Telaah Mabbim, Mastera & Fokeps Di Hujung Tanah

TELAAH  MABBIM, MASTERA DAN FOKEPS DI JOHOR

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Haji A. Aziz Deraman merupakan orang yang paling sibuk ketika mesyuarat dan seminar dan bahasa dan sastera berlangsung di Johor Bahru, 12-16 Mac lalu. Betapa tidaknya, Aziz perlu mempengerusikan empat sidang sekaligus, semuanya membabitkan kerjasama  bahasa, sastera dan penerbitan serantau, khususnya di rantau alam Melayu. Alam Melayu yang dimaksudkan Indonesia, Negara Brunei Darussalam, Singapura dan Malaysia.

Telah dirancangkan sejak awal, Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) akan mengadakan sidang tahunannya di Johor Bahru untuk tahun 2001. Tentunya sidang ini dianjurkan dengan kerjasama kerajaan holistik Johor Darul Ta’zim di bawah Menteri Besarnya, Dato’ Abdul Ghani Othman. Ghani diberi penghormatan membuka rasmi persidangan lima hari itu. Persidangan dimulai dengan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu yang turut dipengerusikan Aziz.

Jika sejak lima tahun yang lalu hanya MABBIM dan MASTERA yang mengadakan sidangnya, tapi pada tahun ini, genap usia MABBIM 40 tahun dan MASTERA enam tahun, lahir pula “majlis” apa yang dipanggil Forum Kerjasama Penerbitan Serantau (FOKEPS). Dengan lahirnya Fokeps maka lengkaplah apa yang disebut Aziz sebagai kerjasama bahasa, sastera dan penerbitan serantau yang membabitkan negara-negara alam Melayu. Dan Aziz dianggap  “maestro” yang menggerakkan semua majlis ini serentak di sebuah hotel terkemuka di ibukota “hujung tanah” itu.

Tema persidangan Bahasa Melayu/Indonesia Pembina Peradaban Baru bagaikan menggariskan bahawa akan muncul satu fenomena baru dalam perkembangan bahasa dan sastera Melayu. Setidak-tidaknya di Malaysia. Itu  persepsi beberapa peserta dari Malaysia. Seminar dua hari tentang bahasa dan sastera dan perasmian penubuhan FOKEPS seperti memperkuat tema ini. Menurut Aziz, melalui tema, terlihat bahasa Melayu dari segi tafsiran dan konsepnya  telah dipersetujui oleh MABBIM sebagai bahasa yang “supranasional yang digunakan dengan meluasnya dalam kehidupan  penduduk di alam Melayu, sejak zaman awal tanpa mengira batas politik.”

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Abdul Rahim Bakar lebih implisit dalam menafsirkan tema ini. Katanya dengan penyelasaran dalam bidang kebahasaan, komunikasi dalam bidang ilmu dan maklumat di kalangan pelnagai negara di alam Melayu maka “rakyat di setiap negara berbahasa Melayu dapat saling memanfaatkan ilmu yang dikembangkan di negara jirannya. Gagasan perkongsian pintar seumpama inilah yang dapat menjadi asas yang kukuh bagi pembinaan  semua peradaban atau tamadun besar di rantau ini dengan bertunjangkan bahasa Melayu..”

Buah fikir dua tokoh DBP ini dikongsi bersama oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Abdul Ghani Othman. Misalnya, ketika merasmikan persidangan, Ghani  antara lain berharap kerjasama seumpama ini di kalangan negara-negara serantau  akan dapat mewujudkan “persefahaman bagi memenuhi cita-cita pembinaan tamandun besar di rantau ini.”  Ghani berikrar akan memberikan kerjasama dalam bentuk apa sahaja untuk memajukan bahasa, persuratan dan ilmu. Johor di bawah pimpinan Ghani mengingatkan persidangan  bahawa di negeri itu “pernah wujud badan bahasa dan persuratan yang dikenali sebagai Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku-Buku Diraja Johor dengan teraju utamanya Mejar Dato’ Haji Muhammad Said Sulaiman.”  Badan itu telah menghasilkan buku bahasa dan persuratan yang memberi sumbangan yang penting kepada kekayaan khazanah ilmu bangsa.

Baik para peserta persidangan yang berjumlah sekitar 250 orang itu mahupun para pegawai dan kakitangan yang hadir mengalu-ngalukan pengumuman Ghani untuk menamakan semula jalan yang menghubungi Pejabat Cawangan DBP di Johor dengan Jalan Mejar Dato’ Haji Muhammad Said. Dan Ghani turut mengumumkan Johor akan menjadi tuan rumah kepada Kongres Bahasa Melayu Sedunia yang dijadualkan tahun depan.

Pemikiran holistik Ghani ini amat selari dengan tema pembinaan semula peradaban baru melalui bahasa Melayu. Andainya komitmen Ghani ini turut disertai oleh komitmen Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura mak bukan tidak mungkin alam Melayu akan menyaksikan bahasa Melayu bangkit semula untuk menjadi alat membina tamadun yang satu ketika menjulang alam Melayu ke mercu kegemilangan.

Komitmen Ghani digemakan sekali lagi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Guna Tenaga, Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Johor Haji Ahmad Zahari Jamil ketika menutup rasmi persidangan Jumaat malam. Katanya, Johor dan rakyatnya  turut berkonsgi  matlamat dengan MABBIM dan MASTERA. Ertinya Johor “berkongsi hasrat  untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama  dunia yang telah pun  terbukti  menjadi bahasa ilmu dan persuratan serantau.”  Ahmad Zahari  mahu terus “mengekalkan” kegemilangan  bahasa dan persuratan Melayu seperti yang pernah dicapai oleh  kerajaan Melayu  Johor-Riau. Misalnya, tahun depan Johor melalui Yayasan Warisannya dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) akan menganjukan Festival Persuratan Melayu Sedunia dengan menjanjikan Anugerah Persatuan Melayu Sedunia. Ini adalah sebagai langkah awalan untuk menjadikan Johor Bahru sebagai pusat dan kota budaya di negara ini.

Kurang jelas apakah festival  persuratan ini identikal dengan Kongres Melayu Sedunia yang dicadangkan Ghani. Namun komitmen dia tokoh politik Johor ini ibarat satu “keazaman politik” yang amat diperlukan untuk pembinaan tamadun baru melalui bahasa dan persuratan ini. Apakah DBP akan turut diundang untuk terlibat aktif dalam penganjuran festival atau kongres ini tentunya menarik untuk difikirkan. Diyakini dengan kejayaan persidangan MABBIM dan MASTERA yang diikuti dengan penubuhan FOKEPS di Johor Bahru, Ghani, khususnya dan Johor amnya, tidak akan mempersia-siakan peranan Aziz dan DBP, yang dianggap mewakili Kuala Lumpur atau Kerajaan Pusat.

Hal ini menjadi lebih relevan apabila Aziz dalam ucapannya di majlis perasmian berkata bahawa “Kita akan terus bekerjasama, saling bertindak membina dan mengembangkan bahasa dan saatera, tanpa jemu melaksanakan usaha, biarpun dalam apa jua cabaran dan ujian, serta dengan harapan bahawa kami akan terus-menerus  memperoleh sokongan kerajaan atau pemerintah masing-masing negara.”

Hasrat tokoh penting bahasa dan persuratan yang dimbangi komitmen tokoh politik dari Johor ini mengingatkan kita kepada suatu ketika pada tahun 1956 ketika berlangsungnya Kongres Bahasa dan Persuratan melayu Ketiga di Johor. Kongres tersebut telah meletakkan asas sistem ejaan, sebutan dan penyatuan bahasa Melayu serantau dan perana bahasa Melayu dalam sistem pendidikan  kebangsaan. Kongres juga telah mencadangkan penubuhan Balai Pustaka yang kemudian ditukar namanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kini, lebih empat dekad kemudian, Johor sekali memberikan komitmennya. Ia tidak bakal menoleh ke belakang lagi dalam melaksanakan komitmen itu. Yayasan Warisan Johor yang menjadi tunggak perjuangan budaya kerajaan Johor akan memainkan peranan lebih besar dan aktif, bersama-sama dengan DBP dan GAPENA. Di samping itu Persatuan Penulis Nasional (PENA) telah mengembangkan sayap pembacaan puisinya ke Johor baru-baru ini.

Yang masih menjadi tanda tanya ialah bagaimana nanti kaitan MABBIM, MASTERA dan FOKEPS dengan komitmen kerajaan Johor  untuk menjadikan Johor Bahru pusat dan kota budaya, mungkin satu-satunya di Malaysia? Pertanyaan ini relevan kerana persidangan MABBIM, MASTERA dan FOKEPS akan diadakan secara bergilir di kalangan negara-negara anggota. Dan di Malaysia sendiri, ia akan diadakan tidak hanya di Johor.

Seorang peserta Malaysia di persidangan itu mengharapkan komitmen Johor dalam mengadakan sidang MABBIM, MASTERA dan FOKEPS dapat diteruskan saban ketika. Menurutnya, walaupun tidak semestinya sidang diadakan di Johor namun komitmen dalam bentuk penyediaan prasarana, atau setidak-tidaknya bahan logistik cukup dan memadai. Maknanya, kerajaan Johor melalui Yayasan Warisan Johor  dijadikan salah satu rakan kongsi  DBP untuk Malaysia. Katanya, “Saya memikirkan sejarah bermulanya DBP di Johor Bahru. Apakah salah membawa bersama Johor dalam sidang besar ini?”

Cadangannya ini ada kaitannya dengan masalah kehadiran perwakilan dalam misalnya seminar bahasa dan sastera yang diadakan ketika berlangsungnya sidang MABBIM dan MASTERA. Begitu juga halnya dengan persidangan persuratan antarabangsa yang lain. Misalnya, Taufik Ismail, wakil Indonesia menyuarakan ketidakmampuan mengundang ramai peserta Indonesia ke mana-mana sidang yang diadakan di luar Indonesia disebabkan kekurangan biaya. Kerajaan Indonesia tidak sekomited kerajaan Malaysia, melalui DBP. Tidak ada pula persatuan persuratan di negara itu yang menyerupai GAPENA sehingga boleh dimanfaatkan oleh penulis-penulisnya.

Maka dalam hal ini sebagai dukungan modal dan fiskal, apakah tidak mungkin Johor memainkan peranannya untuk membolehkan lebih ramai peserta bukan sahaja dari Indonesia tetapi juga  dari Singapura ikut serta. Atau opsyen lain ialah Johor menyediakan kemudahan seperti anugerah tahunan sidang MABBIM dan MASTERA dan honorarium untuk setiap kertaskerja yang dibentangkan. Anugerah ini boleh sahaja disampaikan sendiri oleh Menteri Besar di tempat sidang itu diadakan, baik di Indonesia, Malaysia dan Singapura mahupun di Brunei. Dalam sidang kali ini Ghani telah menyampaikan Anugerah Khas MABBIM kepada tiga bahasa alam Melayu, iaitu Dato’ Dr. Haji Hassan Ahmad, mantan Ketua Pengarah DBP (Malaysia), Prof. Dr. Amran Halim, MA (Indonesia) dan Dato’ Paduka Haji Alidin bin Hj Othman (Negara Brunei Darussalam). Dalam seminar sempena sidang di Johor Bahru 17 kertaskerja dibentangkan, lapan daripadanya tentang bahasa. Seminar dua hari diakhiri dengan forum bahasa dan sastera dengan anggota panelnya Prof. Madya Dr. Sidek Fadhil (Malaysia), Dr. Hassan Alwi (Indonesia) dan Awang Haji Mohd Zaini Haji Omar (Negara Brunei Darussalam).

Paling-paling komitmen bersama dalam menerbitkan karya sastera dan non sastera di kalangan negara-negara anggota MABBIM dan MASTERA seperti yang digariskan oleh sidang pertama FOKEPS. Bunyinya sedikit “mustahil” tetapi apakah ada dalam dunia persuratan hal-hal yang tidak masuk akal? Ada yang berkata mustahil satu orang mampu  mempengerusikan empat sidang dalam masa enam hari. Sebaliknya Aziz membuktikan tidak mustahil apabila beliau menjadi pengerusi sidang MABM, MABBIM, MASTERA dan FOKEPS sekaligus di Johor Bahru.

One Response “Telaah Mabbim, Mastera & Fokeps Di Hujung Tanah” →
  1. Howdy, uber. “OT: Day Two of Pooh Watch 2012 has offically started, btw.”

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: