Kenangan Bersama Kru/Crew Jejak Bahasa

Selama 35 hari ekpedisi Jejak Bahasa, tajaan Dewan Bahasan dan Pustaka (DBP) dan TV3 menjelajahi seluruh Pulau Sumatera, Jakarta dan Bandung. Di Sumatera, ekspedisi menyelusuri hutan batu dan hutan dara melakukan penggambaran untuk episod-episod program ini. Lepas hari raya Puasa, ekspedisi akan diteruskan untuk meliputi daerah Kalimantan, Sulawesi, Brunei dan Malaysia. Sebulan lagi anggota ekspedisi seramai sebelas orang akan meredah hutan batu, hutan dara, lembah dan gunung.

Ketua ekspedisi, Othman Ismail dari DBP sudah pening kepala dan akan bertambah pening lagi selepas hari raya nanti apabila ekspedisi kedua bermula. Bukan apa-apa. Cuma sebagai bendahari ekspedisi, dia pening memikirkan jumlah wang yang perlu dibawa dan mengalir keluar. Semuanya main juta-jutaan. Misalnya, untuk makan malam sebelas orang, Othman terpaksa keluarkan Rp1.5 juta. Kalau 10 kali makan malam dia terpaksa menghitung helai demi helai duit rupiah sebanyak Rp10.5 juta.

Yang membuatnya tambah pening ialah duit keluar seperti air mengalir. Celik mata, keluar duit kerana bayar sarapan. Jalan sedikit, keluar duit kerana bayar tukang tahan kenderaan lain untuk memudahkan kenderaan undur. Letak kenderaan, walau hanya satu minit, keluar duit kerana bayar tukang parkir yang berlari-lari datang entah dari mana. Malah di lapangan terbang dan di terminal keluar duit, belum apa-apa lagu harus keluar duit kerana porter sudah pegang dahulu troli angkut barang. Berhenti di lampu isyarat, keluar duit kerana ramai anak jalanan yang datang meinta-meminta. Berkenderaan di tengah-tengah kampung keluar duit kerana ada tangan dan tangguk yang dihulur kepada kenderaan yang melintas lalu. Sekadar mohon bantuan untuk pembinaan masjid kampung.

“Bila masa aku tidak keluar duit?” tanya Othman kepada pemandu kenderaan. Pemandu itu tidak menjawab. Dia hanya senyum. Ketika berhenti di Masjid Azizi di Tanjung Pura, Langkat, yang jauhnya kira-kira satu setengah jam perjalanan dari Medan untuk membuat penggambaran di Makam Tengku Amir Hamzah, pujangga dan pahlawan Indonesia dari Langkat itu, seorang “tukang parkir”  memberi arahan kepada pemandu kenderaan. Ada papan kenyataan yanag tertulis: “Sekali parkir Rp500.”  Othman menggeleng kepala sambil berkata, “Di tanah wakaf pun masih kena bayar letak kereta!”

Di Muzium Palembang, Othman ngomel lagi tentang duit. “Aku bengang,” katanya. Saya tanya dia mengapa. Dia diam sebentar sebelum menjawab, “Aku kena keluar duit dua kali. Pertama bayar masuk muzium. Tak jadi hal lah. Tapi peliknya setelah pegawai muzium memberi penerangan, aku kena bayar lagi kepadanya. Jadi duit masuk itu untuk apa?” Apabila diminta penjelasan dari Pak Najib, pemandu rombongan, asal Palembang, dia cuma kata, “Memangnya sudah begitu Pak!”

KEBEBASAN BERSUARA

Satu hal yang menarik sepanjang mengikuti ekspedisi Jejak Bahasa ialah tentang kebebasan menyatakan pendapat. Begitu bebasnya seseorang itu menyatakan pandangannya tentang apa sahaja, termasuk politik dan ekonomi dan yang menyentuh hal peribadi sehingga terfikir pula apakah sudah muncul semacam keadaan anarki di Indonesia hari ini. Ada orang yang bercakap “main lepas” sahaja tentang pemimpinnya, tidak kira sama ada pemimpin itu seorang lurah (penghulu), bupati (pegawai daerah) atau wali kota. Malah bupati dan timbalan gabnor yang ditemui sudah berani mengeluarkan pendapat yang semasa rejim Soeharto dahulu dianggap taboo.

Contoh nyata tentang kebebasan bersuara ini dapat dilihat dalam kecenderungan pemberitaan suratkhabar  “Rakyat Merdeka” yang terang-terangan mensensasikan setiap pergerakan presidennya yang dianggap sumbang di mata rakyat. Kemudian ketika di Langkat seorang budayawan yang punya saudara mara di Perak bercakap tentang keadaan dhaif warganegara keturunan Melayu di daerahnya. Dia tidak tanggung-tanggung bercerita. Katanya orang Melayu perlu disedarkan. “Kita tak mahu melarat di bumi kita sendiri,” katanya. “Cukuplah azab kami sewaktu zaman Soeharto dahulu.”

Melihat kebebasan bercakap itu, teringat saya kepada nasihat seorang penyelidik tim Jejak Bahasa tentang sensitiviti kerajaan dan rakyat Indonesia. Setiap anggota ekspedisi perlu peka terhadap sensitiviti itu, terutama yang berhubung dengan pemerintah. Kurang jelas apa yang dimaksudkan penyelidik ini.

TERIMA KASIH KEPADA DBP-TV3

Ketua Jabatan Kewartawanan, Universiti Padjadjaran Bandung, Dra. Betty Sabur Soemirat mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada ekspedisi Jejak Bahasa DBP-TV3, sebaik sahaja selesai mengunjungi Pejabat Gabnor Jawa Barat yang terkenal dengan nama “Gedung Satay” itu. Katanya, “Seumur hidup saya, inilah kali pertama saya dapat masuk kantor Pak Gabnor. Selama ini tidak ada sesiapa yang dapat masuk tanpa izin khusus.”

Pensyarah yang punya anak dua ini berusia 54 tahun. Hampir setiap hari sejak menjadi pensyarah dia berulang alik ke kampus melalui jalan yang berhadapan dengan Gedung Satay. Barulah dia tahu sekarang keadaan di dalam gedung itu, terutama kemudahan lifnya. Gedung besar lima tingkat itu mempunyai satu lif sahaja yang boleh muat cuma dua orang. Oleh kerana badannya sedikit besar maka setiap kali dia masuk, lif berbunyi tanda berat muatan berlebihan. Soalnya di dalam lif sudah ada pemandunya. Mahu tidak mahu pemandu lif perlu keluar untuk membolehkan Betty Sabur menaikinya ke tingkat lima. “Cukuplah kali ini saya ke sini. Bagaimanapun jua, terima kasih kepada rombongan,” katanya.

KENANGAN MANIS BERSAMA TOKOH BUDAYA DAN BAHASA

Yang tidak dapat dilupakan setiap anggota ekspedisi ialah acara mengunjungi tokoh budaya dan bahasa di setiap lokasi penggambaran. Di Pulau Penyengat, anggota ekspedisi berpeluang bertemu dengan Raja Hamzah Yunus, budayawan dan Ketua Pusat Maklumat dan Kebudayaan Melayu  Riau Kepulauan. Di Jakarta rombongan mengunjungi Hassan Alwi, Ketua Pusat Bahasa  (setaraf dengan DBP di Malaysia). Di Padang ada pula sasterawan A.A.Navis yang dikunjungi di samping Wisran Hadi selaku pemandu ekspedisi di Sumatera Barat.

Di Pekan Baru, ibukota Provinsi Riau, Dr. Yusmar Yusuf, ketua Pusat Pengajian dan Kebudayaan Melayu, Universitas Riau, menunggu rombongan dan bertindak sebagai pemandu ekspedisi. Ada pula Tengku Nasaruddin Effendy atau Pak Tenas dari keturunan keluarga diraja Kerajaan Pelalawan (Kampar Tua) yang dikaitkan dengan Sultan Mahmud Shah, sultan Melaka terakhir dengan permaisurinya Tun Fatimah. Isteri Pak Tenas pula adalah dari keturunan keluarga diraja kesultanan Siak. Di rumah Pak Tenas rombongan dijamu dengan durian bersama pulut bersantan

Di Medan Prof. Hj A. Samin Siregar menjadi pemandu ekspedisi untuk Sumatera Utara. Prof. Samin memperkenalkan rombongan kepada budayawan keluarga diraja dari kesultanan Serdang, Tengku Lukman Sinar yang masih memakai gelar Pangeran Temengggung Mangkunegara. Tengku Lukman menjelaskan di Medan sahaja terdapat empat dialek bahasa Melayu yang berasal dari empat kerajaan lampau, iaitu dialek bahasa Melayu Langkat dari kesultanan Langkat, dialek Melayu Deli dari Kerajaan Deli, dialek Serdang dari kerajaan Serdang dan dialek Melayu Asahan dari kerajaan Asahan. Semua kerajaan ini muncul atas runtuhan Kerajaan Haru.

BERKENALAN DENGAN KELUARGA DIRAJA PAGAR RUYUNG

Namun yang membuat setiap anggota rombongan terharu dan dihormati ialah ketika menghadiri acara kerapatan adat di Istana Sri Lindungan Bulan di Pagar Ruyung, Kabupaten Tanah Datar. Setiap anggota rombongan diberi penghormatan duduk bersama Datuk-Datuk Lembaga dan Penghulu Adat dalam majlis kerapatan adat tahunan menjelang puasa. Pada kesempatan itu anggota rombongan diperkenalkan dengan ahli waris Sultan Pagar Ruyung, Masriadi Martunus, yang turut diraikan sempena perlantikannya sebagai Bupati Tanah Datar. Turut sama dalam upcara adat itu ialah ahli-ahli sebuah keluarga diraja dari Negeri Sembilan.

Cuma kos dari perkenalan dan mengahadiri upacara adat itu perlu ditanggung oleh rombongan DBP-TV3. Kos dikenakan untuk belanja menjamu 100 orang. Othman dengan senang hati membayar kos itu yang jumlahnya Rp250,000. (sekitar RM125). “Murah sekali jika difikirkan jumlah yang hadir,” kata seorang anggota rombongan.

Di kabupaten Solok, Sumatera Barat, rombongan diraikan dalam satu majlis makan tengah hari oleh Timbalan Bupatinya, Dr. Elfi Sahlan Ben. Turut dipersembahkan sebuah tarian endang tradisional, yang jauh berbeza dengan tarian endang moden dengan lagu Badindingnya. Dr Sahlan begitu senang dapat bertemu dengan anggota rombongan, malah kemesraannya ditunjukkan sejak makan malam sehari sebelumnya yang ditaja DBP. Siasat punya siasat, rombongan mendapat tahu bahawa Dr. Sahlan ini telah bersemenda dengan orang Seremban. Makna kata, isterinya orang Seremban.

“Patutlah pun,” kata seorang kru TV3.

A.F.Yassin

1 Disember 2000.

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: