Malungun: Tiada Kompromi Tentang BM

TIADA KOMPROMI UNTUK BAHASA —  MALUNGUN

 A.F.Yassin

Seumur hidup, saya belum pernah tatap muka dengan Malungun, sehinggalah pada hari Mesyuarat Agung Perwakilan yang ke-28 Gapena di Rumah Gapena, 8 Mei yang lalu. Mujur juga Sutong Umar RS memperkenalkan saya kepada Malungun yang kebetulan sedang berbual dengan Mokhtar Yassin dari Melaka. Kami berpandangan beberapa ketika.

“Ah ni Malungun! Pak Mokhtar Yassin!”  perkenal Sutong.

Kami bersalaman.

Selama ini saya cuma dapat bayangkan sahaja nama Malungun dan kegiatannya dalam bidang persuratan melalui media dan cakap-cakap teman dan kawan. Malungun memang  nama besar dalam bidang kewartawanan dan kesusasteraan, malah juga dalam bidang penerbitan buku. Pengembaraannya dalam ketiga-tiga bidang ini amat luas dan berkongsi pengalaman bersamanya sudah tentu amat “berbaloi”. Saya meminta kesempatan untuk berbual-bual dengannya. Dia menulis nombor  telefonnya: 03-4418522. Pejabatnya di Tk 17, Plaza Pekeliling, Kuala Lumpur. Malungun berrtugas dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Hubungilah saya dan saya sentiasa ada di pejabat.”

Beberapa hari kemudian saya mengunjunginya.

“Bagaimana sekarang, kerja terkeluar sekali daripada bidang yang pernah saudara buat dulu?”

“Tidak juga. Di sini pun saya buat kerja-kerja yang berkaitan dengan bahasa. Sejak tahun 1996 lagi ketika saya mula bertugasa di sini. Tak banyak larinya. Saya punya pegangan yang sampai sekarang saya patuhi, iaitu idealis dan kualiti. Saya tidak akan berkompromi dengan kedua-dua pegangan saya ini. Barangkali inilah pula sebabnya mengapa saya sering pindah-pindah dalam bidang yang saya ceburi. Misalnya, dalam bidang persuratkhabaran, saya sering menekankan kepada idealisme persuratkhabaran (newspaper idealism dan non-partisan). Begitu juga tentang kebahasaan,” katanya.

Pada awal perteumuan Malungun banyak bercakap tentang bahasa dalam surat khabar dan sastera. Baginya bahasa adalah nyawa. Tidak aneh bagi orang seperti Malungun kerana dia pernah menjadi guru bahasa selama lima tahun di sebuah sekolah jenis kebangsaan (Cina) di Kuala Lumpur (1960-1965). Malungun juga pernah bertugas sebagai penyunting di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari 1968 hingga 1970. Sebagai anak kandung Maktab Pergurun Sultan Idris, Malungun kemudian memperdalam ilmu kebahasaan di Maktab Perguruan Bahasa di Kuala Lumpur. Untuk mengasah kecekapan berbahasa Inggeris Malungun belajar sendiri dan pada tahun 1963, Malungun lulus Sijil Pelajaran Malaysia.

Dengan kekuatan bahasa inilah Malungun berkelana dari penerbit ke penerbit. Dia seperti seorang maverick bahasa  dengan sumbangan mempertingkat penggunaan bahasa yang baik di setiap penerbit yang tenaganya diperlukan. Demikianlah, selepas meletakkan jawatan di DBP, Malungun bertugas pula di  Utusan Melayu sebagai  pengarang Utusan Zaman. Sambil itu dia diminta menulis untuk “Rencana Pengarang” kumpulan akhbar Utusan Melayu. Tidak lama kemudian Malungun hijrah tugas ke Berita Harian. Dari Berita Harian Malungun hijrah lagi, kali ini ke Berita Publishing selama dua tahun (1982-1983). Ertinya dalam tempoh tak sampai 15 tahun Malungun telah berhijrah tugas dalam pelbagai ragam penerbit. Dan ini belum diambil kira khidmatnya sebagai Pengelola Rancangan Melayu Siaran Ke Sekolah-Sekolah, Radio Malaysia selama tiga tahun (1965-1967).

“Mishar menawarkan saya berkhidmat dengannya untuk majalah Gila-Gila dan menjadi ketua pengarang Kumpulan Creative Entreprise,” kata Malungun. Barangkali Mishar, ketika itu memerlukan seorang kuat berpegang kepada penggunaan bahasa yang baik dalam berkomunikasi dan orang itu adalah Malungun. Dan ini mungkin benar kerana di samping menjadi ketua pengarang kumpulan, Malungun juga diminta bertugas sebagai pengarang urusan kepada  Syarikat Edusystem Sdn Bhd, sebuah syarikat penerbitan buku sekolah dan masih punya kaitan dengan Kumpulan Creative Entreprise. Namun sikap ala maverick Malungun menyebabkan dia pindah tugas lagi. Kali ini dia ke Kumpulan Karangkraf hinggalah ke awal tahun 1996. Setelah itu dia duduk menganggur selama enam bulan.

“Betul-betul menganggur,” katanya.

“Kenapa mesti menganggur?”

“Susah nak kata. Dalam hal ini mungkin kita kena kembali kepada prinsip saya yang idealis dan yang mementingkan kualiti. Saya resah jika tidak dapat menemukan idealisme saya itu. Barangkali ini jawapannya. Tetapi saya kurang pasti,” jawabnya.

Mungkin ada juga kebenarannya. Disebabkan kekuatan Malungun dalam bidang bahasa itulah barangkali salah sebuah cerpennya yang berjudul “Memburu Tahun Baru”  dipuji habis oleh Keris Mas. Cerpen ini tersiar dalam majalah Dewan Bahasa pada tahun 1965. Ceritanya tentang kisah seorang pelacur dan seorang marhaen. Melalui cerita itu Malungun mahu menunjukkan bahawa seseorang yang berjiwa sosialis dan memperjuangkan ideologi sosialis belum tentu mengamalkan fahaman sosialis dalam kehidupannya. Dan mungkin sahaja Keris Mas memujinya dari sudut jalan ceritanya.

“Arwah Abdullah Tahir pernah mengulas cerpen ini melalui pendekatan matematik. Tetapi sehingga hari ini saya tak dapat nak faham. Umar Junus dan Lutfi Abbas turut memberikan ulasan mereka,” ujar Malungun yang nama sebenarnya Amir Hamzah bin Shamsuddin, sudah Haji dan dilahirkan di Chemor, Perak kira-kira 61 tahun yang lalu kurang lima bulan.

Apapun jua, dalam bidang kesusateraan Malungun banyak belajar dari A. Samad Said. Dia tidak tanggung-tanggung berkata bahawa “Pak Samad adalah mahagurunya dalam berkarya. Dia banyak beri nasihat. Dan dalam bidang drama Aziz Jahpin dan Zaharah Za’aba banyak memberi nasihat teknikal.”

“Maksud nasihat teknikal?”

“Saya mula meminati drama radio pada tahun 1963. Ketika itu Abu Bakar Ahmad meminta saya mengadaptasi drama radio dari Australia. Ada antara 30 hingga 40 drama yang telah saya adaptasikan. Tapi setelah itu terfikir juga kenapa tak tulis drama sendiri. Dan di sinilah saya mendapatkan nasihat dan bimbingan Aziz dan Zaharah,” jawabnya.

Malungun mula menulis skrip drama untuk satu siri rancangan radio bernama “No. 5 Persiaran Satu” yang kemudian menjadi popular di kalangan pendengar. Menurut Malungun diri drama ini sebenarnya cuba mengarahkan orang Melayu untuk menerima satu anjakan pradigma dari mentaliti kedesaan kepada mentaliti kebandaran. Sebelum siri ini kita kenal dengan siri rancangan Kebun Pak Awang yang mula dipopularkan dalam tahun 1950an. Kita amat senang dengan watak Pak Awang, seorang petani yang kurang pendengaran, yang dilakonkan Abu Bakar Ahmad sendiri. Turut menjayakan rancangan ini antara lain ialah Siti Hawa Zain, Ibrahim Din, Habibah Musa dan beberapa personaliti radio yang lain pada dekad itu.

“Apa yang perlu dilakukan ialah mewujudkan satu siri baru untuk mengalih perhatian pendengar dari Kebun Pak Awang yang diasaskan kepada pertanian kepada Melayu bandar. Siri drama No. 5 Persiaran 1 ini berlegar di sekitar keluarga  Cik Mamat,” kata Malungun.

“Sambutan pendengar?”

“Baik, Alhamdullilah!”

“Jumlah drama radio yang telah disiarkan?”

“Tak terkira. Barangkali ada 800 buah. Yalah, sejak tahun 1963 lagi.”

“Tidak dibukukan?”

Malungun tidak menjawab. Barangkali dia terfikir siapa yang mahu menerbitkan buku drama kalau cuma ia merugikan. Mahu terbit sendiri, bagaimana mahu memasarkannya. Walaupun Malungun pernah bekerja dengan beberapa penerbitan, namun tidak terbuka mulutnya, barangkali untuk meminta jasa baik majikannya menerbitkan buku dramanya. Lebih baik tinggalkan segumpal skripnya itu dalam lipatan sejarah dan dimakan zaman.

Apapun jua, Malungun masih boleh membilang buku-buku yang diterbitkannya, terutama novel. Yang pertama berjudul Gempar, terbit pada tahun 1966. Kemudian lahir Kiambang Bertaut, juga pada tahun yang sama. Pada dekad 60an, banyak novel kanak-kanaknya diterbitkan, seperti Ayam Sabung, Musang Cantik dengan Buah Rambai dan Ayam Menipu Musang (1967), Buntat (1967), Monyet dan Buah Pisang, Sahabat Yang Setia dan Balasan Khianat (1967), Pasir Berserak Menjadi Intan (1968), Rahsia Teluk Naungan (1968), Anak Miskin Tinggal Di Istana, Merak-Merak Cantikkah Saya dan Murid Diperintah Keluar Istana, tiga terakhir ini tidak diketahui tarikhnya. Dalam pada itu pada tahun 1973, Malungun sempat menterjemahkan tiga buah buku, iaitu Burung Bermata Satu, Gajah Putih dan Puteri Gunung ledang.

“Ada buku yang diterbitkan sejak tahun 1980an?”

“Ada beberapa buah, antaranya Malang Si Malim dalam dua jilid pada tahun 1988, Rahsia di Sebalik Wajah dari cerita bersiri dalam majalah Fantasi tahun 1988 juga dan dua buah pada awal tahun 1990an, iaitu Dendam dan Astaka (1992). Dalam Rahsia di Sebalik Wajah saya  cuba mengubah trend penulisan novel picisan waktu itu kepada tema takhyul. Cerita didasarkan kepada hantu kum-kum yang menggemparkan pada satu waktu. Dan dalam Astaka, ceritanya seperti mendahului episod seram kes Mona Fendy,” kata Malungun, sambil teringat ada beberapa buah cerpennya memenangi hadiah $100 anjuran Berita Harian dan sebuah drama kanak-kanaknya memenangi Peraduan Menulis Drama Kanak-Kanak anjuran DBP pada tahun 1964. Malungun lupa judul-judul cerpen atau dramanya itu.

“Sudah lama benar dan entah mana saya simpan salinannya. Lepas itu saya sibuk menulis buku untuk sekolah-sekolah,” katanya.

Malungun banyak bercerita pagi itu, segala-galanya tentang kegiatan persuratannya yang sering diseling dengan pengukuhan pendiriannya terhadap pentingnya menggunakan bahasa yang baik dan betul. Dalam hal ini Malungun mengakui dia amat terpengaruh dengan karya-karya John Steinback dan Ernest Hemmingway. Di samping itu dia melihat peranan Gapena akan bertambah penting terutama dalam era pembangunan mental malah “ia semakin diperlukan baik sekarang, baik masa depan.”

Sebelum saya menjabat salam mohon diri saya tanyakan satu soalan nakal, “Ada yang kata nama Malungun itu bererti malu bangun. Apanya yang malu bangun?” Malungun ketawa.

“Malungun itu istilah etnis Mendahiling yang bererti rindu. Siimalungun ini bukan bangsa Batak, bukan juga Minang. Malah ada pantun Mendahiling yang dikaitkan dengan Malungun.

Saya duduk semula ingin mendengar pantunnya.

“Dalam bahasa Mendahiling atau Melayu?” soalnya.

“Kedua-duanya.”

Malungun pun berpantun.

“Muda mandurung ho di pahu,

 Tampal ma si mardulang-dulang;

 Muda malungun ho dai au,

 Tatap ma si rumondang bulan.  Yang bererti:

Jika tuan memetik paku,

Tetaslah daun si dulang-dulang;

Jika tuan rindukan aku,

Tataplah cahaya si bulan terang.”

(Dipetik daripada Berita Harian, 1 Julai 1999)

5 Responses “Malungun: Tiada Kompromi Tentang BM” →
  1. I really like the style of this post! Keep it up!

    Reply

  2. Shahrizan Amir Hamzah

    April 4, 2013

    Lovely post. We never really appreciate what we have until we lose it. I am Malungun’s eldest son and am always going through the internet seeking stories about him. His ‘maverick’ spirit lives on in his children – although none of us are directly in the Malay language field. The three of us continue our father’s storytelling tradition in related artistic fields. Keep up the good work.

    As Pak Samad once said to me, “Ayah kamu bercerita dengan kata, kamu bercerita dengan bata”.

    I’m an architect.

    Reply

  3. Hafizah Kamaruddin

    August 27, 2013

    Saya hanya mengenalinya sebagai kaum saudara dan tidak menyangka hebatnya dalam bidang penulisan. Terima kasih menulis mengenainya.

    Reply
  4. Mohon maaf kepada yang mengajukan soalan seperti di atas. Saya tidak dapat menjawab satu-persatu petanyaan yang dilontarkan kerana kesibukan dengan hal-hal yang mendesak lainnya. Saya hanya dapat menjawab oleh kerana saya sendiri tidak begitu arif tentang selok-belok komputer dan teknologinya saya tak pasti sama ada setiap entri baru yang saya masukkan ke dalam blog ini disenaraikan di duatu tempat tersendiri. Bahagian ini saya kurang memahaminya. Mungkin suatu hari nanti saya boleh memberi jawapan yang tepat dan sebelum itu ini sahajalah jawapan yang dapat saya berikan. Terima kasih atas keprihatinan saudara-saudara kalian.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: