A. Wahab Mohamad

AWAM-IL-SARKAM

Oleh A.F.Yassin

Seorang lelaki berkopiah putih keluar dari rumahnya di Seksyen 14 dengan membawa bakul sampah. Lalu dia tuangkan isi bakul itu ke dalam tong sampah di depan rumah.

“Ini Pak Awamkan?” tegur saya sambil keluar dari kenderaan.

Lelaki itu memerhatikan seketika dan dahinya sedikit berkerut barangkali dengan tanda tanya.

“Saya Fadzil. Dulu kita sama di Dewan Bahasa.”

“A.F.Yassin?” tanyanya dengan bola matanya mencari-cari sesuatu  di muka saya.

“Ya!”

“Masuk, masuk. Aku tak kenal lagi engkau. Maklumlah dah lama tak jumpa.Masuk!” pelawa Pak Awam. Nama penanya Awam-il-Sarkam. Nama sebenarnya Abd. Wahab Muhammad, salah seorang anggota sidang pengarang majalah Dewan Masyarakat pada zaman Keris Mas, Usman Awang dan M. Noor Azam di Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Awang Had (Tan Sri) kata nak datang. Tunggu juga. Semalam Asraf datang. Sahaja nak sembang-sembang. Aku baca juga dalam surat khabar kau dah terbitkan buku baru. Tapi harganya mahal sangat, sampai RM59,” katanya sambil mempersilakan saya duduk.

Demikianlah, saya mengunjungi Pak Awam di rumahnya baru-baru ini  setelah satu dekad tidak bertemu. Dalam pertemuan kira-kira sejam itu  Pak Awam terus bercakap tanpa henti, seperti dia mahu melepas gian. Saya lebih banyak mendengar daripada bertutur. Selama sejam bersamanya itu saya melihat ada sesuatu yang hilang daripadanya. Lelucon Pak Awam ketika menjadi anggota sidang pengarang majalah di Dewan Bahasa pada tahun-tahun 1970an dahulu kini sirna.

Pak Awam banyak bersembang fasal keluarga, fasal saudara mara, kawan dan tokoh bukan sastera seperti Datuk Ismail Adam, Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Tan Sri Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara, Ismail Hamzah, bekas pensyarah UPM dan Wahab Yaakob bekas Akuntan Penerbit Fajar Bakti. Kesemuanya berasal dari Sarkam, kampung Pak Awam di Melaka. Setelah itu Pak Awam bercerita pula tentang kerjaya masa lalunya. Katanya dia tidak boleh lupa arahan Jepun pada zaman Malaya dikuasai penjajah negara matahari terbit itu untuk membuat garam di Serkam. Ini kerja pertamanya sejak berhenti sekolah.Setelah itu “aku pelihara itik dengan makanannya ulat-ulat dari ikan yang ditanam. Kau tahu dengan memberi makan ulat ikan, itik cepat bertelur. Tapi aku bubarkan sahaja kerja pelihara itik ini kerana telur-telur itik aku banyak dikebas orang.”

Cerita Pak Awam lagi, “Aku ke Singapura kerja dengan akhbar Melayu Raya. Ketua aku Cikgu Harun al-Rashid. Kemudian Asraf bawa aku masuk Utusan Melayu. Ketika aku bekerja dengan Utusan Melayu di Kuala Lumpur ada mogok. Barangkali kerana banyak berembun aku dapat semput. Baru setelah itu aku dapat tawaran kerja di Dewan Bahasa dan Pustaka. Za’aba yang interview tapi barangkali dia kenal aku kerana melalui tulisan aku, dia langsung tak payah interview aku.”

Saya benar-benar kehilangan sesuatu semasa berada bersama Pak Awam kali ini. Saya rindukan kata-katanya yang lucu, rindukan “Dol Keropok” dan “Haji Tahir”nya. Gerakan tangan kanannya sambil mengatakan “Hebat Kau Din  dan Tak Boleh Cakap” kepada pengarang Shamsuddin Jaafar tidak lagi kelihatan. Bagi saya Pak Awam pada hari itu adalah seorang lelaki bernama Haji Wahab Muhammad yang telah menapak teguh di alam real. Dalam pada itu wajahnya bersih, nampak berseri dan ceria. Ada ketenangan dan kedamaian di wajah itu. Sebentar kemudian Pak Awam masuk dan membawa keluar beberapa fail tentang penglibatan dirinya dalam dunia persuratan. Ada kertas kerja dari kolokium DBP, yang diadakan pada Oktober1998 yang lalu. Ada kertas kerja tentangnya yang ditulis oleh Mawar Shafie. “Kau kalau hendak, ambillah, tapi pulang balik. Inilah satu-satunya yang aku ada,”katanya. “Lagi pun, Karim (Abdullah) sedang mengumpulkan cerpen-cerpen aku dalam antologi Pengintipan yang akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa. Ada 44 buah semuanya.”

Usia pak Awam 81 tahun, tapi dia masih sihat dan kuat. Daya ingatannya masih dapat bertahan. “Kerja dengan DBP 11 tahun tapi aku dah pencen 21 tahun,” ujarnya. Pak Awam mula bertugas di DBP pada bulan Disember 1962 dan bersara pada 13 September 1973. Berdasarkan rekod, Pak Awam sempat menulis 34 buah puisi, 69 buah cerpen dan 172 esei dan kritikan (Jurnal Dewan Bahasa, 1976). Dua buah buku bentuk antologi cerpennya yang terkenal ialah Putih Mata (1964) dan Pucat Bukan Main (1965). Antologi cerpen Pengintipan yang bakal terbit itu barangkali akan mewakili keseluruhan hidup Pak Awam dalam dunia persuratannya yang dia ceburi sejak tahun 1948. Empat cerpen terakhirnya yang ditulis dalam tahun 1969 bertemakan agama. Cerpen-cerpen itu ialah “Menangis Hingga ke Pagi”, “Ekspres ke Syurga”, “Si Bebal Jadi Mangsa” dan “Malam Pengantin”.

Orang kenal Pak Awam sebagai salah seorang pengasas ASAS 50 dan menjadi salah seorang anggota Jawatankuasanya. Tiga belas buah cerpennya yang diantologikan dalam Putih Mata dan 16 dalam Pucat Bukan Main  mewakili keyakinannya terhadap fahaman “seni untuk masyarakat” yang didukung dalam ASAS 50. Seni, bagi pak Awam adalah satu alat pengucapan fikiran dan perasaan  yang mesti digunakan untuk melahirkan kesedaran dan keinsafan manusia terhadap masalah hidup manusia itu sendiri. Dalam kata lain, seni berfungsi sebagai alat sosial dan memperjuangkan untung nasib manusia. Keseluruhan ada lima persoalan yang diungkap Pak Awam melalui cerpen-cerpennya. Pertama persoalan keinsafan manusia, persoalan jurang kaya miskin, persoalan kesucian di kalangan si miskin, persoalan kebuasan di kalangan si kaya dan persoalan rasa persatuan di kalangan kaum pekerja. Pak Awam bagaikan sudah komited dengan semua persoalan ini. Di sinilah letak kekuatan Pak Awam sebagai penulis cerpen. Keyakinannya terhadap seni untuki memperjuangkan kehidupan masyarakat sehaluan dengan rakan-rakan seangkatannya dalam ASAS 50 seperti Keris Mas, Usman Awang atau Asraf.

“Tak teruskan menulis?”

“Ingin itu ada, nak tulis cerpen saja. Nak tulis novel, panjang sangat. Mungkin cerpen pertama setelah berhenti pada tahun 1969 akan bertemakan agama,” jawabnya. “Dah tua-tua begini, apa lagi yang aku nak cerita.”

Tua Pak Awam tua orang lama. Masih bertenaga. Ini diakuinya apabila dia berkata “aku masih kuat dan masih memandu kereta  dengan laju seperti anak muda. Calang-calang orang tua tak boleh lawan aku.” Kata-katanya serius, bukan jenaka. Dan sepanjang perbualan, tidak sedikit pun Pak Awam mahu berjenaka. Kurang pasti angin kedua dari mana yang diperoleh Pak Awam kerana cita-citanya ingin terus menulis. Apakah dia didorong oleh keaktifan SN Abdullah Hussein yang seangkatan dalam usia dan kegiatan persuratan atau pak Awam “tengah sarat mengandungkan buah fikir keratifnya” untuk dilahirkan “ke dunia sastera”. Dan tentunya Pak Awam teringatkan tulisan-tulisan lamanya, terutama cebisan daripada eseinya yang termuat dalam Esei Sastera ASAS ’50 seperti yang dikutip Mawar Shafie: “Corak-corak penderitaan yang dilahirkan  sebanyak-banyaknya sebagai satu yang relaistik dalam masyarakat kita, adalah sebagai satu alat untuk memberi kesedaran  kepada rakyat dan rakyat harus bangun  menguasai dirinya mencari kebenaran serta mengisi sikap berani dalam jiwanya, berikhtiar untuk membaiki segala rupa kerosakan  hidup baik dalam segi perseorangan mahupun dalam segi masyarakat…”

Walaupun penderitaan sesetengah golongan masyarakat hari ini berbeza dengan penderitaan pada zaman muda Pak Awam, namun kebersamaan dari segi kemanusiaan tetap wujud. Kebersamaan dari aspek kemanusiaan inilah yang menjadi asas bagi Pak Awam meneruskan kegiatan persuratannya, dengan agama menjadi sandaran kekuatannya. Yang dipohon hanya kesihatannya tidak terganggu dan baginya tidak ada yang lebih menyihatkan selain berzikir sepanjang masa mengingatiNya.

“Terima kasihlah datang. Ada juga orang nak tengok aku. Maklumlah dah tua-tua ini…” kata Pak Awam sambil mengiringi saya ke muka pintu. Fail kolokium DBP masih dikepitnya, bagaikan satu iysrat darinya bahawa dia telah siap untuk memulakan semula penciptaan karya kreatifnya. Sama-samalah kita tunggu kelahiran cerpen pertrama daripada kebangkitan baru pengarang veteran  Awam-il-Sarkam, juga penerbitan antologi cerpennya yang berjudul  Pengintipan kelolaan A. Karim Abdullah! ( 25 Februari 1999.)

A.F.Yassin

[Edit]

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: