Kerajaan Islam Di Haru

Kerajaan Islam Haru di Sumatera Utara

Menurut Hikayat Raja-Raja Pasai, Raja Pasai/Samudera bernama Merah Silu  telah diIslamkan oleh rombongan Nakhoda Ismail dari Maabri (Malabar dari India selatan) pada awal abad ke-13. Nama baginda ditukar menjadi Sultan Malikussaleh yang batu nisannya masih ada di Pasai sekarang ini. Menurut sejarah Nakhoda Ismail  turut mengIslamkam Haru (Deli). Marco Polo telah singgah ke Samudra Pasai dan bertemu dengan Sultan Malikussalah pada tahun 1292 M. Sultan ini mangkat pada tahun 1297. Pengislaman orang Pasai dan Deli meliputi  wilayah Temiang (sekarang masuk Aceh Timur) sampai ke tepi Sungai Rokan, beribukota di pinggir Sungai Deli. Kesultanan ini sudah sejak abad ke-13 telah mengirimkan misi dagang ke China.

Menurut Tom Pires kerajaan Haru adalah satu dari tiga negara besar di sepanjang Selat Melaka, iaitu Pasai, Melaka dan Haru. Perkembangan dagang Kerajaan Haru dengan China dan India serta Arabia dapat dilihat dari catatan orang Farsi yang bernama Fadiullah bin Abd. Kadir Rasyiduddin dalam bukunya Jamiul Tawarikh (1330). Menurut buku ini kerajaan Haru bangun mengembangkan perdagangan bebas dari kekuasaan Raja Kartanegara dari Jawa Timur. Raja Kartanegara ini telah menyerang neger-negeri di Sumatera Timur ini melalui ekspedisi Pamalayu (1275).

Laksamana Chen Ho dari China mengunjungi Haru dan beberapa orang raja Haru juga memimpin misi dagang ke China pada awal abad ke-15 seperti Sultan Husin dan Sultan Alamsyah. Haru sempat menguasai Pasai dan berperang dengan Melaka untuk menguasai hegemoni  perdagangan rempah di sepanjang Selat Melaka. Dengan tumbangnya Melaka di tangan Portugis dan timbulnya Kerajaan Aceh sebagai kekuatan baru di Selat Melaka, maka Sultan Husin dari Haru membantu Sultan Mahmud Melaka di Bentan dan berkahwin dengan puteri Sultan Mahmud, Raja Putih pada tahun 1520. Puteri itu dibawa ke Haru. Daripada perkahwinan ini maka berhijrahlah ribuan orang Melayu dari Melaka dan Riau sehingga mempercepat Melayunisasi Haru.

Kerajaan Aceh pimpinan Sultan Alauddin Riayat Shah I (Al-Qahhar) dengan bantuan orang Turki, Gujerat dan India Moghul menyerang  Haru tetapi janda Sultan Haru yang bernama Ache Sinny (Encik Sini?) meminta bantuan Portugis di Melaka tetapi Portugis enggan membantu. Lalu beliau ke Bentan  dan minta bantuan kerajaan Riau-Johor, Sultan Alauddin  Riayat Shah II. Beliau bersedia berkahwin dengan sultan itu. Dengan angkatan yang dipimpin oleh Laksamana Hang Nadim, Ache Sinny berjaya merampas kembali Hari dari tangan kerajaan Aceh pada tahun 1540. Peperangan Aceh dan Haru ini dikisahkan oleh utusan Gabnor Jeneral Portugis di Melaku yang bernama Ferdinand Mendes Pinto.

Bagaimanapun kerajaan Haru menjadi semakin lemah dan hancur pada abad ke-17. Dari reruntuhannya lahir pula kerajaan Melayu di pesisir timur Sumatera Utara, antara yang terbesar ialah Kerajaan Langkat, Kerajaan Deli, Kerajaan Asahan dan Kerajaan Serdang. Kerana kemakmuran kerajaan-kerajaan ini Kesultanan Aceh dan Kesultanan Siak berusaha menakluki kerajaan-kerajaan ini. Kerajaan Deli akhirnya pecah menjadi dua, iaitu Kerajaan Deli dan Kerajaan Serdang pada tahun 1720 akibat perang saudara  merebut takhta di Deli. Kerajaan Serdang menguasai antara lain daerah Padang dan daerah Bedagai.

Apa yang ingin saya utarakan di sini ialah perkembangan bahasa Melayu di Haru mengekori perkembangan tamadun istana sepereti halnya di Melaka dan Johor Riau. Malah hubungan Haru, Deli dan kerajaan lain di rantau itu dengan Riau-Johor dan Melaka sebelumnya adalah kerana bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu. Hal ini diperkuat lagi apabila janda Sultan Haru berkahwin dengan Sultan Riau-Johor. Hal ini juga menyebabkan semakin ramai orang Melayu Johor-Riau berhijrah ke Haru dan secara tak langsung memperkuat penggunaan bahasa Melayu Johor-Riau setelah perkahwinan puteri Sultan Mahmud dengan Sultan Haru sebelumnya.

Kemudian ada pula tokoh asing yang melawat daerah ini seperti Marco Polo, Laksamana Cheng Ho dan Tomes Pires yang melihat negeri-negeri Melayu telah  begitu maju. Kerajaan rantau ini telah berdagang hingga ke China dan sudah tentu bahasa yang digunakan adalah bahasa Melayu ketika berada di China, walaupun kemungkinan besar percakapan dengan orang China menggunakan perantara jurubahasa. Kemudian kejayaan Laksamana Hang Nadim mengusir Aceh dari Haru merupakan kejayaan orang Melayu menentang Aceh yang terlalu kuat ketika itu. Hal ini juga merupakan satu simbol kemenangan orang Melayu berbahasa Melayu ke atas Aceh yang berbahasa Aceh. Ini satu mercu tanda dalam perkembangan bahasa Melayu. Dengan penghijrahan beribu-ribu orang Melayu Melaka dan Riau-Johor ke Haru menyebabkan bahasa Melayu Johor-Riau diperluaskan wilayah penggunaannya sehingga ke daerah ini.

Saya merasakan jika kita meninggalkan Medan dalam ekspedisi penggambaran ini, kita seperti menidakkan sejarah perkembangan bahasa Melayu, walaupun ada orang berkata Medan sekarang ini tidak ada apa-apa. Saya sangat tidak bersetuju kerana misi kita untuk khalayak penonton TV adalah memperlihatkan perkembangan bahasa Melayu melalui perkembangan tamadun dan budaya Melayu. Ini bukan soal bahasa per se, tetapi soal perkembangan bahasa Melayu dan penggunaannya yang meluas di alam Nusantara. Bahkan gelombang penyebarluasan bahasa Melayu di utara Sumatera ini lebih penting dari Makasar atau Menado.

Inilah persoalannya. Dan saya kira pernyataan bahawa di Medan banyak orang Cina dan tidak ada apa-apa di sana adalah salah dari sudut sejarah perkembangan bahasa Melayu. Di Medan walaupun ramai oragn Cina, tetapi mereka bertutur sehari-hari menggunakan bahasa Melayu. Lihat sahaja di pasar Medan dan di warung-warung Cina, kebanyakannya menggunakan bahasa Melayu dialek Riau lagi berbanding orang Cina Jakarta yang menggunakan dialek Indonesia.

Saya rasa Jejak Bahasa akan menjadi tempang tanpa kita mengambil kira perkembangan bahasa Melayu di Sumatra Utara. Ketika mengambil kuliah bahasa Indonesia di Universitas padjadjaran Bandung pada tahun 1978, pensyarah bahasa Indonesia saya, Bapak Drs Livain Lubis, membawa hujah pengembangan bahasa Melayu di Sumatera Utara melalui tanmadun kerajaan Haru besar hatinya dalam perkerbangan  bahasa Melayu di alam Melayu. Menurutnya tidak siapa boleh menafikan sejarah. Ini fakta, katanya. Jadi saya tidak tahulah apakah kerana kita tidak punya waktu, lalu  melepaskan tamadun bahasa Melayu di Sumatera Utara ini maka kita mengabaikan fakta sejarah.

Saya telah mengadakan perbincangan dengan Prof. Haji Ahmad Samin Siregar dari Universitas Sumatera Utara tentang penjelajahan bahasa kita. Beliau berpendapat adalah satu kesalahan yang fatal jika meninggalkan Sumatera Utara dan hanya menyebut beberapa minit tentangnya tanpa melihat suasana dan alamnya dari sudut tamadun Melayu zaman lampau. Katanya tanpa tamadun Melayu maka tidak ada bahasa Melayu. Dan jangan lupa, menurutnya lagi bahasa Melayu merupakan bahasa penting dalam komunikasi istana zaman dahulu. Apatah lagi betapa kuatnya impek pengaruh bahasa Melayu Riau ke atas rakyat Haru apabila ribuan orang Melayu Melaka dan Johor-Riau berhijrah ke Haru setelah Haru berjaya mengusir Aceh dengan bantuan kekuatan Laksamana Hang Nadim, seorang panglima Melayu yang berperang menegakkan pengaruh bahasa Melayu di daerah yang mula dikuasai bahasa Aceh.

Saya mencadangkan perjalanan kita dibuat secara pakej. Pakej pertama meliputi keseluruhan kawasan Sumatera, termasuk Riau Kepulauan sehingga Jakarta. Pakej kedua, perjalanan selepas hari Raya, bermula Pontianak, Banjarmasin, Makasar, Menado, Brunei, Sabah dan Sarawak lalu ke Singapura-Johor yang kemudian diikuti dengan perjalanan dalam negeri.

Saya sendiri akan pulang setelah Medan (Sumatera Utara) dan Prof. Asmah dan memimpin pula rombongan ke Jakarta dan tempat-tempat lain di Kalimantan dan Makasar bersama En. Rahim.

Ini pandangan saya. Sekali lagi saya tidak bersetuju dengan pendapat bahwa  “oleh kerana di Medan ramai orang Cina maka tidak ada yang penting di sana.” Saya rasa ini merupakan satu pernyataan yang sedikit bias dan memihak. Sepatutnya apabila kita menggali sejarah perkembangan bahasa Melayu, kita perlu neutral demi perkembangan bahasa itu sendiri.

Sikap saya hanya satu: Kalau nak buat, buat betul-betul. Kita masih banyak masa selepas hari raya. Tidak tahulah kalau peruntukan tidak cukup. Saya bimbang rumah siap tukul masih berbunyi nanti. Maruah dan imej DBP nak dijaga juga, Sudahlah maruah dan imej DBP dalam bidang kesusasteraan sedikit tercalar. Takkan kita nak ikut sastera kot! Ketika pelancaran Jejak Bahasa di Hotel Istana dahulu, saya dengar pegawai-pegawai bahasa yang duduk semaja dengan saya berkata secara menyindir: “Dia orang ambil orang luar untuk penyelidikan. Kita tak tahu apa yang mereka boleh buat.” Apabila ada seorang orang Dewan menujuk  ke arah saya pegawai itu menurunkan nada perlinya. Tetapi dia terus bercakap juga. Saya tidak boleh bayangkan betapa “mulut murainya” mereka ini nanti setelah menonton tayangan episod Jejak Rasul nanti.

 

One Response “Kerajaan Islam Di Haru” →
  1. Just wanted to say aweseome theme and great post.I like how you wright. You could be making some serious coin if you keep it up.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: