Pusat Kajian Malaysia di USU Medan

Pak Samin Dengan Pusat Kajian Malaysianya

Di Universitas Sumatera Utara (USU) ada sebuah institusi kajian yang dinamakan Pusat Kajian Malaysia (PKM). Di samping PKM ada pula Pusat Kajian Amerika dan Pusat Kajian Jepun. Ketiga-tiga pusat ini memainkan peranan aktif dalam memberi perkhidmatan maklumat sebagai memenuhi fungsinya menjadi pusat data bagi Malaysia, Amerika dan Jepun. Cuma bezanya di kalangan ketiga-tiga pusat ini ialah Pusat Kajian Amerika dan Jepun jauh lebih canggih dan lengkap serba serbi yang bertkaitan dengan maklumat  dan penerangan berbanding PKM.

Prof. Hj Ahmad Samin Siregar (senang dipanggil Pak Samin sahaja), pensyarah kanan di Fakultas Sastera universiti berkenaan dirangkap tugas untuk mengetuai PKM sebagai pengarah. Dalam satu pertemuan baru-baru ini Pak Samin sambil bercerita panjang tentang fungsi dan matlamat pusat menyatakan rasa masyghulnya kerana keadaan serba kekurangan di PKM. Katanya, “Sedih, saya belum bisa memberi kemudahan yang banyak seperti pusat Amerika dan Jepun.” Sejak dibuka pada tahun 1995, jumlah bahan maklumat tentang Malaysia di pusat berkenaan tidak bertambah. Bangunan kecil di tengah-tengah beberapa bangunan fakulti yang lengkap dan besar seperti menjadi bukti bahawa PKM sedikit terabai. Malah sambutan mahasisawa juga amat kurang. Selama sejam di sana, cuma dua orang mahasiswa yang datang memanfaat kemudahan yang ada.

Pak Samin malah tidak terkejut dengan sambutan dingin mahasiswa atau tenaga akademik. Pak Samin amat menyedari bahawa bahan maklumat tentang Malaysia dalam bentuk majalah, surat kabar dan buku tidak banyak dipamerkan. Kalaupun ada kebanyakannya terdiri daripada bahan dalam kategori  cetakan lama. Cuma bahan dari Dewan Bahasa dan Pustaka yang masih baru. Namun ia terlalu sedikit berbanding perpustakaan universiti sendiri. Setelah meneliti bahan yang ada, didapati kebanyakannya berkait dengan bahasa, sastera dan budaya. Padahal, katanya, pusat ini menyediakan maklumat bukan setakat ketiga-tiga bidang itu sahaja, malah semua bidang termasuk ekonomi, politik dan pendidikan di Malaysia.

Melihat dari prasarana yang ada PKM dirasakan perlu mengadakan rombakan total jika ia mahu berfungsi sepenuhnya. Namun perombakan melibatkan kos dan inilah isunya. Pak Samin mengakui dana ehsan sahaja belum mampu menjamin PKM akan hidup terus. Dikhuatiri suatu ketika pusat ini akan ditutup tanpa siapa mahu memanfaatkannya lagi. Ironisnya, kata Pak Samin, di kala hubungan tegang antara nelayan Indonesia dengan pihak berwenang di Malaysia satu ketika yang belum lama, tidak seorang pun mahu mengunjungi pusat untuk mencari akar dan latar permasalahan.

Dalam pada itu PKM amat terhutang budi kepada beberapa tokoh Malaysia. Antaranya mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Haji Jumaat Mohd Nor yang ketika itu melawat Medan pada tahun 1991. Tokoh-tokoh lain yang terlibat dalam mencadangkan penubuhan PKM ini ialah arwah Keris Mas, Usman Awang, Prof.Mohamad Hj Salleh, Haji Shaari Abdullah, Ismail Dahaman dan Ayob Yamin. Pusat ini dirasmikan oleh Rektor Universiti sendiri dengan kata-kata sambutan oleh Jumaat, Shaari dan konsul Malaysia di Medan. Penubuhan PKM adalah lanjutan daripada  perjanjian persefahaman yang ditandatangani pada tahun 1995, ketika berlangsungnya Kongres Bahasa Melayu Sedunia di Kuala Lumpur.

Pengisian bahan-bahan arkib dan mutakhir tentang Malaysia dalam semua bidang menjadi masalah besar lagi kritikal. Inilah yang dibimbangi Ahmad samien. Katanya universiti hanya menyediakan tempat dengan prasaranan yang minimum. Terserah kepada pengurusan PKM bagaimana mahu mengisi pusat itu dengan pelbagai sumber maklumat. Universiti pernah berharap agar akan muncul penderma yang bermurah hati, sama ada memberikan sumbangan dalam bentuk kewangan atau sumbangan dalam bentuk perkhidmatan dan pengiriman bahan tentang Malaysia.

Dalam keadaan hubungan antara dua negara yang sering sahaja pasang surut pusat seumpama ini boleh memainkan peranan efektif  dalam menjalin silaturrahim dan dalam menyingkirkan sebarang rasa curiga dan prejudis atau buruk sangka.  Hari ini DBP sendiri perlu meluaskan pusat sumbernya di luar negara. Jika begitu, mengapa tidak menjadikan sahaja PKM sebagai pusat sumber yang dinamik bagi utara Indonesia. Kata Pak Samin, jika pusat sumber itu berada di Konsulat, pengunjung tidak akan sebebas jika PKM dijadikan pusat seperti itu.

Sebabnya pejabat Konsul mempunyai peraturan yang mungkin menyukarkan orang tempatan, misalnya mengadakan penelitian untuk mendapatkan bahan.  “Terus terang sahaja, selama ini kita tidak ada bantuan kewangan dari mana-mana donator. Semuanya melalui bantuan pribadi sahaja. Sedangkan Pusat Kajian Amerika dibiayai sepenuhnya oleh Perkhidmatan Maklumat Amerika atau USIS sementara Pusat Kajian Jepun oleh Yayasan Jepun ataun Japan Foundation,” ujar Pak Samin.

Kehadiran PKM dirasakan penting terutama dalam era ledakan maklumat yang global sifatnya. Ia menjadi ebih penting lagi ketika Indonesia sedang menghadapi asakan dalam hubungan antarabangsanya. Walaupun telah terjadi perubahan pucuk pimpinan di Jakarta, namun asakan politik antarabangsa tetap akan tetap wujud dan mengambik masa juga untuk meleraikannya. Demokrasi liberal yang sedang diamalkan di negara jiran itu banyak mengundang unsur negatif kepada citra Malaysia. Ada pihak yang cuba memperlekeh keikhlasan Malaysia sebagai negara jiran yang baik.

Peristiwa tunjuk perasaan di depan Konsulat di Medan beberapa ketika dahulu yang dikaitkan dengan penahanan nelayan Indonesia di perairan Malaysia adalah bukti citra Malaysia yang sedikit dicemari, akibat perjalanan maklumat yang salah kaprah. pengeksploitasian. Maka dalam hal ini maklumat tentang Malaysia amat diperlukan dan PKM mampu memainkan peranan, menjadi pusat pelengkap maklumat  kepada Konsulat dalam  usaha menjernihkan suasana.

Pak Samin berharap sangat agar PKM dapat bekerjasama dengan Konsulat Malaysia. Katanya, “Sebenarnya kami tidaklah rugi kalau pusat ini ditutup, cuma sayang universiti sudah memberikan prasarana dan kemudahan, hanya tinggal mengisinya sahaja. Kita tidak perlu wang, cuma bahan.”  Usaha yang dilakukan Pak Samin secara sukarela ini bertepatan dengan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Mahathir Mohammad satu ketika yang mahu semua duta negara di luar negeri mendekati pelajar bagi mengelakkan mereka dipengaruhi anasir yang kurang baik dari negara ini. Dan PKM boleh berfungsi lebih jauh daripada itu. Dan Konsulat Malaysia di Medan sepatutnya memanfaatkan pusat ini untuk mendekati ramai pelajar kita di Medan.

Kerjasama antara pusat dengan Konsulat memang wujud tetapi kerjsama itu  boleh ditingkatkan lagi. Ini gambaran yang diterima dari beberapa orang pensyarah USU yang turut memberikan tenaga sukarela kepada peningkatan perkhidmatan pusat. Mereka iri melihat Pusat Kajian Amerika dan Pusat Kajian Jepun yang begitu berjalan dengan teratur dan baik, sedangkan PKM masih lagi seperti hidup segan mati tak mahu. Kemudahan minimum  pengunjung belum sempurna, terutama yang berkait dengan keadaan membuat rujukan yang kurang selesa. Misalnya, ruang bacaan belum sepenuhnya   nyaman kerana alat penyaman udaranya belum lengkap. Kipas siling masih digunakan. Rak-rak buku belum mencukupi dan masih banyak majalah dan buku yang tidak disusun seperti lazimnya dalam sebuah perpustakaan.

Lebih menyedihkan lagi ialah kebanyakan peralatan seperti kerusi meja masih dipinjamkan oleh Fakulti Sastera. Malah untuk menyediakan sampul surat yang berlabelkan PKM serta alat tulis lain Pak Samin terpaksa mengorek kantung sendiri. “Hati saya begitu dekat dengan Malaysia. Saya sering ke Kuala Lumpur atau Pulau Pinang. Saya mahu berbuat sesuatu supaya hubungan antara dua bangsa serumpun ini tidak dijejaskan oleh unsur-unsur negatif. Inilah sumbangan saya, iaitu mendirikan pusat ini,” katanya.

Pak Samin berharap pihak penerbit di Malaysia, terutama yang mempunyai buku dan majalah yang tidak lagi terpakai dikirimkan ke PKM. “Tapi kalau buku dan majalah baru bagus juga supaya informasi lebih terkini,” ujarnya.  Semua bahan itu boleh dikirimkan melalui Konsul Malaysia kerana “kami sering berhubungan dengan pejabat itu.” Atau penerbit Malaysia yang ingin menyumbang boleh mengirim langsung ke universiti dengan alamatnya Pusat Kajian Malaysia, Universitas Sumatera Utara, Jalan Universitas 19, Kampus USU, Padang Bulan, Medan 20155, Sumatera Utara, Indonesia untuk perhatian Prof. H. Ahmad Samin Siregar, SS. Telefon 061 815956. “Saya bisa membantu memberi informasi melalui e-mel saya asamsir@yahoo.com suratkhabar lama pun boleh,” katanya.

Malaysia sedang menghadapi asakan negatif media asing terhadap citranya. Maka diperkirakan usaha Ahmad Samin yang bersifat sukarela ini patutnya dimanfaatkan perwakilan kita di Medan. Hanya yang diperlukan sikap positif dan usaha jujur dari pihak konsulat untuk bekerjasama dengan PKM. Setidak-tidaknya peranan PKM akan dapat mengurangi apa yang disebut “penyelewengan maklumat”oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menangguk di air keruh. Tenaga 15 orang pensyarah yang bersifat sukarela membantu Pak Samin tidak akan tinggal sia-sia andainya semua pihak memberikan bantuan dan kerjasama dengan segera untuk menyegarkan suasana kering dan gersang di PKM. Pak Samin telah memulakannya. Terserah kepada masyarakat Malaysia untuk meneruskan kelangsungan PKM dengan pengisian bahan.

Sehingga akhir minggu ini (Ahad 26 Ogos) Pak Samin berada di Kuala Lumpur menghadiri Persidangan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dn Penyampaian Hadiah Sastera Majlis Sastera Antarabangsa  (MASTERA) di samping berlangsungnya seminar sastera. Kehadiran Pak Samin dalam dua majlis besar bahasa dan sastera itu barangkali akan dimanfaatkannya untuk mengumpul bahan bagi mengisi PKM. Yang berminat untuk memberikan bantuan dalam bentuk bahan dan makalah dalam bidang apa sahaja boleh menghubunginya di Hotel Crown Princess, Jalan Ampang, bilik No. 1414.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: