Penghormatan Terakhir Untuk Usman Awang

PENGHORMATAN TERAKHIR BUAT  USMAN AWANG (TONGKAT WARAN).

Hari ini, Ahad,  telah sebelas hari Sasterawan Negara Datuk Usman Awang meninggalkan kita. Terasa baru semalam kediamannya di Kampung Tunku sarat dengan orang ramai, terutama kaum penulis yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah sambil melihat bagi kali terakhir  wajah setenang Tongkat Waran yang selama ini mewarnai dunia kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Seperti baru semalam kami berada di kediamannya dan waktu berlalu tidak terasa. Masih segar benar detik meniti sepi di rumah No. 4, Jalan SS 1/33, Kampung Tunku, Petaling Jaya.

Masih segar juga dalam ingatan bagaimana Khamis minggu lalu, jam 9.00 pagi, Kamaluddin Mat Lela dari Utusan Zaman menyampaikan berita mengejutkan itu melalui telefon. Setelah terdiam beberapa saat, saya hanya dapat menyebut “Innalillah!”. Terdengar lagi suara Kamaluddin, “Saya Mat Jusoh yang beritahu. Katanya Tongkat meninggal pagi tadi.” Oleh kerana Kamaluddin tidak tahu rumah Usman, maka kami janji bertemu di Masjid Abdul Aziz di Seksyen 14, Petaling Jaya.

Lazimnya apabila ada berita baik atau buruk yang berkaitan dengan kawan-kawan penulis, Haji Saleh Daud, Bendahari Gapenalah yang mula-mula membuat panggilan. Tapi sejak kebelakangan ini, Saleh jarang berada di Rumah Gapena, dan juga kadang-kadang uzur, maka dia tidak lagi menjadi penyampai berita yang setia. Dan tidak ada siapa pun di Rumah Gapena yang nampaknya sanggup menjadi seperti Saleh, setidak-tidaknya menyampaikan berita kepada saya. Maka pagi itu saya terima berita buruk ini dari seorang yang tidak pernah terfikirkan.

Saya menghubungi Ma’arof Saad dengan andaian dia belum menerima berita itu lagi. Ma’arof dimaklumkan kerana dia adalah seorang kawan yang paling rapat dengan Usman ketika bekerja di Dewan Bahasa dahulu. Sementelah pula setiap kali saya mengunjungi Usman, baik di Pusat Perubatan Pantai, di kediaman sementaranya di sebuah Kondominium di Jalan Timur, Petaling Jaya, ketika rumahnya dibaik pulih atau juga di rumahnya di Kampung Tunku, dia sering bertanyakan Ma’arof . Masih segar juga dalam ingatan kata-katanya, “Kawan kita Ma’arof apa khabar. Perniagaannya baik? Bawalah dia kalau datang lagi.” Suaranya lemah dan sedikit terketar.

Usman mungkin teringatkan peristiwa Ma’arof tinggal sementara di rumahnya satu waktu pada pertengahan tahun-tahun 1970an. Usman menawarkan agar Ma’arof tinggal sahaja bersamanya ketika Ma’arof sedang hebat-hebatnya dilanda “musibah” peribadi. Maka setiap kali saya ke rumah Usman (kak Faridah Fang Chui Lin), waktu itu, Maa’roflah yang melayan sebelum Usman keluar ke ruang tamu. Barangkali juga Usman dsan kak Faridah  telah menganggap Ma’arof sebagai adik angkatnya.

Ketika dalam perjalanan menuju ke rumah Usman dari Bandar Baru Bangi,  Ayob Yamin menelefon. “You dah tahu belum?” Saya jawab sudah dan sedang dalam perjalanan. Sepanjang perjalanan, Ma’arof tidak banyak bercakap. Dia tidak seperti biasanya. Ketawanya yang istimewa “hilang” pagi itu. Barangkali juga dia memikirkan jasa dan bantuan Usman yang “menyelamatkannya” dari musibah peribadinya. Bahasanya juga betul pagi itu, tidak ada “gua” dan “lu” seperti selalunya dia berbual dengan saya dan seorang lagi kawan rapat, Datuk Jalil Abd Rahman mantan ketua Bahagian Sastera Antarabangsa di Dewan Bahasa. Terlalu menahan sebak di dada? Barangkali juga. “Saya tak boleh lupa budi baiknya. Saya tinggal enam bulan sebelum dapat rumah sewa di Selayang,” kata Ma’arof.

Kami “mendapatkan” Kamaluddin yang telah sedia menunggu di Seksyen 14 lalu terus ke rumah Usman, mengikuti jalan pintas di depan rumah bekas ketua pengarah Dewan Bahasa, Datuk Dr. Hassan Ahmad. Kata Ma’arof, “Sdr masih hafal ikut belakang, ya!” Serius suaranya seperti dia mahu menekankan bahawa tidak ada makna tersirat atau konotasi yang lain daripada kata-katanya itu. Mencari tempat meletak kereta satu masalah, kerana setiap jalan menuju ke rumah Usman telah penuh dengan kenderaan, terutama di Pusat Islam Kg. Tunku. “Kita jalan sahaja,” kata Ma’arof.

Terpinga-pinga juga melihat begitu ramai orang yang hadir sehingga melimpah ke tengah jalan. Dari luar pagar lagi saya terlihat Datuk Fadzil Noor, presiden PAS tengah berjalan keluar setelah memberikan penghormatannya, sambil bersalaman dengan orang ramai. Disebelah kiri tangga beberapa orang sedang duduk syugul. Antaranya, Tan Sri Ismail, Yahya Samah, Malungun, Dr. Othman Puteh, Hamzah Hamdani dan Ayob Yamin.

Di anak tangga, terserempak pula dengan Datuk Shahnon Ahmad. Setelah menyapa dan bertanya mengapa cepat balik, Datuk Shahnon menjawab, “Parlimen sedang bersidang. Datang dengan Fadzil Nor.” Datuk Shahnon dan Datuk Fadzil berpakaian suit lengkap sebagai anggota Parlimen. Nasib baik kami dapat melihat wajah Usman kali terakhir apabila jenazah sedang dikafankan. Suasana di tengah rumah tempat terletaknya jenazah bersesak-sesak. Semuanya berdiri dan menjengah di celah-celah kesesakan manusia, mendapatkan sudut terbaik merakamkan saat-saat terakhir dengan mata kepala sendiri. Norazah Aziz, editor buku  Utusan Publications yang berdiri dekat dengan jenazah kelihatan merah hidungnya. Oleh kerana dia memakai kacamata hitam, maka tidak pastikan apakah air mata bersarang di kelopak matanya. Mohamad Jusoh dan Rahman Shaari turut sama menjengah. Mohammad kemudian menyerahkan kertas kecil kepada Kamaluddin yang kemudian menyerahkan kepada saya. Kertas itu adalah salinan “permit menguburkan” dengan nombor siri A0006. Turut tertulis “Hendaklah diberi kepada penjaga tanah perkuburan”. Melalui kertas itu barulah diketahui waktu sebenar Usman menghembuskan nafas terakhirnya, iaitu 29 November 2001, pukul 0035. Sebab kematian “congestive heart failure with chronic renal failure”. Dalam bahasa yang mudah, “sakit jantung”. Usia yang tertulis 72 tahun.

Saya kembalikan kertas itu kepada Mohammad. “Simpanlah,” katanya. Syed Husin Ali yang terkenal dengan buku “Dua Wajah”nya dan bekas professor Universiti Malaya, jiran terdekat dan kawan lama Usman, berucap pendek mewakili pihak keluarga. Di samping melahirkan rasa terima kasih kerana kehadiran sekalian, Syed Husin merayu kepada semua untuk menghubungi anggota keluarga  Usman, sekiranya ada masalah yang perlu diselesaikan, seperti hutang piutang dan lain-lain. Anak-anak Usman seperti Leena dan Iskandar masih juga tidak berganjak di tempat masing-masing. Kini nyatanya mereka berdualah yang akan mengambil alih sebagai ketua keluarga. Mereka kini yatim piatu, kerana ibu mereka, Kak Hasnah telah pergi terlebih dahulu.

Perjalanan terakhir Usman keluar dari rumah yang telah dihuninya sejak puluhan tahun dulu dan yang baru sahaja siap dibaik pulih amat mengharukan. Baginya ini adalah hijrah terakhir kehidupannya sebagai seorang insan, jasmaniah dan rohaniah. Di sana sini, wajah pilu lagi memilukan. Ahli keluarga dan kawan terdekat bererbut-rebut mahu memikul keranda menuju Pusat Islam, kira-kira  lima minit perjalanan. Oleh kerana orang ramai bersesak-sesak mahu turun tangga keluar rumah, ada yang keluar di pintu sampingan lalu melangkah terjun ke anak tangga. Antaranya Datuk Baharuddin Zainal dan Datuk Johan Jaafar. Oleh kerana lama tak jumpa saya bertanya ke mana sahaja dia selama ini. “Ada, menjadi petani sekarang,” jawabnya sambil memberikan kad nama beserta nombor telefon selularnya. Dalam suasana muram demikian, terlupa pula hendak mengucapkan “tahniah” di atas perlantikannya sebagai ahli lembaga pengelola Dewan Bahasa.

Masih ramai yang tercegat di pekarangan rumah, walaupun jenazah telah diusung ke Pusat Islam. Ada Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh yang bertanya sesuatu kepada beberapa orang. Saleh Daud berjalan menghala bertentangan dengan Pusat Islam, barangkali mahu pulang sahaja. Begitu juga dengan Redza Piyadasa. Suasana di surau Pusat Islam hening dengan  suara orang membaca Surah Yassin kedengaran  perlahan dan sayup. Jenazah diletakkan di bahagian belakang. Kelihatan Ketua Pengarah Dewan Bahasa, Dato’ Haji A. Aziz Deraman sedang membaca Surah Yassin di bahagian kepala jenazah, sementara di bahagian kaki turut membaca ialah Timbalan Ketua Pengarah Hj Abu Bakar Muhammad.

Datuk Kemala, berbaju Melayu masuk dengan tertib. Kelihatan juga Datuk Borhan Yaman yang datang dari Melaka dan Datuk Abd. Rahim Abu Bakar,  Pengerusi Lembaga Dewan Bahasa. Demikian juga hadir beberapa pengarah Dewan Bahasa yang lain seperti Haji Hamdan Yahya, Dr Anwar Ridhuan, Mohd Amin Abdullah dan Haji Abd. Razak Abd. Aziz. Pengarah Jabatan Bahasa Dr Awang Sariyan khabarnya sedang bertugas di Singapura. Pendeknya Dewan Bahasa memberikan penghormatan terakhirnya dengan hadirnya hampir semua pegawai pengurusan tingkat tertingginya.

Di satu sudut, kelihatan duduk bersentuhan kepala lutut ialah bekas Menteri Besar Selangor yang juga naib presiden UMNO, Tan Sri Mohammad Mohd Taib dengan Dr Sanusi Othman, salah seoorang tokoh utama Parti Rakyat dan Dr Anuar. Haji Hasan (Musafir) Ali khusyuk membaca Surah berdekatan Ma’rof Saad dan Haji Mohd Nor Long, mantan Pengarah Pendidikan Sabah. Begitu juga halnya dengan Datuk Abu Bakar Hamid di saf (barisan) paling depan. Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin (Zam), tiba-tiba muncul duduk di sebelah saya dan Kamaluddin di barisan  kedua. Kami berbual seketika. Zam membuat komen pendek tentang Usman, “ Karya-karya Usman disenangi. Bahasa Usman  mudah. Sajak-sajaknya mudah difahami. Usman pun seorang wartawan dulunya.”

Semain ramai memasuki ruang Pusat Islam. Salah seorang yang terakhir ialah Tan Sri Awang Had Salleh. Tiga orang sekeluarga, termasuk seorang wanita setengah baya masuk, barangkali mereka adalah sanak saudara Usman, baru sampai dari Kuala Sedili, Kota Tinggi, kampung Usman dilahirkan 72 tahun lalu. Mereka meminta untuk menatap buat kali terakhir wajah Usman. Sekali lagi yang hadir berkerumanan mendekati jenazah untuk cuba mengintai sekali lagi, entah kali terakhir kesekian kali. Setiap anggota mencium dahi Usman, juga ciuman terakhir.

Jenazah di bawa ke depan berdekatan dengan mimbar, setelah solat Zuhur untuk upacara sembahyang jenazah. Kira-kira 200 orang memenuhi setiap ruang. Kali ini setiap yang hadir betul-betul memberikan penghormatan terakhir dan selamat jalan seperti yang diwajibkan Allah Subhanahu Wataala, sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Bukit Kiara di Jalan Damansara untuk dikebumikan. (Dicatat pada 1 Januari 1998).

2 Responses “Penghormatan Terakhir Untuk Usman Awang” →
  1. Congratulations Jacqui1 The site is just as lovely as ever even lovelier! Very excited for you and can’t wait to see more.

    Reply
  2. Having my own site start disappearing from my employer’s search engine isn’t exactly something to brag about. It’s doubly embarrassing to admit how long it took for me to notice what was going on, though I bet a lot of other site owners are in the same boat, to busy doing their day jobs to constantly check search rankings

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: