Hassan Mohd. Noor: …Jika Tidak Mahu Trio 3P Muncul ‘Johan’.

BN jangan ‘tidur’ lagi jika tidak mahu Trio 3P muncul ‘johan’ Oleh Hassan Mohd. Noor Utusan Malaysia 27 Jun 2011

APA lagi yang tinggal kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti? Begitulah persoalan yang timbul apabila orang kuat Parti Tindakan Demokrat (DAP), Lim Kit Siang dilaporkan berkata, Trio 3P – DAP, Pas, PKR menyasarkan 11 lagi negeri untuk ‘ditakluki’ pada PRU akan datang. Menawan Putrajaya, impian 16 September yang tidak kesampaian juga menjadi sasaran. Ringkasnya kata Kit Siang, BN akan duduk di barisan pembangkang.

Menurut senarai terbaru, negeri-negeri yang akan ditawan Trio 3P ialah Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Pahang, Terengganu dan Perlis. Negeri Perak juga akan ditawan semula di samping mengekalkan penguasaan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Maknanya yang tinggal kepada BN hanya Sabah di samping Sarawak yang baru selesai pilihan raya dan masih menjadi milik BN. Apakah impianTrio 3P bakal menjadi kenyataan?

Sebelum PRU lalu, Trio 3P pernah meramalkan akan menawan lapan negeri tetapi yang berjaya diperoleh lima – Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan.

Apakah angka 11 (merujuk kepada 11 negeri) bakal menjadi milik DAP, Pas, PKR? Nampaknya angka 11 turut menjadi perhatian Trio 3P. Sebelum ini, Perdana Menteri, Najib Tun Razak juga mengaitkan angka 11 berhubung PRU ke-13. Menurut Perdana Menteri, PRU mungkin diadakan pada satu tarikh atau bulan yang mempunyai angka 11, yang juga nombor kegemaran beliau. Mungkin pada 11.11.11.

Dan kini bahang PRU semakin panas apabila Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merancang mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

Selak tidak mahu mengulas panjang mengenai hasrat Bersih ini kerana sudah banyak yang diperkatakan oleh penulis lain. Walaupun atas nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi umum tahu siapakah ‘pelakon’ utamanya yang menjayakan episod Bersih kedua ini. Tahun lalu, Selak telah mengulas mengenai sikap pembangkang yang sering mengkritik ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Cuba selak semula tulisan di bawah tajuk Cakap tak serupa bikin dan bikin tak serupa cakap dan Andainya PKR bertukar menjadi SPR.

Perhimpunan haram Bersih sama ada diadakan atau tidak, sudah pasti menjadi modal politik bagi Trio 3P. Andainya Trio 3P tewas pada PRU, maka akan timbullah kenyataan bahawa PRU tidak bersih dan tidak adil. Tetapi kalau Trio 3P menang, tanpa perhimpunan Bersih, apa pula alasannya?

Mereka ini memang bijak memberi alasan dan sedaya upaya cuba menegakkan benang yang basah. Yang putih akan dihitamkan dan yang hitam cuba diputihkan.

Satu lagi persoalan andainya PRU diadakan tahun ini, adakah kerajaan negeri yang diterajui Trio 3P bersedia menghadapinya lebih awal atau akan terus memerintah sehingga tamat penggal lima tahun? Jika diambil kira PRU ke-12, usia kerajaan negeri baru melepasi tiga tahun tiga bulan. Mungkin tempoh singkat itu menyebabkan kerajaan yang diterajui Trio 3P tidak mahu mengikut jejak kerajaan pusat jika PRU diadakan lebih awal di negeri-negeri yang diperintah oleh BN. Keadaan sebaliknya mungkin berubah jika BN berkata, Parlimen dibubarkan bulan depan dan pilihan raya diadakan pada September! Mungkin Trio 3P akan melompat kegembiraan. Sekurang-kurangnya janji ke Putrajaya pada 16 September boleh dihidupkan semula.

Tidak dinafikan suatu waktu dulu, Trio 3P begitu ghairah mahu PRU diadakan segera. Mereka tidak sabar-sabar membuat ramalan mengenai tarikh pilihan raya. Tetapi itu dulu, ketika mereka tidak mempunyai kuasa di peringkat negeri.

Ketika Perak jatuh ke tangan BN semula, terdapat desakan Trio 3P supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan dan diadakan pilihan raya negeri.

Pada masa itu, mereka anggap wakil rakyat Trio 3P yang meninggalkan parti itu sebagai permainan kotor BN dan mahu diadakan semula pilihan raya. Tetapi mulut yang lain pula berkata, mereka akan menguasai Putrajaya apabila mendapat jumlah wakil rakyat BN yang bakal melompat parti. Maknanya untuk kepentingan Trio 3P, melompat parti dibolehkan. Inilah politik Trio 3P yang ramai daripada rakyat Malaysia sudah ‘termakan’ taktik mereka.

Sebenarnya amat mudah untuk mengenali watak-watak pembangkang ini. Sesuatu yang tidak memihak kepada mereka akan dianggap tidak wajib diikuti. Semuanya salah, tidak betul, haram dan macam-macam lagi. Tetapi jika sesuatu yang memberi faedah atau menguntungkan mereka, maka itulah yang terbaik.

Pada PRU lalu, SPR pernah mencadangkan supaya digunakan kaedah celup jari dalam dakwat tetapi dibatalkan. Ini pun jadi isu. Bagaimanapun pembangkang ‘sapu’ lima negeri. Mungkin kalau digunakan dakwat, Trio 3P menang semua negeri! Begitulah sikap pembangkang. Justeru, sama ada perhimpunan Bersih terjadi atau tidak, sudah ada modal politik pada PRU. Sebenarnya penganjur perhimpunan bukanlah calang-calang orang. Semuanya bijak pandai. Jika niat ikhlas, tidak perlu turun di jalan raya yang bakal menyusahkan orang ramai. Cukuplah berhimpun di stadium tetapi sekali lagi cara itu tidak meriah! Mereka juga tahu perhimpunan seumpama itu kalau tidak ada permit, maka sebarang perbuatan atau tindakan berkaitan bolehlah dianggap haram. Samalah apabila BN tidak mendapatkan permit untuk menggantung wajah Najib, slogan 1Malaysia atau bendera parti di negeri-negeri yang dikuasai Trio 3P. Semuanya akan diturunkan dengan alasan tidak ada permit. Tetapi apabila sudah terkena kepada batang hidung sendiri, undang-undang itu secara automatik tidak boleh dipakai. Mereka akan langgar peraturan itu. Apa akan jadi jika undang-undang dan peraturan yang sudah termaktub tidak boleh dipakai apabila melibatkan kepentingan diri sendiri?

Diharapkan, andainya tanpa perhimpunan Bersih, Trio 3P tidak patah semangat sehingga mahu memulaukan PRU. Dulu pernah timbul cerita mahu memulaukan pilihan raya. Seperti kata Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, turunlah ke gelanggang sebagai ‘anak jantan’ pada pilihan raya nanti. Seperti yang disebut tadi, bahang PRU semakin panas. Sudah ada petanda mengenai PRU ini, setidak-tidaknya apabila genap empat tahun PRU Ke-12 Mac tahun depan. Semua parti politik sudah bersiap sedia dengan ‘manifesto’ dan ‘hala tuju’ yang diperbaharui termasuklah Pas yang mengubah slogan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Hasrat menurunkan calon pelbagai kaum dan kawasan pilihan raya yang menjadi sasaran juga sudah mula diperkatakan. Khabarnya pemindahan pengundi juga dilakukan untuk memastikan kemenangan.

Di pihak BN, ucapan dan kenyataan pemimpinnya terus menjurus supaya parti komponen bersiap sedia.

Penyokong-penyokong BN khususnya UMNO, MCA, Gerakan, MIC, PPP, hayatilah ucapan Najib kelmarin dan semalam. Beliau mahu UMNO, BN bangkit menjadi ‘johan’ dalam PRU nanti. Betul kata Najib bahawa memang perit memegang gelaran naib johan. Mereka tidak boleh lagi menjadi arnab yang ‘tidur’ dipertengahan perlumbaan sehingga akhirnya kura-kura muncul sebagai johan. Arnab yang mulanya pantas berlari sekadar menjadi naib johan.

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: