secara keseluruhan?- (2002).

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: