Jamhariah Jaafar: Anwar Menangguk Di Air Keruh?

Anwar tunjuk belang tangguk di air keruh Oleh Jamhariah Jaafar Berita Harian 2011/06/22

GAJAH sama gajah bertempur, pelanduk mati di tengah-tengah. Itulah perumpamaan untuk perhimpunan haram yang dicadang dilakukan oleh pelbagai parti politik, pertubuhan kerajaan dan mereka yang menggelarkan diri sebagai aktivis hak asasi manusia, tanpa menghiraukan impak dan akibat yang akan diterima rakyat dan imej Malaysia di mata dunia.

Demonstrasi haram yang dijadual berlaku 9 Julai bakal menyaksikan ‘pertempuran politik’ dari semua arah, apabila setiap pihak yang ‘bermain politik’ akan cuba mengaut ‘keuntungan’ daripada rali yang dirancang secara besar-besaran ini.

Perhimpunan haram yang semata-mata bermotif politik ini mengundang lebih banyak padah daripada faedah, lebih banyak menyusahkan daripada menyenangkan, lebih membimbangkan daripada menyenangkan hati dan lebih mencemarkan nama daripada menaikkan imej.

Penganjur asal perhimpunan yang ramai daripada pengamal undang-undang, berasakan mereka terlalu bijak dan tidak perlu mengadakan sebarang proses rundingan dengan mana-mana pihak – mengheret rakyat Malaysia ke dalam kancah kerisauan mengapa suara mereka dalam proses demokrasi untuk memilih kerajaan dipertikaikan.

Jawatankuasa perhimpunan haram ini terdiri daripada Datuk Ambiga Sreenevasan (Pengerusi), Andrew Khoo, Arumugam K, Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Datuk Yeo Yang Poh, Zaid Kamaruddin, Dr Subramaniam Pillay dan Arul Prakkash.

Siapa mereka dan mengapa mereka bertindak sedemikian seolah-olah kerajaan dan SPR tidak pernah memberi ruang untuk mana-mana kumpulan dan parti politik untuk berdialog secara terbuka dan tidak pernah langsung memperbaiki sistem pemilihan bersandarkan demokrasi.

Tidak sukar meneka siapa sebenar dalang di sebalik cadangan ini – parti pembangkang nyata tidak gusar untuk kembali kepada demonstrasi jalanan dengan gambaran seolah-olah sistem demokrasi Malaysia tidak pernah bersih – walaupun hakikat jelas menunjukkan mereka kini menguasai lima negeri selepas PRU-12.
Justeru, tidak memeranjatkan apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba-tiba muncul sebagai hero dan berkata dia akan meminta Pengerusi Bersih, Ambiga membatalkan perhimpunan 9 Julai jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan pilihan raya umum akan dijalankan secara bersih dan adil.

Tidak kira Ambiga menolak cadangan Anwar, tapi yang penting kumpulan ini memberi pentas terbaik untuk pembangkang terus memfitnah kerajaan BN.

Tindakan ‘menyerang balas’ daripada kumpulan aktivis seperti PERKASA, di samping Pergerakan Pemuda UMNO, memang dijangka kerana bodohlah mereka sekiranya berdiam diri dan membiarkan pembangkang bermaharajalela menebar fitnah serta cuba membakar api kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Tumpuan rakyat kini adalah kepada SPR, Menteri Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia.

SPR akhirnya membuka mulut dan bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Bersih, dengan syarat mereka membatalkan perhimpu-nan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata jika benar kumpulan itu memperjuangkan demokrasi, ia boleh terus berbincang dengan SPR dan mengemukakan permohonan dengan cara baik.

Kerajaan dan pihak berkuasa tidak boleh membenarkan segelintir manusia angkuh seperti Ambiga dan parti politik – tidak kira pembangkang mahupun penyokong kerajaan – untuk mencetus perasaan gusar dan gundah gulana di hati rakyat.
Rakyat Malaysia telah melalui dua peristiwa hitam membabitkan demonstrasi yang hampir meranapkan negara. Tragedi 13 Mei – rusuhan kaum terburuk dalam sejarah negara yang mengajar kita untuk tidak menggunakan perhimpunan haram untuk mencapai matlamat.

SPR sudah membuka pintu untuk berdialog, tidak ada alasan lagi untuk mana-mana pihak meneruskan perhimpunan ini. Jika ada yang terus berdegil, rasanya tidak lagi perlu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, terus memberi ‘amaran’ sebalik dia perlu menunjukkan ketegasan untuk menghapuskan kebimbangan majoriti rakyat Malaysia.

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: