Dialek Kedah Di Jaring Halus Medan

MENDENGAR DIALEK KEDAH DI JARING HALUS.

OLEH A.F.YASSIN

Jaring halus sebuah desa terpencil di kuala sungai Permatang Buluh. Di depannya terbentang laut luas Selat Melaka. Kata penduduk, “ kalau berperahu ke timur menyeberang selat ini, nescaya kita akan sampai ke pantai Kedah.. Kalau belayar sedikit ke utara nescaya kita akan sampai pula ke Langkawi atau Kuala Perlis.”

Ini cerita  penduduk Jaring Halus. Walaupun tidak seorang pun penduduknya di sana ini pernah berperahu ke timur, tetapi cerita yang mereka sampaikan sungguh menyakinkan.

Menyakinkan kerana percakapan mereka saling tak tumpah percakapan orang Kedah atau orang Pulau Pinang. Kata-kata “hang”, “hangpa”, “depa”, “awat tak habaq” dan segala macam loghat Kedah masih tebal, malah sama totoknya dengan percakapan Zainal, sutradara Jejak Bahasa yang berasal dari Kedah itu.

Pagi itu, 25 Februari Zainal begitu bersemangat mahu memulakan perjalanan menuju desa Jaring Halus, walaupun perjalanan mengambil masa tiga jam setengah dari Medan.

Dari Medan kami dari rombongan Jejak Bahasa berkenderaan selama dua jam ke Tanjung …., pengkalan di tebing Permatang Buluh. Sebelum ke tanjung ….., rombongan akan melintasi makam penyair besar Indonesia, Amir Hamzah di Tanjung Pura, Langkat.

Di Tanjung Pura ada sebuah jeti kecil yang boleh disinggahi dua buah bot atau perahu bermotor. Jika air sungai lagi surut, penumpang terpaksa turun jauh ke baruh untuk naik perahu. Atau penumpang harus menunggu hingga setengah jam hingga air pasang semula. Makinlah kami pagi itu terpaksa menunggu hingga air naik. Mujur juga ada lori yang membawa durian yang turut sama tunggu untuk memunggah buah durian naik perahu. Setelah tawar menawar harga kami berkenduri durian di tengah panas yang mencubit-cubit. Padahal baru semalam kami makan durian di Medan.

Sebelumnya juga di Pekan Baru dan sebelumnya di Panglimbang. Malah sebelum dan sebelumnya di Menado, Makasar, Jakarta, Bangka dan di Siak. Kami beruntung kerana harga durian cuma RP 4,000 (RM 1.60) sebiji bukan sekilogram.

Ketika bot laju tiba untuk membawa rombongan kami bergopoh-gapah membasuh tangan dan mulut. Tidak mengapa kerana ada air mineral dipersiapkan sebotol seorang dalam perjalanan ke Tanjung Aibus. Tidak banyak peralatan penggambaran di bawa hari itu. Memikirkan ….. ekpedisi melalui sungai yang akan memakan masa satu jam. Kami diiringi beberapa orang polis berpakaian preman sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut cerita Camat Secanggang, doktor Zulkifli beberapa hari sebelumnya. Berlaku pergaduhan antara penduduk desa Jaring Halus dengan nelayan dari Belawan yang dikatakan menceroboh perairan Jaring Halus.

Menghilir di sungai Permatang Buluh merupakan pengalaman menyeronokkan selama sejam menghilir, kami melihat pepohon menghijau yang diselang tanaman lada hitam dan pohon rumbia liar, sesekali terlihat pondok-pondok kecil di tepi tebing dengan perahu kecil terikat menunggu tuannya. Kebanyakan pondok itu diperbuat daripada kayu hutan dan buluh dengan beratapkan nipah atau daun rumbia. Beberapa kali kami melihat  penghuni rumah kecil ini mandi-manda di dalam sungai. Yang perempuan berkemban dan lelaki bercelana pendek. Yang muda dan yang tua saling bergaul.

Semakin kami mendekati kuala semakin melebar pula sungai yang kamu lalui. Akhirnya laut nan luas terbentang di depan mata dan di tebing sebelah kanan terdapat deretan rumah dengan jeti kayu bersusun-susun. Layaknya ia berupa sebuah kampung air.

Sebuah kapal kecil berlabuh di tengah sungai. Kata penduduk desa itu kapal itu menunggu muatan, berupa ikan tangkapan para nelayan yang pulang petang. Sekumpulan pemimpin desa menyambut kedatangan rombongan. Di atas jeti sendiri telah terbentang permaidani.

Di sinilah tempat pertemuan dan penggambaran. Jeti itu berdekatan pula dengan rumah besar milik Dahlan Kulong yang telah berusia 87 tahun tetapi masih tegap dan kuat daya ingatan.

Pun jeti itu miliknya sendiri. Dahlan dianggap orang terkaya di desa Jaring Halus, punya perahu pancung, punya, malah punya kolam ternak ikan. Banyak ikan tangkapan nelayan dijual kepadanya sebagai pemborong.

Zainal tidak mensiakan peluang untuk membuat penggambaran tentang keadaan Jaring Halus. Dia begitu seronok berbual dengan ketua kampung. Dan seorang ….. bernama Khairi yang menurutnya berasal dari Kedah.

Khairi yang telah berusia lebih 70 tahun berhijrah ke Jaring Halus ketika Indonesia belum lahir, “ Kami sampai kat sini dok zaman Belanda lagi,” kata Khairi. Tidak lupa datanya tempat mana di Kedah Khairi berasal. Barangkali kerana terlalu suka dapat bertemu dan berbual dengan loghat Kedah sehingga kami terlupa bertanya asal mengasal Khairi di bahagian mana negeri Kedah. “Biaq pi lah!”

Aliandi berkata desa Jaring Halus bukan satu-satunya penempatan orang utara semenanjung dikuala itu. Ada lagi desa yang lain seperti kampung Perlis dan kampung Kelantan.

Yang terakhir ini penghuninya sudah pasti berasal dari Kelantan pula. Bagaimana orang pantai timur semenanjung itu sampai ke kuala sungai Permatang Buluh menarik juga dicari jawapannya.

Menurut Aliandi sebelum menghuni Jaring Halus generasi terdahulu ……… desa tapak kuda di seberang sungai, tetapi desa itu akhirnya di tenggelami air dan terpaksa berpindah ke tempat yang ada sekarang.

Selama beberapa jam di desa itu, jarang sekali kami mendengar penghuninya berbahasa Indonesia. Malah anak-anak kecil begitu fasih berbahasa Melayu loghat Kedah. “Kami orang Melayu”, kata seorang penduduk. “Bahasa kami bahasa Melayu.

Cuma di sekolah , kami dok guna bahasa Indonesia”. Saya tanyakan perbezaan antara bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia, dia tersenyum sambil berkata, “Kami pun tak tau, tapi kami rasa janggai sikit nuh dok cakap dalam bahasa Indonesia. Surat khabaq pun kami kadang-kadang tak baca. Kami tak faham”.

Melihat keadaan desa itu memang tidak heran kebanyakkan penghuninya tidak petah berbahasa seperti orang Indonesia desa itu begitu terpencil. Jalan penghubung hanyalah melalui sungai atau laut luas. Jalan darat mampir tidak wujud. Jaring Halus terletak di kacamatan secanggang, Kabupaten Langkat, dengan Tanjung Pura, ibu kotanya.

Kota kecil Tanjung Pura ini terletak satu setengah jam perjalanan dengan bot mudik sungai Permatang Buluh. Tanjung Pura merupakan pekan terdekat Jaring Halus.

Jumlah penduduk desa ini ialah kira-kira 3,000 orang terdiri daripada 561 keluarga. Sejumlah 60% terdiri daripada orang Melayu asal Kedah. Yang lain terdiri daripada suku Banjar, Jawa dan Melayu Langkat sendiri. Desa Jaring Halus ini terdiri daripadaempat dusun atau kampung dan setiap dusun mengandungi kira-kira 100 keluarga.

Rata-rata penduduk adalah nelayan yang belayar pagi pulang petang dengan menggunakan bot dan perahu. Pendapatan sekitar RP 20,000 (RM 8) sehari. Surau penduduk beragama Islam dengan sebuah masjid dibangunkan di tengah-tengah desa. Keamanan desa sesekali diganggu oleh kaum nelayan dari Belawan. Kata seorang pemuda, “Kami senantiasa berjaga-jaga. Dan kami senentiasa bersedia. Kami nekad akan menentang orang dari Belawan ini jika kawasan kami diceroboh”.

Hari semakin tinggi ketika Zainal dan anggota TV3 lainnya membawa alat penggambaran di satu jeti yang berhadapan dengan masjid. Ditepi jeti ada dua orang penduduk yang sedang membaiki sampan mereka. Dan disudut lain seorang nelayan sedang membersihkan jalanya.

Jambatan kayu yang mengunjur terus kejeti berbuniy setiap kali kami memijak papannya. Ia kelihatan telah usang dengan lubang disana-sini. “Kami sudah biasa dengan lubang begitu dan tiang jambatan kayu ini masih kukuh kerana ia dari kayu bakau”, kata seorang lelaki pemilik rumah yang berhampiran.

Orang kaya Dahlan menjadikan rumahnya tempat jamuan makan tengah hari. Sekali lagi kami berasa seperti berada dikampung sendiri. Semua yang hadir duduk bersila dikiri-kanan hidangan. Jamuan sungguh sederhana dengan lauknya ikan dan udang segar serta kari daging kambing.

Sambutan hangat penduduk desa ini amat sederhana tetapi cukup mengharukan. Tidak ada kerusi cuma tikar dan permaidani. Adat tertib orang Melayu menguasai suasana. Beberapa orang penduduk lengkap berpakaian baju Melayu cekak musang.

Kadang-kadang kami terasa seperti tersindir kerana tidak seorang pun dikalangan kami berpakaian Melayu hari itu.

Mujur juga Camat Doktor Zulkifli dan ketua desa Aliandi tidak mengenakan baju Melayu. Begitu juga halnya dengan anggota dewan perwakilan rakyat daerah yang turut mengiringi kami ke Jaring Halus.

Yang menjadikan kami terpukau ialah keramahan penduduk Jaring Halus. Tegur sapa merekamembuatkan kami seperti berada dikalangan keluarga sendiri. Lebih-lebih lagi apabila ada dua tiga orang yang mempelawa kami ke rumah mereka.

Zainal pula begitu “becok” berbual dengan mereka dengan loghat Kedahnya. Baik Khairi mahupun penduduk berusia lainnya, berharap mereka akan dapat mengunjungi Kedah pada masa depan

 

 

3 Responses “Dialek Kedah Di Jaring Halus Medan” →

  1. abdul khalik

    October 29, 2012

    ada bebera catatan tuan yang salah

    Reply
  2. memang ada catatan yg sidikit salah yaitu mengenai ibu kota tg pura

    Reply
  3. hmmmm ceritanya lumayan bagusss,,,, hnya sedikit yg salah,,,

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: