Lain Di Daik Lain Di Betawi

LAIN DI DAIK LAIN DI BETAWI

Perbezaan pendapat antara tim penggambaran TV3 dengan tim penyelidik di lapangan masih wujud walaupun telah seminggu kedua-dua tim ini berpadu tenaga melakukan kegiatan penggambaran di lokasi. Hal ini membuatkan pengurus projek “Jejak Bahasa” terbitan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan TV3, Othman Ismail, yang juga Ketua Bahagian Penerbitan Bahasa, DBP kadang-kadang menggunakan “kuasanya” sebagai orang tengah untuk menenangkan suasana. Katanya, “Perbezaan pendapat boleh saja ada, tetapi ia hendaklah menjadi pemangkin kepada penerbitan yang berkualiti.”

Perbezaan pendapat itu menyentuh masa dan unsur penggambaran. Oleh kerana tim TV3 hanya membawa satu kamera, dan keinginan untuk mendapatkan “shot” yang menarik dari pelbagai sudut, maka perulangan “shot”dilakukan hingga masa banyak digunakan. Hal ini menyebabkan ada anggota tim penyelidik “kurang sabar” sehingga timbul kata-kata seperti “Apa kaitan unsur itu dan ini dengan subjek bahasa?” atau “ambil shot sekejap sahaja cukuplah”.

Kata-kata ini begitu sensitif bagi tim penggambaran. Demi menjaga kualiti, tim memerlukan masa secukupnya. Penggambaran akan dilakukan berulang  kali dari pelbagai sudut kerana tim cuma membawa satu kamera. Titik pertemuan nampaknya belum wujud antara kedua-dua tim sehingga hampir setiap malam, ketika diadakan mesyuarat preview dan post-mortem harian, sering sahaja berlaku perdebatan hangat.

Apapun jua, setelah seminggu berada di beberapa lokasi, kegiatan penggambaran berjalan mengikut rancangan. Malah tim dapat menyelamatkan masa sehingga tim berjaya berlepas ke Jakarta dari Batam sehari lebih awal.

Bagi tim penggambaran, lokasi di Tanjung Pinang, Pulau Penyengat dan Daik memberikan unsur “shooting” yang amat banyak. Pengarahnya, Mohd Zailan Abdul Rahman  rambang mata untuk mencari unsur-unsur yang terbaik. Keadaan alam yang menarik, peninggalan sejarah silamnya tentang kebesaran raja-raja Melayu, Gurindam 12 karya Raja Ali Haji yang dilagukan sekumpulan anak-anak sekolah dan kehidupan masyarakatnya yang masih tradisional membuat Zailan “pening lalat” untuk mencari urutan keutamaannya. Zailan beruntung kerana kelima-lima anggota krew penggambarannya menunjukkan sikap komitmen sepenuhnya. Anak-anak muda yang terdiri daripada pengacara Azura Abd. Karim, Fitri, Rosmawardi, Syed Nor Kamali dan Khaidir begitu bersemangat berkerja seolah-olah tiada lagi hari esok bagi mereka.

Prof. Datuk Dr. Asmah Haji Omar memantau ketat penggunaan bahasa ketika di lokasi, terutama yang menyentuh rakaman langsung (stand-upper) yang membabitkan pengacara Azura. Tiap kata diteliti dari sudut penggunaannya. Oleh kerana begitu prihatinnya Asmah tentang penggunaan bahasa ini sehingga ada waktunya Azura sedikit “terkehel” lidahnya. Penggambaran terpaksa diulang beberapa kali. Kata Azura, “Saya begitu berhati-hati dan kehadiran ahli bahasa di depan saya ketika rakaman langsung membuatkan saya lebih berhati-hati.”

Raja Hamzah Yunus, yang menjadi pemandu tim penggambaran di Riau Kepulauan (Daik, Penyengat dan Bentan) memberikan kerjasama sepenuhnya. Pusat maklumat dan Kebudyaan Melayu yang diketuainya kaya dengan bahan-bahan yang amat diperlukan tim. Tersimpan koleksi pelbagai dokumen yang memperkuat tanggapan tentang peranan bahasa Melayu di istan dalam abad ke-17, 18 dan ke-19. Peta penggunaan bahasa Melayu di kesultanan Johor-Riau-Pahang-Lingga dan kemudian Riau-Lingga memperlihatkan pembatasan dalam pemakaian bahasa.

Misalnya, Kota Piring yang terletak di muara Sungai Riau dan Pulau Penyengat dikatakan menggunakan bahasa Melayu tinggi, terutama di kalangan anak-anak raja, pembesar dan orang istana. Kemudian ada pula Tanjung Pinang, pelabuhan dan pusat perdagangan utama kerajaan. Di Tanjung Pinang bahasa Melayu dianggap sebagai lingua franca atau bahasa perhubungan di kalangan masyarakat dagang yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan keturunan.

Kemudahan yang terlalu asas di Daik rupa-rupanya sedikit membuatkan anggota tim penggambaran baik dari TV3 mahu pun dari DBP kurang selesa. Di Daik tidak ada rumah penginapan. Maka anggota-anggota tim terpaksa menginap di rumah orang. Ini mengingatkan saya tentang keadaan yang sama ketika berlangsungnya Kolokium Penulisan Kreatif di Daik dua tahun dahulu. Hanya ada mes camat yang mempunyai dua bilik tidur. Satu berkatil tiga dan satu lagi empat. Sementara Tengku Hussein Salleh, generasi keenam dari keturunan Sultan Riau-Lingga menawarkan kediamanannya untuk tempat tinggal. Maka Othman, Raja Hamzah, Alias Yusof (jurugambar DBP) dan saya sendiri menginap di kediaman Tengku Hussein. Oleh kerana kediamannya mempunyai tiga kamar sahaja, Tengku Hussein terpaksa tidur di serambi yang tidak pula berdinding (bentuk serambi rumah Melaka). Kemesraan Tengku Hussein ini membuatkan anggota tim penggambaran berada seperti di kampung halaman sendiri. Kemudahan asas yang tidak seberapa di pulau itu tidak lagi terlalu difikirkan.

Untungnya sewaktu berada di kepulauan Riau ini ada Persidangan Alam dan Pemikiran Melayu di Batam. Kawan-kawan dari kerabat Gapena ramai yang turut serta. Ketika berlangsungnya persembahan Gurindam 12 di rumah adat, Pulau Penyengat, Prof. Madya Datuk Dr. Latif Bakar, Ketua II Gapena menyertai tim Jejak Bahasa yang sedang lagi “shooting” majlis gurindam. Begitu juga halnya ketika diadakan acara tarian zapin Pulau Penyengat.

Setelah Latiff muncul pula Rogayah Hamid, Ketua Bahagian Sastera Tradisional, DBP bersama seorang pegawai bahasanya serta Prof. Madya Zainal Borhan. Kata Zainal, “Kami dari persidangan. Langsung ke mari nak jumpa Pak Raja. Temankan Rogayah dan pegawainya hendak dapat salinan manuskrip dan dokumen.” Makanya, Pak Raja menjadi orang buruan. Pusat maklumat yang dipimpinnya menjadi seperti pasar.

Setelah lima hari dan penggambaran selesai, tim berlepas ke Jakarta dengan transit semalam di Batam. Jakarta menyambut kami dengan “keangkuhan” tembok-tembok dan bangunan pencakar langitnya. Dan tempat penginapan kami di Hotel Indonesia bagaikan membawa sedikit nostalgia kepada anggota tim yang telah pernah menginap ke sana. Di sini ramai rakyat Malaysia menginap jika ke Jakarta, tidak terkecuali pemimpinnya. Antara yang pernah ditemui menjadikan Hotel Indonesia tempat penginapannya ialah Datuk Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor dan Datuk Aziz Ahmad dari Pustaka Antara.

Tim penggambaran mengalami kesukaran untuk menyesuaikan waktu dengan rancangan penggambaran. Jika di Daik, Penyengat dan Tanjung Pinang, waktu berlalu begitu perlahan sehingga memungkinkan tim dapat menyudahkan penggambarannya sehari lebih awal. Bagaimanapun di Jakarta waktu bagaikan tidak pernah memperlahankan diri. Kesesakan lalu lintas yang diburukkan lagi oleh hujan sebelah petang menyebabkan jadual penggambaran terganggu. Cuaca panas turut menyumbang kepada gangguan ini. Hal ini seolah-olah satu kontras daripada apa yang dialami anggota tim sewaktu mendarat di Lapangan Terbang Soekarno Hatta di Cangkaring.

Kami disambut pengurus perkhidmatan pelanggan Garuda Airline, Drs. Ariman Kumerizal Usman. Oleh kerana sudah berlalu waktu kerja, Ariman menghantar tim rombongan langsung ke Hotel Indonesia. Ketika dalam perjalanan ke tempat penginapan yang terletak di Jalan Thamrin, Ariman meminta anggota tim sentiasa waspada terhadap keadaan sekeliling, terutama yang membabitkan jenayah kecil seperti penyolok saku dan peragut.

Katanya, “Kami kan masih lagi dalam keadaan ekonomi yang nggak benar. Makanya kalau ada pencopet, peragut, itu sebenarnya menunjukkan  Jakarta masih gawat. Ini belum lagi demonstrasi jalanan, meskipun berjalan aman.”

Pagi Jumaat dua hari yang lalu, Ariman melahirkan rasa bimbangnya dengan keselamatan anggota tim kerana tersebar berita bahawa anak bekas Presdien Soeharta, Tommy Mandala Putera. Mahkamah menolak rayuan bicara dan presiden Abdul Rahman Wahid enggan mengampunkannya. Kata Ariman, “Saya bimbang jika berlaku aksi protes di Jalan Thamrin di depan hotel ini.”

Bagaiamnapun sehingga 12.00 tengah hari keadaan masih lagi aman, Kesesakan lalu lintas tetap seperti biasa. Dan ruang lobi hotel sentiasa sahaja dibanjiri manusia. Ada beberapa seminar dan persidangan yang berjalan serentak sehingga keadaan sesak di dalam lobi sedikit luar biasa. Melihat suasana demikian, terfikir juga apakah benar Indonesia mengalami krisis ekonomi? Cara berpakaian orang yang memenuhi lobi, baik lelaki mahupun perempuan menunjukkan tanda-tanda krisis itu bagaikan tidak pernah wujud di Jakarta. Tambahan pula kenderaan di jalan dan di foyer hotel tetap besar jumlahnya.

Pada pukul lapan pagi, wartawan dari Televisyen Pendidikan Indonesia menghubungi tim penggambaran  untuk menjadi pemandu kami hari Jumaat. Namanya Tatty (mungkin nama kependekannya) dan katanya dia ditugaskan oleh Ketua Pengarangnya untuk mendampingi tim penggambaran TV3-DBP melakukan “shooting” di lapangan. Tatty akan membawa tim ke Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat  untuk bersama-sama krew TV Indonesia lainnya untuk merakamkan satu majlis perundangan. Selepas solat Jumaat tim ke Pusat Bahasa untuk mengadakan penggambaran dengan wawancara khas bersama Kepala Pusat, Hassan Alwi. Petangnya, Pengerusi Badan Pengelola DBP akan tiba untuk mendampingi tim penggambaran Jejak Bahasa ini untuk Sektor Jakarta. Barangkali Datuk Rahim ingin meniupkan semangat segar kepada setiap anggota tim penggambaran dan penyelidikan yang anggotanya 11 orang itu setelah mereka meingggalkan negara sembilan hari yang lalu.

Jakarta.

 

 

 

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: