A.F.Yassin: Melihat Imej Dingin DS S. Samy Vellu

The frontal facade of the Kuala Lumpur railway...

Stesen Pusat KTM di KL Image via Wikipedia

CATATAN A.F.YASSIN

Melihat Imej Dingin Dato’ Seri S. Samy Vellu

Akhir-akhir ini Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri S. Samy Vellu, sering sahaja menjadi sorotan media. Orang ramai yang kerap mengikuti sorotan media ini merasa asyik dan terhibur. Jawapan antik lagi tipikal Samy Vellu membikin ramai orang mahu mendengarnya lagi. Ada kalanya serius, ada kalanya bercanda dan banyak kalanya bernada perli dan usikan yang menyinggung.

Terbaru kita mendengar jawapan beliau terhadap isu keselamatan Lebuhraya Pantai Timur yang baru setahun dibuka. Terdapat beberapa tempat di sepanjang lebuhraya itu yang dianggap tidak selamat. Dengan selamba Samy vellu menjawab bahawa ia satu perkara kecil yang boleh diatasi. Sebelum itu Samy Vellu dengan tenang berusaha mententeramkan orang kampung di Rantau Panjang, Selangor yang marah akibat kemalangan jalan raya yang mengorbankan seorang pelajar sekolah rendah. Samy vellu berjanji akan berbuat apa saja untuk keselamatan anak-anak sekolah menyeberang jalan sibuk itu, seperti mencadangkan sebuah jejambat akan dibuna merentasi jalan.

Keadaan jejambat panjang Lebuhraya Lengkaran Tengah si Kepong, yang dikatakan tidak selamat dipergonjengkan beberapa ketika. Jejambat berkenaan ditutup sementara membuatkan pengguna jalan raya marah kerana kesesakan lalulintas akibat penutupan. Samy Vellu mententeramkan keadaan dengan memberi alasan munasabah. Kerja pembaikan pun diatur.

Ketika krisis air melanda di Selangor dan Kuala Lumpur beberapa tahun lalu, Samy Vellu berjanji akan berbuat apa sahaja untuk mengurangi kesukaran mendapatkan air di kalangan penduduk di kedua-dua daerah itu. Ada cadangan supaya air Sungai Pahang dibawa ke Selangor melalui paip. Barangkali belum ada yang boleh melupakan reaksi Samy Vellu terhadap cadangan itu. Katanya, “pemasangan paip boleh kita lakukan dalam waktu yang singkat.” Tidak pasti sama ada Samy Vellu bercanda apabila berkata demikian atau pin beliau serius. Sebabnya sehingga hari ini pemasangan paip dari Sungai Pahang ke Selangor itu belum nampak-nampak lagi.

Baru-baru ini ada laporan menyebut hasil kajian sebuah institusi pengajian tinggi tempatan tentang keadaan umum lebuh raya di Malaysia dan kesannya kepada pengguna. Institusi itu mencadangkan supaya sebarang pembinaan lebuhraya pada masa sepan mestilah mengambil kira faktor tempatan. Kalau tidak sikap ada satu cadangan supaya laluan khas motosikal hendaklah dibina untuk mengurangkan kemalangan. Komen Samy Vellu terhadap hasil kajian itu menarik.Malah ada yang menganggapnya sinikal. Menurut Samy Vellu pembinaan lebuhraya Malaysia adalah mengikuti piawaian antarabangsa, bertaraf kelas dunia. Mungkin juga lebuh raya yang dicadangkan institusi itu akan lebih baik berbanding daripada lebuhraya kelas dunia yang kita ada sekarang. Kita boleh bikin, apa saja kita boleh bikin.

Semua reaksi, ulasan dan jawapan Samy Vellu ini mengundang perhatian. Ada di kalangan orang ramai terhibur. Menurut mereka Samy Vellu memberi sesuatu yang boleh meredakan “ketegangan”. Jawapannya tenang dan bersahaja, malah kadang-kadang mendinginkan. Biarpun sepintas lalu, jawapannya itu seperti orang sedang melatah dan mahu memukul balik dengan sinis. Ada pula yang kagum dengan ketahanan Samy Vellu pada kedudukannya sekarang sebagai Menteri Kerja Raya. Sudah terlalu lama beliau bercokol di kementerian berkenaan. Padahal banyak menteri kabinet kerap bertukar kementerian setiap kali berlakunya rombakan kabinet. Kata seorang, “Sedangkan Perdana Menteri sekarang sudah beberapa kali bertukar potfolio. Pernah menjadi Menteri Pendidikan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri dalam Negeri dan sekarang Menteri Kewangan. Tapi member kita ini terus kekal di kementeriannya.” Kata seorang peminat menteri itu, “Samy Vellu betul-betul seorang survivor. Kadang-kadang beliau seperti punching bag yang tidak pernah pecah oleh tumbukan peninju yang bertubi-tubi. Saya kagum. Latah dan jawapannya membuatkan saya terhibur.”

Bukan tidak mungkin kedudukan Samy Vellu ini ada kaitannya dengan kuota parti yang diwakilinya, iaitu MIC. Peruntukan hanya satu menteri untuk MIC tidak memberikan banyak peluang kepada wakil MIC bertukar portfolio. Namun tidak kurang mempersoalkan kebijaksanaan untuk mengekalkan seorang menteri dari sesuatu parti tertentu begitu lama. Ada yang bertanya apakah Kementerian Kerja Raya itu hanya untuk diperuntukkan kepada seorang menteri dari sesuatu parti tertentu sahaja? Jika kedudukan menteri MCA diambil kira maka keadaannya sememangnya begitulah. Misalnya, menteri-menteri dari wakil parti MCA diperuntukkan untuk Kementeraian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan sebagainya. Atau wakil-wakil UMNO pula diperuntukkan antara lain Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Seorang pemerhati politik melihat kedudukan dan pembahagian kementerian yang ada hari ini mengundang masalah dan gejala kurang sihat. Lebih-lebih lagi jika wakil parti yang menduduki kementerian kuotanya hanya seorang, seperti yang terlihat dalam kes MIC. Oleh kerana perlembagaan parti tidak menghadkan tempoh jawatan ketua parti, maka tokoh yang sama akan tetap mengetuai kementerian itu selagi tokoh yang sama dipilih rakyat untuk mewakili mereka dalam Parlimen. Lazimnya ketua parti diberikan keutamaan untuk mengisi jawatan kementerian.

Kecualilah, ketua parti berkenaan memberi peluang wakil-wakil parti lain di Parlimen. Misalnya, MIC mempunyai beberapa orang wakil di Parlimen dan semuanya layak mengetuai kementerian. Tetapi apakah Samy Vellu bersedia melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada beberapa timbalan menteri daripada partinya sebagai Menteri Kerja Raya. Pengalaman lampau menunjukkan ketua parti hanya akan melepaskan jawatannya dalam kerajaan jika dia tidak lagi menjadi ketua parti, seperti apa yang berlaku dalam MCA.

Maka jelas MIC tidak mempunyai banyak pilihan dan menentukan penggantian tokoh di Kementerian Kerja Raya. Kecualilah jika Perdana Menteri menaikkan kuota menteri untuk MIC kepada dua orang. Dalam waktu terdekat itu tidak memungkinkan. Opsyen lain yang ada ialah Perdana Menteri menimbangkan kemungkinan mewujudkan system giliran bagi dua kementerian yang sama kedudukan. Misalnya, Kementerian Kerja Raya dengan Kementerian Pengangkutan. Atau Kementerian Kerja Raya dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Melalui system penggiliran ini ketua sesuatu parti boleh digilirkan dengan ketua parti yang lain untuk saling mengetuai kementerian-kementerian berkenaan. Misalnya, Samy Vellu boleh digilirkan mengetuai Kementerian yang kini dipegang oleh ketua parti tertentu sementara ketua parti itu mengetuai pula Kementerian Kerja Raya yang telah begitu lama disandang oleh Samy Vellu.

Melalui system ini, Samy Vellu misalnya tidaklah terlalu tertekan berbanding menteri-menteri yang lain dalam tugas hariannya akibat terlalu lama di kementerian berkenaan. Begitu juga Samy Vellu akan mendapat  suasana baru apabila mengetuai kementerian lain. Lebih penting lagi, system ini dapat mengelakkan daripada prasangka orang ramai terhadap tokoh yang telah terlalu lama mengetuai sesuatu kementerian. Sejak zaman Tun Mahathir Samy Vellu telah mengetuai Kementerian Kerja Raya. Ini bererti telah lebih dua dekad Samy Vellu berada pada kedudukannya sekarang. Tidak pasti apakah Samy Vellu tidak menunjukkan rasa bosannya berada di kementerian yang sama. Dan tidak pasti juga apakah Samy Vellu tidak ingin pindah ke kementerian lain, mendapatkan angin baru lagi segar. Sesegar muka baru pegawai dan kakitangan di kementerian yang serba baru baginya.

Kata pemerhati politik tadi, “Ini opsyen terbaik buat Samy Vellu untuk tidak lagi menjadi sorotan media yang kadang-kadang terlalu negatif sifatnya. Terlalu banyak perkara yang berlaku yang kadang-kadang menjadi bualan orang ramai. Saya rasa sudah sampai masanya untuk Samy Vellu tidak lagi dijadikan punching bag oleh orang-orang tertentu. Tapi kalau ini tidak boleh dilakukan apa kata kalau MIC membuat peraturan tertentu untuk mempastikan tokoh yang sama tidak berada terlalu lama dalam sesuatu kementerian. Tak tahulah jika menteri kita itu masih seronok berada dalam kedudukannya sekarang” (modified on 29 June 2011)

 

 

 

 

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: