Aziz Deraman: Mencari Akar Bahasa Di Kepulauan Melayu

KATA PENGANTAR BAHASA MENYUSUR AKAR

 Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji A. Aziz Deraman, semasa berucap di majlis menandatangani perjanjian  penerbitan Jejak Bahasa  di antara DBP dengan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3), 10 Oktober 2000 yang lalu, antara lain melihat betapa pentingnya filem dokumentari seperti Jejak Bahasa ini kepada penyajian bahan pengajian Melayu yang penting. Menurutnya, bahan Jejak Bahasa ini akan menggarap banyak perkara yang berkaitan bahan-bahan persuratan Melayu, artifak Melayu, tokoh bahasa dan budaya Melayu, penggunaan bahasa Melayu, kegiatan, pertemuan dan juga perjuangn tentang  bahasa Melayu dan lain-lainnya tentang alam Melayu ini. Hal ini dapat dilakukan melalui penjelajahan ke kota-kota besar di alam Melayu yang dapat menampilkan bukti sejarah dan warna-warna budaya Melayu.

Katanya, “Dengan mengambil kira kekuatan dan pengaruh media elektronik terhadap masyarakat, maka Jejak Bahasa, sebagai sebuah filem dokumentari pertama, DBP akan dapat menjawab banyak perkara tentang sejarah, peranan, kekuatan dan keupayaan bahasa Melayu khususnya dan persoalan bangsa dan kebudayaan Melayu umumnya sebagai sebahagian daripada  peradaban dunia yang sangat penting.”

Apa yang diungkapkan Ketua Pengarah ini menyangkut hal yang berkaitan dengan pendokumentasian peradaban bangsa Melayu. Dalam hal ini peradaban Melayu itu dilihat dari sudut bahasa, sebagai alat perhubungan penting bangsa. Memang benar media elektronik seperti televisyen mempunyai impak tinggi terhadap audiennya, sehingga dengan demikian khalayak penontonnya akan lebih terpukau dengan apa yang akan dihidangkan secara visual oleh program seperti Jejak Bahasa. Peradaban silam dan kegemilangan bangsa Melayu divisualkan melalui peninggalan seperti prasasti, artifak dan bekas tapak peninggalan tamadun Melayu.

Bagaimanapun, media elektronik barangkali akan menghadapi masalah untuk mengekalkan ingatan masyarakat dan setiap episod yang ditayangkan selama setengah jam setiap minggu itu akhirnya akan dilupakan suatu ketika nanti. Rasa terpukau menatap siri Jejak Bahasa melalui audio-visual televisyen hanya bersifat sementara. Dengan hal yang demikian, diperlukan satu media pelengkap untuk mengekalkan rasa keterpukauan terhadap kegemilangan tamadun bangsa melalui bahasa itu.

Satu usaha perlu dilakukan untuk “mengawetkan” rasa keterpukauan ini, iaitu dengan menterjemahkan Jejak Bahasa dalam bentuk visual itu ke dalam bentuk buku. Hal ini penting demi masa depan dokumentasi Jejak Bahasa ini. DBP tentu sekali tidak mahu melihat  bahan yang telah dikumpul melalui visual itu dilupakan begitu sahaja selesai program itu ditayangkan. Pada saat-saat orang mengejar kemajuan kebendaan dari sudut ekonomi dan lain-lain, maka ada baiknya dimulakan usaha “pengawetan” bahan dokumentasi ini serentak dengan penayangannya melalui media elektronik.

Dokumentasai bentuk buku ini akan disusun berdasarkan pengalaman secara kronologis atau berdasarkan satu sistem yang boleh diputuskan kemudian. Skop penulisan dokumentasi ini akan didasarkan kepada kertas konsep Jejak Bahasa dengan turut mengambil kira pengalaman profesional semua anggota yang terlibat dalam proses penggambaran Jejak Bahasa di lapangan. Dokumentasi bentuk buku ini akan lebih bersifat human interest tanpa meminggirkan bahan-bahan keilmuan yang diperoleh melalui rujukan kepustakaan dan wawancara dengan tokoh-tokoh bahasa, sejarah dan budaya. Selain itu turut diselitkan pengalaman suka-duka anggota ekspedisi sepanjang tempoh penggambaran. Semua pengalaman ini akan dituangkan melalui pendekatan imej-imej  ambarfoto dengan tujuan memberi penekanan kepada erti yang lebih mendalam. Seperti yang dikatakan orang “Gambarfoto memberikan seribu makna.”

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: