Berpeleseran Di Danga Bay Pantai Lido

 

Danga Bay Beri Ketenangan Pengunjung

 Catatan A.F.Yassin

Kini di mana-mana sahaja di Johor Bahru, orang bercakap tentang Pusat Rekreasi Danga Bay. Walaupun pembangunan keseluruhan pusat rekreasi ini belum siap namun pusat ini telah memikat hati kebanyakan pengunjung, yang datang jauh dan dekat. Tergiur dengan publisiti besar-besarannya maka saya mencuri peluang mengunjungi pusat rekreasi terbaru di tepian Tebrau malam Ahad minggu lalu.

Pusat ini terletak bersebelahan Pantai Lido yang pada tahun-tahun lampau menjadi peleseran anak-anak muda dan mandi-manda di hujung minggu. Begitu masyhurnya Pantai Lido satu ketika sehingga namanya diabadikan dalam lagu “Tanjung Puteri” yang masih disiulkan masyarakat Johor hari ini. Disebabkan pencemaran, pantai itu tidak lagi menjadi tumpuan orang mandi-manda dan pengunjung pula semakin berkurangan.

Pembangunan Danga Bay yang berkonspkan taman tema bagaikan cuba mengembalikan kegemilangan Tepian Tebrau ini, setidak-tidaknya kawasan Selat Tebrau, dari Pantai Lido ke Batu Lima, Tampoi sepanjang Jalan Skudai akan menyaksikan kebanjiran semula pengunjung yang mahu mencari ketenangan , terutama di hujung minggu. Respons awal kepada usaha ini amat menggalakkan. Seorang pengawal keselamatan Danga Bay yang dihubungi berkata orang datang bertali arus, baik siang mahupun malam. Tidak kira hujung minggu atau hari biasa.

Menurut pengawal itu, dia tidak menduga kawasan yang dahulunya tinggal sepi, terlebih lagi pada hujung minggu kini penuh sesak dengan manusia. Katanya, “Tak tahulah, mungkin kawasan ini baru sahaja dibuka, itu sebabnya orang ramai datang.” Baru pun tak baru juga kerana pengunjung telah pun mula menapak di kawasan ini sejak Hari Raya Puasa lalu.

Pengawal itu masih belum lupa bahawa kawasan itu  dahulunya ditumbuhi pokok-pokok pain dan menjadi tempat gelanggang sukan, terutama tenis. Ada sebuah restoran “Singgah Selalu” yang dibuka 24 jam yang menghidangkan pelbagai makanan, tidak terkecuali makanan khas Johor. Mulai senja kawasan itu bertambah sepi, tiada lagi pengunjung. Malah keadaan tidak mengizinkan pengunjung untuk tinggal lebih lama. Begitu sepi dan terpencil. Di Pantai Lido yang berhampiran hanya deru ombak dan enjin kenderaan yang masih kedengaran sepanjang senja membawa ke malam.

“Awak boleh lihat sendirilah. Sekarang nak letak kereta pun susah. Kadang-kadang terpaksa letak di kawasan simpang masuk ke Jalan Istana Bukit Serene sana,” ujar pengawal berkenaan. Ertinya pengunjung terpaksa meletakkan kenderaannya lebih kurang satu kilometer dari kawasan pusat rekreasi. Ada pengunjung yang mahu tidak mahu menggunakan khidmat keretapi mini pusat rekreasi untuk mendapatkan kenderaan semula.

Perkhidmatan kereta api mini pusat ini amat popular. Ia memberi khidmat kepada pengunjung yang ingin menikmati keindahan malam dari hujung ke hujung pusat. Dengan hanya membayar sati ringgit, pengunjung dibawa menyelusurui sepanjang pantai melalui lautan manusia. Yang mahu lebih bersendirian atau berdua-duan ada pula khidmat beca roda tiga menyusup lalu di bawah remang-remang cahaya warna-warni seolah-olah meliliti tiangnya dari atas ke bawah.

Danga Bay turut menawarkan khidmat hiburan untuk kana-kanak seperti yang terdapat di sebarang taman hiburan. Bagi kebanyakan pengunjung dari Singapura, khidmat ini bagaikan telah menghidupkan semula konsep hiburan Great World dan New World tahun-tahun 1950an dahulu. Malah pengunjung Johor yang berusia emas turut merasakan kebersamaan konsep itu. Jika pada dekad itu orang Johor yang sering ke Singapura untuk mendapatkan hiburan maka kini orang Singapura pula yang bertandang ke Danga Bay.

Cuma bezanya, Danga Bay menawarkan lebih banyak perkhidmatan rekreasi kepada anak-anak dan orang dewasa, kecuali pentas joget. Ada feri  pesiaran, ski air, kuda tunggangan dan bagi yang hanya mahu berpeleseran ada pula tempat duduk yang disusun sepanjang dataran terapung. Melalu feri pesiaran, pengunjung berpeluang menikmati keindahan pantai dari laut dengan bangunan pencakar langitnya. Dengan hanya RM10 untuk orang dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak, pengunjung akan menyaksikan antaranya, Bangunan Kerajaan Bukit Timbalan, Istana Bukit Serene, Masjid Suktan Abu Bakar, Istana Besar, Hospital Umum Tun Aminah, Dataran Bandaraya dan Lot 1 JB Waterfront “berarak lalu”.

Jika malam, ada tarikan tambahan berupa lampu warna-warni yang menghisi bangunan dan sepanjang Jalan Skudai. Dan di sebelah Timur kelihatan  Tambak Johor yang dihiasi deretan lampu jalan dengan kenderaan bergerak bertali arus dari kedua-dua arah Johor Bahru-Woodlands ibarat semut pulang ke sarang. Sebuah bangunan terbuka dua tingkat yang besar menampung  gerai-gerai makan. Bangunan yng menempatkan gerai makan ini merupakan destinasi utama pengunjung. Pada malam minggu pengunjung kadang-kadang terpaksa beratur menunggu giliran “layan diri” masing-masing. Setelah mendapatkan khidmat layan diri, pengunjung perlu pula mencari-cari meja kosong. Ada kalanya pengunjung menunggu lama dengan makanan di tangan sebelum mendapat tempat.

Menurut sekumpulan anak muda yang tidak pernah ketinggal berkunjung ke pusat ini setiap malam minggu mengakui bahawa “Danga Bay memberi ketenangan di tengah-tengah hingar-bingar suara pengunjung, loceng beca, tiupan semboyan kereta api mini, jeritan anak-anak di taman hiburan dan deru ombak memecah pantai.” Kata seorang daripada mereka yang memanggil dirinya “Jamal” sahaja, “Sekarang dapatlah kami mencari angin segar malam minggu di tepi pantai ini. Dahulu, kita orang habiskan masa di tempat karaoke di warong makan. Belanja pun kuranglah. Masalah kami ialah tempat letak kereta. Tak cukup.”

Masalah meletak kenderaan amat serius, terutama pada  hujung minggu. Usaha memperbanyak tempat letak kereta merupakan cabaran berat menanti pihak berkuasa. “Ini baru fasa permulaan pembangunan,” kata Jamal. “Bagaimana nanti kalau pusat rekreasi ini siap sepenuhnya? Dan jambatan telah menggantikan Tambak Johor?” Jamal membayangkan betapa sibuknya pusat rekreasi Danga Bay ini setelah Tambak Johor dirobohkan. Sudah pasti perkhidmatan peranginan feri pesiaran akan diperluas hingga menyeberangi jambatan menuju Setulang laut atau lebih jauh lagi Pasir Gudang di sebelah timur  dan jembatan Link Kedua dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di sebelah Barat. “Pihak pengurusan Danga Bay perlu juga memikirkan kesan jangka panjang pembangunan pusat ini dari segi  jumlah pengunjung dan perkhidmatan letak kereta,” kata Jamal.

Apapun jua Danga Bay mulai muncul sebagai pusat rekreasi terbesar dan terbaik di gerbang selatan. Walaupun belum mampu menyaingi pusat rekreasi Pulau Sentosa di Singapura, namun elemen-elemen menyaingi pusat itu telah mula terbayang. Selat Tebrau tanpa Tambak Johor menjanjikan keindahan malam buat pengunjung. Bukan tidak mungkin Selat Tebrau sepanjang psisir pantai dari Pasir Gudang  ke Pelabuhan Tanjung Pelepas akan bertukar wajah menjadi sebuah destinasi pelancongan yang menyaingi  destinasi-destinasi lain di rantau ini. Gerbang Selatan dengan Jambatan pengganti Tambak memberi harapan kepada Kerajaan Negeri menyedut sebanyak pengunjung bukan sahaja dari utara tetapi yang lebih penting dari pulau-pulau di selatan gerbang, terutama Singapura, Batam dan Bentan. Buat sementara ini Tambak Johor masih menjadi penghalang kepada harapan itu. Kira-kira 11.00 malam saya meninggalkan Danga Bay menuju pusat bandaraya Johor Bahru. Jauh di depan, Tambak Johor masih juga dipenuhi kenderaan yang bergerak dari kedua-dua arah. Cahaya lampu jalannya sedikit pudar ditelan kabut malam. Ends.  (Dipetik daripada surat khabar mingguan, Utusan Melayu Mingguan, 20-26 Jun 2004.)

 

 

 

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: