TS Abdullah Ahmad: Musyuwarah Ala Malaysia

Kekal Musyawarah Ala Malaysia oleh ts abdullah ahmad Sinar Harian 26 jun 2011
oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD sinar harian 26 jun 2011
Pagi Khamis saya mendengar pidato Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk Malaysian Politics: Should It Also Transform With The Economic Transformation? anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara bersama 600 orang tetamu tua muda. Sungguhpun baru saja pulih, baru sangat keluar dari hospital dia kelihatan segar, riang; percakapannya terang dan petah di selangi dengan humor, sindiran, jenaka sepanjang persembahan termasuk masa soal jawab. Ketokohan dan kemampuan Dr Mahathir berusia lewat 80-an amat mengkagumkan.

Memori, minda, fikiran dan gurau sendanya seperti biasa. Saya bersimpati dengan siapa yang akan menjadi ‘sasarannya’ selepas pilihan raya umum ke 13. Bagi mengelakkannya UMNO-BN mesti menang dengan majoriti lebih besar di peringkat parlimen dan dua negeri kembali ke pangkuan UMNO-BN yakni keputusan yang lebih afiat dari Badawi pada 8 Mac 2008. Kalau tidak sejarah akan berulang! Saya rasa UMNO-BN mampu kalau kena strategi dan taktik. Juga andainya kepimpinan parti dan kerajaan tidak di ‘out flankkan’ oleh Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim, Hadi-Mat Sabu dan Lim Guan Eng.

Pada pendapat saya Dr Mahathir yang berucap tanpa nota, tanpa raptai, kurang bersetuju dengan ‘tranformasi’ (the Government Transformation Plan (GTP)) juga dengan ‘the Economic Transformation Plan (ETP). Kita harus teruskan tegasnya dengan dasar konsensus, permuafakatan yang telah memberi kita kejayaan semenjak kemerdekaan; satu masa pertumbuhan ekonomi kita 10 peratus setahun hingga kita dijolokkan sebagai satu antara ‘Asian Tigers’ zaman 1970-1990an. Kita sukses kerana kerajaan kuat, kepimpinan bersatu dan berani di bawah Tun Razak dan Dr Mahathir. Kedua-dua tegas dan bervisi. Polisi mereka tidak berubah-ubah, tiada U-turn! Benar situasi zaman itu memihak pada kita.

Walaupun satu ketika Dr Mahathir dituduh oleh pemimpin-pemimpin Singapura sebagai ‘Pelampau Melayu’ dan seperti biasa gemanya diulangi oleh orang Melayu sendiri seperti sekarang orang lain kata Melayu rasis, Melayu pula berlumba membuat kenyataan.

Sebenarnya Dr Mahathir seorang realis atau pengamal realpolitik. Dasar Ekonomi Baru (DEB), legasi Tun Razak, jelas Dr Mahathir, ‘berjaya’ tanpa dana atau bantuan luar. Bukan Pribumi terus lebih makmur dari sebelum DEB! Malaysia sukses, rakyat senang kalau pun semua tidak makmur dan negara kini terbilang berpendapatan separa tinggi.Malaysia dari dahulu hingga sekarang menjadi ‘magnet’ hingga terus dibanjiri pendatang haram atau dengan izin – Awang Hitam atau lain yang berjumlah berjuta-juta. Jika dasar ‘Musyawarah ala Malaysia’ buruk dan negatif masakan kita antara satu ‘harimau ekonomi’ di rantau ASEAN? Kita terus menarik pendatang dari Afrika, Amerika Selatan, Rusia, Arab dan paling meningkat sekali bilangannya dari Iran!

Bekas Perdana Menteri menggesa kita perlu segera tukar ‘mindset’, minda, pendekatan; gugur sikap dan tabii negatif kalau tidak mahu terus dipinggir dan ketinggalan. Semenjak dua dekad lalu Malaysia telah pun ditransformasikan melalui Multimedia Super Corridor. Malangnya kemajuan koridor tergendala sebab krisis kewangan 1997-98 juga pergolakan merebut kepimpinan dalam UMNO. Apa pun kita terus berkembang dan membangun tanpa meminta sedekah dari IMF (Dana Wang Antarabangsa) dan amat terperanjat memenangi pilihan raya umum waktu itu hingga sekarang. Satu dekad selepas krisis kewangan Asia dan kemelut kewangan merosot 2008, Malaysia, saya kira, sudah pulih, mempunyai kapasiti untuk mara ke arah mencapai status negara Dunia Pertama seperti yang diharap-harapkan sembilan tahun lagi. Boleh atau gagal kita mencapai matlamat itu terpulang pada kita dan ‘political will’ atau iltizam politik dan peribadi serta personaliti Perdana Menteri Najib Razak atau siapa selepasnya.

Pelbagai jenis demokrasi wujud. Biar sahaja kita bicara tentang ‘liberal democracy’ yang diamal di Barat dan Amerika Syarikat (AS), demokrasi ala kita; ala Singapura dan demokrasi cara Beijing. Terang Dr Mahathir pilihan raya di bawah liberal demokrasi cerewet. Kerajaan yang terlampau demokratik dan keterlaluan liberal lazimnya sukar melakukan pembangunan dan membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat maka dia mencadangkan kalau kita mahu ubah juga sistem kerajaan kita ilhamkan satu sistem campuran antara sistem demokrasi Amerika dan sistem pemerintahan komunis China yang telah membukti dan memberi hasil yang amat baik, cepat mencapai pembangunan ekonomi yang menakjubkan.

Saya juga tidak lihat sistem kita lapuk. Apa yang kelihatan ialah kepimpinan, parti dan kerajaan yang daif pada setengah rakyat. Selain dari Najib siapa yang rakyat lihat ke sana ke mari menemui pengundi dan berinteraksi dengan bakal pemilih? Mungkin juga ramai yang berbuat demikian tetapi tidak mendapat tempat dalam media! Untuk kita pantas mencapai apa yang dihajati pilihan kita tiada lain daripada menerima demokrasi ala Beijing.

Seperti Dr Mahathir saya belum lagi putus asa dengan kerenah orang kita. Melayani atau sebaliknya ragam, tingkah laku orang Melayu perlu kebijaksanaan: antara menghulur ‘carrot’ (lobak merah) dan mengguna ‘big stick’ atau rotan yakni menawar mereka harapan mendapat ganjaran (carrot) atau ancaman dirotan! Kita perlukan pemimpin seperti Erdogan yang sungguhpun popular, dihormati juga ditakuti! Orang Melayu kalau mahu mendorong mereka ke tahap yang lebih tinggi mereka harus diperlakukan sebagai anak-anak! Mereka mesti bekerja dan belajar bersungguh-sungguh, tekun dan rajin dan produktif kalau tidak mereka akan dirotan atau paha mereka dicubit.

Saya bersetuju dengan Dr Mahathir GTP dan ETP pun tidak begitu perlu selain sekadar membaiki DEB, memperelokkan good governance, kaedah atau metode yang lebih telus, cekap, bersih dan adil. Yang berkesan dalil dan perbuatan bukan janji atau retorik.

Tanpa pendidikan yang wajar, persediaan yang cukup baik lupakanlah sahaja impian mencapai status negara maju. Sebelum itu berlaku kita mesti mempunyai ramai bilangan modal insan yang berbakat, yang berkualiti tinggi untuk mengepalai penyelidikan, inovasi, transformasi dalam kepimpinan politik, perkhidmatan awam, di universiti, sektor ekonomi, korporat, bisnes dan industri. Hanya melalui penyertaan dan kepimpinan mereka, reformasi, transformasi dalam apa bidang pun akan zahir: lahir, batin dan minda.

Kalau kita miskin bakat yang kritikal, bebas, berani, mempunyai intellectual curiosity yang fleksibel dan praktikal; yang petah berkomunikasi kita akan gagal. Negara kita akan terus berada di tebing atau tepian tanpa dapat menyeberangi sungai yang melintang luas di hadapan kita.

Suka duka kita mesti menguasai Bahasa Inggeris untuk mencapai matlamat kita. Boleh kah kita mewujudkan kembali sekolah yang bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris?

Kini pun kita sudah ada sekolah antarabangsa, sekolah private atau swasta yang bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris, kita juga ada sekolah kebangsaan jenis Cina, jenis Tamil apa lah lagi sekolah kebangsaan tulen. Kenapa tidak wujud sekolah kebangsaan jenis Inggeris dan Arab?

Berilah ibu bapa memilih aliran mana yang mereka mahu syaratnya mata pelajaran Melayu dan kesusasteraan Melayu wajib dipelajari di semua sekolah. Zaman saya dulu kalau tidak lulus Bahasa Inggeris kita tidak akan dapat sijil. Kenapa kita tidak wajibkan kelulusan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebelum mendapat sijil atau tanpa kedua tidak layak ke universiti?

 

One Response “TS Abdullah Ahmad: Musyuwarah Ala Malaysia” →
  1. Never thought blogging could be soo fun and interesting. Man you know how to do it brother.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: