Dari Bukit Tinggi Ke Pekan Baru

JELAJAH BAHASA BUKIT TINGGI PEKAN BARU

Perjalanan tujuh jam dari Bukit Tinggi ke Pekan Baru di Sumatera melelahkan. Penerbit Jejak Bahasa dari TV3, Zailan Abdul Rahman malah terpaksa menekan perut sepanjang perjalanan kerana mual dan sakit-sakitan. Katanya, “Sudah tiga kali saya buang air sejak pagi.”

Ada yang kata Zailan terkena cirit-birit kerana m akan tidak menentu. Hal ini ditambah pula dengan makan nasi padang, pagi dan petang tanpa mengira masa. Zailan merupakan orang kesepuluh daripada sebelas anggota rombongan Jejak Bahasa ke seluruh Sumatera dan Jakarta yang terkena cirit-birit ini. Saya juga melihat jurukamera, Mohamad Fitri Maat berwajah lesu dan pucat sahaja. Barangkali penyakit cirit-biritnya belum sembuh betul. Goncangan bas sepanjang perjalanan menambah derita kru TV3 yang dua ini.

Pada hari pertama di Pekan Baru, ibukota Propinsi Riau, tiada penggambaran dijalakan untuk merehatkan mereka. Sebaliknya satu post-mortem diadakan untuk menilai kualiti penggambaran pada hari terakhir di Sumatera Barat. Istana Besar Pagar Ruyung dijadikan objek penggambaran. Perantara kami, Wisran hadi, yang baru sahaja menerima anugerah SEA Write Award di Bangkok baru-baru ini menjelaskan orang Minang menganggap bahasa Minang dengan bahasa Melayu erat hubungannya dengan bahasa Melayu. Katanya persamaan kedua-dua bahasa itu terlalu besar untuk melihat perbezaannya yang tidak seberapa.

Menurutnya ada juga ahli bahasa yang berkata bahawa bahasa Minang itu sebenarnya bahasa Melayu tetapi mempunyai dialek Minang. Walaupun Wisran tidak setuju dengan pendapat ini, namun Wisran sependapat dengan pengarang A.A. Navis bahawa dua bahasa ini identikal, terutama dalam kata perbilangan. Bagaimanapun, yang menarik di ranah Minang ini ialah sejarahnya.

Berdasarkan tambo dan kaba, satu ketika dahulu ada tiga orang anak Raja Iskandar Zulkarnain dari Mesedonia. Yang tua bernama Maharajo Alif, yang tengah bernama Maharaja Depang dan yang bongsu bernama Mahara Dirajo. Ketika belayar mereka bergaduh sesama sendiri sehingga mereka menghala ke tujuan masing-masing.

Maharaja Alif belayar ke barat lalu menjadi raja di Bizantium. Mahajara Depang menuju  timur lalu menjadi raja di China dan Jepun sementara Maharaja Dirajo menuju selatan.Kapalnya kemudian tersangkut di puncak Gunung Merapi yang ketika itu kawasan sekitarnya ditenggelami air. Setelah air surut Maharaja Dirajo turun dari puncak itu dan berbuat negeri. Konon ceritanya, Puncak Merapi itu adalah asal alam Minangkabau di samping Singgalang, Tandikat dan Sago.

Menurut sejarah, Kerajaan Pagar ruyung  di Batu Sangkar didirikan oleh seorang raja dari Jawa, bernama Adityawarman. Kerajaan ini adalah lanjutan daripada kerajaan  di Jambi. Dan Adityawarman merupakan raja pertama Pagar Ruyung. Kerajaan ini bertahan sehingga tahun 1809 apabila ia dimusnahkan oleh pasukan Tuanku Lelo dari Angkatan Perang Padri.

Apabila Belanda menguasai seluruh wilayah minangkabau pada tahun 1840 bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah. Sementara itu sekolah guru yang pertama didirikan di Bukit Tinggi pada tahun 1855. Sekolah ini akhirnya dikenali dengan sekolah raja.

Sedikit demi sedikit bahasa Melayu di sekolah itu ditingkatkan  fungsinya sehingga menjadi bahasa penyampai ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu dipelajari secara mendalam termasuk kaedah tata bahasanya. Kemudian dibuka pula sekolah yang berteraskan pendidikan agama Islam. Ramai orang Minang memanfatkan sekolah ini dan antara tokoh agama yang lahir hasil pendidikan agama ini ialah Sheikh Ahmaf Khaten dari Bukit Tinggi, Sheikh Muhamd Thaher Jalaluddin, juga dari Bukit Tinggi dan Hamka sendiri dari Danau Maninjau. Bahasa Melayu berkembang dengan lahirnya beberapa hasil karya pengarang asal Minang.

Hari ini kita tidak dapat menidakkan peranan pengarang asal Minang dalam memerkaya bahasa Melayu yang sejak tahun 1928 dinamakan bahasa Indonesia. Antara yang patut disebut ialah Marah Rosli, seorang doktor haiwan yang menghasilkan “Siti Nurbaya” (1922), Nur Sutan Iskandar dengan “apa Dayaku Kerana Aku Perempuan”(1922), Abdul Muis dengan “Salah Asuhan”. Sementara Hamka pula dengan hasil karyanya “Di Bawah Lindungan Kaabah”(1936), “Tenggelamnya Kapal Van der Wijck”(1938) dan “Di Dalam Lembah Kehidupan”(1940).

Khamis 16 November Penggambaran dimulakan di tingkat teratas Hotel Mutiara Merdeka, Pekan Baru. Suasana Pekan Baru disorot dari satu tempat tinggi secara panoramik. Ini dilanjutkan ke Pasar Cik Puan di tengah-tengah kota. Penggambaran setiap unsur memakan masa hampir tiga jam. Penyakit cirit-birit Muhamad Fitri kambuh lagi. Maka mahu tidak mahu sesi penggambaran untuk hari itu ditamatkan secara mendadak dan semua anggota kru pulang ke hotel. Untung juga hotel yang kami tumpangi agak selesa.

Sebenarnya ketika sampai di Pekan Baru, kira-kira pukul lapan malam, rombongan ditempatkan di sebuah hotel tiga bintang di pusat kota. Namun setiap anggota rombongan mengadu kamar tidak layak digunakan. Bilik airnya terlalu dhaif sehingga ada anggota yang mengadu tidak selesa untuk dimanfaatkan. Pengacara Azura Karim dan saya sendiri terpaksa pindah bilik apabila mendapati ada tikus di kamar kami masing-masing. Datuk Profesor Emeritus Dr Asmah Hj Omar terpaksa kembali semula ke lobi membuat aduan bahawa kamarnya ada nyamuk. Jurulampu, Mohd Khaidir Abul Abas pula mengadu air paipnya berlumut. Dia tidak mandi malam itu.

Mahu pindah hotel hari sudah malam, maka mahu tidak mahu terpaksalah setiap anggota menanggung azab tidur di kamar yang dhaif demikian. Ketua projek, Othman Ismail langsung tidak terkata malam itu melihat azab menginap di hotel tiga bintang ini. Othman memutuskan untuk pindah ke hotel yang lebih baik esoknya.

Ada seorang anggota rombongan yang menganggap pengalaman beberapa hari ini sebagai sudah jatuh ditimpa tangga. Setelah terkena penyakit cirit-birit, mereka tidur di kamar hotel yang mempunyai masalah asas. Katanya, “Barangkali kita terlau lama mengadakan penggambaran.Maklum dari Tanjung Pinang, Pulau Daik, Batam, Jakarta, Bandung, Padang, Bukit Tinggi dan kini Pekan Baru. Sudah tiga minggu kita mengembara menjejaki bahasa. Dan ia meletihkan.”

Kurang jelas apakah rombongan boleh menghabiskan baki perjalanan ke Palembang, Jambi, Bangka dan Medan hingga 28 November depan. Othman telah mula mencongak-congak. Dia tidak mahu menunda kepulangan lebih lama daripada yang telah dijadualkan, Jika perlu penggambaran di Medan akan ditangguhkan hingga selepas puasa. Dan ini tentunya akan melibatkan penjadualan semula pakej kedua penggambaran ke Kalimantan, Sulawesi, Brunei, Singapura dan seluruh negeri di Sememnanjung Malaysia. Apapun jua Othman akan berbincang terlebih dahulu dengan Zailan sebagai pengarah (sutradara) Jejak Bahasa.

Selama di Pekan Baru beberapa unsur penggambaran telah dikenal pasti dan dibincangkan dengan Dr Yusmar Yusuf, yang dilantik menjadi seranta rombongan  untuk sektor Pekan Baru. Yusmar adalah ketua Pusat Pengajian dan Kebudyaan Melayu, Universiti Riau. Antara objek penggambaran ialah universiti Riau sendiri, kawasan Pelalawan (Kampar Tua), tempat pemakaman Sultan Mahmud Shah, sultan terakhir Melaka dan Tun Fatimah, Siak dan jika waktu mengizinkan ibu pejabat akhbar Riau Pos.

Penggambaran akan memperlihatkan pengembangan bahasa Melayu Riau yang dikatakan adalah pecahan daripada bahasa Melayu Johor-Riau. Bahasa Melayu Riau ini adalah kesinambungan daripada bahasa Melayu kerajaan Melaka. Setelah Melaka dialahkan Portugis, Kerajaan Melaka berpindah ke Johor dan kemudian ke Riau. Bagaimanapun perjanjian Inggeris-Belanda tahun 1824 menyebabkan Johor Riau berpecah. Johor dikuasai Inggeris dan Riau oleh Belanda.

Belanda menjadikan bahasa Melayu Riau sebagai alat perhubungan dengan penduduk pribumi di Nusantara. Banyak sekolah Melayu dibuka di luar daerah Melayu Riau, seperti di Sumatera Timur dan Indonesia Timur. Berasaskan bahasa Melayu Riau inilah bahasa Indonesia diwujudkan melalui sumpah terkenal Sumpah Pemuda tahun 1928.

Sekarang, bahasa Melayu Riau hanya berstatus bahasa daerah. Jumlah penuturnya sekitar  satu setengah juta orang. Ia dibahagian kepada dua dialek terbesar, iaitu dialek Melayu Riau Kepulauan dan dialek Melayu Riau Daratan. Dialek Riau Kepulauan dituturkan oleh penduduk-penduduk yang tersebar di gugusan pulau Bentan, Pulau Lingga (Daik), Pulau Serasan, Pulau Tambelan, Pulau Tujuh, Pulau Bingaran dan Pulau Natuna. Dialek ini juga dituturkan oleh masyarakat di Bengkalis, Bukitbatu, Siak dan daerah yang meliputi Propinsi Sumatera timur. Manakala dialek daratan  tersebar di Dumai, Bangkinang, Kuala Kampar, Kubu, Tembusai dan Lubuk Jambi, sekadar menamakan beberapa tempat.

Rombongan akan menjejaki kedua-dua dialek ini dalam pakej penggambarannya. Yang menjadi masaalah nanti ialah bagaimana melihat perkembangan bahasa Melayu Riau ini dari sudut visual. Menjadi beban tugas Zailan sebagai sutradara untuk mencipta secara kreatif imej-imej bahasa dalam bentuk bingkai-bingkai kecil filemnya.

Pekan Baru, Riau, 17 November 2000.

 

One Response “Dari Bukit Tinggi Ke Pekan Baru” →
  1. Kami menerima khabar dukacita bahawa Pak Wisran Hadi, hos Jejak Bahasa di Padang telah meninggal dunia semalam 28 Jun 2011, Perkabaran ini diemelkan oleh Prof. Dr. Awang Sariyan dari Beijing pagi ini. Awang adalah Pengarah Projek Jejak Bahasa ketika beliau menjdi Pengarah Jabatan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, tahun 2001. Kepada keluarga Allahyarham Wisran Hadi saya mengucapkan takziah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah!

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: