Kamaruzzaman Kadir itu Dharmawijaya.

DHARMAWIJAYA YANG SAYA KENAL: SATU RETROSPEKSI

Dharmawijaya, atau nama sebenarnya Kamaruzzaman Abd. Kadir   bukan nama asing dalam bidang penulisan dan akademik. Beliau yang juga pernah menggelar dirinya K. Zaman, menghembuskan nafas terakhirnya di rumah hospital Seremban, April 2005 (persisnya lima tahun tiga bulan hari ini) masih mempunyai kontrak dengan Universiti Putera Malaysia di Serdang sebagai Sarjana Tamu. Beliau ditugaskan untuk membuat kajian tentang  Keris dan sejarah perkembangannya di Negeri Johor.
Sasaran kajiannya ini sebenarnya sedikit terkeluar daripada bidang puisi yang hampir sinonim dengan namanya. Mengapa keris dan tidak puisi-puisi atau pemuisi di Johor? Apabila ditanyakan kepada salah seorang rakan sekerjanya di universiti itu tentang perkara ini, rakannya itu tidak dapat menjawab. Barangkali Dharmawijaya mahu mencari kelainan setelah hampir seluruh kerjayanya sebagai guru, pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka dan ahli akedamik di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, beliau mahu mencari “angin baru” dan pengalaman baru dalam bidang yang sama sekali asing baginya. Telah masuk tahun ketiga Dharmawijaya menjadi pegawai kontrak.

Lahir di Kampung Talang, Senaling, Kuala Pilah, Dharmawijaya mengenal dunia melalui kawasan sekitar kampungnya yang berbukit dan berbendang; berpaya dan bersungai. Beliau membesar dalam balutan resam budaya lingkungan adat perpatih. Alam terkembang menjadi guru dan ia menjadi objek renungannya. Jiwanya sensitif kepada sekitaran sehingga akhirnya sensitiviti itu ditumpahkan ke dalam tulisan-tulisan yang puitis. Pernah beliau menulis, “Kata adat banyak kiasan; ditunjuk dia tetapi bukan; bergulung pendek panjang terentang; tidak faham kalau tidak direnungkan.” Pentafsiran tentang sekitaran memperkaya bait-bait puisinya. Segalanya dikumpulkan dalam beberapa buah antologi, yang terawal Warna Maya.
Banyak yang menganggap Warna Maya adalah Dharmawijaya dalam puisi. Dua dekad sesudah itu, persisnya tahun 1993 lahir pula Derita Buana. Ini diikuti oleh Bintang Mengerdip (1984), Di penjuru Matamu (1975) dan Lagu Kehidupan (1983). Antologi Bahasa Alam yang disusunnya bersama Allahyarham Ma’arof Saad pernah menjadi buku teks kesusasteraan di peringkat SPM mulai tahun 1984. Hampir 200,000 naskhah dicetak.

Satu hari dalam bulan September 1996, saya menghantarnya pulang ke rumahnya di Taman Rashidah Utama, Seremban. Kami baru sahaja selesai menghadiri Seminar Pengemaskinian Prasejarah Negeri Sembilan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Bandar itu. Beliau mempelawa saya masuk ke rumah tetapi saya menolak kerana  hari hampir Maghrib dan saya perlu pulang ke Bandar Baru Bangi. Perjalanan masih jauh. Saya memerhatikannya sehingga dia dimamah senja.

Inilah rumah yang sering saya kunjungi pada akhir-akhir tahun 1980an dahulu. Begitu kerapnya saya bertandang ke rumah ini sehingga saya hampir tidak percaya  bahawa sudah enam tahun lamanya saya tidak menjejakkan kaki, walau hanya di pintu rumahnya. Dan dia pun seperti menyendiri  dalam dunianya dan sesekali saya temui dunia rindunya itu melalui bait-bait puisinya dalam media yang langsung atau tidak langsung mempamerkan kehadiriannya.

Saya dapat membayangkan betapa dia acapkali akan merenung nun jauh ke timur melalui jendela kamarnya. Renungannya akan membelah gunung dan ngarai di depannya, lalu renungannya akan terus menerjah dinding kamarna menuju satu daerah di mana dia dilahirkan, iaitu di Kampung Talang. Barangkali pula ketika itu dia melepaskan resah rindunya kepada kampong halaman laksana sembilu menhiris pedih hatinya, lalu dia pun menghimbau:

Pada teguh tenangmu

                Menerima hari-hari yang pergi dan datang

                Pastilah ditidur jaga anak-anakmu

                Sayu matanya ke sawah ladang

                Pilu hatinya di bukit berjurang

Betapa degup jantungnya tiba-tiba menjerat emosinya lalu ingatannya menelusuri bendang luas di depannya yang dipagari petak permatang dengan sungai membelah lalu dari utara ke selatan. Di seberang sungai tersergam teguh banjaran bukit menghijau, dadanya menampung rezeki petani seisi desa. Dan setiap petang sinar matahari akan menghilang di celah rimbunan belantara sepanjang banjaran, tanda sehari lagi meningkatnya usia desa dan para penghuninya.

Demkian pulalah Dharmawijaya, nama sebenarnya Kamaruzzaman Abd. Kadir, seorang penyair tanah air yang banyak melahirkan puisi-puisi tentang petani.  Kampung Talang yang merupakan tanah kelahirannya adalah wajah daripada suatu kehidupan masyarakat petani yang banyak terpancar dalam puisi-puisi Dharmawijaya.  Kampung Talang dan Dharmawijaya hampir menjadi sinonim, Dharmawijaya menjadi terkenal sebagai penyair yang banyak mengungkapkan masalah dan aspirasi rakyat tani di samping gambaran desa kampung halamannya sendiri.  Hingga kini sudah lebih tiga puluh tahun Dharmawijaya mengabdikan dirinya dalam dunia perpuisian Melayu.

Demikian pulalah, anak Kg. Talang ini seada hayatnya akan merenung jauh  ke timur, meladeni jiwa romantisnya, memuja-muji realiti alam dan waktu yang berlalu. Sejak tahun 1967, dia terus mengaprisiasi ketulusan tanah leluhurnya yang telah memperkenalkan dirinya erti hidup dan kehidupan.

Itulah Dharmawijaya, yang menurut Ahmad Tarmizi, penulis Riau adalah nama Indonesianya. Dharmawijaya adalah “warna maya”, segugus puisi  rasa seorang insan yang lahir  daripada sudut jiwa dan kejiwaannya.

Dharmawijaya berpendidikan sekolah Melayu sehingga tahun 1952. Menerima pendidikan di peringkat pengajian tinggi sehingga memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1976. Menjadi pendidik di pelbagai sekolah, terutama di Sekolah Chi Hwa Seremban sebagai guru Bahasa Kebangsaan dan Sekolah Menengah Datuk Abdul Samad di Tanjung Ipoh sebagai guru kanan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu.  Antara tahun 1966 hingga tahun 1967, beliau dilantik oleh Kementerian Pelajaran menjadi pensyarah sambilan untuk memberi kursus kepada guru-guru Pusat Latihan Daerah dalam mata pelajaran kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.  Beliau kemudian dipinjamkan untuk berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pembantu sastera.  sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1973.  Kemudian beliau mengambil ijazah Sarjana Sastera juga dari Universiti Malaya pada tahun 1981.  Setelah berkhidmat beberapa ketika di pelbagai sekolah di Seremban beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beberapa tahun kemudian beliau dilantik sebagai Profesor Madya di jabatan yang sama hingga beliau bersara.

Dalam bidang kesusasteraan, beliau mula berjinak dengan genre puisi sejak aawal tahun-tahun 1960-an. Puisi awalnya berjudul “Kerana Hati” dengan menggunakan nama pena K. Zaman. Kemudian lahir pula sajaknya “Anak Perantau” yang tersiar dalam Mastika Oktober 1962. Beliau mengasah bakat menulisnya ketika menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, yang terkenal dengan panggilan Maktab “Suluh Budiman.” Beliau banyak belajar melalui bacaan buku-buku sastera dari Indonesia.            Dengan lahirnya puisi-puisi beliau yang begitu banyak yang memenuhi ruangan-ruangan sastera dalam akhbar-akhbar tempatan seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Zaman dan Masyarakat dan Mastika, memang tidak perlu diragukan lagi tentang minat dan kebolehannya dalam sastera, khususnya puisi.  Kebolehan beliau dalam menggubah pantun untuk rancangan Televisyen Malaysia yang pernah diterbitkan oleh Zainal Abu beberapa ketika dahulu juga memperlihatkan kebolehan yang membanggakan peminat-peminat pantun di tanah air.

Dengan mewarisi keupayaan yang serba boleh ini, beliau dilantik menjadi Ketua I badan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM), sebuah badan yang aktif dalam kegiatan sastera pada tahun 1976.  Ketika itu Dharmawijaya masih lagi menjadi mahasiswa.  Dengan pimpinan beliau, ISUM telah berjaya menerbitkan sebuah kumpulan puisi yang berjudul Bila Kita Berbicara. Walau bagaimanapun setakat ini, Dharmawijaya telah menghasilkan dua buah kumpulan puisi, Warna Maya (1974) dan Derita Buana (1992).

Jika kita hayati ulasan karyanya oleh pengkritik tempatan nescaya kita dapati Dharmawijaya sebenarnya menilai kehidupan desa bersama manusianya.  Dalam “Kampung Talang” , Dharmawijaya melihat masyarakat tani dengan masalah kemiskinannya dan iyang digambarkan dengan segala kejujuran. Bacalah juga bait-bait dalam puisi-puisinya seperti “Cinta Sayang di Sawah Ladang”, “Balada Gadis Tani”, dan “Senyum Anak Tani”, dan sebagainya.  Nada suaranya simpatik melalui pemerhatiannya dengan usikan rasa yang mengharukannya. Buku kajiannya “Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 yang merupakan tesis sarjananya telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/1983.  Sebelum itu, puisinya “Sumpah Tanah Air” dan sebuah lagi bertajuk “Masih Ada” masing-masing terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera dalam tahun 1971 dan 1976.  Dharmawijaya kemudiannya dilantik menganggotai Panel Hakim Hadiah Sastera Malaysia mulai tahun 1984/85. Sebelum dilantik panel hakim beliau pernah pula menjadi pemenang Hadiah Sastera Malaysia beberapa kali, iaitu pada tahun 1971, 1976 dan 1982/83. Semuanya dalam bidang puisi.

Selepas bersara dari Universiti Malaya, beliau berkhidmat pula di Universiti Putera Malaysia, Serdang, sebagai Sarjana Tamu di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Pengajian Bahasa-bahasa Moden, mulai 1996 sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 2005. Selain itu beliau telah dilantik menjadi Ketua Penilai Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak dan menganggotai Panel Anugerah Sastera Sarawak mulai tahun 1992.      Dharmawijaya telah terpilih menerima Anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok pada tahun 1993, Anugerah Penyair Gapena 1999 dan Anugerah Pujangga UPSI pada tahun 2002. Sebagai anak Negeri Sembilan yang telah berjasa dalam bidangnya, beliau telah dianugerahkan Darjah Setia Negeri Sembilan pada tahun 1995.

Masih saya ingat ikatan kami berlima, iaitu Datuk Prof. Dr. Hashim Awang, kini di Universiti Brunei Darussalam,  Prof. Madya Dr. Othman Puteh (allahyarham), Sdr. Mohd. Yusof Md. Noor, Dharmawijaya (Allahyarham) dan saya sendiri. Pada suatu ketika dalam tahun-tahun 1980-an, kami sering sahaja berpergian bersama-sama, terutama mengunjungi tanah seberang, Indonesia. Tiga bandar utama sering kita kunjungi, iaitu Medan, Jakarta dan Bandung. Biasanya kami ketika pergi kami hanya membimbit satu beg pakaian tetapi ketika pulang ke tanah air beberapa hari kemudian, jumlah beg bertambah. Ada yang membawa dua beg dan ada ketikanya tiga buah.Isinya bukan pakaian tetapi buku yang kami beli daripada toko-toko buku.

Masih saya ingat Allaahyarham Dharmawijaya berebut-rebut buku dengan Allahyarham Othman, tertama ketika berada di Toko Gramaedia di Jakarta atau Toko Deli di Medan atau toko buku al-Maarif di Bandung.

Ketika berebut buku itulah Dharmawijaya sering berkata beruang-ulang bagaikan melarang kami merebut nashkah buku di rak atau di tangannya. Katanya dalam satu ayat pendek, “Ini ese punyo,” dalam loghat Negeri Sembilan yang pekat. Dan kami selalunya akan ketawa panjang melihat karenah dan gelagat beliau, terutama ekpresi wajah di mukanya. Dharmawijaya benar-benar menghiburkan kami. Inilah pengalaman yang tidak mudah kami lupakan ketika bersamanya di toko-toko buku.

Dan satu lagi cerita yang mungkin dapat kita kongsi bersama ialah tentang proses menyiapkan manuskrip untuk kami terbitkan dalam bentuk buku. Ketika saya bertugas di Penerbit Fajar Bakti pada tahun-tahun 1980-an, kami sering memintanya menyiapkan manuskrip. Biasanya kami akan memberikannya tempoh masa yang cukup untuk menyiapkan. Dan dalam mengejar deadline, lazimnya juga kami akan menghubunginya dengan langsung berkunjung ke rumahnya. Sepanjang pengetahuan kami, belum pernah sekali Dharmawijaya dapat menyiapkan manuskripnya mengikut jadual. Dan kami menjangkakan demikian dan atas dasar itulah kami sengaja mempercepat tempoh deadline, kerana kami amat memahami sikapnya dengan “masa”.

Bagaimanapun apa yang hendak kami ceritakan ialah tentang tingkahnya yang meyakinkan. Pernah suatu waktu saya dan Maarof Saad (Allahyarham), editor yang mengendalikan bukunya mengunjungi rumahnya pada malam hari di Taman Rashidah Utama, Seremban. Ketika kami sampai Dharmawijaya telah sedia menunggu di get rumahnya. Yang menghiburkan kami ialah cara beliau meyakinkan kami bahawa permintaan deadline kami itu akan segera dipenuhi. Dharmawijaya akan berkata, “Siap. Jangan bimbanglah.” Dan sambil itu kedua-dua ibu jari kakinya akan menguit-nguit mengikut pertuturannya. Ini dilakukannya berulang-ulang kali sambil kami menikmati minuman. Benar-benar kami terhibur dibuatnya sehingga kami lupa tujuan sebenar kami mengunjunginya. Begitu juga halnya ketika kami minum di warong kopi atau di restoran. Dharmawijaya akan membiarkan teh tarik panasnya beberapa ketika tanpa disentuh. Jadi kami ahajalah yang minum dan apabila kami tegurnya supaya meneguk teh tariknya dengan selamba beliau menjawab, “Minumlah dulu. Nanti ese minum.” Lantas beliau berada seperti orang berfikir, merenung ke hadapan, mungkin melihat kenderaan yang lalu lalang atau tengah “dirasuk” ilham. Kami tidak pasti. Sesekali beliau memerhatikan kami minum. Setelah beberapa minit, Dharmawijaya akan menyentuh cawan atau gelas minumannya, barangkali untuk memastikan apakah tehnya sudah pada pereingkat suam-suam panasnya. Dan kemudian dengan sekali lalu beliau akan menghirupnya hingga habis.

Demikianlah Dharmawijaya yang kami kenal.  Hubungan kami secara peribadi bermula pada tahun 1972, persisnya pada hari Isnin, 7 Februari, ketika saya mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dharmawijaya diperkenalkan kepada saya oleh Saleh Daud (Allahyarham) yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Unit Sastera Kanak-Kanak, merangkap editor Dewan pelajar. Dharmawijayapula  berugas sebagai Penolong editor majalah berkenaan. Dharmawijaya menyapa saya, “Koba Cik Fadil kita. Donga eh kito ni warihkan?”  Lalu kami bersalaman. Saya duduk bersebelahan dengan beliau. Dan di dalam bilik kerja itu ada Kemala (Datuk), Shamsuddin Jaafar, Awal il-Sarkam dan  A. Karim Abdullah. Kmi berenam sebilik. Memagari kami ada Usman Awang di bilik sebelah kiri dan Abdullah Hussein dan Saleh Daud di bilik sebelh kanan. Dan gurauan dan mainan bibir kami waktu ialah sebutan “haji tahir” dan “Dol Keropok”. Sesekali pintu bilik dibuka dan dengan dengan ketawa kecil Wijaya Mala menegur kami semua, terutama Awam il-Sarkam yang duduk dekat pintu, “ Assalamualaikum Haji Tahir!”. Sampai sekarang ini kami masih tidak tahu siapa sebenarnya Haji Tahir. Barangkali Kemala tahu tetapi sengaja menyembunyikan rahsia itu daripada  saya.

Demikianlah teman seiringan dan sepermainan dalam dunia sastera, Dharmawijaya yang kebetulan pada saat pemergiannya diratap duka oleh kawan-kawan yang mengenalinya. Ketika dimaklumkan pemergiannya pagi 5 April itu bakal Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Dr. Firdaus Abdullah, menghubungi saya untuk menziarahi Allahyarham di kediamannya di 31, Taman Rashidah Utama, Jalan Paroi-Senawang, Seremban. Dan bersama Prof. Dr. Shamsul Amri Baharuddin, kami menelusuri semak-hidup Allahyarham secara retrospektif, sambil membanding-banding pengalaman bersamanya dalam pertemuan ringkas di kelab Golf Seremban, kira-kira tiga kilometer  dari kediaman Allahyarham. Seperti baru semalam saya bersama Allahyarham Dr. Othman Puteh dan Mohd. Yusof Md. Nor dari Universiti Kebangsaan Malaysia hadir dalam satu kenduri kesyukuran di rumah Allahyarham di Kg. Talang, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah. Bagaikan terpandang wajah senang Allahyarham menyambut kami bersama isterinya Zaini Ma’aya dan dua daripada anaknya, Susilawati dan Asrul Effendi. Anak ketiganya Iza Hairani masih terlalu kecil. Kalaulah masih lagi bersama kita Allahyarham hari ini akan berusia 73 tahun dan barangkali sedang menikmati udara nyaman daerah Taman rashidah pada suatu oetang menunggu senja tiba.(Catatan April 2005).

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: