Batu Nisan Aceh Di Tanah Datar Gadong

MISTERI BATU NISAN DI KAWASAN RUMAH  UWAN PIAH (SAFIAH),  TANAH DATAR, GADONG, KOTA, NEGERI SEMBILAN.

Sepasang batu nisam yang terdapat di kawasan rumah ini adalah dari jenis batu Aceh. Ini dapat dilihat daripada bentuk dan ukirannya yang menyamai bentuk dan ukiran batu nisan makam raja-raja, seperti yang terdapat di Makam Tauhid dan Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di Kota Tinggi, Johor.

Bentuk batu nisan ini  sama dengan bentuk batu nisan yang menghiasi kulit buku Batu Aceh Warisan Sejarah Johor yang ditulis oleh Daniel Perret dan Kamaruddin Abd. Razak dan diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 1999.  Berdasarkan kajian Daniel dan Kamaruddin, batu Aceh  “digunakan untuk orang Islam  tertentu sahaja di Semenanjung  Malaysia mulai abad ke-15. Sebenarnya maklumat yang terkandung dalam tulisan yang diukir  pada beberapa  batu Aceh menunjukkan bahawa ia digunakan sebagai tanda makam sultan, kaum kerabatnya serta orang-orang Besar kerajaan.”

Lazimnya, pada ketika kesultanan Melayu baik di Melaka, mahupun di tempat-tempat lain dalam daerah Nusantara adat kematian orang biasa tidak disebut dalam sumber-sumber tempatan. Undang-Undang Melaka, berdasarkan Fasal Ketiga, memberikan beberapa maklumat tentang hukum kematian rakyat jelata, orang besar-besar dan pemimpin, khususnya  larangan berkaitan dengan penggunaan payung dan warna kuning. Ia tidak menyebut  bahawa mayat orang biasa dikuburkan. Menurut sejarah mayat orang Melayu biasa dibakar, tidak dikebumikan seperti yang dilakukan hari ini.

Maka batu nisan yang ditemui di halaman rumah Uwan Piah itu dikesan sebagai batu nisan jenis Batu Aceh. Menurut Daniel dan kamruddin yang memetik kata-kata Prof. Dr Othman Yatim dari Jabatan Muzium dan Antikuti, Kuala Lumpur dan kini pensyarah kanan di Universiti Malaya, setakat ini kira-kira 300 batu aceh ditemui di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Dan jika benar batu nisan di halaman rumah Uwan Piah itu dari jenis Batu Aceh maka jumlahnya kini meningkat 301 buah. Johor dikatakan mempunyai jumlah yang banyak, iaitu kira=kira 211 buah berdasarkan kajian Daniel dan Kamruddin. Namun R.O. Wonstedt menemukan hanya 137, sementara Dr Othman menemukan 137.

Berdasarkan kajian yang dilakukan Daniel dan Kamaruddin dan Dr. Othman Yatim, batu nisan Batu Aceh terdiri daripada 16 jenis dan mempunyai 14 bentuk. Jika diteliti batu Aceh yang terdapat di halaman rumah Uwan Piah itu adalah dari jenis C yang sehingga kajian dibuat ditemukan sebanyak 90 buah (tidak termasuk yang ditemui di halamn rumah Uwan Piah.

Batu Aceh mula disebut pada tahun 1512 oleh Tome Pires dalam bukunya, Suma Oriental. Beliau menyebut makam Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka, menggunakan batu nisan jenis Batu Aceh. Batu Aceh ini dibahagikan yang terdiri daripada  “kepala”, “badan” dan “kaki”. Bahagian di antara kepala dan badan, iaitu bahagian yang melengkung  disebut “bahu” sementara bahagian yang paling bawah  ataupun tapaknya disebut “kaki”. Kebanyakan batu nisan ini diperbuat daripada  batu pasir (sandstone) kerana lembut dan mudah dibentuk. Batu jenis ini tidak terdapat di Semenanjung Malaysia tapi hanya terdapat di Aceh. Hiasan yang terdapat di batu nisan ini  boleh dibahagikan kepada dua, iaitu tulisan atau inskripsi dan symbol atau lambang.

Berdasarkan maklumat tersebut di atas dan keyakinan bahawa batu nisan Batu Aceh hanya digunakan untuk menandakan makam raja-raja, kerabatnya dan orang Besar kerajaan, maka diyakini, batu nisan di halaman rumah Uwan Piah di Kg. Tanah Datar Gadong adalah dari jenis Batu Aceh. Dan ini menjadi bukti bahawa jenazah yang dikebumikan itu ialah jenazah diraja, sama ada raja, ahli kerabatnya atau orang Besar raja.

Yang masih menjadi tanda tanya ialah mengapa batu nisan itu berada di halaman rumah berkenaan. Juga menjadi tanda tanya di kedua-dua tanah perkuburan Gadong dan Tanah Datar tidak ada batu nisan jenis ini. Jika makam ini makan diraja, siapakah gerangan yang dimakamkan?  Jika lokaliti menjadi pra-syarat keyakinan maka besar kemungkinan makam itu adalah makan nenek moyang keluarga Uwan Piah adik-beradik.

Sayugia dimaklumkan bahawa Uwan Piah mempunyai beberapa orang adik-beradik. Yang tua bernama Lanjung (Anjung) yang juga digekar Uwan Aruh. Yang kedua ialah Sakiyah, ketiga Piah (Safiah). Keempat Meja (Uwan Anjang), Kelima Hawa (Uwan The), keenam Hussein (yang kahwin dengan orang Mungkal dan ayah kepada Aji (Datuk Samsura Pahlawan, ssalah weorang Lembaga Tiang Balai Nan Berempat) dan suami kepada Induk Limah. Dan yang paling bongsu ialah Bedah (Uwan Cu).

Orang tua mereka ialah Jaafar (ayah) dan Sulung (ibu). Siapa orang tua Jaafar atau Sulung masih menjadi tanda tanya. Menurut sejarah Negeri Sembilan, khususnya sejarah kerabat diraja Negeri Sembilan, ada satu jurai keturunan daripada Raja Melewar, iaitu Tengku Jaafar berkahwin dengan Tengku Sulung. Persamaan nama dua mempelai diraja ini dengan Jaafar dan Sulung yang tinggal di Tanah Datar menjadi satu misteri yang jawapannya mungkin terletak pada batu nisan Batu Aceh di  halaman rumah Uwan Piah.

Kajian perlu dilakukan ke atas batu nisan berkenaan dari sudut saintifik dan sejarah. Barangkali pakar antikuiti seperti Prof. Dr Othman Yatim yang banyak mengkaji Batu Aceh ini boleh membantu mencari jawapan kepada misteri batu nisan Batu Aceh di Tanah Datar ini. Tulisan sama ada dalam bentuk inskripsi atau lambang di batu nisan itu mungkin dapat membantu menghuraikan bukan sahaja misteri kewujudannya di kawasan itu, tetapi sekaligus menemukan jurai keturunan Jaafar dan Sulung. Siapa mereka sebenarnya dan dari mana mereka dating sehingga menetap di Kg. Tanah Datar.

Perlu juga dimaklmkan bahawa istana Pagarruyung di Sumatera Barat tempat bersemanyamnya raja-raja Minangkabau terletak di luhak (luak) Tanah Datar. Raja yang mendirikan kerajaan Minangkabau ialah Adityavarman (1305-1398) dengan Pagarruyung menjadi ibukotanya.

Pada abad ke-19 berlaku pertentangan antara kaum adat dengan kaum bangsawan di Pagarruyung yang dikenal sebagai Gerakan Padri. Kaum Bangsawan yang dikenali sebagai kaum Padri ini bersetuju mengadakan rundingan di Bukit Marapalam, berhampiran Pagarruyung. Kesepatan dicapai yang dikenal dengan permuafakatan (konsensus), iaitu “Adat Bersendi Syarak, Syarak bersendi Adat”. Maksudnya adat dan agama saling berhubungan.

Kesepakatan ini tidak bertahan lama. Ketika British menguasai Padang, satu rundingan Kota Tengah diadakan antara kaum Padri di bawah pimpinan Tuanku Lintau dengan Perwakilan dari Pagarruyung. Tetapi semua perwakilan dari Pagarruyung dibunuh. Sultan Muning Alam Shah, Raja Pagarruyung dapat melarikan diri ke Bahagian Timur. Anak saudaranya, Sultan Gagagar Alam Shah berundur ke Padang.  Tidak dijelaskan daerah timur yang mana Sultan Muning dan keluarganya melarikan diri. Apakah sultan itu dan kerabatnya menyeberang Selat Melaka dan adakah salah seorang daripada kerabat itu ada yang bernama Tengku Jaafar dan Tengku Sulong?

Juga untuk mengelakkan daripada dikejar oleh kaum Padri di Minangkabau, maka keluarga diraja ini membuang gelaran tengku di hadapan namanya dan hanya mahu menjadi rakyat biasa dan meneroka kawasan apa yang dinamakan Tanah Datar, Gadong hari ini?

Ada beberapa teori lain yang boleh menjawab misteri Batu Aceh di Tanah Datar ini. Satu teori yang dianggap munasabah ialah kegagalan anak Raja Melewar menggantikan Raja Melewar (Raja Mahmud) menjadi raja Negeri Sembilan (1773-1795). Anak Raja Melewar ini bernama Raja Totok. Undang Yang Empat tidak melantik Raja Totok menjadi Yang Dipertuan tetapi menjemput seorang lagi anak raja di Minangkabau untuk ditabalkan. Nama anak raja yang dijemput itu ialah Raja Hitam. Setelah Raja Hitam mangkat pada tahun 1808, puteranya Raja Alang Husein tidak ditabalkan. Sebaliknya anak raja dari Minangkabau dijemput, iaitu Raja Lenggang. Baginda memerintah dari tahun 1808 hingga 1824.

Apabila baginda mangkat anaknya Raja Radin menggantikannya. Mulai saat ini anak raja dari Pagarruyung tidak dijemput lagi. Tidak dijelaskan mengapa jemputan ini tidak diteruskan lagi seperti sebelumnya. Dan juga tidak dijelaskan mengapa putera Raja Melewar tidak dijadikan raja. Begitu juga halnya dengan Putera Raja Hitam. Putera Raja Melewar ialah Raja Totok dan putera Raja Hitam ialah Raja Alang Hussein. Kemungkinanya Raja Totok dan Raja Alang Hussein masih kecil sehingga belum bersediakan dijadikan raja.

Soalnya, apa telah terjadi dengan keturunan Raja Melewar dan puteranya Raja Totok. Sudah tentu mereka mempunyai keluarga dan di mana ahli-ahli keluarga diraja itu sekarang. Kemungkinan masih ada jika keturunan Raja Melewar ini masih berada di Negeri Sembilan tetapi lokasinya tidaklah diketahui. Apakah kemungkinan salah seorang ahli kerabat diraja ini membawa diri ke Rembau, khususnya ke Tanah Datar Gadong dan meneruskan kehidupan sebagai rakyat biasa, tanpa mahu menggunakan gelaran diraja lagi.

Biasanya raja-raja dan ahli kerabatnya ketika itu membawa batu nisan dari jenis Batu Aceh ke mana sahaja mereka pindah. Jika demikian apakah tidak mungkin salah seorang kerabat keturunan Raja Melewar ini dari salsilah Raja Totok membawa bersamanya batu nisan Batu Aceh ini ke Rembau sebagai persediaan menjelang tutup usia.

Teori ini menarik. Menurut sejarah Raja Melewar, sebagai Raja Rembau, tidak disenangi oleh kumpulan-kumpulan tertentu, terutama Undang Luak Rembau, Datuk Sabat Sedia Raja, kerana tingkah laku dan tidak tanduk raja itu ketika memerintah. Sejarahwan Norhalim Ibrahim menyebut punca rasa tidak senang Datuk Undang ialah keputusan Raja Melewar mengahwini Cik Sani, anak Datuk Naim dari Sri Menanti. Cik Sani ini adalah adik kepada Warna Emas, isteri Raja Khatib yang dianggap Tan Sri A. Samad Idris sebagai pembelot kepada Raja Melewar. Samad menulis Raja Khatib dititahkan Raja Pagarruyung untuk membuat persediaan sebelum keberangkatan Raja Melewar sebagai Raja Rembau (ketika itu belum ada apa yang disebut Negeri Sembilan) dan menganggap dirinya Raja yang dilantik.

Raja Melewar kemudian memerangi Raja Khatib yang bersekongkol dengan mentuanya Penghulu Naim pada kali kedua setelah kalah pada kali pertama. Khabarnya Raja Khatib melarikan diri ke Naning dan kemudian diserahkan kepada Sultan Siak. Sebabnya pembelotan Raja Khatib ini dirancang oleh Sultan Siak sendiri.. Bagaimanapun orang Rembau tidak senang dengan tindakan Raja Melewar menjadikan adik ipar musuhnya itu sebagai isterinya. Raja Melewar pun diminta keluar dari Rembau dan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah isterinya di Seri Menanti.

Dalam perjalanan, berlaku salah faham antara pengikut Raja Melewar dengan tentera Rembau di Lubuk Rusa berhampiran dengan Kampung Selemak. Orang Rembau yang simpati dengan tenteranya cuba menyekat perjalanan Raja Melewar di Pedas. Mereka kemudian memburu Raja Melewar hingga ke hutan Miku namun Raja Melewar berjaya sampai ke Seri Menanti manakala ada beberapa orang kerabatnya dikatakan sempat melarikan dari dri serangan itu.

Baik Samad mahupun Norhalim tidak menyebut tentang akibat serangan itu. Juga tidak dijelaskan apa yang terjadi dengan kebanyakan pengikut Raja Melewar, terutama puteranya Raja Totok. Seorang penduduk Tanah Datar yakin beberapa orang ahli kerabat Raja Melewar menyelamatkan diri dengan berundur ke selatan hingga ke Rembau Baruh. Mereka kemudian “menanggalkan” semua darjah kebesaran dan memutuskan untuk menjadi rakyat biasa untuk mengelak mereka diserang Undang dan pengikut-pengikutnya.

Penduduk ini amat yakin salah satu pasangan suami isteri yang menetap di Tanah Datar boleh dikaitkan dengan keturunan Raja Melewar ini. Pasangan itu bernama Jaafar dan Sulung. Dalam salsilah Raja Melewar ada  ahli kerabatnya yang bernama Raja Jaafar dan Raja Sulung. Katanya, “Ini persamaan yang amat tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Mungkin Jaafar dan Sulung  ini boleh dikaitkan dengan salsilah ini. Satu kajian boleh dilakukan.”

Penduduk ini menyandarkan kaitan itu dengan nisan Batu Aceh di pekarangan rumah Uwan Piah. “Takkanlah batu nisan itu tidak mempunyai apa-apa pengertian. Mustahil ia ditanam di situ tanpa jenazah. Jika kelaziman raja-raja dan pembesar Kerajaan dahulu membawa batu nisan  ke mana-mana menjadi petunjuk saya yakin batu Aceh di Tanah Datar ini adalah dari kerabat raja juga. Yang belum dapat dijawab siapa ahli kerabat diraja itu. Mungkin juga salah seorang anak cucu Raja Melewar,” katanya.

Othman dan Norhalim boleh membantu meleraikan persoalan ini dengan mengadakan kajian bersama dengan Jabatan Musium dan Antikuiti Malaysia. (Catatan modified on 6 Mac 2011).

6 Responses “Batu Nisan Aceh Di Tanah Datar Gadong” →

  1. Saleh Jamal

    June 3, 2011

    Sayangnya tak ada yang prihatin terhadap kuburan yang dianggap orang kmpung di sini mempunyai sejarahnya sendiri.Pihak Muzium negeri pun tak ambil kisah, seperti halnya dengan teratak Za’ba yang masalahnya saya baca dalam surat kabar.
    Kalaulah kuburan ini berada di Melaka, saya rasa dah lama kerajaan negerinya akan meminta ahli-ahli sejarah di negeri itu teliti dan kalau perlu dibenahi dan dipugari. Setidak-tidakny ia kan menjadi tarikan pelancong. Nampaknya kerajaan Negeri Sembilan tak peka, terutama pihak muziumnya.

    Reply
  2. ….maaf saya menyampuk….dlm lawatan saya ketempat ini bukan saja terdapat makam tersebut tapi sebenarnya terdapat makam-makam hulubalang dan pengikutnya disana, berhampiran makam ini iaitu dibawah pokok-pokok rambut. Batu-batu nisannya telah dicabut, kenapa dicabut dan siapa yg berbuat demikian ? sepatutnya tempat ini diperkemaskan untuk sejarah dan pelancungan.

    Reply
    • Inilah masalahnya. Kalaulah penduduk kampung prihatin tentang sejarah bangsanya, mereka mungkin akan memelihara tempat seperti ini. Atau pihak yang mempunyai kepentingan sejarah akan elakukan sesuatu untu menjaganya. Sayang sekali, tidak siapa peduli, malah kaum kerabat mungkin tidak membayangkan bahawa mereka sebenarnya mungkin sahaja daripada keturunan nenek moyang yang makamnya “berlungguk” di kawasan itu. Atau waris keturunan ini tahu tetapi atas sebab-sebab tertentu enggan mendedahkan identiti mereka dan ingin terus menyembunyikan sejarah kekerabatan mereka. Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Rembau, khususnya patut prihatin terhadap kes ini. Negeri Sembilan akan beroleh manfaat jika tempat-tempat bersejarah ini boleh dimanfaatkan. MB Negeri 9 bagaimana? Tak ada minat. Sdr Khairy Jamaluddin, orang Gadong sendiri dan menjadi wakil rakyat Rembau tak berminat juga nampaknya. What a pity?

      Reply
    • Inilah masalahnya. Sepatutnya kerajaan N9 boleh melakukan sesuatu untuk membuat penyelidikan lanjut berhubung perkara ini. Paling-paling kaum kerabat yang mungkin mempunyai pertalian keluarga dengan waris makam ini diberi perhatian, kerana mereka adalah umpama muzium hidup. Atau ahli sejarah boleh mendalami lagi kajian tentang sejarah Negeri Sembilan ini khususnya, memandangkan jarang ditemukan kubur berbatu nisankan batu Aceh di negeri ini.

      Reply
  3. Outstandingly illuminating thanks, It is my opinion your current subscribers might just want a good deal more blog posts similar to this keep up the excellent content.

    Reply
1 Trackback For This Post
  1. stop premature ejaculation

    ……

    This is the proper weblog for anybody who wants to search out out about this topic. You understand so much its almost exhausting to argue with you (not that I actually would need?HaHa). You undoubtedly put a brand new spin on a topic thats been written…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: