Dari Palembang Ke Medan Melalui Hang Nadim

PALEMBANG –MEDAN MELALUI HANG NADIM

Penerbangan dari Palembang ke Medan memakan masa hampir empat jam. Padahal ia boleh dipendekkan kepada sejam setengah. Sebabnya, jalur penerbangan Palembang-Medan dengan Merpati Airlines perlu transit di Batam dan Pekan Baru. Pesawat berhenti 40 minit di Batam dan 45 minit lagi di Pekan Baru. Ambil penumpang dan turunkan penumpang. Dan cuma satu penerbangan yang ada setiap hari dan harus pula mengikuti laluan demikian.

Ada peserta rombongan Jejak Bahasa DBP-TV3 yang merungut. Bukan kerana lamanya berada di udara, tetapi kerana hidangan semasa dalam penerbangan. Penumpang hanya diberikan sepotong dua kuih dan roti dengan segelas air kopi atau teh. Ertinya tiga kali turun naik pesawat maka tiga kali pula penumpang dihidangkan kuih dan air. Maka sejak pukul 11.00 pagi ketika mula bertolak dari Palembang Khamis 23 November lalu, hiungga pukul 4.30 petang apabila sampai di hotel di Medan peserta rombongan belum menyentuh nasi. Jadi sebaik sahaja check-in di Hotel Dharma Deli, Medan kebanyakan peserta telah hilang mencari kedai makan.

Ketika lepas landas di Lapangan Terbang Hang Nadim di Batam, ada yang asyik melihat ke luar pesawat. Di bawah sana Singapura dan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pontian bagaikan menggamit mereka untuk pulang. Telah hampir sebulan rombongan mengadakan ekspedisi penggambaran. Hati berdetak mahu pulang ke pangkuan keluarga. Namun apakah daya, masih ada Medan untuk diliputi. Ada yang tidak sabar-sabar lagi mahu menghadapi hidangan masakan isteri, emak atau kakak. Manakala masakan padang sudah menjadi satu phobia pula kepada kebanyakan anggota rombongan akibat terkena cirit-birit sebelumnya.

Lapangan terbang Hang Nadim, Batam dua kali menyambut rombongan. Pertama ketika waktu rombongan singgah sebentar dalam perjalanan dari Pekan Baru ke Palembang pada 21 November lalu. Kedua kalinya, ketika ke Medan dari Palembang. Sebelumnya pada 1 November rombongan terbang ke Jakarta melalui Lapangan Terbang Hang Nadim juga, setelah lima hari berada di Tanjung Pinang dan Lingga. Seperti layaknya lapangan terbang itu tiada hentinya menyambut mesra kedatangan kami, walaupun hanya singgah sebentar.

Hang Nadim tokoh besar sejarah. Tokoh ini terkenal dengan penentangannya terhadap penjajah Portugis ketika Sultan Melaka mula berundur ke Bentan dan Kampar. Tokoh yang kemudian meninggal di Bentan itu punya sejarah yang berkait erat dengan kesultanan Melaka yang menjadi pelarian setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis. Dan tokoh Hang Nadim, seorang laksamana, dikaitkan pula dengan petualangan Sang Nila Utama dan kebesaran Demang Lebar Daun, dan ketenaran Sang Sapurba di Bukit Siguntang di Palembang.

Selama dua hari meninjau tempat sejarah dan tinggalan tamadun Melayu, Palembang menjanjikan beberapa objek penggambaran yang menarik. Bukit Siguntang, beberapa kilometer dari pusat bandar Palembang telah dirawat-pulihkan sebagai situs budaya dan sejarah. Dari atas bukit kelihatan bandar Palembang yang menyebar dengan jambatan Amperanya melintangi Sungai Musi yang membelah dua bandar itu. Situs peninggalan kerajaan Sriwijaya turut mewarnai wajah Palembang dari sudut sejarah purbanya. Ceritanya dari Sriwijaya ini, lahir Parameswara yang kemudian menjadi sultan Melaka yang pertama.

Raja Hamzah dari Pulau Penyengat menganggap Palembang tempat lahirnya bahasa Melayu dalam huruf pelawa. Kedukan Bukit,Kota Kapur dan Karang Berahi adalah di antara beberapa peninggalan yang dikaitkan dengan bahasa Melayu ini. Hari ini Palembang menggunakan bahasa Melayu  Palembang atau Baso Palembang. Penutur bahasa ini berjumlah kira-kira 6.5 juta orang. Bahasa Palembang ini terbahagi kepada dua, iaitu bahasa Palembang Alus dan bahasa palembang Sari-sari.

Wujudnya dua kelompok bahasa ini disebabkan Palembang pernah diperintah oleh kerajaan Majapahit, Demak dan Pajang. Kesemua kerjaan ini meruapakan kerajaan Jawa yang berpusat di Jawa Timur dan Jawa Tengah. Kosa Kata bahasa Melayu Palembang ini banyak dipengaruhi oleh bahasa Jawa, khususnya bahasa Palembang Alus. Maka tidak menghairankan apabila ramai orang Palembang berbahasa Melayu dengan loghat Jawa.

Oleh kerana kesuntukan masa, maka kunjungan ke Palembang hanya bersifat meninjau lokasi. Penggambaran akan diadakan selepas bulan puasa, bersamaan dengan penggambaran di pekan bersejarah Siak dan Kampar Tua (Pelalawan) di Provinsi Riau. Ada sejarah Raja kechil yang dikatakan anak Sultan Mahmud Mangkat di Julang yang menjadi raja di  Siak manakala ada pula sejarah Sultan Mahmud Shah, sultan Melaka terakhir bersama permaisuri baginda Tun Fatimah di Pelalawan. Othman Ismail, ketua rombongan akan mengusahakan agar penggambaran di lokasi-lokasi ini dibuat secepat mungkin berdasarkan kepentingannya dari sudut jejak-jejak bahasa.

Di Medan pula, perantara rombongan Prof. Haji A. Samin Siregar, Ketua Pusat Pengajian Malaysia di Universiti Sumatera Utara telah menyenaraikan lokasi yang dianggap sesuai dengan penggambaran.  Menurutnya yang perlu diberikan keutamaan ialah kehadiran empat jenis dialek bahasa Melayu yang dituturkan di Sumatera Utara. Dialek-dialek itu ialah bahasa Melayu dialek Langkat, bahasa Melayu dialek Deli, Bahasa Melayu dialek Asahan dan bahasa Melayu dialek Serdang. Walaupun perbezaan dalam dialek itu sedikit sangat namun ia tetap menjadi semacam kelainan yang menjurus kepada pembentukan identiti kelompok.

Samin menyarankan agar makam penyair sufi Amir Hamzah yang terkenal sengan sajak “Nyanyi Sunyi” di kunjungi dan dijadikan objek penggambaran. Makam itu terletak di Tanjung Pura di Kabupaten Langkat berhampiran dengan Masjid Azizi. Dan dua tokoh budayawan terkenal yang perlu diminta pandangannya berhubung jejak bahasa ini ialah Tengku Lukman Sinar (budayawan) dan Dr. Tengku Amin Ridwan (ahli bahasa) di samping Samin Siregar sendiri sebagai sasterawan.

Oleh kerana banyaknya unsur dan lokasi penggambaran maka timbul pula masalah kesuntukan masa. Rombongan hanya punya empat hari di Medan, sedangkan penggambaran sesuatu lokasi itu memakan masa setengah hari.  Kru TV3 telah memutuskan bahawa penggambaran tidak akan diadakan pada bulan puasa. Jika puasa bermula pada 27 November maka penggambaran akan berhenti sehari sebelumnya. Sedangkan menurut Othman penggambaran perlu dijalankan di lokasi Langkat, Deli, Asahan dan Serdang di samping di tengah-tengah kota Medan sendiri. Kemudian ada pula penggambaran di Universiti Sumatera Utara. Sebuah doku-drama perkuliahan pasca sarjana akan dilakonkan.

Tanpa cukup waktu penerbit TV3 Zailan Abd Rahman sedikit keberatan untuk membuat penggambaran di kempat-empat lokasi berdasarkan dialek itu. Zailan lebih cenderung untuk ke lokasi Langkat sahaja tempat bersemadinya Amir Hamzah. Sikapnya ini sedikit bercanggah dengan apa yang diinginkan ketua projek, Othman, penyelidik lapangan  dan Samin Siregar. Sikap penerbit ini mengingatkan saya kepada sikapnya yang tidak begitu berminat untuk mengadakan penggambaran di Pelalawan yang menurut sejarahwan Riau, Tengku Nasruddin Affandi (Pak Tenas) sebagai penting, jika mahu dilihat daripada sudut perkembangan bahasa istana.

Menurut Pak Tenas, Pelalawan atau Kampar tua tempat perlindungan Sultan terakhir Melaka. Baginda membawa bersamanya segala kebesaran istana lengkap dengan bahasanya sendiri. Bahasa Melayu di Pelalawan ini masih kuat dipengaruhi oleh  bahasa Istana Melaka dan kemudian bahasa Istana Johor Riau. Kata Pak Tenas sehingga hari ini penduduk di sekitar Pelalawan masih kuat berpegang kepada adat dan tutur kata orang Johor.

Yang bagusnya, oleh kerana Pelalawan itu jauh terpencil dan belum begitu menerima unsur dan budaya luar maka, kehidupan bermasyarakatnya tidak banyak mengalami perubahan. Kata Pak Tenas, “Apa yang ada di sana tidak banyak berubah sejak dahulu kala lagi.” Apapun jua, Pak Tenas tidak pula memaksa agar rombongan mengadakan penggambaran di Pelalawan. Barangkali Pak Tenas memikirkan tentang jarak Pelalawan dengan Pekan Baru yang begitu jauh. Atau Pak Tenas lebih dari faham akan kesuntukan masa yang dihadapi rombongan.

Sepanjang perbincangan Pak Tenas menggunakan bahasa Melayu Johor. Tidak sepatah pun kata-katanya yang berloghat Indonesia. “Saya orang Melayu dan saya bercakap Melayu. Ini bahasa nenek moyang saya,” katanya. Dan sejak saya mulai kenal Pak Tenas lima tahun dahulu tidak pernah sekali dia bertutur dengan sebut bahasa indonesia. Sikapnya itu samalah halnya dengan Raja Hamzah Yunus di Pulau penyengat. Riau Kepulauan. Ramah mesra Pak Tenas sukar dilupakan lebih-lebih lagi apabila beliau sekeluarga menjamu rombongan dengan pulut durian bersantan.

“Bagaimana Othman?” tanya saya sebelum mesyuarat pra-penggambaran di Medan itu ditangguhkan.

“Kita lakukan seperlunya. Kalau tak boleh nak shooting di bulan puasa tal payahlah buat. Saya kecil-kecil dulu panjat pokok kelapa dan pikul buah kelapa dalam bulan puasa, tapi saya puasa juga,” jawabnya.

Saya kurang pasti mengapa Othman menjawab begitu. Barangkali beliau mahu memberi perangsang kepada anggota rombongan, terutama kru TV3. Sebabnya, menurut rancangan penggambaran akan diteruskan pada 27 November. Jika puasa jatuh pada hari itu, makan penggambaran akan dihentikan sehari sebelumnya. Sebenarnya anggota rombongan sudah keletihan dan “overdose” setelah berada di lapangan hampir sebulan tanpa rehat. Melihat Singapura dari selatan Semenanjung dari udara ketika dalam perjalanan dari Batam  ke Pekan Baru dan Medan siangnya  semakin membuatkan jiwa mereka semakin terpaut kepada sanak keluarga tersayang di tanah air.

Medan, 24 November 2000.

 

 

 

2 Responses “Dari Palembang Ke Medan Melalui Hang Nadim” →
  1. Bolehkah pengunjung blog mengirim tulisan ke media ini, dan apa saja ketentuannya? Apakah ada persyaratan tertentu yang harus dipenuhi oleh pengirim tulisan?

    Atas perhatiannya kami sampaikan terimakasih.

    Reply
    • Boleh dan dipersilakan. Ketentuannya mudah sahaja: Berikan sumber artikel, siapa yang penulisnya dan seboleh mungkin harus dikreditkan atas nama pemilik blog ini. Sekian, terima kasih.

      Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: