Mengapa Mesti Bahasa Inggeris? Lain Bengkak Lain Menanah!

CATATN A.F. YASSIN

Bahasa Inggeris: Lain Bengkak Lain Yang Menanah

Maka bersoraklah golongan yang memperjuangkan kepentingan bahasa Inggeris dalam  sistem pendidikan. Golongan ini sejak awal lagi enggan menerima bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Masihkah kita ingat penentangan,  terutama oleh mereka yang terdidik dalam aliran Inggeris, pada tahun-tahun 1960an dahulu, ketika bahasa Melayu mula dimartabatkan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah dan akhirnya di sekolah menengah di seluruh negara. Ketika itu guru terpaksa mengajar dalam dua bahasa – Melayu Inggeris dalam kebanyakan matapelajaran. Ketika itu sistem pendidikan masih di peringkat peralihan dengan bahasa pengantarnya Inggeris dan Melayu. Seorang bekas guru masih belum lupa bagaimana dia mengajar Geografi dalam bahasa Melayu di Tingkatan Tiga dan Sains Am dan Matematik dalam bahasa Inggeris di Tingkatan I dan II. Oleh kerana belum ada buku teks dalam bahasa Melayu, dia terpaksa membuat terjemahan sendiri bahan pengajaran.

Hari ini bekas guru itu masih juga menerima kunjungan daripada beberapa orang  anak muridnya. Kunjungan itu sekadar mengenag jasa guru itu mengajarnya dalam bahasa Melayu. Yang mengunjunginya itu adalah bekas muridnya yang telah berjaya  dan berada di puncak kerjayanya. Jika dikaji latar kejayaan mereka, nescaya yang menjadi pendorong kepda kejayaan itu ialah faktor sikap dan motivasi. Seorang bekas anak murid guru itu berkata dia didorong oleh sikap dan kegigihan bangsa besar, seperti Jepun dan Jerman yang telah kalah perang tapi dalam masa tak sampai 50 tahun telah menjadi kuasa gergasi dunia dalam bidang ekonomi. Begitu juga halnya dengan Peranchis, Korea Selatan, malah kebanyakan negara Eropah.

Bekas murid ini bercerita tentang pengalaman kerjayanya. Dia ämat bertuah”kerana disedahkan kepada peluang pekerjaan yang “membuka minda”dan “mengubah sikapnya” demi masa depan kerjayanya. Katanya sebaik sahaja dia lulus SPM, dia ditawarkan bekerja dengan sebuah syarikat Jepun. Di syarikat itulah dia mengenal cara orang Jepun bekerja kerana ketuanya seorang jurutera Jepun yang didatangkan khas dari negara matahari terbit itu. Beberapa tahun kemudian dia berpeluang bekerja sambil belajar di syarikat induk di Nagoya selama enam bulan. Ketika di Nagoya, dia terkejut besar kerana tidak seorang pun daripada pegawai dan kakitangan syarikat yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Semuanya dalam bahasa Jepun sehinggakan nama bahagian dalam mesin kejuruteraan berserta alat gantinya adalah dalam bahasa Jepun. Katanya nama seperti “bolto”untuk skru adalah jemlaan daripada bahasa Inggeris “bolt”.

Bermula dari situlah dia berusaha mengubah nasibnya. Fikirnya jika Jepun yang tidak faham bahasa Inggeris boleh maju sehingga jurutera yang tidak tahu sepatah pun bahasa inggeris boleh sampai ke Malaysia mengajar anak-anak tempatan ilmu teknikal dengan hanya mempunyai keyakinan diri, dia tidak nampak mengapa orang Melayu tidak boleh. Maka dalam tempoh tak sampai pun 10 tahun dia telah memegang jawatan yang relatif kanan dalam syarikat itu, iaitu sebagai Pengurus Kilang dan jurutera Jepun yang dikirimkan secara bergilir dari Jepun ke syarikat ini berada di bawah arahannya. Dia bukan sahaja telah fasih berbahasa Jepun malah dalam pentadbiran sehari-hari dia menggunakan bahasa Inggeris dengan baik. Dia tidak berasa canggung bertutur atau berkomunikasi dalam bahsa Inggeris dengan para tamu dari luar atau bahasa Jepun untuk berkomunkasi dengan jurutera Jepun. Dan dia hanya merupakan pelajar perintis yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah pada tahun 1960an. Bekas gurunya begitu terharu dan menyimpan perasaan bangga setiap kali muridnya itu mengunjunginya. Barangkali ada puluhan ribu anak Melayu seperti bekas murid guru ini yang telah berjaya menanjak dalam kerjanya. Malah ramai pula yang telah menjadi pesara, sesekali mengingati kejayaan dalam kerjaya masing-masing.

Apakah moral cerita ini? Jawapannya terletak kepada sikap dan motivasi dan barangkali ditambah pula oleh peluang dan kesempatan. Maka apabila isu bahasa Melayu menjadi punca pelajar Bumiputra banyak menganggur ditimbulkan banyaklah reaksi yang diterima, antaranya cadangan mengembalikan semula sekolah aliran Inggeris. Dan apabila Perdana Menteri, Dato’Seri Dr Mahathir Muhammad memberikan pandangnnya maka bersoraklah golongan yang mahu aliran itu dihidupkan kembali. Seolah-olah pengangguran Bumiputra Melayu yang ramai itu berpunca daripada kurang kemahiran dalam bahasa Inggeris. Yang anehnya tidak terdengar pula suara bagaimana dengan nasib pelajar bukan Bumiputra lulusan SPM atau STPM dari aliran Melayu. Apakah semua lulusan itu telah mendapat pekerjaan atau berjaya ke IPTA atau IPTS?

Pernahkah diteliti dengan mendalam punca sebenar lulusan Bumiputra ramai yang tak bekerja? Apakah benar kelemahan menguasai bahasa Inggeris menyebabkan mereka tidak dapat bekerja? Mengapakah di Jepun yang ramai di kalangan rakyatnya tidak faham bahasa Inggeris, walau sepatah harampun tidak pula kedengaran “rakyatnya menganggur kerana tidak fasih berbahasa inggeris? Begitu juga halnya di Jerman atau di Peranchis, malah di Korea Selatan. Kalau pun ada penggangguran itu hanya disebabkan faktor peluang pekerjaan, bukan bahasa.

Silapnya Malaysia barangkali kerana sikap tidak tegas pihak-pihak tertentu dalam melaksanakan perancangan yang bersepadu. Contoh nyata ialah, apakah perubahan sistem pendidikan diikuti dengan perubahan dalam sistem pengendalian sumber tenaga di kalangan  pihak awam dan swasta? Sudahkan pihak awam dan swasta bersedia untuk menampung lulusan aliran Melayu? Cerita lulusan aliram Melayu tidak dapat bekerja ini bukan cerita baru. Sekarang ini di Johor terdengar cerita kilang tidak dapat meneruskan operasinya kerana kekurangan pekerja. Ada yang berhasrat mahu memindahkan kilangnya ke Cina jika masalah kekurangan ini berlarutan. Menurut sumnber syarikat, pekerja tempatan tidak kekal. Paling lama mereka bertahan sebulan dua. Hasrat syarikat untuk mengambilpekerja dari luar negeri terbantut kerana adanya sekatan.

Maka jelas  punca pengangguran di kalangan Bumiputra bukan semata-mata disebabkan tidak fasih berbahasa inggeris. Sebab yang sama penting ialah sikap Bumiputra sendiri yang dikatakan terlalu memilih pekerjaan. Lulusan SPM atau STPM enggan bekerja di kilang kerana kononnya “koman” dan tidak “standard”. Lulusan ijazah pun demikian kerana tidak mahu mengotorkan tangan di kilang-kilang. Atau mereka memohon tetapi ditolak oleh syarikat kerana kononnya mereka dari aliran sastera dan agama. Maka timbullah sebab lain daripada kelemahan bahasa mengapa Bumiputra aliran Melayu  banyak yang menganggur. Akhirnya bukan sahaja mereka dari aliran Melayu yang tidak fasih berbahasa Inggeris sehingga menjadi penganggur  tetapi juga mereka lulusan sastera dan agama.

Sebab kedua ini menarik. Pada suatu ketika pada tahun-tahun 1980an dahulu terdapat cerita banyak lulusan teknik dan sains yang menganggur kerana kerajaan terlalu menekankan aliran sains. Ada yang pulang dari Amerika Syarikat dengan ijazah kejuruteraan mekanikal atau awam akhirnya terpaksa bekerja sebagai jurujual buku rumah ke rumah. Tidak kurang pula yang sanggup menjadi kerani. Mungkin pada waktu itu peluang pekerjaan tidak banyak, tetapi tidak ada pula suara yang menyalahkan sistem pendidikan aliran Melayu yang menjadi punca mereka menjadi “setengah” penganggur.

Demikianlah, hari ini nampaknya ada yang cuba mengambil kesempatan, terutama golongan yang sejak dulu lagi enggan menerima aliran Inggeris digantikan dengan aliran Melayu. Bukan tidak mungkin golongan ini pulalah yang merncipta suasana sebgitu rupa sehingga aliran Melayu akan dituduh sebagai punca ramai kaum Bumiputra menganggur. Memang benar bahasa Inggeris merupakan bahasa terpenting untuk ilmu pengetahuan, tetapi soalnya apakah bahasa Inggeris satu-satunya cara untuk mempastikan kejayaan Bumiputra menguasai bidang ilmu, hatta bidang pekerjaan. Apakah golongan yang menekankan pentingnya bahasa Inggeris dalam kehidupan harian begitu taksub dengan bahasa Inggeris sehingga tanpa bahasa itu “dunia akan kiamat”bagi orang Melayu? Dan apakah golongan yang menentang kembalinya aliran Inggeris dianggap sebagai nasionalis satu sudut dan berfahaman sempit? India, Bangladesh dan Pakistan yang mempertahankan bahasa Inggeris maju sangat ke? Kalau setakat fasih berbahasa Inggeris dengan pertuturan ala  dialek daerah masing-masing, lebih baiklah menggunakan bahasa ibunda sendiri kerana ia hanya akan “membunuh kejam”bahasa inggeris.

Seorang pemerhati politik yang cenderung mempertahankan aliran Melayu bimbang “jerat”yang dipasang oleh golongan anti aliran Melayu sudah mengena. Kepemimpinan politik hari ini telah terkena “jerat”. Dan lazimnya apabila ada seorang pemimpin yang berpengaruh menyatakan perlunya “kita fasih berbahasa Inggeris”maka mulalah orang ramai menyokongnya, tanpa mebuat kajian mendalam apakah faktor penyebab wujudnya kelemahan orang Melayu. Melatakkan bulat-bulat kesalahannya kepada sistem aliran Melayu di sekolah-sekolah adalah perbuatan yang paling tidak bertanggungjawab. Ada ratusan ribu lulusan dari aliran ini telah dikeluarkan sejak konvokesyen pertama Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1973 dahulu yang telah mempunyai kerjaya yang baik, malah sebahaginnya memegang   jawatan penting baik dalam kerajaan mahupun dalam syarikat swasta. Pernah ditemui seorang siswazah bukan Bumiputra lulusan UKM selepas tahun 1973 bekerja dei sebuah syarikat pernah dipinjamkan ke Singapura untuk mengendalikan syarikat cawangannya di pulau republik itu.

Dia ini lulusan aliran Melayu, tetapi bahasa Inggerisnya fasih dan superb. Kalau dia boleh mengapa siswazah Bumiputra tak boleh? Lebih tinggi lagi kalau orang Jepun mampu menguasai ekonomi hanya dengan sikap nasionalisnya terhadap bahasa sendiri, mengapa Malaysia tidak boleh jika sekalipun bersikap nasionalis terhadap bahasanya. Sikap adalah isunya dan persoalannya  bukan sistem. Apa sahaja sistem yang diterapkan bukan penghalang kalau sikap ingin berjaya disematkan. Tetapi kalau asyik-syik “mengharap” dan mempunyai mentaliti “mahu bernaung” dengan kerajaan sepanjang masa, Bumiputra tidak akan ke mana, walau aliran Inggeris dalam sistem pendidikan tidak diubah sekalipun.  Kata seorang bekas pendidik, “Takut kita ini seperti kata orang lain yang bengkak lain yang menanah.” Menurut bekas pendidik, lulusan SITC, sikap tegas pelbagai pihak yang menjadi punca sehinnga kaum Bumiputra menjadi mangsa. Katanya, “Kita bukan tak tahu orang Melayu kurang serba serbi, sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang serba kurang itu. Lainlah dengan orang Cina, misalnya, mereka sebagai golongan minoiti cepat menyesuaikan diri. Itu sebabnya mereka tidak begitu menghadapi masalah walaupun anak-anak mereka belajar dalam aliran Melayu.”

Bekas pendidik ini bertanya, “Apakah tindakan kerajaan sejak dulu lagi, misalnya untuk menyelaraskan sistem ekonomi dan pentadbiran sebagai usaha menampung lulusan daripada aliran Melayu? Contohnya, apakah pihak swasta, terutamanya telah menyesuaikan sistem pengurusannya untuk menerapkan golongan aliran Melayu, katakanlah dalam hal ehwal  pentabdiran dan oeparsi sehari-harinya.” Soalnya lagi, “Sudahkah kerajaan dan pihak swasta bersedia menerima aliran Melayu sedangkan tidak jelas wujudnya perubahan dalam sistem pentabiran dan pengurusannya yang masih mementingkan bahasa Inggeris sejak awal-awal lagi?” Bekas pendidik itu menjawab sendiri bahawa tidak ada pihak pun yang bersedia. Semuanya masih “mengangungkan” bahasa Inggeris baik dulu baik sekarang. Maka dalam hal ini perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan tidak diikuti  dengan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dalam sistem ekonomi dan pentadbiran, awam dan swasta.

Inilah ketempangan dalam perancangan yang tidak bersepadu. Seolah-olah ada perjuangan nasionalisme dalam pendidikan tetapi dalam bidang yang lebihpenting seperti ekonomi dan pentadbiran dibiarkan begitu sahaja tanpa satu perjuangan tertentu. Malah sejak dulu, jarang amat kedengaran para menteri dan pegawai kanan kerajaan bercakap tentang pejuangan untuk “mengalir Melayukan”sistem ekonomi dan pentadbiran. Masih kita ingat bagaimana bahasa Melayu  digunakan dalam kokunikasi antara kerajaan dan orang ramai. Bahasa Melayu digunakan di kepala surat dan akhir surat sementara isinya yang lebih penting masih menggunakan bahasa Inggeris. Itu di pihak kerajaan. Di pihak swasta tidak sepatah bahasa Melayu pun digunakan.

Hari ini para menteri tanpa segan silu bercakap dalam bahasa Inggeris, walaupun lebih kerap dengan “broken English”. Hari ini para menteri tanpa segan silu bertutur dalam bahasa caca-merba (Ingeris dan Melayu sekaligus). Melayu pun bukan, Inggeris pun bukan. Pola perturturan ini sudah menjalar pula kepada pegawai kerajaan. Dalam hal ini saya teringat pada satu ketika Presiden Soeharto masih berkuasa di Indonesia. Soeharto keturunan Jawa dan setiap kali  bercakap dia akan menggunakan bahasa Indonesia dialek Jawa. Dia menyebut  perkataan “bukan”dengan “buken”. Maka berlumba-lumbalah pak menteri dan pegawai kerajaan menyebut “buken” padahal mereka  bukan daripada keturunan Jawa tetapi Melayu Riau atau pun Makasar. Inilah yang berlaku di Malaysia hari ini dan menyalahkan sistem aliran Melayu dalam pendidikan kita  lalu menggantikannya dengan aliran Inggertis tidak akan menyelesaikan masalah. Ia hanya akan membuatkan golongan yang anti aliran Melayu  bertepuk dan bersorak gembira–(Catatan A.F.Yassin 12 Mei 2002).

 

 

 

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: