A.F.Yassin: Melihat Usman Awang Sebagai Ketua

SEKELUMIT PENGALAMAN BERKETUAKAN USMAN AWANG.

6 Disember 2001

Tujuh dua, tujuh dua angka keramat bagi saya. Angka itu merupakan tarikh saya mula diperkenalkan kepada Usman Awang sebagai ketua. Hari itu saya melaporkan ke Dewan Bahasa dan Pustaka, bertugas sebagai pembantu Sastera di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Usman memberi saya tugas mengendalikan kegiatan sastera. Usman pula berketuakan Keris Mas, yang juga Ketua Bahagian. Timbalan Keris Mas M. Noor Azam.

Usman kemudian membawa saya ke pejabat majalah, yang terletak di sebelah biliknya sahaja dan dipisahkan oleh dinding kaca. Usman memperkenalkan saya pula kepada beberapa orang penting bahagian antaranya, Abdullah Hussein, Saleh Daud, Kemala, Shamsuddin Jaafar, Awam il Sarkam, A. Karim Abdullah, Dharmawijaya, Jaafar HS, A.M Thani dan Wijaya Mala.  Bertuah juga dapat berkenalan dan bekerja dengan tokoh-tokoh kesusasteraan yang selama ini hanya saya baca dan lihat di dada akhbar dan majalah. Saya difahamkan Kemala dan Shamsuddin mengendalikan Dewan sastera, Awam il Sarkam dan Karim Dewan Masyarakat, Saleh dan Dharmawijaya Dewan Pelajar manakala Abdullah (panggil saja Bong Dollah) majalah Dewan Bahasa. Jaafar dan Thani unit penyelidikan dan Wijaya Mala buku sastera.

Usman meminta Awam il Sarkam mengajar dan membimbng saya. Pelajaran pertama yang saya peroleh dari Pak Awam ialah menyebut nama “Dol Keropok”. Saya tanyakan kepada semua orang yang ada dalam bilik. Mereka ketawa. Rupa-rupanya “Dol Keropok” adalah cara memanggil ketua. Maka oleh kerana  Usman ketua, maka dia adalah “Dol Keropok”. Kalau mengikut heirarki, maka Usman memanggil Keris Mas “Dol Keropok” kerana Keris Mas ketuanya. Pelajaran yang kedua yang saya peroleh ialah sebutan “Haji Tahir”. Siapa “Haji Tahir”. Nama ini disebut Wijaya Mala setiap kali dia membuka pintu balik dan memandang Pak Awam. “Assalamualaikum Haji Tahir!”, tegur  Wijaya Mala. Kalau 10 kali dia membuka pintu bilik kami maka 10 kali pulalah dia akan memberi salam kepada Awam il Sarkam dengan menyebut “Haji Tahir”.

Dua sebutan ini merupakan salam senda gurauan di kalangan kami yang sekaligus mencerminkan keintiman bekerja di kalangan  kakitangan. Begitu mesra sehingga saya sebagai orang baru menganggap seperti telah lama bergaul dengan mereka. Usman tidak banyak bercakap, tetapi sekali dia memberi tugas maka ia adalah arahan sepanjang masa sehingga Usman memberi arahan baru. Demikianlah dalam beberapa bulan pertama bekerja di bawahnya, saya hanya bertugas membaca dan membuat kliping surat khabar Inggeris dan Melayu. Kliping itu barkait dengan berita dan artikel sastera dan budaya. Kerja ini sedikit membosankan tetapi mahu dikata apa kerana ia adalah tugas. Daripada kliping ini saya diminta siapkan  bahan untuk ruangan “Pita Sastera” majalah Dewan Sastera setiap bulan. Pernah saya ditegur M. Noor Azam  kerana membuat kerja kliping ini. Katanya, “Kerja kamu menulis bukan potong surat khabar.”

Bekerja di bawah Usman tidak setakat rasmi-rasmian. Dan waktu pejabat bukan  lapan pagi empat suku petang, tetapi lapan pagi tujuh atau lapan malam. Kami tidak pernah meninggalkan pejabat tepat 4.15 petang. Kata Usman satu hari, “tugas kamu hanya bermula pukul 4.15 petang.” Akhirnya baru saya tahu bahawa ketika waktu pejabat sukar mahu memberi tumpuan kepada tugas kerana ada sahaja kawan-kawan penulis dari luar yang datang “mengganggu”. Hal ini lebih relevan apabila saya telah diberi tugas baru, iaitu menyiapkan “assignment” untuk sama ada Dewan Sastera atau Dewan Masyarakat. Masa sesuai untuk menyiapkan assignment itu ialah selepas waktu pejabat. Maka telah menjadi kebiasaan kalau ramai anggota sidang pengarang pulang selepas pukul 7.00 malam.

Satu hal yang tak boleh saya lupakan ialah penyerahan artikel yang telah siapkan kepada Usman untuk disemak. Dag-dig-dug juga jantung melihat cara Usman merenung dan membaca artikel itu. Sesuaikah disiarkan atau akan masuk bakul sampah? Setelah beberapa ketika Usman meletakkan artikel itu di satu sudut mejanya. Dan dia kembali memegang pembaris “em”nya dan sebentar kemudian mula mengoyak-ngoyak geli. Barangkali Usman perlu menyudahkan kerja-kerja tataletak majalahnya. Pada hari itu saya terpaksa menunggu hingga 7.00 malam sama ada Usman akan memanggil saya untuk berbincang. Tetapi Usman langsung pulang tanpa menoleh ke arah saya.

Esoknya selepas jam kerja, kira-kira 5.00 petang,Usman memanggil saya. Usman bertanya ke mana saya petang itu. Dia senyum sahaja mendengar jawapan saya, antara percaya dengan tidak. Kemudian tangannya mula meraba-raba sesuatu di atas meja yang penuh dengan fail dan segala macam gallei dan pruf halaman. Lama baru dia memperoleh apa yang dicarinya. Pernah Pak Awam bilang, “Meja Tongkat jangan dikemaskan. Kalau ada yang cuba menyusun fail-fail di meja, alamat dia tidak boleh kerja.” Usman kemudian menyerahkan tulisan saya semula. Saya melihat garis-garis merah di sana sini dengan beberapa komen. Katanya pendek, “Kamu semak dan tulis semula.” Itu sahaja dan dia pun menyambung tugasnya tanpa memandang saya lagi. Saya kembali ke meja. Antara komen yang saya lihat ialah “ini tak perlu”, “mana sumber?”, “betulkan”, “ayat panjang, pendekkan” dan “tak cukup keterangan”. Apabila saya melihat ke arahnya semula, dia bekerja dengan tekun dan serius tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sebelah biliknya. Tangannya menari-nari mengoyak dan mengukur galei di depannya.

Pernah satu ketika saya terpaksa menulis semula artikel sebanyak lima kali, setiap kali komennya makin memanjang. Kadang-kadang mahu menangis juga rasanya, terutama pada peringkat awal . Pak Awam, sebagai orang tua barangkali, memujuk saya dengan membawa saya ke kilang percetakan, waktu itu terletak di Section 14, Petaling Jaya. “Kau juga mesti pergi ke percetakan, tengok bagaimana majalah ini dicetak,” katan Pak Awam, “Aku ni dah tua, kamulah yang akan meneruskan kerja-kerja ini. Karim pun bukan boleh bawa sorang-sorang.”

Itulah penangan Usman ketika mula bekerja di bawahnya. Namun begitu sikap tegas dan seriusnya itu hanyalah pada waktu pejabat. Dan dia akan bertukar watak sebaik sahaja meninggalkan pekarangan Dewan Bahasa. Apabila ada tamu dari luar negeri, misalnya Leon Agusta atau Abdul hadi WM dari Indonesia, Usman akan meminta kami datang ke rumahnya. Jangan tidak-tidak, katanya. Maka seringlah kami makan-makan dan bersembang-sembang di rumahnya di Petaling Jaya. Usman kelihatan santai, bersahaja, jovial dan sentiasa dalam mood yang baik. Antara yang hadir di rumahnya kadang-kadang termasuk Maarof Saad, Latiff Mohiddin, Reza Piyadasa. Ada juga Faridah Marican dan Manaf Abdullah  dari Bahagian Inggeris Radio Malaysia (RTM). Biasanya makan dan bual sampai satu atau dua pagi, sementelah di hujung minggu.

Saya melihat semaca wujud dua watak selari atau  split personality dalam diri Usman sebagai ketua di waktu pejabat dan sebagai kawan karib di luar waktu pejabat. Saya melihat sifat kemanusiaannya tertancap dalam dalam dirinya sewaktu bergaul sebagai kawan karib. Maarof sendiri, ketika bergelut dengan masalah peribadinya, pernah ditwarkan Usman untuk tinggal beberapa bulan di rumahnya sehingga Maarof dapat menyelesaikan masalahnya. Hampir enam bulan Maarof  tinggal di rumah Usman. Pernah Usman meraikan Latiff yang akan keluar negeri sampai beberapa kali. Setelah diraikan pada kali pertama, Latif tak jadi bertolak.

Betapa karibnya dia dengan kawan-kawan dapat dilihat dari segi pergaulan dan tindakan keakrabannya, yang sekaligus mencerminkan sifat manusiawinya. Hal ini dapat dinilai, misalnya dalam surat-suratnya kepada saya sewaktu saya di Bandung. Yang paling mengesankan ialah satu surat yang dikirimnya pada tahun 1978. Allahyarham menulis, “Surat yang saya tulis tanggal 3.6.78 sampai kini masih belum diposkan. Ini memang perangai saya, suatu kelemahan yang buruk. Tapi untuk juga sebab dengan ini saya dapat menambah beberapa hal lagi.”  Tambahan maklumat itu ialah “rombongan penyair Malaysia ke Jakarta akan bertolak  tanggal 15.7.78 (Sabtu). Tentu Sdr telah tahu Sdr Hassan Ibrahim  mulai 16.6.78 telah berpindah  menjadi Pengarah RIMV. Begitupun kini beliau masih membantu (separuh masa) di DBP lerana KPD ke London atas urusan DBP.”

Kesan saya ialah sikap kemesraannya terhadap orang bawahannya. Jarang seorang ketua pejabat mahu menulis seperti halnya Allahyarham. Bukan tugas ketua memberitahu orang bawahannya tentang apa yang berlaku  di pejabat. Ketika memberi hormat terakhir kepada jasad Allahyarham yang terbujur kaku sebelum diusung ke Pusat Islam, Khamis siang, saya segera teringatkan suratnya itu. Rasa sendu dan sedih bagaikan tak tertahan lagi. Sesak nafas dibuatnya. Begitu mengharukan. Apatah lagi apabila teringatkan pesan  Allahyarham setiap kali mengunjunginya ketika sakit-sakitan supaya “jangan serik datang.”

Ada kalanya surat Usman mengandungi unsur lucu yang nakal. Seperti yang pernah saya terima warkahnya pada tahun yang sama yang antara lain berbunyi, “Semenjak balik tak ada berita pun. Semoga ujian (peperiksaan di universiti)  berlangsung dengan baik dan tentu saja saudara  tidak akan menjatuhkan kemaluan anak Malaysia di luar negeri.”

Sebelum itu Usman menulis memaklumkan akan kunjungannya ke Indonesia. Antara lain tulisnya, “Rasanya  4 atau 5 orang dari Malaysia akan menyertainya dan setakat ini yang pasti ialah saya, Baha (Zain), Muhammad Hj Salleh. Kemungkinan besar ialah Latiff Mohidin dan Kemala, ditambah lagi dengan Ghafar Ibrahim. Pesta itu bermula  dari 17 s/d 20 Julai 78….Saya harap  saudara akan berada di lapangan terbang bila kami sampai, belum pasti  sama ada serentak beramai atau berdua bertiga.”

Usman begitu apologetik melalui suratnya setelah kembali bertugas.  “Kini telah seminggu saya kembali menghadapi kesibukan tugas dan mesyuarat-mesyuarat yang menjemukan. Bandung masih dalam kenangan, alamnya dan udaranya. Paling terkesan sekali  ialah budi baik saudara, Wan (Yazirwan) serta Rubi dan kawan-kawan mahasiswa yang lain. Sesungguhnya budi itu sangat mengharukan saya, malah kadang kala saya merasa bersalah bila memikirkan  bahawa saya agak mementingkan diri tanpa memikirkan masalah  saudara dan Yazirwan yang bakal menghadapi ujian.” Di akhir surat Usman menulis, “Kalau ada apa-apa potongan akhbar/majalah mengenai Pesta  Puisi ASEAN, bolehkah sdr kirimkan pada saya untu pengetahuan saya.”

Apapun jua, tidak ada yang paling mengharukan selain satu perutusan pendek dari Usman sebagai Ketua Editor majalah Dewan Budaya yang diterima oleh sidang pengarangnya.  Majalah ini dikendalikan oleh sidang pengarang yang baru yang anggotanya terdiri daripada saya sendiri sebagai editor, Salmiah Ismail Timbalan, A. Ghafar Abdullah penolong editor;  Sharifah Latifah binti  Syed Ahmad Jamal, ketua perekabentuk,  Mazlan Mohd Nor perekabentuk dan Salahuddin Hj Mohd Said jurukamera. Perutusan pendek Usman dikaitkan dengan perubahan dalam kandungan dan desain majalah.

Tulisnya, “Meskipun tiada gading yang tak retak, tapi gambar kulit, rekabentuk/rekaletak dan isi kandungan Dewan Budaya keluaran Disember 1982 bagaikan mentari pagi yang menjanjikan sinar cemerlang Dewan Budaya tahun 1983. Tahniah dan terima kasih yang tulus ikhlas dari seorang Ketua Editor yang lebih banyak menumpang di bawah kecemerlangan yang saudara-saudara ungkapkan. Tandatangan Usman Awang, Ketua Editor, Pemangku Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera.”  Meskipun tidak beberapa lama kemudian, ketua editor yang menggantikan Allahyarham menilai “majalah Dewan Budaya  hancur dikerjakan editor sebelumnya.”

Demikianlah Usman, yang di kalangan kerabat kerjanya memanggilnya “Tongkat” sahaja, adalah kawan karib yang manusiawi, sekaligus seorang ketua yang serius dan tegas. Tidak keterlaluan kiranya sifat manusiawinya, kepemimpinannya  dan keakrabannya  seperti telah menyatu dalam dirinya. Kini semuanya hanya tinggal kenangan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin Ya Rabul Alamin!  – ends.

 

 

 

 

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: