Dewan Bahasa: 50 Tahun Jatuh Bangunnya Institusi Bahasa & Sastera Malaysia

A.F.Yassin menulis rtikel ini pada Jun 2006 ini, ketik Dewan Bahasa dan Pustaka (Dewan Bahasa) menyambut Jubli Emasnya. Pada 22 Jun Bangunan Dewan Bahasa setinggi 31 tingkat akan dirasmikan oleh Sri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Perasmian menara Dewan Bahasa ini adalah kemuncak sambutan perayaan Jubli Emas sepanjang tahun yang bermula sejak Februari lalu. Di Johor Bharu, satu kongres Bahasa dan Persuratan Melayu akan diadakan September ini, sebagai meneruskan tradisi kongres sebelumnya. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-3 yang diadakan di Singapura/Johor Bahru pada 16-21 September 1956 mencetuskan gagasan menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sebelum ini, 25 tahun yang lalu, Dewan Bahasa menyambut perayaan Jubli Peraknya. Sambutan dirasmikan oleh Dato’ Musa Hitam, ketika itu Menteri Pelajaran, pada 24 Jun 1981. Dalam ucapan perasmiannya, antara lain Musa berkata, “Dewan Bahasa dan Pustaka wujud atas tuntutan, desakan, daya uta dan kesungguhan perjuangan bangsa Melayu… Ia tidak sahaja menjadi pusat tumpuan semangat dan kegiatan para penulis dan ahli bahasa, tetapi juga menjadi tunggak nasionalisme yang melambangkan perpaduan dan kekuatan semangat kemerdekaan dan kedaulatan, keperibadian dan kebangkitan suatu bangsa.”

Bagi yang menyaksikan perasmian perayaan Jubli Perak Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu tentunya  berasa terharu jika berkesempatan menyaksikan upacara menamakan semula Balai Budaya yang telah diubah suai pada 27 Jun 1996. yang telah diubah suai. Balai Budaya yang menjadi saksi kepada pelbagai detik dan peristiwa bersejarah memartabatkan bahasa Melayu  dinamakan kembali sebagai “Balai Tun Syed Nasir” oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Menteri Pendidikan waktu itu.

Tun Syed Nasir Ismail adalah seorang tokoh politik dan bekas Pengarah Dewan Bahasa setelah Ungku Aziz. Bagi pejuang bahasa, Syed Nasir adalah refleksi cita-cita perjuangan bangsa untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Syed Nasir asalah sinonim dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Menurut Tan Sri Adam kadir, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, juga seorang penulis, “Ramai orang mempunyai anggapan bahawa taraf nasional yang begitu tinggi yang terdapat pada Dewan Bahasa dan Pustaka adalah kerana Tan Sri Syed Nasir.” Maka sudah sepatutnyalah Dewan Bahasa dan Pustaka yang banyak menyaksikan sejarah perjuangan bangsa Melayu melalui bahasa itu diabadikan dengan nama tokoh ini.

Dalam keadaan bahasa Melayu “sedikit terabai hari ini” nama Syed Nasir seperti mengingatkan masyarakat kepada perjuangan masa lalu. Ingatan ini mungkin akan menaikkan keinginan  mereka, khasnya dan bangsa amnya untuk lebih serius menangani masalah bahasa hari ini, walaupun masalah itu tidak perlu mengikuti landasan yang dilalui pejuang-pejuang bahasa masa lampau. Zaman berubah dan sebaiknya cara menangani masalah bahasa juga patut berubah.

Dalam hal ini pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad  mungkin dapat dijadikan pedoman dan iktibar. Sempena perayaan Jubli Perak Dewan Bahasa dan Pustaka Dr. Mahathir, ketika itu Timbalan perdana Menteri mengingatkan telah menjadi tugas Dewan Bahasa dan Pustaka untuk meneruskan perjuangan tetapi melalui peranan untuk memperelok agar “bahasa kita lebih interesting sebagai satu bahasa dunia…saya ingat bagi Dewan Bahasa hal inilah yang patut ditumpukan sekarang.”

Dr. Mahathir bermaksud bahasa Melayu hendaklah dijadikan  “bahasa yang menarik secara tersendiri, bukan bahasa yang patut dan mesti digunakan dalam konteks Malaysia. Dengan sendirinya bahasa kita akan menjadi bahasa Inggeris. Tidak ada siapa yang paksa untuk kita belajar bahasa Inggeris sebab bahasa itu ada daya penariknya.” Dr. Mahathir mengakui dalam bahasa Melayu “kita ada sajak yang mempunyai bahasa yang indah, tetapi daerah lain belum lagi dimajukan sepenuhnya, terutama dalam bidang sastera dan novel. “

Pandangan Dr. Mahathir kira-kira 25 tahun lalu masih lagi relevan hari ini. Seperti katanya tentang bahasa ilmu dan pengucapan budaya tinggi yang disebut Dr. Mahathir sebagai bahasa saintifik.  Menurut beliau, “Kalau kita baca dokumen sains, ternyata panjang ceritanya. Sedangkan bahasa sains mestilah tepat  seperti dua kali dua mesti empat. Kita perlukan majukan bahasa itu. Perlu diperelok (refined)”

Dr.Mahathir mahu pada peringkat pertama “kita membentuk bahasa”. Pada perinkgkat kedua “kita memperelok bahasa.” Dan menjadikannya lebih tepat. Kata Dr. Mahathir lagi, “ Dewan Bahasa kenalah mengadakan pegawai yang betul-betul ahli, mempunyai pengetahuan yang tinggi, tidak sahaja terhad kepada bahasa kebangsaan. Tetapi juga pengetahuan bahasa Inggeris, Perancis atau Arab. Mereka bolehlah cantumkan keindahan dengan ketepatan kata-kata dalam bahasa itu supaya bila kita bercakap dalam bahasa kita, tidak ada siapa yang ragu tentang maknanya.”

Ini pandangan Dr. Mahathir tentang bahasa saintifik. Pandangan Dr. Mahathir lebih kritikal lagi. Dr. Mahathir mengenal pasti akan  Kelemahannya. Misalnya, beliau menyebut tentang perwatakan atau characterization dalam sesuatu karya sastera yang dianggap Dr. Mahathir terlalu lemah. Katanya, “Tidak begitu kuat untuk menarik minat pembaca. Kadang-kadang karya itu terlalu banyak khayalan dan lari sedikit  daripada pandangan atau hal yang natural atau semula jadi. Saya perhatikan dalam banyak-banyak cerita terlalu banyak khayalan dari apa sepatutnya bersifat natural.”

Msej yang ingin disampaikan Dr. Mahathir tentang bahasa sastera ini ialah terlalu banyak hasil karya sastera kurang realistik, terlalu banyak berkhayal. Perlu ada cantuman antara “realistik dan minat”. Katanya, “Kalau terlalu realistik itu sebenarnya tidak ada. Benda yang jadi itu yang menarik minat. Dalam cerita-cerita yang biasa saya baca seperti karangan Agatha Christie saya dapati di akhir cerita  di gulung semula, iaitu apa yang sebenarnya berlaku diberitahu di akhir cerita. Begitu logical sekali dan begitu unusual. Bahkan pembaca akan berkata dia tak sangka  kesudahan cerita jadi begitu. Inilah masalah penulis-penulis kita, kurang yang menulis begini.”

Demikianlah Dr. Mahathir melahirkan pandangannya suku abad lalu. Tidak pasti bagaimana keadaan “bahasa saintifik dan bahasa sastera” sekarang. Adakah masih ditakuk lama atau telah menampakkan kemajuan. Masihkah masyarakat disogokkan dengan bahasa yang kurang menarik dan “kering”

Seorang editor berpengalaman di sebuah penerbit besar di ibu kota sering merungut apabila menyunting buku sains. Menurutnya, maksud ayat kurang jelas dan hambar. Panjang berjela-jela. Katanya “Saya terpaksa memaksa diri membaca. Kadang-kadang terpaksa merujuk kepada buku asal bahasa Inggeris, jika buku itu hasil terjemahan.”

Inilah masalahnya. Kurang pasti di mana letak silapnya. Barangkali Dewan Bahasa dan Pustaka, menjelang perayaan Jubli Emasnya, tahun in akan membuat tafsiran semula tentang peranan dan fungsinya, terutama sekali dalam perkara yang membabitkan  faktor keindahan dan ketepatan berbahasa seperti yang disarankan Dr. Mahathir 25 tahun lalu. Dan dalam hal ini

Hari ini beban Dewan Bahasa dan Pustaka telah banyak berkurangan. Fungsi menterjemah telah diambil oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Fungsi mencetak dan mengedarkan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka telah diserahkan konsesinya kepada Syarikat Dawama Sdn Bhd. Banyak majalah terbitannya telah difrancaiskan kepada sebuah Penerbit swasta. Maka sangat bertepatan sekiranya Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil berat tentang cadangan Tun Mahathir untuk melihat keindahan dan ketepatan  dalam penggunaan bahasa dan karya sastera ditingkatkan. Nama Tun Syed Nasir yang diabadikan kepada Balai Budaya yang telah diubah suai 10 tahun yang lalu, persisnya 27 Jun 1996, adalah satu inspirasi untuk terus melahirkan semangat baru dan lambang perjuangan bangsa Melayu yang berterusan.

Para pejuang dan pencinta bahasa tidak akan mudah melupakan peristiwa “Api dan air Mata” di Balai Budaya pada hari Jumaat, 3 Mac 1967, pukul 3.00 petang. Pada masa dan ketika itu, kira-kira 2,000 pencinta dan pejuang bahasa daripada 120 pertubuhan bahasa, sastera, budaya, pelajar maktab dan universiti dan politik dari seluruh pelosok tanah air  berhimpun di Balai Budaya. Mereka berkumpul untuk membantah Rang-Undang-undang Bahasa (1967) yang sedang dibahaskan di Parlimen.

Mereka membuat bantahan bantah kerana Rang Undang-undang itu mengandungi unsur penyelewengan terhadap kedaulatan bahasa Melayu seperti yang terdapat dalam Fasal 3, 4, 5 dan 6 dalam Perlembagaan Fasal 152. Datuk Usman Awang, salah seorang yang menjadi saksi kepada peristiwa itu menulis, “Balai Budaya padu dan padat. Di pintu masuk bersesak-sesak. Di anak tangga jengah menjengah. Yang di bawah berpusu-pusu. Semua yang hadir  berjuang menentang  Rang Undang-undang Bahasa  yang sedang dibahaskan di Parlimen.”

Tulis Usman lagi, “Keadaan Balai Budaya menjadi begitu panas. Alat penyejuk Balai Budaya kehabisan kuasa panasnya oleh nyala semangat yang telah membakar dada dan hati bangsa Melayu.”

Pada waktu itulah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Tun Syed Nasir diminta berucap. Hanya beberapa patah sahaja yang sempat diucapkannya. Belau terhenti. Suaranya tidak keluar. Kerongkongnya tersekat. Menurut Usman beberapa titis air matanya mengalir. Akhirnya Tun Syed Nasir berkata, “Saya menangis bukan kerana takut tetapi air mata ini lahir dari keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya.”

Dalam buku Keranda 152, terbitan 1968, Usman di akhir tulisannya mengungkapkan, “Tahun demi tahun sejarah yang bakal dilalui oleh kita dan bahasa Melayu akan merakamkan kebenaran yang sebenarnya. Dan apa yang paling penting  pada setiap pencinta dan pejuang bahasa, mereka tidak sebenarnya menyerah kepada keadaan dan tunduk pada sebarang tekanan. Perjuangan belum selesai. Belum selesai….”  ends.

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: