Bermulanya Program Jejak Bahasa DBP-TV3

Menjejaki Bahasa Melalui Jejak Bahasa

Jika tidak ada haral melintang mulai 25 Oktober ini bermulalah satu ekspedisi menjelajah kepulauan nusantara untuk menjejaki pertumbuhan dan pengembangan bahasa Melayu. Ekepedisi ini merupakan yang paling ambisius pernah dilakukan melalui dasar Malaysia Incorporated, satu hasil perkongsian bijak antara sektor awam dan swasta, yang melibatkan dua institusi gagah bahasa dan media elektronik  ketika ini, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan TV3. Difahamkan ekspedisi melacak bahasa ini berkonsepkan ekspedisi menjejaki rasul TV3 yang popular itu. Penjelajahan ini nanti  akan menghasilkan apa yang dinamakan Jejak Bahasa dan akan mula ditayangkan pada Mac tahun depan.

Perjanjian persefahaman telah ditandatangani antara dua institusi bahasa dan media ini 10 Oktober lalu. Kedua-dua institusi ini berharap Jejak Bahasa akan menjadi sepopular Jejak Rasul dan bersaing untuk meningkatkan penarafannya. Cuma yang menjadi kemusykilan nanti apakah isu bahasa akan sama popularnya dengan isu agama Islam? Semua orang tahu bahawa daya tarikan daripada Jejak Rasul ialah kisah nabi-nabi dan suasana tempat mereka mengembangkan syiar Islam. Orang ramai mahu tahu di mana setiap nabi itu lahir dan bagaimana suasana masyarakatnya ketika ini berbanding di zaman nabi-nabi itu.

Bahasa Melayu dianggap isu “kering” oleh kebanyakan orang awam. bukan isu yang sepopular dan punya daya tarikan seperti tokoh nabi. Bagi ramai isu bahasa Melayu adalah “kering”. Hanya orang bahasa dan ahli lingusitik yang menganggap isu bahasa tidak kering. Itu biasalah kerana bahasa bidang kajian dan darah daging mereka. Tokoh seperti Prof Dr. Datuk Hj Asmah Hj Omar, Dr. Farid Onn, Prof. Dr. Datuk Nik Safiah Karim dan Dr. Hassan Ahmad dan Dr. Awang Sariyan akan melihat bahasa sebagai kehidupan harian mereka. Sememangnya mereka antara tokoh bahasa yang tidak diragui wewenangnya. Di mana ada persidangan dan seminar tentang bahasa, di situ ada mereka. Kalau tidak semua beberapa di anatarnya.

Orang awam melihat isu bahasa sebagai bukan isu penting untuk barangkali dijejaki sejarah pertumbuhan dan pengembangannya. Bagi mereka bahasa hanyalah alat perantara untuk mereka berhubung dengan orang lain. Paling-paling mereka menganggap bahasa sebagai penting kerana mereka tidak bisu dan boleh bercakap-cakap. Tanyalah mak cik di kampung atau tokoh birokrat di bandar, di mana letak penting dan menariknyanya bahasa untuk dijejaki secara besar-besaran. Mereka akan menggeleng kepala, mungkin tidak tahu akan jawapan atau sengaja tak mahu tahu. Sebabnya bahasa begitu dekat dengan diri mereka, malah setiap saat mereka akan berbahasa sehingga kepentingan bahasa itu tidak dapat dirasakan.

Inilah persoalan yang mencabar yang bakal dihadapi DBP-TV3. Kedua-dua institusi ini perlu mencari rasional daripada penjelajahan ini, Dan ini pulalah yang telah ditekankan ketika mesyuarat sumbang saran program ini diadakan kira-kira dua bulan lalu. Pengarah Jabatan Bahasa DBP, Dr Awang Sariyan meletakkan harapan kepada kreativiti tokoh-tokoh di TV3 dan para penyelidik bahasa yang dilantik DBP supaya program ini apabila disiarkan nanti akan berjaya menarik penonton sehingga taraf (rating) Jejak Bahasa sama kuatnya dengan program Jejak Rasul. Hal yang sama diungkapkan Pengurus Besar Kanan Penerbitan dan Komunikasi Korporat TV3, Khalil Mohd Zain di majlis menandatangani perjanjian penerbitan jejak bahasa  di antara Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dengan DBP 10 Oktober lalu.

Khalil dalam ucapannya antara lain berkata, “Cabaran TV3 ialah untuk menarik penonton menyaksikan Jejak Bahasa selepas kejayaan Jejak Rasul.”

Manakala Ketua Pengarah DBP, Aziz Deraman percaya bahawa “dengan pengalaman pihak TV3  menerbitkan siri popular Jejak Rasul, sudah tentu penerbitan Jejak Bahasa ini akan menjadi lebih baik dan akan dapat menarik perhatian  penonton, apatah lagi program Jejak bahasa didokong oleh para karyawan TV3 yang menunjukkan minat dan iltizam  yang begitu tinggi untuk melaksanakan projek ini.”

Semua tokoh penting TV3 dan DBP yakin dengan Jejak Bahasa akan berjaya. Maka terserah kepada karyawan TV3 dan penyelidik DBP untuk mengadun tenaga dan kepakaran untuk menyaingi keyakinan tokoh-tokoh DBP dan TV3 ini. Haji Bukhari Che Muda dari TV3 dan Dr Awang Sariyan serta Othman Ismail dari DBP bertanggung jawab menjayakan program ini. Prof Asmah pula akan mengetuai tim penyelidik dalam menyiapkan skripnya. Bukhari menjelaskan pokok persoalan, iaitu bagaimana “kita berjaya mengekalkan selera penonton dari minit pertama episod ditayangkan sehingga selesai serengah jam kemudian.”  Paling tepat Bukhari mendambakan program jejak bahasa ini akan berjaya menarik minat penonton sama seperti yang dilakukan Jejak Rasul.

Rombongan yang akan memulakan penjejakan bahasa Melayu pada 25 Oktober terdiri daripada sebelas orang, enam dari TV3 dan lima dari DBP, termasuk Prof Asmah sebagai Pakar Runding Bahasa dan Drs. Ahmad Fadzil Yassin sebagai penyelidik lapangan. Rombongan diketuai Bahagian Penerbitan Bahasa, DBP, Othman Ismail yang bertindak sebagai ketua projek. TV3 akan diwakili penerbitnya, Nohd Zailan Abd. Rahman, selebriti TV Azura Abdul Karim, pengacara; Wan Zulkarnain Wan Daud, pembantu penerbitan; Mohd Fitri Ma’at, jurukamera; Rosmawardi Ismail, juruteknik dan Mohd Khaidir  Abdul Abas, jurulampu. DBP pula, di samping Othman akan mengikutsertakan Pegawai Perancang Bahasanya Wan Sakinah Wan Ibrahim yang akan bergantian dengan Sa’adah Abdullah dan Seri Banon Md. Kasim. DBP turut membawa ketua senifotonya, Alias Hj Yusof. Tugas Alias merakamkan pengalaman ekspedisi melalui melalui fotografi.

Yang akan menunggu rombongan ialah cabaran lapangan. Adunan pengalaman anggota TV3 dengan DBP akan dimanfaatkan sepenuhnya. Hal ini peting demi menjaga penjadualan dan mengelak daripada sebarang halangan yang mungkin menganggu penggambaran. Yang dikhuatiri hujan turun waktu penggambaran kerana menurut Zailan, waktu siang menjadi elemen penting penggambaran. Juga dikhuatiri keadaan jalan ke tempat penggambaran yang tidak dapat ditempuhi kenderaan. Akhirnya dikhuatiri kesesakan lalu lintas ketika mengadakan penggambaran di tengah-tengah kota seperti Jakarta, Pekan Baru dan Medan.

Ini baru cabaran fizikal dan alamiah. Yang tengah difikirkan, terutama krew penggambaran TV 3 dengan penyelidik DBP ialah bagaimana membentuk skrip yang menarik selera penonton seperti yang diharapkan Khalil dan Bukhari dan di pihak yang bagaimana membentuk skrip yang memenuhi harapan Aziz Deraman, Dr Awang, Dr Asmah dan Othman agar isu bahasa diberikan tumpuan utama?

Timbul pertanyaan: “Human interest” itu apa? Jawapan mudahnya minat khalayak ramai. Apa yang menyebabkan mereka minat? Dari sudut komunikasi yang menyebabkan orang berminat itu banyak. Misalnya, orang berminat menonton sekiranya peristiwa yang disaksikannya itu dekat dengan dirinya, atau masih baru berlaku, yang berkaitana dengan perang dan konflik, yang berkaitan perasaan suka duka yang mencuit dan yang mengihiris, berkaitan dengan kemanusiaan umumnya dan tidak kurang pentingnya yang berkaitan dengan kisah zaman silam ketimbang zaman sekarang.

Masalahnya bagaimana mempersembahkannya dalam bentuk visual. Boleh bahasa mencuit dan menghiris rasa? Bolehkah bahasa menghiburkan? Atau bolehkah bahasa menyelami perasaan nostalgik atau mengharukan? Semua mainan perasaan ini menyebabkan timbulnya minat. Barangkali inilah suasana yang perlu ditimbulkan dalam sesuatu program yang bersifat “human interest” itu.

Dan menjadi tugas rombongan ini untuk menghasilkan yang terbaik dari adunan kotak fikir orang bahasa dengan kota fikir orang media. Yang pasti ketika anggota rombongan jejak bahasa ini melangkah menaiki feri dari Jeti Setulang Laut Johor Bahru menuju Tanjung Pinang di Pulau Bentan, mereka akan terus akan mencari penemuan yang terbaik untuk menjadikan program Jejak Bahasa ini setanding program Jejak Rasul. Dalam ekspedisi jejak bahasa musim pertama sebanyak 13 episod ini, rombongan akan mengadakan penggambaran selama 37 hari yang akan membawa mereka ke tapak tamadun silam empayar Melayu di Riau-Lingga, Jakarta, Sumatera Barat, Riau Daratan, Sumatera Selatan dan Sumatera Utara. Selepas hari raya rombongan akan meneruskan ekspedisinya di Kalimantan, Sulawesi, Brunei, Singapura dan seluruh negeri di Semenanjung Malaysia. Harapan Khlalil dan Aziz agar episod pertama Jejak Bahasa ini ditayangan Mac 2001 akan dapat dipenuhi  setelah semua masalah penggambaran dan pendekatan persembahan diselesaikan di lapangan.

A.F.Yassin

20 Oktober 2000

2 Responses “Bermulanya Program Jejak Bahasa DBP-TV3” →
  1. Normally I don’t learn post on blogs, however I would like to say that this write-up very forced me to try and do it! Your writing style has been amazed me. Thank you, quite nice article.

    Reply
  2. Hello there, just became aware of your blog through
    Google, and found that it is really informative.
    I am gonna watch out for brussels. I’ll be grateful if you continue this in future. Many people will be benefited from your writing. Cheers!

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: