Ungku Aziz: Bangga Jadi Orang Melayu

 

 

 

 

 

 

Prof. Diraja Ungku Aziz (foto Mingguan Malaysia 19 Jun 2011.

Saya bangga sebagai Melayu kata ungku aziz mm 19 jun 2011

BARU-BARU ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membukukan kertas kerja siri Syarahan Raja Ali Haji bertajuk Pantun dan Kebijaksanaan Akan Budi Melayu tulisan Profesor Diraja Ungku Aziz. Buku 58 halaman itu menyingkapkan tentang pantun Melayu mengenai tema “pedagang”.

Ungku Aziz kini telah mengumpul lebih 16,000 pantun Melayu lama pelbagai tema dan akan diterbitkan pada awal tahun depan. Uniknya ahli ekonomi dan bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini kerana mempunyai minat mendalam dalam seni dan budaya.

Di ruang tamu kediamannya di Petaling Jaya, banyak lukisan pelukis terkenal tempatan, ada yang digantung dan banyak juga yang disusun di lantar.

Ungku Aziz menganggap sastera rakyat iaitu pantun mempunyai keunikan dan lebih 500 tahun lebih awal daripada karya William Shakespeare. Kebijaksanaan dan pemikiran Melayu dipancarkan dalam pantun. Beliau menemui kehebatan orang Melayu berdagang sebelum kedatangan penjajah daripada pantun-pantun yang dikumpul.

Dalam wawancara kali ini Ungku Aziz bercakap mengenai hubungan pantun dengan sikap serta kecemerlangan orang Melayu dulu serta membandingkan dengan sesetengah kalangan Melayu masa kini yang lebih memburu kebendaan.

“Bagi saya pantun menunjukkan kebijaksanaan dan kreativiti orang Melayu ketika itu. Ini membuktikan keupayaan orang Melayu jauh lebih baik dari sekarang,” kata Ungku Aziz ketika diwawancara wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL HAMID di kediamannya Rabu lalu.

Bagaimana Pak Ungku melihat pantun sebagai cermin pemikiran Melayu?

UNGKU AZIZ: Saya boleh katakan pantun orang lama sekitar 100 atau 200 tahun lalu dianggap sebagai cerminan pemikiran Melayu. Ini sastera rakyat yang berbeza dengan sastera feudal. Minat saya tertumpu kepada sastera rakyat. Zaman sekarang orang buat pantun bebas, sastera bebas tetapi saya mengikut peraturan lama dalam mengumpulkan pantun. Tentang hukum pantun termasuk nahu dan sebagainya telah banyak buku mengenainya serta banyak teorinya.

Saya sendiri mempunyai teori mengenai ini yang akan saya huraikan dalam buku yang lebih tebal pada masa akan datang. Buku kecil ini adalah sebagai perisa sebelum saya keluarkan buku lain nanti. Saya lebih fokus dalam buku ini mengenai pantun yang mempunyai kaitan dengan pedagang. Zaman dulu sebelum orang Melayu dijajah, pantun adalah amalan tetapi bila penjajah datang dan memusnahkan pusat perdagangan seperti Melaka dan di Ujung Padang dan ia diganti dengan Singapura, Jakarta dan sebagainya. Dengan itu sistem pedagang asal seperti yang saya tulis dalam buku pantun ini habis hilang semua sekali. Tetapi semangat itu berdasarkan teori saya timbul semula sekarang. Namun sekarang tidak dipanggil pedagang tetapi usahawan.

Maknanya sejak dahulu orang Melayu sudah ada sifat pedagang?

UNGKU AZIZ: Sifat ini sudah wujud sejak dahulu. Seperti yang saya nyatakan dalam muka surat empat mengenai sifat pedagang orang Melayu sudah biasa berdikari, berani dan perkasa, cerdik ilmu dagang dan sedia menanggung risiko. Inilah empat kualiti yang ada pada pedagang Melayu. Kalau kita ada empat sifat ini kita boleh menjadi pedagang tetapi kalau tidak ada atau kurang satu atau dua sifat ini mungkin perniagaan anda akan bangkrap atau tidak begitu maju. Hari ini dalam perkara yang selalu saya kritik mengenai orang Melayu baru sifat mereka lebih kepada kiasu yang diambil dari perkataan Hokkien.

Sifat ini yang banyak pada Melayu baru contohnya kalau ada satu kereta mereka mahu dua kereta atau kalau ada kereta kecil mereka mahu kereta besar. Mereka mahu lebih lagi dan tidak cukup serta tidak peduli tentang hal ehwal orang lain seperti masyarakat sudah semakin rosak dan lain-lain. Ini kerana mereka berpegang kepada sifat kiasu. Bagi orang Cina mereka boleh berjaya kerana mengamalkan sifat ini sejak lebih 4,000 tahun dahulu. Jadi sekarang dalam konteks Melayu baru mereka sudah mengenal sifat kiasu ini dan mereka tidak berapa peduli orang lain, atau dari keturunan mana. Mereka hanya bertumpu kepada kejayaan sendiri sahaja.

Apakah orang Melayu sebegini tidak peduli untuk menolong orang Melayu lain?

UNGKU AZIZ: Mereka berpandangan orang Melayu lain yang perlu membantu atau menjaga mereka. Namun hakikatnya masing-masing hanya pentingkan diri mereka sendiri. Kita tidak cerita tentang nilai agama yang baik dan sebagainya, itu cerita lain. Saya melihat ini sebagai pembuka cerita tentang sifat orang Melayu. Kalau mereka jujur dan ikhlas mereka ini berani menanggung risiko. Namun mereka banyak mengharap pada subsidi sahaja dan terus bergantung pada subsidi untuk hidup. Maka saya perlu tekankan orang Melayu tidak boleh bergantung kepada subsidi, tidak perlu mentaliti mengharap subsidi lagi dan mereka perlu berdikari. Kalau kita lihat dahulu ketika zaman Melaka, orang Melayu berdagang tanpa bantuan. Mereka masuk hutan sendiri mencari kayu-kayu seperti damar dan sebagainya dan kemudian menjualnya sendiri kepada pedagang luar yang datang dari Arab, Parsi, China, Venice dan sebagainya. Ketika itu perdagangan berlaku secara barter trade.

Kita boleh lihat bagaimana aktiviti perdagangan ini meningkatkan kualiti dan taraf hidup orang Melayu ketika itu tanpa sebarang bantuan dari pemerintah dan orang lain. Berdasarkan pada buku ini saya kumpulkan pantun yang digubah oleh keluarga pedagang sama ada lelaki atau perempuan. Pantun-pantun ini menggambarkan emosi kaum pedagang contohnya pedagang dari Aceh yang berdagang ke Melaka dan kemudian terpaksa menunggu sehingga enam bulan kerana menanti angin bertukar arah. Maka dalam tempoh itu mereka akan saling mengenali penduduk tempatan dan apabila sampai masa untuk berpisah akan ada pantun untuk menyatakan emosi seperti pantun rindu, atau pantun sayang atau marah.

Bagaimana boleh timbul minat pada pantun Melayu?

UNGKU AZIZ: Saya ada beberapa perkara yang menjadi minat besar dalam hidup saya. Pertama dalam bidang seni sastera dan membaca novel sama ada terjemahan atau tidak daripada bahasa Perancis, Rusia dan pelbagai lagi. Saya biasa dengan cerita pendek Chekov misalnya. Pada saya Chekov adalah penulis cerita pendek paling hebat. Kemudian novel bahasa Perancis dan Inggeris. Kemudian saya meminati seni lukis dan mempunyai banyak koleksi lukisan dan saya juga mengumpul banyak buku tentang Picasso.

Saya juga meminati sastera dan penulis bahasa Inggeris yang saya minati adalah Ernest Hemingway selain buku-buku politik Karl Marx. Sama ada bersetuju atau tidak dengan fahaman mereka, itu cerita lain. Saya membaca sekurang-kurangnya dua buku seminggu dan sekarang saya ada koleksi buku lebih 4,000 buah. Pada zaman sekarang saya juga mengumpul cakera padat tentang filem klasik seperti Lawrence of Arabia. Pada usia 89 tahun saya secara teorinya mempunyai banyak masa lapang untuk berbuat apa saja. Saya lain sikit dari orang yang mempunyai latar belakang ekonomi yang kebanyakannya tidak suka perkara-perkara seni. Saya sudah dilatih sebegini oleh arwah bapa saya.

Bagaimana Pak Ungku melihat semangat generasi sekarang terhadap pantun Melayu?

UNGKU AZIZ: Saya sudah mengumpul barangkali ada dua tiga ribu pantun tentang kasih, cinta dan sayang. Pantun-pantun ini ada kumpulannya termasuklah seperti pantun kanak-kanak. Pada masa depan akan ada satu bahagian yang akan menghurai mengenai pantun kanak-kanak. Dalam buku pantun ini saya hanya menulis tentang pantun pedagang. Insya Allah pada Februari atau Mac tahun depan saya akan terbitkan buku baru mengenai pantun Hikmah Melayu. Saya sedang mengumpul tentang perkara itu sekarang. Dalam komputer saya sudah ada sebanyak 16,000 pantun. Kalau mengikut sejarah sejak 800 tahun dahulu sudah wujud pantun Melayu sebelum wujud Shakespeare. Bagi saya tidak ada perasaan segan dan malu untuk saya memuji bahasa Melayu, kerana ia sudah wujud sebelum ada sasterawan terkenal Inggeris. Ketika itu orang Melayu sudah menghafal pantun-pantun ini kerana ketika itu mereka minda mereka tidak berkeladak dengan perkara-perkara lain. Mereka tidak perlu datang mesyuarat atau main golf dan sebagainya. Sama ada lelaki atau wanita mereka sangat pandai mengubah pantun.

Bagi saya pantun ini menunjukkan kebijaksanaan dan kreativiti orang Melayu ketika itu. Ini membuktikan keupayaan orang Melayu jauh lebih baik dari sekarang yang sudah tidak tahu ke mana. Sekarang ini kalau kita hendak maju atau mencipta sesuatu kita perlu menguasai bahasa Inggeris. Saya tidak faham kenapa ini berlaku kerana orang lain yang tidak berbahasa Inggeris seperti Jerman, Jepun dan sebagainya boleh mencipta dan menguasai pelbagai perkara. Saya berpandangan jika kita mengkaji semula pantun dan apa saya tulis dalam buku ini, kita akan tahu bahawa orang Melayu dahulu bijak dan adil tetapi oleh sebab penjajahan yang kemudian mewujudkan keadaan kucar-kacir, semua ini hilang. Akhirnya yang rugi tetap orang Melayu kerana bangsa lain seperti India dan Cina mempunyai bahasa mereka sendiri yang telah wujud sejak sekian lama. Adalah sesuatu yang sangat merugikan kerana kita tidak menyimpan dan menghargai apa yang kita miliki. Akhirnya kita rugi. Apa yang saya lakukan ini bukan mendapat apa-apa bayaran dan sebagainya, ini hanya kerana kerja sendiri. Sebelum ini saya sudah mengkaji sejak 50 tahun dahulu tentang isu kemiskinan Melayu dan ia masih banyak berlaku dan saya akan tulis lagi mengenai perkara ini.

Tapi dalam soal pantun Melayu saya sudah mula mengumpulnya sejak 20 tahun lepas kerana saya berpandangan ia sesuatu yang sangat menarik. Saya boleh membaca syair dan puisi dalam bahasa Perancis dan Jepun. Pantun Melayu adalah sesuatu yang unik dan tidak terdapat pada pantun lain. Kalau ada pun puisi Inggeris yang mana rimanya hanya terdapat pada hujung barisnya sahaja tetapi pantun Melayu pada awalnya sudah ada dan pada tengah barisnya sudah ada rimanya. Pada saya pembayang itu tidak penting kerana empat-empat baris itu adalah pembayang kalau kita periksa dengan halus. Saya berharap kalau ada umur panjang saya dapat membuat buku mengenai pantun dengan lebih mendalam dan diperhalusi lagi. Pantun Melayu kalau ada bab yang erotik sikit mereka berasa ia lucu. Tapi kini ia tidak boleh lagi dan sudah ditapis. Bagi saya ada sesuatu yang tidak betul dan itulah yang saya rasa.

Kalau melihat pada pantun zaman dahulu jelas orang Melayu bijak tetapi sekarang Melayu tidak begitu, kenapa?

UNGKU AZIZ: Dari segi semangat sekarang orang Melayu dilihat tidak berbangga berbahasa Melayu. Mereka yang pergi belajar di luar negara kalau balik sudah tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Dalam bab sastera dan pantun pula seakan mereka ini tidak ada minat. Kalau yang berminat pun hanya mereka yang belajar dalam jurusan atau kajian Melayu. Dahulu orang Melayu berbangga dapat menyumbang untuk kebaikan Melayu. Itulah yang saya rasa tentang budaya dan dunia Melayu.

Pada saya tidak ada terlintas pun di minda saya hendak berpindah ke London, Paris atau mana-mana negara luar. Malaysia adalah negara yang cukup sempurna bagi saya. Iklimnya baik, ekonomi dan sosialnya baik, malah kalau buruk sekalipun saya tetap berbangga tinggal di Malaysia. Kalau dilihat saya ini bukan Melayu sepenuhnya kerana datuk saya berasal dari Turki. Namun jiwa saya sangat berbangga sebagai Melayu dan dan saya sangat berpuas hati.

Apa masalah sikap orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Masalah sikap ini kita kena lihat mereka dari mana desa atau bandar kerana ia berbeza. Kalau orang Melayu bandar ini mereka sudah biasa dengan sikap kiasu yang mana mereka nak lebih. Kalau mereka hendak lebih sebagai seorang usahawan itu bagus dan patut digalakkan tetapi tidak boleh menerima terlalu banyak subsidi nanti dia jadi lemak. Kalau mereka dari kampung ia sesuatu yang betul sekadar cukup makan dan mengusahakan ladang tetapi tidak kayalah. Namun keadaan sekarang generasi baru lebih bertumpu di bandar dan mereka merasa berhak untuk membuat pilihan. Namun walau bagaimanapun mereka mesti berbangga menjadi orang Melayu dan mempunyai semangat Melayu yang tinggi. Walau dilambung ombak setinggi manapun mereka mesti kekal dan bangga sebagai orang Melayu. Ada orang bertanya sama ada Melayu dahulu atau Malaysia dahulu. Tapi bagi saya walau macam mana pun mesti Melayu dahulu, tidak ada kompromi tentang hal ini. Mungkin ada orang kata ia bersifat perkauman, tapi cuba buka mana-mana surat khabar, Cina Inggeris atau India, akan ada kenyataan orang Cina mahukan ini, orang India pula mahu itu dan ini.

Kita tidak pernah dengar kenyataan bahawa “orang Malaysia” mahukan itu dan ini. Mesti orang Cina akan kata pendidikan atau sekolah Cina dan begitu juga orang India. Jadi di mana kita? Mungkin saya salah dan boleh betulkan. Saya rasa dalam perkara ini terdapat keadaan kucar-kacir kerana ramai orang meletakkan harapan dan kehendak yang bermacam-macam. Bermacam-macam janji yang cuba dipenuhi tetapi akhirnya hanya tinggal janji. Saya ambil contoh dalam hal novel Interlok, keadaan yang timbul sangat kucar-kacir sehingga hendak dijadikan buku teks sudah timbul macam-macam masalah. Pada hal ia sudah terbit sejak 40 tahun dahulu. Sekarang pun masih menjadi isu hendak cabut itu dan ini lama-lama apa akan jadi pada novel tersebut? Lebih baik tidak diterbitkan buku itu sebagai buku teks.

Apakah ini kerana orang Melayu selalu mengalah?

UNGKU AZIZ: Memang kalau dilihat berterusan begini orang Melayu itu lemah. Bila orang Melayu minta orang lain akan kata kita rasis tetapi bila kaum lain yang minta macam-macam ia tidak dilihat sebagai rasis pula. Kenapa? Orang Melayu tetap orang Melayu, tidaklah pula mereka ini nak mengamuk dan bunuh orang kerana mempertahankan hak. Ini tidak berlaku. sekarang ini kalau kita baca dalam surat khabar mengenai ketua baru IMF mereka mencalonkan Fisher. Dia ini adalah dari bank negara Israel dan kalau dicalonkan, kenapa dia yang dipilih dan tidak pula timbul soal rasis. Sedangkan orang yang paling rasis sekali adalah Yahudi. Mereka mahu negara Israel hanya diduduki oleh bangsa Yahudi sahaja. Mereka berasakan mereka bangsa terpilih dan saya sangat tidak boleh menerima perkara ini.

Tidaklah saya tergamak nak cakap hapuskan semua bangsa Yahudi seperti yang dikatakan oleh Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad. Dalam keadaan sekarang yang berlaku di negara ini bila ada sesuatu perkara yang sesuai dengan mereka tidaklah mereka kata ia perkauman tetapi jika tidak sesuai dengan mereka maka mereka bangkitkan soal rasis. (Petikan daripada Mingguan Malaysia, 19 Jun 2011.)

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: