Loghat Orang Siak Inderapura Tak Tumpah Orang N9

TUTUR KATA ORANG SIAK MIRIP ORANG NOGORI

 5.30 petang, 21 Februari: Muzium Siak yang dahulunya Istana Sultan Siak Inderapura telah hampir satu jam ditutup. Namun kru penggambaran Jejak Bahasa dari TV3 masih berada di dalam untuk mengabadikan beberapa barang purba ke dalam media selulos. Antara barang yang diabadikan termasuklah manuskrip dan perjanjian lama yang dibuat Sultan Siak dengan Belanda. Juga yang menjadi tarikan kru ialah sebuah alat muzik lama, satu daripada dua yang masih ada di dunia. Di luar muzium tiga orang gadis menghampiri pintu masuk. Mereka mahu masuk tetapi dicegat pengawal muzium. Kata seorang gadis, “Awak nak nengok!” Dia merayu supaya membenarkannya masuk tetapi tetap dihalang. Kata pengawal, “Ada TV3 dari Malaysia lagi shooting.”

Gadis itu membahasakan dirinya “awak”. Dan awak di Siak bererti saya. Lalu saya teringat akan bahasa orang negeri Sembilan, terutama Rembau yang lazimnya membahasakan dirinya “awak”. Beberapa minit kemudian saya mendengar pula pengawal itu bersembang dengan seorang kawannya yang baru sampai. Tanya pengawal, “Malam ini kau buek apo?” Kawannya menjawab, “Tak ada buek apa doh! Duduk yo di rumah. Nak nengok budak-budak itu baco buku sekolah.” Budak-budak bermaksud anak-anaknya.

Sekali lagi saya teringatkan dialek orang negeri Sembilan. Pernah Prof. Madya Zainal Borhan menjelaskan bahawa dialek pertuturan orang Siak sama dengan orang di Negeri Sembilan. Malam itu saya menghubungi Dharmamawijaya, penyair dan budyawan terbilang di Seremban melalui telefon. Saya hendakkan kepastian tentang perbilangan tentang hubungan Siak dengan Negeri Sembilan, terutama Rembau. Dharwamijaya membacakan satu petikan dari sebuah buku,  “ Raja Mahmud dijadikan raja di Negeri Sembilan (Rembau) dan menetap di Penajis dengan gelaran Raja Melewar, setelah mendapat restu dari Sultan Johor pada kurun ke-17. Maka adalah perbilangan yang berbunyi, Beraja ke Johor, bertali ke Siak dan bertuan ke Minangkabau.”

Pengarang buku “Negeri Yang Sembilan” Nurhalim Ibrahim pula  suatu ketika pernah cuba mencari makna perbilangan ini. Nurhalim berpendapat Bertali Ke Siak itu mungkin membawa maksud  orang-orang di Negeri Sembilan, khususnya  Rembau kebanyakannya mempunyai hubungan keluarga dengan orang Siak. Ada pertalian darah. Kurang pasti apakah Datuk Lela Balang, yang keturunannya menjadi Undang Rembau sejak abad ke-16 lagi berasal dari Siak atau dari Minangkabau. Dalam pada itu ada pula suku-suku di Rembau yang sama namanya dengan suku-suku di Siak, seperti suku tanah datar. Andainya Nurhalim turut berada di Siak dan mendengar pertuturan penduduknya, adalah diyakini Nurhalim akan membuat kesimpulan bahawa sebenarnyalah orang Rembau (Negeri Sembilan) itu sebahagian besarnya berasal dari Siak.

Pengaruh dialek Minang dalam bahasa Melayu Siak amat ketara, walaupun orang Siak tidak bercakap dalam bahasa Minang. Lenggok intonasi pertuturan orang Siak amat berbeza dengan orang Minang tetapi lenggok intonasi pertuturan orang Rembau hampir sama dengan lenggok orang Siak. Amat menarik jika orang Rembau di Negeri Sembilan mengunjungi Siak Sri Indrapura, apakah perasaannya? Apakah ia terasa akan wujud keterikatan daripada sudut pertuturan dan pertalian darah yang kental setelah mendengar orang Siak bercakap atau melihat keadaan alam sekeliling yang saling tak tumpah dengan di daerahnya sendiri? Di tebing Sungai Siak penuh dengan  pokok rumbia. Ada juga pokok mengkuang. Kelapa sawit dan getah menjadi tanaman utama. Sepanjang perjalanan dari Pekan Baru, ibukota Propinsi Riau ke Siak Sri Indrapura yang dilihat di kiri kanan hanya estet kelapa sawit, getah dan dusun buah-buahan.

Siak Sri Indrapura suatu ketika dahulu merupakan sebuah kerajaan besar dan berdaulat. Daerah takluknya menjangkau wilayah yang hari ini terletaknya Medan di Sumatera Utara. Menurut sejarah, Kerajaan Siak diasaskan oleh Raja Kecil (Raja Kecik, menurut sebutan orang Siak), yang dikatakan anak Sultan Mahmud Johor yang mangkat dijulang pada tahun 1699.  Drs Husrin, dari pejabat Pelancongan Siak menjelaskan anak Sultan Mahmud dengan isterinya Cik Pung ini, yang masih bayi ketika dibawa lari ke Sumatera.

Cerita pelarian Raja Kecil ini mempunyai dua versi. Menurut versi pertama, setelah Sultan mangkat dijulang setelah ditikam Laksamana Bentan dalam perjalanan ke masjid, Cik Pung  dilarikan bersama bayinya ke Jambi lalu ke Sumatera Selatan. Di sana anaknya itu dibesarkan dan akhirnya mengasaskan kerajaan Siak. Menurut versi kedua pula, Cik Pung dan anaknya dibawa lari ke Jambi lalu ke Pagar Ruyung di Sumatera Barat (Minangkabau). Setelah dewasa Raja Kecil  perlu membuktikan dirinya anak raja dengan memanjat pohon jelatang, sejenis pokok yang daunnya jika dipegang atau disentuh membuat orang gatal-gatal. Raja Kecil memanjat pohon itu dan kemudian turun tanpa mengalami gatal-gatal di tubuhnya. Dengan ujian ini Raja Pagar Ruyung mengisytiharkan Raja Kecil sememangnyalah seorang anak raja sebenar-benarnya.

Siak waktu itu masih di bawah takluk Johor tetapi hanya pada nama  dan diketuai oleh seorang Shahbandar. Maka oleh Raja Kecil Siak dijadikan  pusat kekuasaannya dengan mengasaskan sebuah kerajaan apa yang dipanggil Kerajaan Siak Sri Indrapura. Raja Kecil menjadi raja dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah dan bertakhta dari tahun 1723 hingga 1745. Baginda memerangi Johor yang di bawah sultan yang bernisabkan Bendahara, setelah kemangkatan Sultan Mahmud dikatakan tidak meninggalkan pengganti.

Ahli sejarah berpendapat Sultan Mahmud mangkat dibunuh tanpa mempunyai anak sebagai ganti. Maka ditabalkanlah Bendahara sebagai pengganti raja untuk memerintah Johor dan akhirnya keturunannya menjadi raja untuk wilayah takluk yang meliputi Johor, Riau, Pahang dan Lingga. Sultan terakhir di kalangan keturunan Bendahara ini ialah Sultan Ali yang keturunannya telah diusir keluar dari Istana Sri Gelam Singapura pada tahun lalu melalui satu enakmen Parlimen Singapura.

Apapun jua, Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah bercita-cita merebut takhta milik ayahanadanya Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dari tangan sultan keturunan Bendahara. Beberapa peperangan terjadi dengan menang dan kalah menjadi adat orang berperang. Pernah Sultan Abdul Jalil Rahmat menguasai seluruh kerajaan Johor namun akhirnya baginda terpaksa akur dengan kekuatan Johor. Bagaimanapun, semangat juang Sultan Abdul Jalil Rahmat ini diteruskan oleh penggantinya yang pada kali ini menentang penjajahan Belanda pula.

Ada sebelas sultan yang bertakhta di Siak Sri Indrapura saling silih berganti sejak mangkatnya Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil) pada tahun 1746. Mereka terdiri daripada anakanda baginda Sultan Abdul Jalil Muzaffar Shah (1746-1765); Sultan Abdul Jalil Jalaluddin Shah (1765-1766); Sultan Abdul Jalil Alamuddin Shah (1766-1780); Sultan Muhammad Ali Abdul Jalil Muazzam Shah (1780-1782); Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Shah (1782-1784); Sultan Assyidis Syarif Ali Abdul Jalil Syaifuddin Baalawi (1784-1810). Baginda merupakan sultan pertama yang berdarah Arab dengan gelar Sayed Syarif. Baginda adalah anakanda kepada puteri Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah, sultan yang keenam memerintah Siak. Puteri ini berkahwin dengan bangsawan Arab. Ketika Sultan Abdul Jalil Muzaffar Shah mangkat di Dungun ketika mengunjungi Terengganu pada tahun 1784, cucu baginda yang berdarah Arab ini menjadi penggantinya.

Sultan pertama berdarah Arab ini mangkat pada tahun 1810 dan digantikan oleh puteranya dengan gelar Sultan Assyaidis Syarif Ibrahim Abdul Jalil Khaliluddin (1810-1815). Penggantinya Sultan Assyaidis Syarif Ismail Abdul Jalil Jalaluddin (1815-1854). Anakanda baginda naik takhta pada tahun 1854 dengan gelar  Sultan Assyaidis Syarif Kassim Abd Jalil. Baginda naik takhta sehingga tahun 1889. Setelah mangkat baginda digantikan oleh Sultan Assyaidis Syarif Hashim Abdul Jalil Syaifuddin (1889-1908). Anakanda baginda yang bernama Tengku Sulong naik takhta setelah tujuh tahun kemangkatan ayahandanya, Sultan Assyaidis Syarif Hashim Abdul Jalil Syaifuddin, iaitu pada tahun 1915.

Baginda merupakan sultan terakhir Siak setelah baginda menyatakan taat setia kerajaan Siak kepada pemerintah Republik Indonesia dan bersama berjuang menentang Belanda. Pernyataan baginda ini mendapat bantahan keras dari Belanda. Akhirnya baginda meninggalkan Siak lalu menggabungkan diri dengan rakyat Indonesia untuk melanjutkan perjuangan di daerah Aceh. Sebelum meninggalkan Siak baginda menyerahkan istananya beserta keseluruhan kekayaan Siak kepada Pemerintah Republik Indonesia. Setelah Indonesia rasmi merdeka pada 17 Ogos 1945  baginda berangkat ke Jakarta dan tinggal menetap di sana dengan mendapat pencen dari Pemerintah Indonesia.

Beberapa tahun kemudian baginda kembali ke Siak, tanah tumpah darahnya dan wafat pada 23 April 1968 dalam usia 76 tahun. Baginda dimakamkan berdekatan dengan masjid Shahabuddin Sri Indrapura  dengan penuh istiadat kenegaraan. Baginda dianugerahkan secara “post humus” gelar Pahlawan Nasional dengan disertai piagam dan tanda kehormatan Bintang Mahaputra Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia pada tahun 1998 sebagai mengenang jasanya berjuang menentang Belanda. .

Muzium Siak Sri Indrapura yang terletak kira-kira 300 meter dari masjid ini adalah lambang kebesaran kesultanan Siak terutama sultan terakhirnya. Di dalamnya terdapat pelbagai khazanah peninggalan sultan sejak tahun 1725, walaupun ada di antaranya hanya tiruan daripa

Ketika pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Daerah Kabupaten Siak, Drs Zul Irianto, 19 Fenruari lalu, kepada rombongan Jejak Bahasa diperjelaskan komitmen Siak sebagai sebuah daerah dalam kesatuan republik Indonesia. Penduduk Siak sejak berada dalam republik telah mengalami pelbagai situasi politik. Suka dan duka silih berganti. Setelah menjadi rakyat sebuah kesultanan besar yang mempunyai daerah takluk hingga ke daerah Sumatera Utara bersempadankan Aceh, penduduk yang kini dianggarkan berjumlah hanya  20,000 orang ini turun status menjadi warga bertaraf kacamatan  (desa). Hanya pada tahun lalu, Siak dinaik taraf menjadi sebuah kabupaten semacam regency atau daerah.

Keadaan hidup masih dianggap dhaif. Penduduk masih mendapatkan air dari sungai Siak yang dianggap terdalam di seluruh Indonesia. Telaga masih menjadi suatukemudahan asas di setiap rumah dan kedai. Zul Irianto menjelaskan setelah Siak Sri Indrapura naik taraf maka pembangunan akan diusahakan secara terancang sesuai dengan kedudukannya sebagai salah  sebuah kabupaten dalam Propinsi Riau. Barangkali di dalam kepala timbalan  setiausaha daerah ini terdapat pemikiran bagaimana suatu hari nanti penduduk Siak tidak lagi perlu mandi dari air sungai Siak yang kemerahan warnanya akibat pencemaran di hulu sungai. Di Siak Raya dan Pekan Baru kira-kira 80 km ke hulu Siak, terdapat banyak kilang perusahaan, terutama kilang memproses papan lapis.

Anggota rombongan yang ditempatkan di Wisma Tuah yang baru siap dibina terpaksa berpuas hati mandi dengan air sungai yang kemerahan. Dan tidak dapat dielakkan ada yang mandi dalam gelap kerana tidak sanggup melihat air merah membasahi badan. Apapun jua, rombongan Jejak Bahasa begitu selesa tinggal di Siak selama empat hari kerana suasana dan lingkungan yang amat mirip kepada yang terdapat di Malaysia. Saya sendiri seperti berada di tengah-tengah kaum keluarga dan sahabat handai di Rembau setiap kali makan dan bercakap dengan penduduk tempatan.

Siak Sri Indrapura, 23 Februari 2001  

3 Responses “Loghat Orang Siak Inderapura Tak Tumpah Orang N9” →
  1. Hehehe jangan bingung kenapa Siak bahasanya mirip dengan orang Minangkabau N9. Karena Siak itu wilayah Kerajaan Melayu Riau yang direbut oleh Keraaan Minangkabau Pagaruyung tahun 1723. Sultan Pagaruyung pada masa itu bernama Sultan Inderasyah. Maka itu wilayah tersebut dia namakan Siak Inderapura (Kota milik Indera). Dia mengangkat adiknya sendiri, Abdul Jalil, menjadi sultan Siak yang pertama. Istilah Raja Kecil itu hanya ada di Kerajaan Pagaruyung, karena kerajaan Minangkabau punya banyak raja kecil (sekitar 50 nagari), di bawah raja besar (maharaja) Raja Pagaruyung. Kesultanan Riau hanya punya satu raja saja. Ketika Siak join Republik Indonesia mereka masuk di bawah provinsi Sumatera Barat (Minangkabau), tetapi beberapa tahun kemudian dikembalikan ke Provinsi Riau karena Riau minta balik wilayahnya yang diambil Pagaruyung. Sila baca sejarah resmi Siak Inderapura di website resmi pemerintah mereka.

    Reply
  2. As salam tuan,

    mohon artikal ini dikongsi bersama diblog saya.

    Terima kasih.

    Reply

  3. budak siak

    August 9, 2012

    saya anak asli siak apa yang di sebut saudara dian tak betul, raja kecik ini disebut karena belaiu sejak kecik sudah menjadi raja dan memiliki daya jelajah perang dan juang yang amat tinggi bahasa melayu siak ini banyak sekali salah satunya bahasa yg ditulis oleh tuan rumah yaitu bahasa siak gasib…kami di siak berhubung semua dengan orang minangkabau, johor,malaka,aceh jauh sebelum siak-sri inrdapura ada ada di situ kerajaan siak gasib..anak turunan siak gasib inilah yang kini bertahta di PERAK itu…mohon pencerahan lebih lanjut sebab semenanjung -riau dan semua itu berkait..siak -johor pernah mengalami perang saudara amat hebat

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: