A.F.Yassin: Janji Firdaus Memperkasa BM

Dewan Bahasa dan Pustaka

Logo DBP Image via Wikipedia

Janji Firdaus Memperkasa Bahasa Melayu

Oleh A.F.Yassin

Dalam satu sidang akhbarnya Selasa 3 Mei 2004 yang lalu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baru, Datuk Dr. Firdaus Abdullah dilaporkan sebagai berkata tanggung jawab memperkasa bahasa Melayu bukan hanya oleh orang Melayu tetapi “kaum lain juga”. Katanya, “Kita harap mereka tidak berpuas hati dengan belajar sahaja bahkan kita harap mereka akan turut sama membina bahasa Melayu sebagai bahasa  kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.” Sidang akhbar ini diadakan selepas pertemuan sulungnya dengan pegawai dan kakitangan DBP.

Menurut Firdaus penglibatan bukan Melayu ini penting. Ia adalah sebahagian daripada usaha DBP ke arah memperkasa bahasa dan sastera kebangsaan. Pihak lain yang akan turut dilibatkan ialah Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan, media massa, badan-badan sastera dan persatuan penulis. Kecuali yang bukan Melayu penglibatan badan-badan lain itu telah lama wujud. Cuma seperti kata seorang pegawai DBP, “kerjasama mereka tidak sampai ke mana. Kerjasama itu masih banyak dalam bentuk mendapatkan dana dan bantuan kewangan di samping penglibatan pegawai DBP sendiri. Lagi pula, pegawai pegawai DBP ada yang menjadi ahli jawatankuasa badan-badan penulis. Tak salah kalau saya katakana kerjasama meraka lebih pribadi sifatnya.”

Seorang mantan pegawai DBP, ketika ditemui, amat bersetuju dengan pandangan Firdaus tentang penglibatan bukan Melayu. Katanya, “Sejak DBP ditubuhkan seolah-olaha tugas memartabatkan bahasa Melayu hanya tanggung jawab orang Melayu dan Dewan Bahasa sahaja. Sudahlah kakitangan Dewan Bahasa hampir 100 peratus Melayu, kegiatannya juga hampir semuanya orang Melayu.”

Mantan pegawai ini mahu Firdaus mengorak langkah menghampiri masyarakat bukan Melayu dengan pelan tindakan yang rasional dan berkesan. Katanya lagi, “Libatkan mereka secara menyeluruh, tidak setakat penulis bukan Melayu. Ini kita lihat balik-balik orang bukan Melayu itu sahaja yang terlibat. Itu pun dia penulis, bukannya anggota masyarakat daripada pelbagai. Saya yakin kegagalan kita memartabatkan bahasa Melayu selama ini sebahagiannya berpunca daripada kegiatan yang terlalu berpusat kepada orang Melayu  sahaja.”

Sesetengah pemerhati kebudayaan berpendapat Firdaus tidak perlu banyak retorik jika mahu memartabat bahasa sekaligus meninggalkan satu legasi berpanjangan di DBP. Menurut mereka Firdaus hendaklah berani melakukan rombakan dalam infrastruktur kegiatan institusi itu, walaupun tidak sampai mencabut dasar dan fungsi DBP itu sendiri. Satu kaedah dicari bagaimana masyarakat bukan Melayu, bukan setakat penulis sahaja, dapat berinteraksi dan mendekatkan diri dengan DBP. Kata mantan pegawai tadi, “Hari ini dan sebelumnya orang bukan Melayu datang ke Dewan Bahasa kerana hendak membeli buku sekolah. Atau majlis keraian yang diselenggarakan badan-badan luar yang menggunakan balai dan dewan di bangunan itu.” Ketika Allahyarham Usman Awang memimpin Persatuan Persahabatan Malaysia-China, mesyuarat sering diadakan di DBP, tetapi sekarang jarang pula didengar ia mengadakan mesyuarat di tempat yang sama.

Salah satu cara memperbanyak penglibatan masyarakat bukan Melayu untuk memperkasa bahasa Melayu ialah DBP mempastikan setiap kegiatan yang diadakan mengambil kira kerjasama tokoh-tokoh  bukan Melayu dalam pelbagai bidang tetapi mempunyai nawaitu ikhlas terhadap perkembangan bahasa Melayu. Kata mantan pegawai tadi, “Kalau mereka enggan datang, Dewan Bahasa sendiri perlu ambil inisiatif menghampiri mereka. Mungkin Dewan Bahasa boleh manfaatkan penulis-penulis bukan Melayu yang sudah berjinak-jinak dengannya.”

Satu cara lagi yang mungkin amat berkesan ialah membuka ruangan dalam majalah-majalah terbitan DBP kepada tulisan-tulisan yang bersifat majmuk dalam semua bidang, khususnya kebudayaan, cara hidup dan pandangan bukan Melayu. Dengan syarat semua tulisan hendaklah ditulis dalam bahasa kebangsaan. Misalnya, tulisan tentang budaya orang Cina disiarkan dalam Dewan Budaya. Begitu juga halnya dengan tulisan tentang kesusasteraan atau politik orang Cina, India dan sukubangsa yang lain. Bukan setakat menyiarkannya sekali-sekala tetapi sebagai satu ruangan tetap. Kejayaan berbuat demikian amat bergantung kepada “kelihaian” editor majalah berkenaan untuk mendapatkan tulisan-tulisan begini.

“Kita jangan berfikir oleh kerana dia orang tak siarkan tulisan tentang orang Melayu dalam media mereka, jadi tak perlulah siarkan hal mereka dalam majalah kita. Jika berfikiran begitu matlamat mendekati mereka tidak akan tercapai. Kita berpegang kepada agenda nasional, bukan agenda orang Melayu. Ertinya untuk memperkasa bahasa, kita perlukan penerimaan umum bukan Melayu. Ini fakta,” kata mantan pegawai tadi. “Kalau boleh elakkan majalah-majalah yang berbau kebudayaan seperti Dewan Budaya dan Dewan Sastera daripada menyiarkan tulisan-tulisan yang terlalu ilmiah atau akademik sehingga menakutkan pembaca. Sebaiknya tulisan hendaklah mesra-pembaca dan bukannya mesra-penulis.”

Tulisan-tulisan ilmiah begini hendaklah ditampung oleh majalah lain berbentuk jurnal seperti Tenggara atau yang berkonsepkan majalah Pemikir  yang diterbitkan Utusan Karya Sdn Bhd. Apapun jua Firdaus dengan pegawai-pegawai perlu mewujudkan pelan tindakan yang berkesan jika beliau mahu melihat penglibatan bukan Melayu untuk memertabatkan bahasa Melayu.

Sehubungan dengan ini juga ada pencinta bahasa dan sastera mahu Firdaus mengkaji manfaat daripada pelbagai kegiatan antarabangsanya, terutama dalam bidang sastera. Mereka berpendapat selama ini DBP menanggung sebahagian besar kos kegiatan berkenaan. Menurut mereka, kadang-kadang manfaat yang diterima DBP tidak setimpal dengan perbelanjaan yang dikeluarkan.

Contohnya mereka mempersoal kebijaksanaan DBP meneruskan projek Hadiah Sastera Mastera. Mereka bertanya, “Adakah kos menyelenggarakan Hadiah Sastera itu ditanggung sama rata oleh negara-negara yang terlibat? Dan selama ini apa manfaatnya kepada pengarang-pengarang Malaysia kerana setiap kali pengumuman dibuat jarang kita dengar pengarang Malaysia menerima hadiah. Satu pertanyaan kecil siapa menanggung kos perbelanjaan persidangan anggota-anggota penilai dari negara-negara yang terlibat?”

Dalam pada itu, Jika Firdaus mengutamakan agenda menyelesaikan masalah dalaman DBP maka tidak dapat tidak beliau akan memberikan perhatian yang lebih kepada aspek dalaman, iaitu masalah profesionalisme pegawai dan kakitangannya dan hubungannya dengan bidang penerbitan buku, pembinaan dan pengembangan sastera dan bahasa kebangsaan. Kegiatan luaran  yang manfaatnya kurang dirasakan oleh masyarakat Malaysia, khususnya pengarang-pengarangnya perlu dikurangkan.

Berkaitan dengan masalah profesionalisme pegawai dan kakitangan ini, Pengerusi Jemaah Pengelola DBP Tan Sri Kamarul Ariffin yang berucap mengalu-ngalukan kedatangan Firdaus, berharap Ketua Pengarah baru itu dapat “menyediakan pelan penggantian yang baik dan berkesan buat pegawai dan kakitangan kerana ramai pegawai kanan bakal bersara dalam setahun dua ini.” Beliau juga berharap sebarang perlantikan pegawai kanan, termasuk Ketua Pengarah, keutamaan hendaklah diberi kepada orang dalam. Hal ini disebabkan bidang dan tugas  dalam DBP berlainan berbanding bidang dan tugas dalam Perkhidmatan Awam. Tidak jelas apakah ucapan Kamarul itu merujuk kepada perlantikan Firdaus atau ia hanya satu ingatan ikhlas kepada pihak berwajib bahawa “orang dalam” tidak kurang wibawanya berbanding “orang luar”.

Menariknya ucapan Kamarul ini ialah ia senada dengan pernyataan akhbar Kesatuan Sekerja DBP beberapa bulan lalu yang mahukan “orang dalam menggantikan Aziz Deraman” sebagai Ketua Pengarah. Ramai yakin ucapan Kamarul tidak sesuai dilafazkan dalam peretmuan sulung Firdaus dengan para pegawai dan kakitangannya. Apakah Kamarul secara tidak langsung memberi satu cabaran kepada Firdaus supaya berkerja dua kali lebih kuat berbanding ketua pengarah lalu kerana beliau “orang luar”. Jika demikian halnya Firdaus berdepan dengan tugas berat mempastikan beliau mampu meninggalkan satu legasi berpanjangan di DBP, sekurang-kurangnya dalam usaha utamanya memperkasa bahasa Melayu. (Modified on 6 Mei 2005).

 

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: