Salbiah Ani: Collins Tegur Kelemahan Kamus DBP

National University of Malaysia

Collins pernah bertugas di UKM Image via Wikipedia

(Dipetik daripada artikel “Godam Collins tegur bahasa Melayu lara”  oleh  Salbiah Ani bh 7 julai 2011
bhnews@bharian.com.my)
2011/07/07

SAYU hati penulis bila membaca kritikan Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara, Northern Illinios University (NIU), Amerika Syarikat (AS), Prof Dr James T Collins, terhadap kelemahan Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ini kerana kritikan datang daripada orang putih yang bahasanya begitu disanjung tinggi di seluruh dunia apalagi di Malaysia, tak kira bangsa mahupun status sosial sehingga bahasa Melayu yang haknya sudah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan terpinggir dalam sedar.

Agaknya apa perasaan pemimpin politik negara ini khususnya Melayu termasuk tokoh di kalangan parti pemerintah yang ‘mabuk’ bahasa selama ini sehingga sanggup menjunjung bahasa penjajah ke hulu ke hilir di negara sendiri, meskipun sedar mereka berlaku ‘khianat’ terhadap bahasa Melayu?

Bahasa Melayu hanya meniti semula di bibir pemimpin politik tanah air sejak akhir-akhir ini dalam gembar-gembur pilihan raya umum yang semakin hampir dan tentunya semua boleh membaca niat di sebalik keselesaan berbahasa Melayu!

Hakikatnya penulis tidak terkejut dengan teguran Prof Collins kerana pakar linguistik, leksikografi, dialektologi Melayu dan perubahan sosial dalam bahasa minoriti di Asia Tenggara itu, lama mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, selepas melepaskan jawatannya di Universiti Hawaii.

Pertemuan kali pertama dengan Prof Collins lebih sedekad lalu, juga menyebabkan penulis malu sendiri kerana keupayaan berbahasa beliau begitu mengagumkan sehingga tidak berlaku sama sekali bahasa rojak sekalipun dalam bahasa perbualannya.

Begitu juga pertemuan penulis dengan pakar dialektologi, Prof Dr Bernd Nothofer, pada pertengahan 1997 yang ketika itu berkhidmat sebagai Pengarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman; bahasa Melayunya hebat mengalahkan orang Melayu sendiri.
Bertambah terkedu penulis apabila minatnya terhadap bahasa Melayu turut dipanjangkan dalam kajian dialek Kebumen di kalangan generasi muda masyarakat Jawa di Ulu Langat, Selangor, selepas lebih 70 tahun keluarga mereka berhijrah ke sini.

Prof Collins mendakwa Kamus Dewan tidak mencerminkan ketelitian penyusunannya kerana gagal memberi definisi untuk setiap perkataan sehingga perbezaan sosial mengikut kelas dan fungsi sosial tidak ‘diserapkan’, lalu ‘menyusahkan’ pengguna bukan Melayu.

Tidak ketinggalan sarjana itu juga kesal kerana DBP tidak memberi tumpuan kepada definisi bersifat teknikal sehingga Kamus Dewan yang sepatutnya menjadi rujukan rasmi di negara ini, tetapi ‘tersangkut’ pada dekad 1960-an dan 1970-an serta terikat kepada kesusasteraan.

Pasti ada yang mempersoalkan kekaguman penulis memandangkan kedua-dua tokoh terbabit adalah sarjana dan sememangnya menjadi tanggungjawab mereka untuk melakukan penelitian terhadap bahasa sasaran yang menjadi bidang pengkhususan masing-masing.

Bagaimanapun teguran itu membuktikan betapa orang putih tahu menghargai bahasa Melayu, meskipun ia bukan bahasa nenek moyang mereka sehingga membangunkan Online Multimedia Learner’s Dictionary of Malay yang juga projek khas Kementerian Pendidikan AS sejak Ogos 2009.

Rasa kasih ‘orang luar’ terhadap bahasa Melayu jauh berbeza dengan sebahagian besar rakyat Malaysia yang majoritinya taksub terhadap bahasanya sendiri dan sentiasa memandang serong kepada keupayaan bahasa Melayu sehingga sanggup melabelnya tak cukup perbendaharaan kata.

Sikap tidak tahu menari, dikatakan lantai jongkang-jongket sebahagian besar bangsa Melayu sehingga termakan dengan ‘pembohongan’ bahasa Melayu tak cukup istilah @ tidak cukup perkataan, maka terjadilah terjemahan langsung ‘out side the box’ sebagai di luar kotak, sedangkan ia bermaksud di luar lingkungan, di luar ruang lingkup, di luar kepompong atau di luar kerangka!

Lalu online yang sepatutnya diterjemahkan sebagai dalam talian menjadi di atas talian, seolah-olah semut sedang berjalan dalam kumpulan mereka, sedangkan istilah tepat mengenainya sudah dikeluarkan DBP, tetapi entah mengapa pengguna bahasa Melayu enggan menggunakannya!

Suatu hakikat bahawa bangsa Melayu sememangnya suka menggunakan perkataan dan istilah secara semberono, lalu apa yang hendak dikatakan apabila judul seperti ‘‘Busker’ patut dihargai’ (Penyanyi jalanan patut dihargai’ dan ‘Penjenamaan semula zakat lebih ‘catchy’ pikat pembaca’ (Penjenamaan semula zakat lebih pikat pembaca), diterbitkan dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu!

Begitu juga dengan penggunaan ‘e-book’ sedangkan ‘e-buku’ atau lebih tepat ‘buku-e’ yang sepatutnya digunakan dan perkataan pesta tenggelam oleh penggunaan ‘fiesta’ mahupun ‘karnival’ berleluasa dek sikap bangsa Melayu yang murtad bahasa dalam rempuhan globalisasi.

Bangsa Melayu juga suka menunjukkan sikap canggih tak kena tempat dalam bahasa Melayu yang dapat dilihat melalui penggunaan ejaan secara membabi-buta seperti ‘xplorasi’, sehingga lupa hakikat bahawa bahasa Melayu ada sistem ejaan baku yang perlu dipatuhi!

Begitu juga dengan ‘fraction’ dengan selamba digunakan seorang pemimpin sebagai fraksi sedangkan istilahnya dalam bahasa Melayu iaitu pecahan, serpihan, bahagian sudah hadir dalam bahasa Melayu sejak berzaman.

DBP selaku badan berwibawa dalam hal bahasa Melayu perlu menerima teguran orang luar, meskipun pahit untuk ditelan kerana kelemahan itu membuktikan ‘pemasaran’ bahasa Melayu lemah, meskipun ratusan ribu wang sudah dibelanjakan bagi tujuan memartabatkan bahasa itu.

 

One Response “Salbiah Ani: Collins Tegur Kelemahan Kamus DBP” →
  1. Hey, awesome site.I saw this on bing on a semi related term. Reguards from Africa

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: