Perginya Tiga Tokoh Persuratan

district map of Negeri Sembilan , Malaysia (us...

PETA NEGERI SEMBILAN Image via Wikipedia

CATATAN AFYASSIN

Dalam Seminggu tiga tokoh persuratan menemui Penciptanya

Dua minggu pertama Rabiul Awam merupakan minggu pemergian tiga tokoh dalam  bidang persuratan dan penerbitan. Dua daripadanya penulis kreatif sementara yang ketiga penerbit karya penulis. Mereka ialah Aziz Jahpin, penulis skrip drama radio dan novelis, Datuk Kamaruzzaman Abd Kadir atau lebih dikenali dengan nama pena Dharamawijaya, penyair dan Datuk Abdul Aziz Ahmad, terkenal dengan Aziz Antara, penerbit dan penjual buku, khususnya buku-buku Indonesia.

Dharamawijaya meninggal dunia pada pagi hari Maulidur Rasul. Dua hari sebelumnya, Aziz Antara menemui Penciptanya. Aziz Jahpin pergi dahulu, iaitu tiga hari sebelum Aziz Antara. Ketiga-tiganya mempunyai persamaan dalam bidang yang saling melengkapi. Dharmawijaya dan Aziz Jahpin melahir karya sementara Aziz Antara menerbitkan asil karya penulis. Walaupun tidak semestinya Aziz Antara menerbitkan karya Dharmawijaya atau Aziz Jahpin.

Aziz Jahpin meninggal setelah sakit demam beberapa hari, Aziz Antara setelah mengalami sesak nafas sementara Dharmawijaya menghidap barah paru-paru. Aziz Jahpin berusia 77 tahun, Aziz Antara 83 sementara Dharmawijaya 68 tahun. Sepanjang hayatnya Aziz Jahpin tidak akan melupakan dua peristiwa penting dalam hidupnya. Pertama, novel “Pulanglah Perantau” diumumkan sebagai salah sebuah novel yang menang dalam Peraduan Menulis Novel 10 tahun Merdeka dan diterbitkan pada tahun 1971. Kedua, drama radio Renungan Tahun menggemparkan seluruh masyarakat pendengar sehingga ramai yang datang ke Melaka untuk melihat sendiri “kemusnahan” yang kononnya dialami oleh Maktab Perguruan Perempuan Melayu Durian Daun Melaka. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1958. Manisnya peristiwa pertama ialah itulah satu-satunya novel yang ditulis Aziz Jahpin dan menang pula. Peristiwa kedua amat mengesankan. Walaupun dianggap negatif namun impak drama radionya itu benar-benar membuatnya tidak tidur malam selama seminggu.

Aziz Jahpin mendapat angin kedua dalam berkarya apabila Penerbit Fajar Bakti mempelawanya mengumpulkan semua anekdot lucunya dalam satu buku yang akhirnya diterbitkan dengan judul “Zamzam Zaman.” Setelah Zamzam Zaman diterbitkan beliau berusaha mengumpulkan kisah-kisah lucu yang lain tetapi tidak pasti sama ada kisah-kisah itu telah diterbitkan. Namun bagi pendengar radio, barangkali beberapa buah drama Aziz Jahpin benar-benar menyentuh perasaan mereka, malah dianggap kontraversi. Antara drama itu ialah “Siri Tiga Dara” (1972), “Tonel Badut” (1983), “Di Mana Bumi Dipijak” (1984, “Sahabat Tiga” (1986) dan “Nanti Mati” (1990). Doku-dramanya “Mata Permata” yang disiarkan pada tahun 1964 menang Golden Harvest Award di Pesta Filem Asia di Taipei, sementara “Modal Sahaja Sukar Nerjaya” (1965) menang Golden Harvest Award di pesta yang sama, tetapi di Tokyo. Aziz lahir di Singapura dengan nama Aziz Bin Alias.

Aziz Antara berjasa besar kepada pengembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Sebagai penerbit menjadi tanggung jawab Aziz Antara mengenengahkan teks bahasa dan sastera kepada khalatak pembaca. Kerana jasanya, Aziz  Antara menerima Anugerah Za’ba yang pertama. Jasa yang sukar dilupakan ialah minat dagangnya untuk membawa masuk buku-buku terbitan Indonesia, terutama pada tahun-tahun 50an dan 60an dahulu. Waktu itu buku-buku dalam bahasa Melayu amat kurang. Pencinta bahasa dan sastera amat bergantung kepada buku-buku Melayu versi bahasa Indonesia untuk rujukan dan menambah pengetahuan. Allahyarham Usman Awang dalam satu sembang-sembang kosongnya di Dewan Bahasa dan Pustaka, ketika hayatnya mengakui tanpa Pustaka Antara, milik Aziz Antara, “saya tidak menjadi Tongkat Waran atau Usman Awang seperti yang saudara lihat hari ini.”

Begitu akrabnya Aziz Antara dengan buku-buku Indonesia, sehingga beliau sering sahaja  berulang-alik ke Jakarta, berbincang tentang perniagaan buku dengan penerbit-penerbit di ibukota Indonesia itu. Hotel Indonesia menjadi rumah keduanya. Setiap kali berkunjung ke Jakarta, hotel itulah rumahnya dan beliau diberikan keistimewaan oleh hotel berkenaan dengan menyediakan satu bilik ekstra. “Untuk memudahkan Pak Aziz mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pelanggan-pelanggan Bapak di sini”, seperti diucapkan Aziz Antara kepada saya dalam satu pertemuan di Jakarta pada tahun 1987. Malah apabila beliau mempelawa untuk saya memanfaatkan bilik esktranya itu. “Bilik itu kosong, Sepatutnya you ke sini saja.”

Aziz Antara adalah pengasas Persatuan Penerbit Buku Malaysia. Hampir satu dekad beliau memimoin persatuan itu. Penerbit-penerbit yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan pada tahun-tahun 1980an  banyak berpayung di bawah persatuan pimpinan Aziz Antara. Di samping penerbit, Pak Aziz rapat juga dengan tokh-tokoh penulis. Antara yang sering ditemuinya ialah Arenawati dan Ahmad Boestaman (Ruhi Hayat). Pertemuan sering diadakan di kedai bukunya Pustaka Antara di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Muda. Aziz Antara beruntung kerana bebepa buah buku importnya pernah dijadikan buku teks wajib di peringkat Sijil Persekolahan atau Sijil Tinggi Persekolahan. Salah sebuah buku itu ialah “Keluarga Gerilya”. Buku ini juga telah mendekatkan Aziz Antara dengan keluarga pengarangnya Pramoedya Ananta Toer.

Dharmawijaya bukan nama asing dalam bidang penulisan dan akademik. Ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya di rumah sakit umum Seremban, beliau masih mempunyai kontrak dengan Universiti Putera Malaysia di Serdang sebagai Sarjana Tamu. Beliau ditugaskan untuk membuat kajian tentang Keris dan sejarah perkembangannya di Negeri Johor.

Sasaran kajiannya sedikit terkeluar daripada bidang puisi yang hampir sinonim dengan namanya. Mengapa Keris dan tidak puisi-puisi atau pemuisi di Johor? Apabila ditanyakan kepada salah seorang rakan sekerjanya di universiti itu tentang perkara ini, rakannya itu tidak dapat menjawab. Barangkali Dharmawijaya mahu mencari kelain setelah hampir seluruh kerjayanya sebagai guru, pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka dan ahli akameik di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, beliau mahu mencari “angin baru” dan pengalaman baru dalam bidang yang sama sekali asing baginya. Telah masuk tahun ketiga Dharmawijaya menjadi pegawai kontrak.

Lahir di Kampung Talang, Senaling, Kuala Pilah, Dharmawijaya mengenal dunia melalui kawasan sekitar kampungnya yang berbukit dan berbendang; berpaya dan bersungai. Beliau membesar balutan resam budaya dalam lingkungan adat perpatih. Alam terkembang menjadi guru dan menjadi objek renungannya. Jiwanya sensitive kepada sekitaran sehingga akhirnya sensitivity itu ditumpahkan ke dalam tulisan-tulisan yang puitis. Pernah beliau menulis, “Kata adat banyak kiasan; ditunjuk dia tetapi bukan; bergulung pendek panjang terentang;  tidak faham kalau tidak direnungkan.” Pentafsiran tentang sekitaran memperkaya bait-bait puisinya. Segalanya dikumpulkan dalam beberapa buah antoloji, yang terawal “Warna Maya”.

Banyak yang menganggap Warna Maya adalah Dharmawijaya dalam puisi. Dua dekad sesudah itu, persisnya tahun 1993 lahir pula “Derita Buana”. Ini diikuti oleh “Bintang Mengerdip (1984), “Di penjuru Matamu” (1975) dan “Lagu Kehidupan” (1983). Antologi “Bahasa Alam” yang disusunnya bersama Allahyarham Ma’arof Saad pernah menjadi buku teks kesusasteraan di peringkat SPM mulai tahun 1984. Hampir 200,000 naskhah dicetak.

Kini, ketiga-tiga tokoh ini telah tiada. Yang ditinggalkan adalah jasa dalam bidang persuratan dan penerbitan. Di kalangan orang sastera, kehilangan tiga tokoh ini amat dirasakan kerana keistimewaan tersendiri yang ada pada mereka amat sukar ditemui. Mereka adalah penggiat seni persuratan dan media. Aziz Jahpin lebih terserlah dalam media radio melalui drama dan sandiwaranya. Aziz Antara terserlah dalam bidang penerbitan dan merupakan anak Melayu pertama yang memiliki syarikat penerbitan. Sementara Kamaruzzaman Kadir menyerlah dalam bidang puisi setelah dibesarkan oleh budaya adat perpatih, dengan teromba dan perbilangannya yang puitis. Ends

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: