Usman Awang: Hubungan Kebudayaan China-Malaysia Dipererat

Saturday, 21 February 2009

USMAN AWANG PENGGERAK HUBUNGAN BUDAYA MALAYSIA-CHINA


Menilai Persahabatan Malaysia-China
Catatan A.F.Yassin tahun 2004.seperti yang tersiar dalam Utusan Zaman

Minggu ini merupakan minggu ulangtahun hubungan diplomatik Malaysia-China. Tiga puluh tahun dahulu, tepatnya Mei 1974 Perdana Menteri waktu itu, Tun Abd. Razak berjabat salam dengan dengan Perdana Menteri China, Chow En-Lai di Beijing menandakan bermulanya ikatan diplomatik antara kedua-dua negara. Dengan termeterinya hubungan itu maka Malaysia merupakan negara ASEAN pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan negara gergasi dari Asia itu.

Bagaimanapun hubungan antara rakyat dengan rakyat, khususnya dalam bidang kebudyaan, bermula pada 4 April 1993, apabila satu perhimpunan agung pertama diadakan dengan tujuan menubuhkan apa yang dikenali sekarang sebagai Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PMC). Perhimpunan itu diadakan di Hotel Federal, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dat’ Megat Joned Megat Ayob.

Seminggu sebelumnya, iaitu pada 26 Januari 1992 satu pertemuan diadakan di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dihadiri 31 orang. Dalam pertemuan itu keputusan diambil untuk menubuhkan Persatuan Persahabatan Malaysia-China. Satu mesyuarat agung diadakan seminggu selepas itu bagi membentuk Jawatankuasa sementara yang dipengerusikan Dato’ Dr Usman Awang. Usman dibantu oleh Dato’ A. Aziz Deraman sebagai Timbalan Pengerusi dan tiga Naib Pengerusi yang terdiri daripada Dato’Abdul Aziz Ahmad dari Pustaka Antara, Tan Sri lee Lam Thye dan Dr. M.K. Rajakumar.

Mereka bersama 14 anggota Jawatankuasa lain ditugaskan untuk mendaftar persatuan sebelum sebarang kegiatan yang bersangkutan dengan hubungan kedua-dua negara dalam bidang kebudayaan dapat dirangka dan dilaksanaka. Persatuan ini rasmi menjadi sebuah organisasi yang diiktiraf pada 28 Mac 1992. Majlis pelancaran penubuhan diadakan 30 April 1993 oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam perhimpunan 1 Mac 1992, Pengerusi Usman Awang menggariskan tujuan penubuhan. Katanya, “Tujuannya adalah untuk menggalakkan semangat kesetiakawanan persefahaman dan persahabatan dan cinta damai antara rakyat kedua-dua negara. Untuk mencapai ke arah itu, persatuan akan mengadakan kerjasama kebudayaan, saling bertukar rombongan kesenian, para pelajar dan mahasiswa, penulis dan sebagainya.”

Dua belas tahun kemudian, iaitu hari ini, persatuan ini khabarnya masih bernafas tetapi tidak banyak kegiatan yang didengar. Barangkali juga pengasasnya Usman Awang tidak lagi bersama persatuan. Usman adalah faktor dinamik persatuan. Anggota Persatuan masih ingat bagaimana Usman menjadikan pejabatnya di DBP sebagai markas kerja hariannya untuk meneguhkan persatuan dengan Dr. Rajakumar yang pejabatnya di seberang jalan berdepan dengan bangunan DBP.

Sepanjang berdirinya persatuan itu tahun 1995 merupakan tahun paling giat persatuan. Lebih daripada 30 kegiatan diadakan termasuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa dan majlis jamuan meraikan rombongan kebudayaan dari China. Antara kegiatan yang memberi impak kekeluargaan ialah menyambut kedatangan rombongan dari Beijing yang diketuai Li Ying, Naib Presiden Eksekutif Persatuan Rakyat Beijing Untuk Hubungan Persahabatan dengan Negara Asing dan pertunjukan tarian dan muzik oleh Kumpulan “The Beijing Angle Art Ensemble”.

Paling terbesar ialah majlis meraikan rombongan 70 orang anggota dari Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Konsultatif Politik Rakyat China yang diketuai Pengerusinya Li Ruihuan. Tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri waktu itu, Dato’ Raja Ariffin Raja Sulaiman. Majlis meraikan ini diadakan di Hotel Crown Princess pada 14 Disember 1995.

Penglibatan kaum penulis dalam persatuan ini amat ketara. Hal ini disebabkan pengasasnya Usman adalah juga penulis dan sasterawan negara. Antara mereka yang banyak menyumbang menghidupan persatuan ialah bekas Ketua Bahagian Kegiatan Sastera, DBP, Ayob Yamin, bekas editor majalah berita mingguan, MASSA, Ratnawati Jamil, Prof. Rahman Shaari, Salmah Mohsein, Prof. Dr. Othman Yatim dan Sutong Umar RS. Sutong pernah dilantik sebagai Setiausaha Persatuan untuk beberapa ketika.

Kurang jelas sama ada para penulis ini masih giat menyumbang, namun yanag pasti hubungan masih terus intim, kalau pun bukan dijalin oleh Persatuan, tetapi diusahakan golongan pedagang dan korporat. Khamis, 27 Mei lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengetuai perwakilan sembilan menteri, empat Menteri Besar dan 100 pemimpin korporat mengadakan kunjungi rasmi ke China selama lima hari. Beberapa memorandum persefahaman akan ditandatangani, antaranya dalam bidang pendidikan, pertanian serta sains dan teknolgi. Di samping itu satu perjanjian akan diadakan dengan Institut Perhubungan Diplomatik Asing untuk bertukartukar pegawai antara kedua-dua negara.

Bertukar-tukar kunjungan antara pemimpin dua negara ini telah menjadi satu tradisi sejak tahun 1974. Abdullah bukan tokoh pertama dai Malaysia yang membawa satu rombongan besar ketika mengunjungi Beijing. Pada tahun 1993, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir mengetuai rombongan seramai 300 orang, majoritinya usahawan Malaysia. Dikatakan kunjungan Dr. Mahathir adalah puncak sejarah perhubungan ekonomi antara kedua-dua buah negara. Setahun kemudian, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membawa lebih 200 orang dari pelbagai sektor seperti perdagangan, korporat, politik, pendidikan dan kebudayaan serta cendekiawan lain.

Usman dalam satu ucapannya di majlis Perhimpunan Agung Persatuan pada 17 Jun 1995 menghuraikan sejarah hubungan antara kedua-dua negara ini sejak dahulu kala. Katanya, “Hubungan sejarah yang lama dan panjang antara kedua negara adalah asas yang kukuh terjalinnya hubungan yang akrab dan mesra ini. Tapak hubungan sejarah yanag dipancangkan oleh nenek moyang kita telah dilanjutkan dan diperkukuhkan terus oleh pemimpin-pemimpin kedua negara yang saling bertukar lawatan dan kunjungan sehingga puncaknya adalah kunjungan Jiang Zemin, Presdien Republik Rakyat China sendiri pada tahun 1994.”

Usaha Usman dan kawan-kawan mengadakan hubungan kebudayaan melalui persatuan yang diasaskannya tidak tinggal terbengkalai, lebih-lebih lagi pada hari ini kemesraan pemimpin kedua negara tetap terjalin utuh. Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman yang khabarnya berada di Beijing bersama Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussein beserta serombongan kecil orang budaya untuk menghadiri Seminar dan Pameran Bahasa Melayu Sedunia di Beijing. Dengan Aziz masih lagi memegang jawatan Timbalan Pengerusi Persatuan Persahabatan Malaysia-China, maka impian Usman untuk mempastikan hubungan kesetiakawanan dua bangsa – Malaysia dan China – meningkat mekar akan terlaksana. Dato’Seri Abdullah dijadwal merasmikan seminar berkenaan. Ends. (2004)

posted by FUAD HASHIM a.k.a A.F.YASSIN at 05:42

0 Comments:

Post a Comment

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: