OPINIONS

Wan Azizah at the Bersih Rally.

Datin Seri Wan zizah di Rally Bersih Image via Wikipedia

Analisis tuntutan Bersih oleh Nordin Kadi Utusan Malaysia 20 Julai 2011

BANYAKNYA orang memilih jalan mudah dalam membuat keputusan penting dalam hidup. Sebagai contoh kecil, kita lihat bagaimana cara pasangan muda hendak membeli keperluan peralatan rumah untuk menghadapi hidup baru.

Mereka biasanya tidak akan membuat rujukan bacaan dahulu, sebaliknya segera bertanya kawan terdekat dan daripada pendapat kawan itulah mereka terus membuat keputusan. Kerap juga mereka kemudian menyesal bertahun-tahun kerana tidak membuat bacaan secukupnya.

Mereka pernah belajar cara membuat keputusan yang bersistematik, terutamanya yang pernah belajar di universiti. Cara membuat keputusan rumah tangga sebegini kemudian diwariskan pula kepada anak-anak. Anak-anak itu kemudian dewasa dan mengulang cara membuat keputusan yang sama. Cara demikian berterusan menjadi budaya.

Dalam hal ini, cita-cita Wawasan 2020 yang mencatatkan matlamat melahirkan masyarakat saintifik nampaknya hanya melahirkan beberapa orang pekerja sains dengan membawa pelbagai gelaran, sedangkan hidup mereka kekal dipenuhi kepercayaan tahyul.

Begitu pun, saya ragu-ragu sama ada golongan ini pernah membaca sendiri dokumen Wawasan 2020 atau hanya mendengar-dengar daripada kawan lalu menghakimi wawasan itu.

Daripada cara membuat keputusan itu, saya ragu-ragu juga sama ada pengikut demonstrasi Bersih baru-baru ini telah membaca dengan teliti memorandum Bersih yang hendak disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya itu.

Saya jangka ribuan daripada mereka itu tidak pernah pun menjeling dokumen itu, jauh sekali daripada membaca jawapan-jawapan oleh SPR atas alasan semua jawapan SPR memihak kepada pemerintah.

Seawal perenggan pertama, apabila membaca dokumen yang dinamakan Memorandum Pertubuhan (haram atau halal pertubuhan ini bukan urusan saya dalam konteks ini) Masyarakat Malaysia Mengenai Reformasi Pilihan Raya Malaysia 2010, seorang yang waras dan kritikal akan mempersoalkan ketepatan pendirian pertubuhan ini yang mengatakan “…Kami … memegang kepada pendirian bahawa satu-satunya formula bagi penstabilan, peningkatan dan kemakmuran di Malaysia ialah melalui demokrasi ‘pelbagai parti’ yang sengit dan sihat.” Kemudian, dokumen itu merujuk pilihan raya Britain 2010.

Selain daripada bahasanya kurang baik (seperti isyarat bahawa dokumen ini tidak dibuat dengan teliti mungkin atas desakan waktu untuk kepentingan tertentu), pembuat dokumen ini menyembunyikan fakta perbandingan bahawa di Britain atau di Amerika Syarikat (AS) hanya dua parti yang kuat bertanding, bukan seperti ‘pelbagai parti’ yang begitu bebas di Malaysia.

Meskipun undang-undang negara-negara itu membenarkan kepelbagaian parti untuk bertanding, hanya dua parti yang saling bertukar kuasa. Liberal Demokrat, parti ketiga di Britain, hanya pada pilihan raya yang lepas menunjukkan sedikit keupayaan, itu pun masih tidak sampai menguasai kerajaan sepenuhnya.

Di AS pula sehingga sekarang hanya dua parti sahaja yang mendapat liputan walaupun ada parti renik lain, seperti Parti Hijau, yang turut serta. Ini semua adalah hasil kerja kapitalis. Mengapa tidak diberitahu kepada orang muda dalam Bersih bahawa kuasa menentukan monopoli kuasa di negara Britain yang Parlimennya jauh lebih tua daripada Parlimen Malaysia itu telah dipindahkan daripada suruhanjaya pilihan raya mereka kepada golongan kapitalis yang menguasai parti-parti di sana – yang menentukan berapa parti sahaja yang boleh hidup.

Jika kerajaan di Malaysia mereka katakan jahat, mereka lupa kerajaan boleh ditukar oleh warganegara melalui sistem undi tetapi jika kapitalis antarabangsa itu yang jahat, warganegara tidak ada kuasa apa-apa untuk menukar mereka. Pemimpin mereka bukan dipilih melalui pilihan raya.

Elok juga jangan dilupakan sejarah Syarikat Hindia Timur, syarikat kapitalis yang diberi ‘charter’ oleh Raja Eropah untuk menjajah Asia termasuk Malaysia beratus-ratus tahun, telah menafikan sama sekali hak kebebasan rakyat negara yang dijajah memilih pemimpin sendiri.

Peserta demonstrasi juga tidak diberitahu oleh ketua Bersih bahawa mereka dipergunakan oleh pemimpin mereka menuntut paha selepas mendapat betis.

Buktinya, pada perenggan dua memorandum itu dicatatkan pernyataan memuji sistem pilihan raya di Malaysia yang berbunyi “menjurus kepada pilihan raya 2008, Malaysia melalui perubahan gaya di dalam kerajaan, dari sebuah kerajaan berbentuk kuku besi kepada sebuah kerajaan yang lebih demokratik. Orang awam telah berpeluang mengecapi sebuah persaingan di antara BN dan PR yang mana ia membawa sebuah reformasi pentadbiran dan dasar-dasar yang lebih bersifat inklusif.”

Mereka memberi kepujian terhadap perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem politik Malaysia tetapi sejurus perubahan itu diberi, mereka membawa orang ramai yang ‘semi-jahil’ ke jalan raya menuntut sesuatu dengan kekerasan.

Mengapa demikian balasan kepada keterbukaan yang telah diberi dan yang mereka puji itu? Nampaknya, yang mereka minati bukan transformasi tetapi sesuatu yang lain. Hanya orang yang terlalu jahil sahaja yang tidak mengesan maksudnya.

Dokumen itu pula seperti dengan sengaja ditujukan kepada sasaran yang salah iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Antara tuntutan itu termasuk (i). Hak mengundi dan pembuangan undi yang meliputi pendaftaran automatik, menurunkan usia mengundi, tidak hadir membuang undi dan (ii). Persempadanan semula kawasan (iii). Akta Pilihan Raya berkaitan tempoh kempen dan Akses Media, (iv). Demokrasi pelbagai parti dan (v). Pentadbiran pilihan raya. Semua tuntutan itu sepatutnya ditujukan kepada Parlimen.

Mereka tidak menjelaskan bahawa hanya Parlimen yang boleh membuat undang-undang seumpama Akta bagi merealisasikan semua tuntutan itu, bukan SPR.

Dari awal mereka seperti telah merancang bahawa apabila jawapannya ‘tidak dapat’, mereka akan mengeksploitasikan kemarahan peserta demonstrasi bahawa SPR yang tidak adil itu degil, tidak menerima tuntutan majoriti rakyat yang mahukan perubahan.

Pada hal, jika Parlimen menolak cadangan-cadangan Bersih atau SPR, mereka mesti mengiktiraf bahawa penolakan dibuat oleh majoriti ahli Parlimen yang telah diundi oleh jutaan rakyat berbanding beberapa ribu orang, atau kalau sejuta sekali pun, yang menggunakan jalan raya untuk menggantikan kerajaan.

Selagi mereka menerima Malaysia sebagai negara demokrasi berparlimen, mereka mesti menerima keputusan-keputusan Parlimen itu. Jika mereka ingin mengubahnya, mereka perlu melalui pilihan raya juga.

Buat masa ini mereka mesti menerima hakikat bahawa mereka tidak kuat di Parlimen dan apabila kehendak mereka itu diundi, mereka akan kalah.

Seterusnya saya meneliti pula kesahihan pernyataan ketua penganjur yang menggambarkan Bersih diwakili oleh segenap lapisan rakyat.

Daripada senarai 60 badan yang ‘endorsed’ memorandum itu terdapat banyak badan tersenarai yang tidak pernah didengar pun, semata-mata bagi menggambarkan senarai yang panjang.

Daripadanya terdapat 11 badan yang namanya berkaitan ‘India’ (tanpa prejudis kepada kaum Tamil di Malaysia), belum termasuk yang tiada jenama sedemikian tetapi ahlinya sama.

Daripada jumlah besar itu juga hanya 14 badan yang menggunakan bahasa Melayu bagi menjenamakan diri mereka berbanding 46 yang lain menggunakan bahasa Inggeris. Bahkan, badan yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim pun menggunakan bahasa Inggeris iaitu Anwar Ibrahim Club (AIC).

Dalam hal ini mungkin sasterawan dan pejuang bahasa Melayu yang kelihatan ramai menyertai demonstrasi itu tidak sedar atau tidak perlu ambil pusing kerana ‘musuh bahasa’ kepada mereka hanyalah kerajaan.

Peraturan wajib menggunakan bahasa Melayu yang sering dituntut oleh pencinta bahasa Melayu tidak perlu dipakai untuk yang lain, terutamanya untuk kalangan penentang kerajaan.

Demikian secebis pemerhatian saya tentang kandungan tuntutan Bersih. Saya dapat mengesan penganjur tuntutan ini menggunakan pelbagai strategi perang yang tidak mulia. Pelbagai tipu helah digunakan demi mencapai matlamat yang mereka anggap lebih agung.

Bayangkan jika ada nyawa orang yang ikhlas dan tidak berdosa hilang dalam suasana dan keadaan yang tidak menentu itu berlaku, tidakkah mereka merasa berdosa terhadap yang terkorban itu semata-mata melayan cita-cita mereka?

Terhadap soalan saya itu, mereka mungkin sudah bersedia dengan jawapan berbunyi “jika polis tidak mengganggu semuanya akan jadi aman.”

Akur sahaja dengan jawapan itu, para pengikut pula seperti tidak terfikir bahawa polis itu bukan dewa-dewa yang tidak pandai marah jika dicaci, dihina, diperbodohkan dengan perkataan-perkataan yang sangat menyayat hati?

Tidakkah perancang demonstrasi yang beragama Islam pula takut akan ingatan “tidak akan mencium bau syurga orang yang menitiskan darah saudaranya yang lain?”

Mungkin mereka akan menjawabnya pula; “Saya telah berijtihad dan saya juga telah bertahajud pada sepertiga malam tadi untuk mendapat petunjuk, dan petunjuk itu memberitahu, “kamu berada di jalan yang benar.”

Sambil termenung saya berfikir, bolehkah masa hadapan negara diputuskan oleh warganegara yang membuat keputusan seperti hendak membeli peti sejuk atau mesin basuh?

TAN SRI DR. NORDIN KARDI, Penyandang Kursi Za‘ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris

One Response “OPINIONS” →
  1. Thank you so much! I am a student. I think that this dictionary is so helpful for me to study about chemistry. (^-^)

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: