Lahirnya Fokeps “Dibidani” Rahim Bakar

FOKEPS WADAH PENERBITAN SERANTAU

Anak bongsu kerjasama serantau dalam bidang persuratan, iaitu Fokeps mencuri perhatian dan menjadi tumpuan sidang Mabbim dan Mastera di Johor Bahru minggu lalu. Betapa tidaknya. Oleh kerana ingin menumpukan perhatian kepada sidang pertama Fokeps, maka sidang Mabbim dan Mastera terpaksa dijadual kembali pada hari ketiganya. Bagaikan bayi yang baru lahir pihak penganjur, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus perlu memberikan perhatian khas jika mahu bayi yang baru lahir itu “tidak dibiarkan menangis”. Demikianlah Fokeps bagaikan mendapat angin baru untuk membesar dengan gahnya di alam Melayu untuk beberapa tahun akan datang. Dan Mabbim serta Mastera tidak perlu berkecil hati, walaupun ada ketikanya terpaksa menyelesaikan sidang hingga dinihari.

Fokeps atau Forum Kerjasama Penerbitan Serantau telah lama diilhamkan melalui satu memorandum persefahaman yang dijalin antanra DBP dengan Balai Pustaka. Memorandum yang ditandatangani pada 21 Ogos 1995 berintikan kerjasama dalam bidang penerbitan antara DBP dengan Balai Pustaka. Pertemuan DBP dengan Balai Pustaka  di Jakarta 7 Februarai 2001 yang lalu menyuntik semangat baru dalam bidang kerjsama ini. Langkah awal ditandai dengan merasmikan penubuhan Fokeps di Johor Bahru 15 Mac lalu, sempena sidang Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Hj Abdul Rahim Bakar ketika merasmikan Fokeps mengimbaskan kembali sejarah kerjasama ini sejak memorandum persefahaman ditandatangani enam tahun lalu. Datuk Rahim difahamkan bahawa pernah ada usha untuk menubuhkan persatuan penerbit peringkat Asia Tenggara tetapi tidak berjaya. Katanya, “Mungkin dalam bentuk forum yang tidak begitu terikat dengan struktur yang terlalu formal usaha untuk mewujudkan jaringan kerjasama penerbitna serantau ini akan lebih berjaya.”

Asas keyakinan Datuk Rahim ini mungkin berputik dari banyaknya jumlah kedai buku di Malaysia yang menjual buku-buku terbitan Indonesia sejak zaman perjuangan merebut kemerdekaan lagi. Bahkan nama-nama besar dalam bidang persuratan di Indonesia seperti Hamka, Sutan Takdir Alishahbana, Marah Rosli, Pramodya Annta Toer dan sebagainya tidak asing bagi penulis Malaysia. Kata Datuk Rahim, “Karya mereka dikaji dan dijadikan contoh oleh penulis muda Malaysia yang akhirnya menubuhkan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) di Singapura.” Menurut Datuk Rahim setelah negara-negara berbahasa Melayu mencapai kemerdekaan dan sedang memasuki zaman perkembangan teknologi maklumat, masih belum ada upaya untuk mengatasi masalah lalu lintas buku di kalangan negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu. Katanya, “Dalam hubugan inilah saya menyokong penubuhan forum ini.”

Pandangan Datuk Rahim bukanlah perkara baru, terutama yang menyangkut lalu lintas buku antara negara. Malah kata seorang penerbit yang hadir dalam majlis perasmian Fokeps, masalah lalu lintas ini bukan merupakan masalah di kalangan Malaysia, Brunei dan Singapura. Yang menjadi masalah dan tidak selesai-selesai sejak tahun 1970an lagi ialah lalu lintas dengan Indonesia. Pengalaman DBP menubuhkan galeri buku di Jakarta ibarat menelan pil pahit sehingga galeri yang terletak di Jalan Kwitang itu ditutup begitu sahaja.

Memang benar badan-badan penerbit di Indonesia seperti Balai Pustaka mendukung kerjasama penerbitan, malah Ikatan Penerbit Indonesia (IKAPI) melalui ketuanya, Arselan Harahap menganggap kerjasama dalam bidang ini adalah “selaras dengan rangkaian kerjasama yang sedia ada seperti kerjasama dalam pengembangan bahasa Melayu melalui Mabbim dan kerjsama kesusasteraan melalui Mastera.” Sehingga dengan demikian “Ikapi mendukung gagasan kerjasama dalam bidang penerbitan berbahasa Melayu untuk mengembangkan bahasa dan sastera Indonesia-Malaysia.”

Yang mendukacitakan ialah halangan untuk buku berbahasa Melayu dari Malaysia memasuki pasaran terbuka Indonesia sedangkan buku berbahsa Melayu dari Indonesia tidak dihalang masuk ke Malaysia. Wakil Indonesia ke sidang meja bulat Fokeps pertama di Johor Bahru mengakui  terdapat ketimpangan antara buku-buku Malaysia yang masuk ke Indonesia  dengan buku-buku Indonesia yang masuk ke Malaysia. Menurutnya sejak tahun 60an Indonesia mempunyai peraturan yang melarang buku-buku berbahasa Indonesia masuk ke negara itu. “Inilah yang menjadi penyebab ketimpangan itu,” katanya. Namun keputusan Kementerian Kewangan Indonesia, buku-buku berbahasa Malaysia kini dianggap sebagai buku berbahasa asing dan bukan lagi buku berbahasa Indonesia. Maka sejak setahun yang lalu buku-buku terbitan Malaysia tidak lagi dikenakan larangan untuk masuk ke Indonesia.

Apapun jua wakil Indonesia ini yakin ketimpangan itu bukan disebabkan larangan tetapi lebih disebabkan buku terbitan Malaysia tidak mempunyai pasaran di negaranya. Ertinya buku-buku Malaysia kurang mendapat sambutan di kalangan rakyat Indonesia. Katanya, “Kalau buku-buku itu memang memiliki pasar, maka di Indonesia sudah lama terlihat edisi bajakannya (cetak rompak). Tapi sampai sekarang belum pernah ada laporan mengenai pembajakan buku-buku berbahasa Malaysia di Indonesia.”

Pendapat wakil Indonesia ini sungguh menarik, apatah lagi jika ia dikaitkan dengan sambutan rakyat Indonesia terhadap galeri buku DBP di Indonesia yang ditutup itu. Ketika rehat sebelum menyambung sidang forum, seorang penerbit Malaysia sedikit kurang senang dengan ucapan wakil Indonesia itu. Katanya, “Masalahnya sekarang ialah antara telur dan ayam. Mana dulu yang diperlukan ayam atau telur? Bagaimana mahu melihat buku cetak rompak, masuk ke Indonesia juga perlu macam-macam peraturan. Dan lagi apakah sudah dibuat penyelidikan tentang sambutan orang ramai di Medan atau di kota-kota besar lainnya di Sumatera.”

Mesej yang ingin disampaikan penerbit Malaysia ini jelas. Sumatera lebih dekat dengan Malaysia dari sudut budaya dan tutur katanya. Malah di Riau bahasa yang digunakan lebih dekat dengan Malaysia. Minat dan kehidupannya lebih mirip kepada Malaysia. Bukan tidak mungkin buku-buku dari Malaysia akan mendapat sambutan lebih baik berbanding jika buku itu dipasarkan di Jakarta atau Pulau Jawa. Jika 10% sahaja penduduk di Pulau Sumatera yang mampu membeli buku, adalah dijangkakan buku-buku terbitan Malaysia akan mempunyai potensi pasaran yang lebih berbanding di Malaysia sendiri.

Pengalaman sebuah penerbit multinasional yang beroperasi di Malaysia tahun 80an dahulu seperti membenarkan pandangan penerbit ini. Pada dekad itu penerbit multinasional ini cuba memasarkan buku terbitannya di Medan. Pegawai pemasarannya memmpunyai hubungan baik dengan sebuah kedai buku di ibukota Sumatera Utara itu. Setiap bulan pegawai ini memantau penjualan bukunya. Setiap kali ke Medan dia akan membawa beberapa judul baru setiap judul hingga 10 naskah. Kurang pasti bagaina dia boleh melepasi halangan masuk ke negeri itu.

Semua judul buku yang dibawanya habis terjual. Cuma masalahnya pemilik kedai buku enggan menyerahkan wang hasil jualannya setelah ditolak diskaun. Jika mahu, kata pemilik kedai itu, bawa pulang naskah buku Indonesia dalam pelbagai judul. Ertinya buku dijual secara sistem tukar barang atau kontra. Akhirnya transaksi antara penerbit Malaysia dengan pemilik kedai buku di Medan itu terhenti begitu sahaja. Yang mahu ditekankan ialah bahawa ada pasaran untuk buku terbitan Malaysia. Hanya yang perlu diatasi ialah mencari pasaran di mana buku ini boleh dijual.

Wakil Indonesia dalam forum ini tidak menolak kemungkiinan untuk mengadakan kerjasama dalam bentuk cetak semula atau adaptasi  untuk buku Malaysia di Indonesia. Sepertti katanya yang perlu dilakukan lebih awal ialah “mengenal pasti pasar, terutama pasar bagi buku-buku kemahiran praktis, pengetahuan umum dan bacaan-bacaan popular. Dan diumumkan secara rasmi dalam sidang Fokeps ini bahawa buku-buku pelajaran, agama dan yang ada kaitannya dengan al-Quran dari Malaysia tidak lagi dilarang masuk ke Indonesia.

Hasrom Harom yang mewakili penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia punya pandangan lain ketika ditanyakan tentang masalah lalu lintas buku ke Indonesia. Menurutnya sejak sekian lama buku-buku terbitannya tidak mengalami masalah masuk ke negara jiran itu. Pernah, katanya dia membawa masuk beberapa judul buku ke Jakarta tetapi tidak ada hambatan. Tidak pula dinyatakan jumlah naskhah atau jumlah judul yang dibawa masuk. Pandangan Hasrom ini berbeza dengan pandangan mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Haji Hassan Ahmad. Datuk Hassan meragui kemampuan kerjasama penerbitan ini berjalan lancar pada peringkat awal. “Susah,” katanya, “Tapi tak tahulah. Kita lihat nanti.”

Perasmian Fokeps yang diikuti oleh sidang meja bulat pagi 15 Mac itu dihadiri para wakil dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darusasalam dan Singapura. Forum dipengurusikan oleh Ketua Pengarah DBP, Haji A. Aziz Deraman. Malaysia diwakili DBP sendiri seramai lapan orang) Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) empat orang, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dua orang dan seorang dari Institiut Terjemahan Negara Malaysia. Indonesia pula diwakili tujuh orang antaranya  oleh Drs  Arselan Harahap dari IKAPI, R. Siswadi dari Balai Pustaka dan Dr. Hassan Alwi dari Pusat Bahasa. Negara Brunei Darussslam dua orang termasuk Datuk Paduka Haji Alidin bin Hj Othman sementara Singapura diwakili oleh Prof.Madya Dr.Kamsiah Abdullah.

A.F.Yassin, 23 Mac 2001

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: