Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Nusantara

KEGEMILANGAN BAHASA MELAYU

Selama dua bulan jawatankuasa Jejak Bahasa berbincang bagaimana sebaiknya program menghimbau sejarah kegemilangan bahasa Melayu seantero dunia. Akhirnya disepakati untuk membahagi secara geografis alam kegemilangannya itu kepada rantau nusantara, Asia Tenggara, Eropah dan kawasan dunia lainnya. Buat permulaan program usaha sama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan TV3 yang dinamakan “Jejak Bahasa” (klise Jejak Rasul?) akan terangkum dalam 13 episod, berpusat di zon Nusantara. Kawasannya yang terlibat dalam zon ini ialah Semenanjung Malaysia, Singapura, Brunei, Kalimantan, Sulawesi, Jawa dan Sumatera. Jika program ini diteruskan setelah musim pertama 13 episodnya maka zon Asia Tenggara akan dijelajahi. Dan begitulah seterusnya untuk zon Eropah dan kawasan lainnya.

Ketua Pengarah DBP, Aziz Deraman dalam ucapannya di Majlis Menandatangani  Perjanjian Penerbitan Jejak Bahasa antara DBP dengan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) berkata “Kerana pentingnya jejak-jejak peristiwa  bahasa Melayu ini dari awal pertumbuhannya  hinggalah pada hari ini maka DBP mengatur langkah menggerakkan projek Jejak Bahasa ini untuk dapat memperkukuh sikap, memberi pengertian baru, merangsang minat tentang keupayaan bahasa Melayu yang luar biasa ini.” Azi yakin Jejak Bahasa akan berjaya menarik minat penonton. Melalui Jejak Bahasa penonton akan dipaparkan “betapa luasnya, pelbagainya, semaraknya, seninya, budaya yang dinamakan Melayu itu.” Program Jejak Bahasa ini juga, kata Aziz lagi, “dapat membantu DBP mengangkat martabat bahasa Melayu di mata dunia menerusi penjelajahan sejarah dan perkembangan bahasa Melayu ke seluruh dunia dan ini sekali gus membantu dan dapat menyumbang kepada matlamat pencapaian Wawasan DBP menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia.”

Harapan Aziz begitu menggunung. Begitu juga harapan TV3 yang mahu melihat program Jejak Bahasa ini setanding dan sepopular program Jejak Rasul. Formatnya serupa malah pendekatannya juga sama, iaitu menelusuri tamadun Melayu di zaman silam, melihat dan meneliti artifek dan kesan sejarahnya. Cuma barangkali yang menjadi tanda tanya, apakah selera penonton akan dapat dikekalkan ketika menonton Jejak Bahasa seperti halnya mereka menonton Jejak Rasul? Walaupun konsep dan format persembahan sama, namun bagi kebanyakan khalayak awam, subjek bahasa itu terlalu “kering” berbanding subjek agama dalam Jejak Rasul, yang unsur memukaunya adalah kisah nabi-nabi. Penonton ingin melihat lokasi kelahiran nabi-nabi, suasana sekitarannya dan paling asyik suasana kehidupan masyarakatnya. Dalam Jejak Bahasa apakah yang akan menarik minat penonton umum ini?

Dr Awang Sariyan pengerusi projek Jejak Bahasa ini menekan agar Jawatankuasa mencari satu formula yang sesuai untuk mengekalkan minat dan selera penonton Jejak Bahasa. “Bagaimana ia dapat dilakukan saya serahkan kepada kebijaksanaan anggota yang terdiri daripada pakar media dari TV3 dan pakar bahasa dan penyelidik dari DBP.” Awang melihat adunan kepakaran antara dua institusi bahasa dan media ini mampu menjayakan program yang ambisius ini. Ia satu cabaran kepada jawatankuasa yang diketuai oleh Awang sendiri dengan Othman Ismail, Ketua Bahagian Penerbitan Bahasa, DBP merangkap Ketua Projek. Beliau dibantu oleh Prof Dr. Datuk Asmah Hj Omar, selaku ketua penyelidik dan pakar runding bahasa, Drs Abdul Rahman al-Ahmadi, Drs. Ahmad Fadzil Yassin, Dr. Othman yatim dari UM, Raja Mashittah Raja Ariffin, dan Rahim Aman dari UKM. Pihak TV3 diwakili Hj Bukhari Che Muda, Zainal Ariffin dan Mohd Zailan abd. Rahman.

Di sinilah letaknya masalah. Bagaimana menyelaraskan keinginan dan harapan orang bahasa dengan orang media agar selera dan minat penonton untuk mengikuti episod Jejak Bahasa dapat dikekalkan terus-menerus selama 13 minggu. Beberapa pandangan yang kadang-kadang bertentangan diutarakan dan ternyata tidak mudah untuk mencari titik pertemuan. Asmah, misalnya tetap menekankan bahawa unsur bahasa adalah paramount dan perlu mengatasi apa yang dinamakan unsur “human interest”. Malah Asmah bertanya apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan “human interest” itu.

TV3 perlu melihat Jejak Bahasa dari sudut penarafan atau rating, dari sudut pengekalan minat dan selera penonton. Bagi mereka tidak ada maknanya jika program itu hanya ditonton oleh segolongan kecil khalayak. Dibimbangi andainya minat penonton tidak dapat dikekalkan, program ini akan terpinggir dan terkulai di tengah musim. Dan hal ini amat menentukan nasib Jejak Bahasa pada musim-musim berikutnya. Mungkin sahaja ia tidak akan diteruskan ke musim kedua atau ketiga.

Ini amat dibimbangi Awang. Yang diharapkannya biarlah Jejak Bahasa berakhir dengan penjelajahan bahasa Melayu ke Eropah dan kawasan-kawasan dunia yang lain. Orang ramai perlu diberitahu tentang potensi peranan bahasa Melayu di seluruh dunia melalui pemaparan kegemilangan masa silamnya.

Jadi bagaimana? Wakil TV3 Zailan terpaksa menggunakan tenaga tambahannya cuba meyakinkan para penyelidik bahasa tentang pentingnya pendekatan “human interest” ini. Zailan seperti mengutip ucapan Aziz Deraman bahawa  “orang ramai perlu diberitahu melalui pemaparan kegemilangan masa silamnya.” Maknanya Zailan melalui kameranya akan menyorot kegemilangan tamadun bangsa Melayu zaman dahulu untuk menekankan betapa bahasa Melayu dimartabatkan seiring dengan kegemilangan bangsa penuturnya.  Apa sahaja unsur-unsur penggambaran yang merakam kegemilangan itu diasosiasikan dengan sejarah pertumbuhan dan pengembangan bahasa Melayu. Barangkali dalam kepala Zailan, tapak istana, makam sultan dan pembesar istana, keadaan masyarakat setempat sebagai citra keadaan masyarakat lampau dan kesan-kesan lain yang prasasti sifatnya menjadi sasaran visualnya.

Ketua projek Othman begitu berhati-hati dalam hal ini. Othman tidak mahu nanti  program akan salah kaprah, dengan keinginan menonjolkan artifek zaman silam menggerhanai isu dan mesej bahasa yang sepatutnya menjadi tema sentralnya. Katanya, “kalau kita terlalu asyik dengan sejarah budaya zaman dulu dengan unsur-unsur tarian dan muziknya di samping kesan-kesan peninggalan lampau, tujuan utama kita mengadakan Jejak Bahasa akan tenggelam.”

Namun apa yang difikirkan Zailan itu sejajar pula dengan fikiran Aziz Deraman. Dalam ucapannya, beliau menyebut tentang bahan yang digarap melalui visual. Katanya, “Sebagai sebuah hasil penerbitan, filem dokumentari ini harus dapat menjadi bahan pengajian Melayu yang penting, khususnya pengajian bahasa Melayu…..kerana bahan-bahannya akan menggarap banyak perkara yang berkaitan  bahan-bahan persuratan Melayu, artifak Melayu, tokoh bahasa dan budaya Melayu, penggunaan bahasa Melayu, kegiatan, pertemuan dan juga perjuangan tentang bahasa Melayu dan lain-lainnya tentang alam Melayu yang dapat menampilkan bukti sejarah dan warna-warna  budaya Melayu.”

Mesej Aziz ini serasi dengan gambaran Zailan. Barangkali ini merupakan titik pertemuan yang diharap-harapkan Awang. Dalam hal ini soal kebahasaan per se tidak begitu ditonjolkan. Dan hal ini perlu difahami benar-benar oleh para penyelidik supaya tidak wujud percanggahan objektif  antara mereka dengan krew TV3. Bagaimanapun Othman menekankan sebarang bentuk visual akan diselaraskan dengan teliti dengan skrip yang akan diluluskan oleh tim penyelidik dan pihak DBP.

Dengan wujudnya titik pertemuan antara mesej visual dengan mesej skrip, maka sebarang masalah berhubung dengan penggambaran telah dapat diselesaikan. Tim pemula akan melakukan penggambaran pada 25 Oktober ini di Pulau Bentan, Penyengat dan Lingga menjelajahi secara nostalgik daerah-daerah kebesaran empayar Melayu Johor-Riau-Lingga. Melalui pakej pertama penggambaran tim penyelidik bersama krew TV3 akan menyelusuri desa dan kota di sepanjang trek sejarah silam.

Mereka akan ke Jakarta lalu ke Padang, Bukit Tinggi, Pekan Baru, palembang, Jambi, Bangka dan Medan mencari artifak silam tamadun Melayu. Oleh kerana bahasa Melayu berkembang seiring dengan kegemilangan empayar Melayu, maka kesultanan dahulu menjadi paksi kekuatan bahasa. Tidak tidak dsapat mengelak daripada menemukan bekas dan tapak kesultanan di Palembang, Pagarruyung, Siak, Pelalawan (Kampar), Inderagiri, Jambi, Haru, Serdang, Langkat dan Deli.

Selepas hari raya, pakej kedua akan bermula. Tim akan menyusuri Kalimantan, Sulawesi, Brunei, Singapura dan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Kessmua jadual penggambaran akan memakan masa dua bulan. Untuk memudahkan hal-hal logistik, maka satu sekretariat bergerak mini ditubuhkan dengan bantuan pegawai bahasa dari DBP. Sekretariat ini akan dianggotai Wan Sakinah Wan Ibrahim, Sa’adah Abdullah dan Seri Banon Md Kasim. Untuk penggambaran pakej pertama ini TV dianggotai oleh Mohd Zailan Abd. Rahman, pengacara Azura Abd. Karim, pembantu penerbit Wan Zulkarnain Wan Daud, Jurukamera Mohd Fitri Ma’at, juruteknik Rosmawardi Ismail dan jurulampu Mohd Khaidir Abdul Abas. Othman Ismail akan mengetuai rombongan dengan Asmah dan Fadzil mewakili tim penyelidik. Episod pertama Jejak Bahasa akan mula ditayangkan pada minggu pertama Mac 2001.

A.F.Yassin

20 Oktober 2000.

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: