Siti Norhaliza Di Albert Hall

CATATAN AF.YASSIN

Albert Hall dan Siti Norhaliza

Siti Norhaliza, yang baru sahaja dinobatkan oleh sebuah akhbar harian nasional sebagai Bintang Paling popular tahun 2004 pulang dari London dengan kejayaan mengadakan persembahan konsert solo di Albert Hall. Maka Siti Norhaliza kini tersenarai dalam kelompok 1,400 selebriti dunia yang pernah mengadakan konsertnya di Dewan kebanggaan rakyat Britain itu. Dan Siti Norhaliza merupakan orang ketiga dari Asia yang mengadakan persembahan solo selepas Ravi Shanker dan Latta Manggeshkar. Kedua-duanya dari India.

Namun nyatanya ada yang meremehkan kejayaan Siti beraksi di Albert Hall. Sebulan dua sebelum persembahan berlangsung ada wartawan hiburan yang meremehkan keinginan Siti itu. Wartawan berkenaan mempersoal apa hebatnya mengadakan pertunjukan di Albert Hall. Kemudian setelah Siti pulang ada pula yang mempersoal jumlah penonton Mat Saleh yang hadir. Daripada 2,500 penonton yang hadir hanya antara 10 dan 20 peratus Mat Saleh. Ertinya jumlah penonton Mat Saleh berjumlah antara 250 dan 500 orang. Itupun katanya, banyak merupakan kawan-kawan orang Malaysia yang berada di Britain.

Pandangan serong ini mungkin bertujuan meremehkan usaha Siti untuk mengembangkan sayap seninya ke arena antarabangsa. Mereka yang memandang serong usaha ini buat-buat lupa tentang syarat-syarat untuk mengadakan persembahan di dewan berprestij lagi bersejarah itu. Bukan sesiapa sahaja boleh mengadakan persembahan di tempat itu. Walaupun kita kurang arif apakah syarat-syaratnya tetapi hakikat bahawa Siti diberi tempat untuk beraksi di sana cukup untuk menganggapnya sebagai satu kejayaan. Apatah lagi belum ada artis dari Asia kecuali dua dari India itu yang berjaya memenuhi syarat yang dikenakan Albert Hall.

Soal siapa yang menonton tidak perlu menjadi isu kerana Siti bukannya Ravi Shanker yang mempunyai banyak peminat dari kalangan Mat Saleh di Britain. Dan kita pun tidak tahu sama ada penonton yang menyaksikan persembahan Lata Manggeshkar dahulu itu dipenuhi oleh rakyat Britain keturunan India atau Mat Saleh sendiri. Dan jumlah rakyat Britain keturunan India mencapai angka jutaan orang.

Maka dalam hal ini tentunya Siti memerlukan promosi, bukan sahaja yang dilakukannya sendiri tetapi juga dilakukan rakyat Malaysia yang bermastautin di Britain, terutama pelajar-pelajar Malaysia. Seperti kata Siti, “Ini juga satu publisit awal Siti di sana.” Dari sudut Malaysia sendiri, kejayaan Siti meletakkan nama negara di Albert Hall dalam bidang seni merupakan kejayaan yang seharusnya mendapat pujian. Persembahannya ibarat pembuka mata; juga sebagai penerobosan ke kawasan yang serba baru dan asing. Paling-paling setiap kali diadakan pertunjukan di Albert Hall, penonton tentunya akan “terpandang” wajah selebriti yang pernah mengadakan perembahan, termasuk Siti.

Ketua Pegawai Eksekutif Albert Hall, David Elliot mengundang Siti mengadakan konsert solonya lagi. Undangan  itu bererti Siti mampu meyakinkan David akan persembahan hebatnya. Dan tentunya David lebih yakin konsert kali kedua Siti akan lebih banyak ditonton mat saleh dan mungkin juga tiket akan habis dijual lama sebelum konsert diadakan. Tentunya juga David bercakap berdasarkan pengalamannya sebagai ketua eksekutif.

Setengah kalangan mahu Siti tidak usah ambil pusing tentang pandangan serong itu. Biasalah, tidak semua orang mahu melihat orang lain maju. Ramai juga di kalangan orang Melayu yang masih mempunyai cara berfikir begitu, belum lagi bebas daripada belenggu “perangai hasad dengkinya. Kata seorang pensyarah UiTM, “Kejayaan seseorang boleh diukur dari pelbagai sudut dan pendekatan. Bagi Siti Norhaliza, saya rasa kejayaan besarnya ialah dia mampu membawa satu pasukan kuat mengadakan persembahan di London. Bayangkan berapa banyak belanjanya mahu ke sana dengan puluhan pembantu latarnya. Sedangkan dia tidak mendapat banyak penaja.”

Kejayaanya mendapatkan rakan kongsi untuk mengadakan konsertnya patut juga dibanggakan walaupun tidak ramai yang tampil. Tapi kejayaan manisnya ialah mengukir namanya dalam senarai seleberiti dunia dalam bidang seni. Itu bererti kejayaan buat negara kita. Peminat seni seluruh dunia yang sempat menonton konsert di Albert Hall mulai diperkenalkan dengan nama Malaysia. Bagi saya ini lebih besar ertinya buat negara berbanding kejayaan-kajayaan lain yang dicapai rakyat Malaysia.” Menurut pensyarah ini lagi, Siti Norhaliza ini seperti Jailani dan Razif Sidek dan sebelumnya Wong Peng Soon dalam bidang sukan badminton tahun-tahun lampau. Katanya, “Saya berpendapat hanya Anita Sarawak dan Sudirman Hj Arshad yang sudah mengharumkan nama Malaysia di luar negara dalam bidang seni. Yang lain tetaplah dengan gelaran jaguh di kandang sendiri.”

Bagi mereka yang berpandangan jauh jumlah antara 250 dan 500 penonton bukan rakyat Malaysia itu sudah cukup baik sebagai permulaan menerobosi daerah asing. Jika satu perancangan jangka panjang diadakan oleh Siti melalui Siti Norhaliza Productionsnya, maka salah satu item yang tidak patut ditinggalkan ialah untuk mengadakan konsertnya sekali lagi di Albert Hall seperti yang diharapkan David Elliott. Cita-citanya untuk mengadakan konsert solonya di Opera House di Sydney perlu pula dikejarnya. Kalau boleh hidupkan juga sebuah impian untuk mengadakan konsert di Broadway, Amerika Syarikat. Jika itu tidak dapat dijangkau apakah Siti tidak berminat untuk mengadakan pertunjukan di Las Vegas sekadar mendapat kontrak beberapa bulan di sana. Kata pensyarah UiTM itu, “Siti sudah menakluki Indonesia. Jadi usahakan pula untuk memperkenalkan diri ke negara-negara barat seperti halnya dia memperkenalkan diri ke Jepun.”

Realitinya Siti amat memerlukan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara untuk memperkenalkan diri. Pelajar-pelajar inilah yang akan mempromosikan seni Siti kepada rakyat tempatan. Dengan satu syarat, iaitu konsert Siti jangan lari daripada apa yang dipersembahkannya ketika di Albert Hall. Kata pensyarah UiTM itu, “Kekuatan Siti adalah lagu tradisinya yang diperlengkap oleh vokalnya yang istimewa. Jangan pula dia terikut-ikut dengan rentak penyanyi Barat. Tunjukkan tradisi jati Malaysia, yang unik buat penonton asing ini.”

Dari segi publisiti dalam negeri ternyata Siti masih menghadapi laluan sukar. Terakhir terdengar suara sumbang yang mendakwa kemenangan Siti dalam Kategori Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004 adalah disebabkan undi simpati dan publisiti meluas tentang konsoert solonya di Albert Hall. Secara tersirat dakwaan ini seperti menggambarkan bahawa tanpa simpati dan publisiti ini tidak mungkin Siti dapat merampas semula trofi yang dimenangi  selama lima tahun berturut-turut (1997-2001) sebelum Rosyam Nor dan Apik Saiful mengalahkannya dua tahun lalu.

Bagi pensyarah UiTM itu, dakwaan ini merupakan satu penghinaan buat Siti. Dakwaan itu seperti memperlekeh kemampuan Siti dalam seni suara. Katanya, “Jika anda buat statistik dan melihat kekerapan publisiti untuk bintang-bintang lain nescaya seimbas lalu anda akan lihat publisiti yang diperoleh Siti lebih banyak membawa kesan negatif daripada positifnya. Sedangkan bintang-bintang lain dipromosikan sebagai anak seni yang tiadak cacat celanya. Saya pernah baca lagu seorang penyanyi popular yang menjadi saingan Siti sebagai berhantu. Kalau tak silap nama lagu itu ialah Pulanglah.”

Apapun jua, sekali lagi sekalung tahniah buat Siti Norhaliza kerana berjaya meletakkan nama Malaysia dalam senarai Dewan Kenamaan (Hall of Fame) di Albert Hall. Langkah berikutnya ialah mengadakan persembahan konsert solonya dan memenuhi ruang dengan lagu-lagu tradisi Malaysia di Opera House Sydney pula. (Modified on 6 April 2005).

 

 

 

 

 

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: