Rosnah Majid: Anwar Ibrahim & Kebebasan Media

Kebebasan Media di Malaysia Dari Kacamata Anwar Ibrahim

Oleh: Rosnah Majid

APABILA Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh akhbar tempatan diperalatkan untuk menghakimi, memalukan dan merosakkan nama baiknya, beliau tentu tahu apa yang beliau perkatakan.

Hampir tujuh tahun beliau berkuasa ke atas sekurang-kurangnya dua buah akhbar dan sebuah stesen TV tempatan yang berpengaruh melalui orang-orangnya yang diletakkan sebagai ketua pengarang.

Dalam tempoh itu para wartawan serta para pembaca dapat menyaksikan dengan jelas bagaimana imej Anwar dibina oleh media di bawah kawalannya dengan menonjolkan beliau sebagai seorang tokoh politik yang bersih, bermoral tinggi, berjuang untuk keadilan, masyarakat madani, intelek, berbudaya tinggi dan mempunyai simpati yang besar pada golongan marhain.

Apa yang diperkatakan olehnya telah mendapat liputan meluas. Di sebelah pagi, pembaca dapat membaca melalui akhbar-akhbar utama manakala sebelah malam pembentukan imej itu dibenam lagi di kepala penonton menerusi tv.

Gambar-gambar beliau disiarkan bagi menimbulkan imej yang mahu dibentuk olehnya itu. Proses ini dilakukan bukan sehari, tetapi setiap hari selama tempoh bertahun-tahun. Tidak cukup dengan media tempatan, beliau juga mendapat sokongan kuat daripada media asing, baik yang mempunyai wakil di Kuala Lumpur, mahupun di Hong Kong atau Singapura.

Malah beliau memberi layanan yang jauh lebih baik kepada wartawan asing berbanding wartawan tempatan, kecuali ketua pengarang yang merupakan orang-orangnya.

Demikian juga dengan penyokong-penyokongnya beliau turut mendapat liputan media yang luas. Apabila membaca berita-berita ketika itu, pembaca dapat merasakan bahawa berita dipilih lebih berdasarkan kepentingan kumpulan. Mana-mana tokoh yang tidak sehaluan, ataupun bakal pencabar akan disisihkan daripada mendapat tempat di media kawalan mereka.

Anihnya pada hari ini beliau menjerit mahukan keadilan daripada media tempatan yang dituduh tidak lagi memihak kepadanya. Ini berikutan perletakan jawatan tiga orang kuatnya daripada syarikat akhbar dan stesen tv.

Di waktu beliau berkuasa penuh ke atas media, ramai pihak yang membantah tindakan itu, tetapi tidak membawa apa-apa kesan. Kedudukan mereka begitu kuat untuk digugat. Bantahan terdapat dari dalam syarikat surat khabar mahupun dari luar, termasuk di kalangan para pemimpin UMNO sendiri. Tetapi semuanya tidak berhasil.

Utusan Malaysia sendiri, yang dianggap ramai sebagai salah satu benteng pertahanan orang-orang Melayu, selain UMNO, telah dapat menyaksikan bagaimana akhbar tersebut telah dipergunakan sepenuhnya untuk memenuhi cita rasa berberapa kelompok yang rapat dan disenangi oleh pihak yang berkuasa ke atasnya ketika itu.

Tindakan kumpulan ini dapat dilihat dengan jelas di waktu pemilihan pucuk pimpinan UMNO. Pembentukan barisan Team Wawasan pada 1993 dan pemilihan UMNO pada tahun 1995 telah mendapat dokongan media yang menyokong Anwar secara besar-besaran.

Berita, analisis berita, rencana dna gambar-gamabr disiarkan secara berkesan. Ini lebih-lebih lagi apabila Anwar sendiri mengetuai barisan ini untuk merempuh Tun Ghafar Baba yang dicabarnya bagi pertandingan kerusi Timbalan Presiden UMNO pada November 1993.

Meskipun ketika itu Ghafar menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, namun beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana Anwar mempunyai media tempatan di belakangnya yang sentiasa memberi liputan secara besar-besaran.

Ketika itu saya masih bertugas sebagai Pengarang Ekonomi di Utusan Malaysia. Saya di waktu itu sama sekali tidak senang dengan keadaan Utusan yang menjadi alat kepada kelompok tertentu sahaja dan saya membuat bantahan dari dalam.

Saya mahukan Utusan Malaysia menjadi suara orang Melayu secara keseluruhan dengan memberi liputan yang agak meluas kepada tokoh-tokoh politik dalam UMNO mengikut jawatan mereka dalam parti.

Presiden parti mendapat liputan yang lebih daripada Timbalan Presiden. Timbalan mendapat liputan lebih dari Naib Presiden dan demikianlah seterusnya.

Pemilihan berita dan rencana mesti mengikut nilai berita dengan memberi kesempatan kepada ramai pihak mendapat tempat di dada akhbar, termasuk para pemimpin UMNO, kerana pemegang saham terbesar Utusan adalah UMNO.

Pada 13 April 1993 saya berkesempatan menemuramah Anwar, sebagai Menteri Kewangan, bagi rancangan Wawancara RTM. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bantahan saya terhadap tindakannya mengawal akhbar-akhbar tempatan untuk kepentignan beliau dan kelompoknya.

Di hadapan kamera saya ceritakan bagaimana Anwar telahpun menyusun rancangan rapi untuk mengalahkan Ghafar dengan memperalatkan media tempatan. Saya menghurai di hadapannya dan para penonton, bagaimana beliau mendapat liputan akhbar jauh lebih luas berbanding presiden parti sendiri.

Tan Sri Rahim Tamby Chik telah diadili, dihakimi dan dimalukan oleh akhbar-akhbar yang berada di bawah pengaruh Anwar. Ketika itu Rahim telahpun dihukum lebih awal daripada hukuman ynag dijatuhkan oleh mahkamah. Waktu itu wartawan diarahkan untuk menemuramahkan nama-nama yang diberikan untuk menambah sensasi cerita berhubung dengan tuduhan skandal terhadap Rahim.

Tetapi apabila dua pucuk surat yang bertanda tangan dihantar kepada Perdana Menteri yang menuduh salah laku Anwar, akhbar-akhbar yang sama yang membongkar cerita Rahim tidak pula mengambil pendirian yang sama. Mereka diam membisu. Seorang pengarang sebuah majalah hiburan yang menulis dalam ruangan gosip tentang sebahagian daripada kandungan surat itu telah ditukar.

Tidak ada wartawan yang diarah untuk menemuramah penulis kedua-dua surat tersebut. Tidak ada usaha untuk mengetengahkan kandungan surat-surat tersebut, sehinggalah buku mengenai kandungan surat itu terbit.

Pada hari ini apabila tiga orang kuatnya telah meletak jawatan, Anwar membuat berbagai tuduhan negatif terhadap media tempatan. Sekarang beliau memilih untuk menggunakan media asing.

Dalam politik Malaysia, sokongan media asing bukanlah dianggap satu langkah bijak. Malah ia akan memakan diri sendiri. Sokongan media asing yang berlebihan selama ini terhadap beliau sebenarnya sokong membawa rebah.

Lihat apa terjadi kepada Presiden Anwar Al-Sadat dari Mesir dan Gorbachev dari Rusia, yang begitu popular di kalangan media asing, tetapi ditolak oleh rakyat masing-masing.

Menurut bekas Ketua Pengarang Al-Ahram, Hasanen Heikal dalam bukunya The Autumn of Fury, Sadat menjadi hilang pertimbangan waras apabila beliau menjadi cover story majalah Time dan Newsweek.

Anwar kini sudah tentu mempunyai masa untuk mengimbas kembali apa yang telah dilakukannya sewaktu beliau menguasai akhbar dahulu dan belajar daripadanya. (Dipetik daripada Utusan Malaysia dan modified on 20 November 2010)

sumber – utusan

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: