Tongkat Waran Dan Tanjung Sedili

Merisik Kenangan di Dua Tanjung

 

Sungai Muar dan Sungai Sedili menyaksikan seorang insan “membina” dirinya menjadi seorang tokoh besar dalam dunia persuratan. Di pinggir Sungai Muar, persisnya di Tanjung Mas, insan ini bergabung dengan pengarang Jimmy Asmara dan beberapa pencinta bahasa berbincang-bincang tentang nasib Perkumpulan  Peminat Bahasa dan Sastera Muar (PPBM) yang baru sahaja direstui penubuhannya di Kelab Muar. Di pinggir Sungai Sedili pula, persisnya di Tanjung lembu (sekarang dinamakan Tanjung Sedili) insan ini dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana pasrah kampung nelayan.

 

Ketika meredah kedua-dua tanjung itu untuk merakamkan kenangan lama itu, saya bersama kru penggambaran Jejak Bahasa dari TV3 dan Dewan Bahasa dan Pustaka, cuba menggarap setiap detik sejarah yang berlalu. Di Tanjung Mas ada beberapa anggota PPBM yang meneruskan kegiatan yang memberi penjelasan. Antaranya Cikgu Aziz Mohd selaku Ketua, Cikgu Adam, Cikgu Manaf Mahat, Cikgu Ishak A. Rahman, Haji Abu Hassan Tulus, Hassan Meon dan Mahni Ahmad. Penjelasan pagi lebih bermakna apabila isteri Allahyarham Jimmy Asmara, Kak Esah turut hadir bersama anak bongsunya, Yazid Jaafar. Manakala di Tanjung Lembu pula, ada  Halimah Ghani, 77 tahun, dan Zul Abidin Wanchik memberi penjelasan.

 

Kesemua mereka, baik yang di Tanjung Mas mahupun Tanjung Sedili menjelaskan tentang insan yang namanya terpahat dalam sejarah persuratan. Insan itu ialah Allahyarham Usman Awang (Tongkat Warant). Usman yang namanya baru sahaja diabadikan di jalan besar Pekan Sedili adalah salah seorang sasterawan yang namanya akan melakari sebuah episod dalam Siri Jejak Bahasa 2, dijadualkan disiarkan pada bulan September akan datang. Judul episod “Perjalanan Bahasa: Sasterawan dan Proses Pengkaryaan.” Usman dan beberapa tokoh lain seperti A. Samad Said dan Abdullah Hussain dipilih sebagai fokus perbincangan.

 

Tanjung Mas mempunyai nasib yang lebih baik berbanding Tanjung Sedili. Lokasinya di muara Sungai Muar dan menjadi sebahagian daripada bandar Muar, yang terbesar di Johor, menjadikannya sebuah taman indah untuk dikunjungi pelancong, terutamanya. Usman barangkali akan lebih merasakan kemesraan Tanjung Mas, ketika berkunjung menyaksikan penubuhan PPBM dahulu. Di Tanjung Sedili, Usman cuma akan hanya mengenang mesra sebagai tempat lahir dan dibesarkan. Setiap kali Usman menaiki bot penambang dari Tanjung Sedili ke Kuala Sedili, dia akan menghimbau kenangan masa kecilnya. Usman menggunakan bot penambang menyeberangi Sungai untuk ke sekolah di Kuala Sedili. Kami merakamkan jalan kenangan itu dengan menaiki bot penambang dari jeti Tanjung Sedili dan berlabuh sebentar di jeti Kuala Sedili sebelum berpatah balik. Kata adik Usman, Zul Abidin, “Abang Usman selalu bawa bekal ke sekolah. Masa rehat dia makan bersama kawan-kawan di tepi sungai menghadap laut lepas. Dulu mana ada kantin.”

 

Di Tanjung Mas tidak ada lagi bot penambang. Jembatan Muar merubah segalanya. Tiada lagi bunyi tut-tut bot yang  setiap masa membingarkan. Tanjung Mas sudah punya jembatan, tetapi Tanjung Sedili belum lagi. Barangkali penduduk-penduduk  tidak mahu jembatan kerana ingin mengekalkan suasana sekitaran seperti dulu. Tanjung Sedili bukan Tanjung Mas. Kehidupan nelayan di Tanjung Sedili  adalah kehidupan “tut-tut” bot penambangnya.

 

Sungai Muar turut dikaitkan dengan kesultanan Melayu Melaka. Sungai ini merupakan penghubung antara Melaka, Pahang dan terengganu. Diriwayatkan Sungai Muar dianggap jantung dan nadi kehidupan zaman kesultanan di Melaka. Dikatakan Hang Tuah ke Pahang mudik sungai Muar dan pulang membawa Tun Teja dengan menghilir sungai yang sama. Sehingga dengan demikian sungai Muar mendapat jolokan “Laluan Teja”. Tidak kurang pentingnya ialah Makam Sultan Alauddin Riayat Shah dan Makam Mat Berani. Kedua-dua tokoh ini dibabitkan dengan kesultanan Melaka.

 

Diriwayatkan juga, Sultan ini pergi berburu di sekitar Pagoh. Ada yang kata baginda meninggalkan istana untuk belajar agama. Apapun ceritanya, menurut penduduk Kampung Raja, di mana makam itu ditempatkan, Sultan itu mangkat setelah tercucuk jarum ketika sedang menjahit. Apa yang dijahitnya kurang pasti. Lalu keluar darah putih, bukan darah merah. Darah putih ini menarik, malah Othman Ismail, ketua projek Jejak Bahasa membuat andaian, “Yang keluar itu nanah tak?”

 

Ditanya bagaimana orang tahu sultan mangkat di tempat itu. Menurut penduduk kampung, adalah orang raja dari Melaka datang berburu sambil mencari sultan yang hilang itu. Ketika sampai di Pagoh, gajah yang ditunggangi terlanggar batu nisan, terus mati. Maka semua yang berburu yakin bahawa batu nisan itu adalah batu nisan Marhum Sultan Alauddin dan gajah yang mati itu telah terkena daulat raja. Dan sejak itu tempat itu dikatakan tempat mangkatnya Sultan Aalauddin. Telah dibina sebuah masjid dan muzium, tetapi bangunan muzium tinggal terkunci dan di dalamnya kosong tak berisi. Ketika rombongan Jejak Bahasa sampai di Makam Pagoh itu muzium tetap tidak dapat dibuka. “Kuncinya entah di mana,” jelas  seorang penduduk.

 

Yang menarik ialah makam Mat Berani, terletak di tepi jalan di pinggir Sungai Muar. Cerita Mat Berani ini lain lagi. Konon riwayatnya, Mat Berani merupakan salah seorang panglima Sultan Mahmud yang cuba mempertahankan Melaka menjelangnya jatuhnya Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Menurut Ketua Kampung, Johari Abdul Hamid, Mat Berani sebenarnya tidak mati dalam peperangan tapi berundur ke kampung itu dan meninggal kerana sakit. Pagoh merupakan benteng orang Melayu menentang Portugis. Pagoh itu sendiri beradal daripada perkataan “menangguh” atau berkubu, Sultan dan orang-orangnya dikatakan singgah “menangguh” atau berhenti sementara sebelum berundur jauh ke pedalaman. Maka tempat sultan singgah itu akhirnya dinamakan Pagoh. Makam Pagoh turut dirakamkan oleh Jejak Bahasa untuk melihat semangat perjuangan orang Melayu menentang penjajahan.

 

Sebelum meneruskan perjalanan menuju Johor Bahru, rombongan singgah di rumah “penglipur lara” Ali Badron Sabur di Batu Pahat. Ali Badron petah berpantun apatah lagi yang ada kaitan dengan kata-mengata, kelucuan dan sebahagiannya “hanya sesuai untuk orang dewasa” sahaja. Ali Badron berpantun macam air lalu, lengkap dengan sejarah dan syair gurindamnya.Cuma Ali Badron bimbang tradisi pantun akan pupus kerana jarang ada anak muda yang mahu meneruskannya. Katanya, “Saya tengah usahakan supaya cucu saya, Faez Daniel, 4 tahun, mencintai pantun. Kadang-kadang saya suruh saya membuat sesuatu dengan berpantun, biasanya melalui pantun dua kerat.”

 

Seorang pelajar perempuan, Nirzwana Salahuddin, 17 tahun,  dari Parit Raja kini sedang belajar bersyair dan bergurindam dengan Ali Badron. “Minta-minta dia akanminati warisan kita ini sampai bila-bila dan dia boleh turunkan kepada orang lain pula,” katanya.  Pelajar ini bersyair Siti Zubaidah dan Selendang Delima  sambil turut mempersembahkan Gurindam 12 Belas. Nirzwana punya bakat dan Ali Badron bekerja keras memanfaatkan bakat itu. Kata Othman, “Syair yang dilagukan Nirzwana itu sama dengan syarir yang dibaca kumpulan Gurindam 12 di Pulau Penyengat dulu.”  Pulau Penyengat yang turut dikunjungi Jejak Bahasa akhir tahun 2000 dahulu turut mempersembahkan Syair Gurindam 12nya.

 

Di Johor Bahru sebelum ke Tanjung Sedili, rombongan merakamkan peranan Yayasan Warisan Johor dalam memartabatkan bahasa, sastera dan budaya di negeri Johor. Penyair Zam Ismail, yang juga Timbalan Pengarah Yayasan menghuraikan kegiatan Yayasan Yayasan adalah pusat dokumentasi budaya dan bergiat memugar khazanah sejarah termasuk makam-makan diraja dan artifek-artifek yang ditemui di negeri itu. Menurut Zam peruntukan yang mencukupi diberikan oleh kerajaan negeri untuk menjalankan kegiatan yang berhubung kait dengan kebudyaan dan kesenian. Selama dua malam berturut-turut,  Yayasan mempersembahkan Ghazal dan Zapin untuk rakaman Jejak Bahasa. Kedua-dua persembahan diadakan di Anjung Warisan, tempat makan cara tradisi beratapkan rumbia dan berkonsepkan Melayu. Pengunjung makan bersela dan sebelum masuk ke tempat makan pengunjung mesti tanggal kasut.

 

Zam turut bersama rombongan ke Tanjung Sedili. Dia diperlukan untuk mendeklamasikan sajak “Ke Makam Bonda” karya Usman Awang di rumah ibu tiri Usman, kira-kira tujuh kilometer dari tempat Usman dilahirkan. Selesai penggambaran, kami dimaklumkan bahawa ayah Usman yang bernama Wanchik (Awang nama yang lebih popular) seorang nelayan berbapakah Wan Din. Dan Wan Din berasal dari Terengganu. Rumah yang didiami ibu tiri Usman itu adalah hadiah Usman sendiri kepadanya sebagai lambang kasihnya. Rumah yang siap dibina  lapan tahun dahulu itu terletak di tepi jalan di tanah seluas  lapan ekar. Kata Zam, “di atas tanah inilah nanti, dicadangkan pembinaan memorial  Usman Awang.”

– Tanjung Sedili, Kota Tinggi.       

 

 

 

 

 

 

 

One Response “Tongkat Waran Dan Tanjung Sedili” →
  1. very good put up, i definitely really like this web internet site, carry on it

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: