Abd. Rahim Bakar: Coretan Awal

Tahun-Tahun Awal

Kemasik merupakan pekan kecil di Terengganu, dahulunya dan tidak ada kaitannya dengan Beserah di Pahang. Namun dua tempat ini dikaitkan dengan seorang tokoh bernama Dato’Abdul Rahim Abu Bakar, bekas Menteri Besar Pahang. Kemasik kampung halaman datuk nenek Abdul Rahim, manakala Beserah, lebih tepat Kampung Pantai merupakan kampung halaman baru buat ayahnya, Abu Bakar.

Jauh Beserah dari Kemasik melalui jalan laut dengan perahu adalah sehari dua belayar. Walaupun tidak sampai 100 kilometer, namun perjalanan menyusur pantai memakan masa antara lima hari dan seminggu lamanya. Lazimnya semasa belayar menuju selatan, beberapa buah kampung di sepanjang pesisir akan disinggahi, bukan sekadar mendapatkan bekalan makan-minum tetapi juga mencari petunjuk untuk destinasi yang sesuai.

Kehidupan yang dhaif di Kemasik menjadi penyebab berlakunya penghijrahan ke selatan. Menurut ceritanya Beserah merupakan tempat tinggal orang buangan raja. Pada mulanya ia hanya sebuah kampung kecil. Namun setelah beberapa ketika beberapa keluarga daripada pengikut Tuk Senik dari Pattani. Tuk Senik dikatakan seorang pendekar, tangkas menggunakan peralatan senjata tradisional seperti lembing, keris dan pedang. Pegangannya ialah selagi menjadi pahlawan sepanjang hayat tetap pahlawan “namun kecundang tidak sekali.” Dia mempunyai ramai pengikut yang setia dan akan patuh kepada setiap arahannya. Apatah lagi Tuk Seni adalah guru silat mereka.

Dikatakan Tuk Senik dan pengikutnya pernah ke timur Pattani bertempur dengan orang Siam. Tuk Senik kalah dalam pertempuran itu. Dan dia kalah lagi dalam pertempuran kali ketiga sehingga akhirnya dia terpaksa akur untuk meninggalkan kawasan Pattani Timur yang dikuasai nenek moyangnya selama 150 tahun, menuju selatan. Dia menyebut Pahang sebagai tempat perlindungan. Barangkali dalam hatinya dia terfikir juga tidak akan mungkin musuh akan menghambatnya hingga jauh ke selatan.

Ketika sampai di muara Sungai Beruang Tuk Senik dan pengikuti melihat alur-alur sungai yang terpecah-pecah memisahkan beberapa kampung yang ada di sepanjang tebingnya. Kampung yang paling dekat dengan muara ialah Kampung Pantai. Kampung ini betul-betul berada di tepi pantai. Ada pula kampung lain seperti Kampung Ceti, Kampung Bugis, Kampung Pelindung, Kampung Baru, Kampung Tuan, Seberang Cek Lek dan Jeram. Tetapi yang ramai penghuninya ialah Kampung Pantai.

Ketika Tuk Senik sampai di kampung itu, dia difahamkan bahawa kebanyakan orang kampung itu bukan penduduk asal, tetapi penghijrah dari luar. Makanya Tuk Senik menjangkakan bahawa dia dan orang-orangnya akan diterima dengan baik. Pengalamannya menetap sementara di Sungai Beruang satu ketika dahulu membantunya membuat perkiraan begitu. Tuk Senik dan pengikut diterima mesra oleh Tuk Ketua Kampung Pantai. Dengan ikrar taat setia Tuk Senik ingin memajukan bersama Kampung Pantai, kawasan penempatan barunya, jauh dari musuh di Pattani. Sehingga hari ini kebanyakan penduduk Kampung Pantai adalah waris keturunan pahlawan yang kalah perang, Tuk Senik.

Sejak itu ramailah orang Kelantan dan Terenggan berhijrah ke daerah ini, memenuhi seluruh kampung yang berjiran. Akhirnya daerah ini diletakkan di bawah satu mukim yang bernama “Beserah” yang bermaksud berserah kepada Allah Subhanahu Wataalla.

Abu Bakar bin Abd. Rahman  merupakan salah seorang ketua keluarga yang berhijrah ke Beserah bersama ahli-ahli keluarganya dari Kemasik. Abu Bakar dianggap seorang yang dinamik, suka merantau.Menurut cerita, Abu Bakar kehilangan ibu ketika masih kecil. Maka dia tinggal di rumah ibu saudara. Biasanya orang yang tidak mempunyai ibu kandung agak liar sedikit perangainya. Dan ini yang menyebabkan dia suka merantau. Satu peranagai Abu Bakar ialah dia telah berkahwin cerai beberapa kali tetapi tidak juga mendapat anak. Dia berhijrah ke Beserah setelah mendapat tahu bahawa keadaan hidup di sana lebih senang berbanding kampungnya. Dia mahu mencuba nasib di tempat baru ini. Tidak mungkin dia gagal kerana ramai penduduk di Beserah berasal dari luar.

Ketika di Beserah, Abu Bakar memulakan penghiudpan baru dengan mengadakan perkhidmatan bas dari Beserah ke Kemaman di sebalah utara. Walaupun tidak membuat kajian kemungkinan namun dia yakin perkhidmatan seumpama itu amat diperlukan memandangkan ramai yang berulang alik antara kedua-dua tempat ini. Abu Bakar terpaksa bekerja keras menyediakan modal kerana dia tidak dapat bergantung harap daripada sanak saudaranya di Kemasik yang juga miskin sepertinya. Berkat kegigihannya menyimpan akhirnya dia berjaya memulakan perkhidmatan bas Beserah-Kemaman. Namun tidak kekal lama kerana kesulitan kewangan. Dia tidak punya jalan lain kecuali menjualnya kepada Syarikat Bas Sing Hup. Abu Bakar ditawarkan saham dalam syarikat itu dan diambil bekerja sebagai pemandu.

Bagaimanapun Abu Bakar menolak tawaran syarikat berkenaan dan kembali menjadi nelayan. Kadang-kadang terfikir juga olehnya mengapa dia cuba beralih kepada lapangan kerja yang berlainan sama sekali dengan jiwa nelayannya. Apakah kerana kebosanan hidup sebagai nelayan, warisan nenek moyangnya atau sekadar mencuba nasib dalam bidang yang lain.

Demikianlah Abu Bakar berusaha mencari rezeki halal pada akhir tahun-tahun 1930an dan awal tahun-tahun 1940an. Pahang, seperti negeri lain masih di bawah jajahan British. Orang Melayu dibiarkan hidup sebagai petani dan nelayan. Tidak ada bidang lain yang boleh diterokai, hatta perniagaan sekalipun. Dalam pada itu pada 8 Disember 1941 Jepun mengisytiharkan perang terhadap British dan mula mendarat di Senggora, Pattani dan Kota Baru, Kelantan. Tentera Jepun menggunakan tiga jurusan utama ke selatan, iaitu jurusan barat, tengah dan timur dengan tujuan menguasai Singapura, ketika itu menjadi pangkalan tentera British di Asia Tenggara.

Jurusan timur merentasi daerah di sepanjang jalan pantai timur, termasuk jalan Kemaman-Beserah. Penduduk Kampung Pantai, khususnya dan mukim Beserah umumnya, tidak terlepas daripada kesan penaklukan tentera dari matahari terbit ini. Mereka hampir tidak percaya bahawa Jepun dari Asia boleh mengalahkan tentera British dan Australia, yang selama ini dianggap tidak boleh dikalahkan, dalam tempoh 70 hari, iaitu pada 15 Februari 1942.  General Percival, pemimpin tentera bersekutu di Asia Tenggara  menyerah kalah kepada Jeneral Tomoyuki Yamashita di Jalan Bukit timah, Singapura.

Kesan kesangsaraan di bawah pentadbiran tentera penakluk Jepun ini amat dirasakan, terutama penduduk yang sejak sekian lama hidup di bawah paras kemiskinan. Kesan ini turut dirasakan keluarga Abu Bakar yang kini telah beralih pekerja, kembali menjadi nelayan, bukan lagi sebagai penangkap ikan tetapi menjadi peraih. Kerjanya membeli ikan dari nelayan yang pulang dan menjualnya kepada orang ramai. Seperti kata orang kalau darah nelayan telah mengalir di tubuh, sampai bila-bila pun minat untuk bergelumang dengan ikan dan air laut itu tetap tidak dapat dihapuskan. Dia juga perlu memikirkan anak-anaknya yang sedang membesar dan yang perlu makan minum sesempurna mungkin. Dia punya dua orang anak, seorang anak angkat perempuan dan seorang lelaki bernama Johan dan berusia lima tahun.

Dalam keadaan Tanah Melayu di bawah pemerintahan Jepun inilah Abu Bakar bakal menyambut seorang lagi ahli keluarga. Pada pagi 7 Februari 1943, isteri Abu Bakar, Fatimah Abdul Rahman, yang ditemuinya di Cukai, Kemaman, melahirkan seorang bayi lelaki. Abu Bakar menamakan bayi itu Yusof, sempena Nabi Yusof a.s. Abu Bakar tidak dapat melupakan bagaimana pertama kali dia menemui isterinya itu. Abu Bakar sedang bergegas turun dari bas untuk membeli beras di sebuah kedai runcit. Dia hampir sahaja terlanggar seorang wanita yang sedang keluar dari kedai berkenaan. Wanita itu tergamam seketika dan mereka berdua secara spontan saling meminta maaf. Abu Bakar terasa bersalah dan tidak dapat menyembunyikan rasa malunya. Pertemuan yang tidak disengajakan itu membawanya ke jinjang pelamin.

Yusof lahir ketika Jepun sedang meningkatkan cengkamannya di Tanah Melayu. Sistem pentadbiran negeri di seluruh Tanah Melayu berubah mengikuti sistem pentadbiran pendudukan Jepun. Ketika itu semuanya serba kekurangan: pakaian dan makanan. Di samping itu penduduk menderita akibat kezaliman tentera Jepun. Tidak pernah penduduk Tanah Melayu mengalami penderitaan pahit sepanjang sejarah. Abu Bakar dan keluarga tidak terkecuali.

Bagaimanapun Yusof yang masih bayi tidak tahu apa-apa tentang penderitaan itu. Dia masih menjadi tanggung jawab ibunya Fatimah dan ayahnya. Malah dia membesar di samping mereka dan abangnya Johan dan juga kakak angkatnya. Lebih jauh lagi dia belum mengerti apa-apa bahawa tentera bersekutu sedang merancang untuk mengalahkan tentera Jepun di Asia-Pasifik, terutama Tanah Melayu.

Minggu-minggu sebelum kelahiran Yusof menyaksikan perancangan di pihak bersekutu untuk menundukkan Jepun di rantau Pasifik, bermula dari pulau-pulau Aleutians. Pihak bersekutu mahu menjadikan pulau-pulau di lautan pasifik ini sebagai landasan menyerang balas tentera Jepun. Pada 11 Januari 1943, misalnya, tentera bersekutu mendarat di Amchitka, 70 km di barat Kiska di Pasifik dan membina landasan sebagai “launching pad”. Pada bulan Mei, sekitar 2,300 orang tentera Jepun terbunuh akibat serangan balas tentera bersekutu di Pulau Attu. Inilah permulaan kekalahan Jepun di Pulau Pasifik dan Asia Tenggara.

Semacam ada kebetulan, perancangan tentera bersekutu menyerang balas dilakukan pada masa yang hampir sama dengan kelahiran seorang bayi yang kemudian menjadi tokoh besar di negeri Pahang. Walaupun peristiwa bermulanya kekalahan Jepun berlaku ribuan batu di selatan, namun  kelahiran bayi bernama Yusof pada hampir bersamaan masa itu akan menjadi tanda ingatan baginya ketika dewasa nanti. Yang jelas pengalaman penderitaan keluarganya akan melekat kekal dalam ingatan sampai bila-bila. Yang penting untuk diingat Yusof ialah dia dilahirkan di tengah-tengah kancah Perang Dunia Kedua, di tengah-tengah susana dunia yang tidak menentu dan ditengah-tengah ibu bapanya dalam serba kekurangan untuk membesarkannya.

Yusof meniti usia awal dalam suasana mesra ahli keluarganya, terutama Johan yang menjadi rakan sepermainan. Beza usia Yusof dengan Johan lima tahun. Dan Yusof adalah yang paling gemuk berbanding Johan dan adik-adiknya yang lain. Yusof dan Johan ibarat belangkas juga, tidak boleh lepas. Malah ketika Johan mahu ke sekolah Yusof mahu ikut sama. Kalau Johan menghantar kuih ke kedai untuk jualan, Yusof akan ikut sama. Ada kalanya Yusof akan mendengus kesal kerana tugasnya hanya menghantar kuih ke kedai sedangkan abangnya Johan terus ke sekolah kemudiannya. Sering juga kedua-dua adik-beradik ini bertengkar hanya kerana Johan tidak mahu bawa Yusof yang masih kecil ke sekolah. Dalam pertengkaran itu terjadilah tumbuk-menumbuk, pulas-memulas telinga hingga kadang-kadang papan batu yang digunakan untuk menulis peah berderai. Yang menjadi mangsa seringnya Yusof kerana keadaan fiziknya yang jauh lebih kecil berbanding abangnya.

Lazimnya pada waktu pagi, Yusof akan mengekori Johan ke bilik tidur untuk melihat Johan bersiap-siap ke sekolah. Yusof kemudian akan mengiringi Johan membawa kuih ke kedai kopi yang jaraknya setengah kilometer.  Namun yang tidak disenangi Johan ialah keinginan Yusof untuk turut sama ke sekolah. Padahal Yusof masih terlalu awal untuk berbuat begitu.

Jarang sangat pada usia begitu dalam pertengahan dekad 1940an, kanak-kanak mahu ke sekolah. Laut dan pantai biasanya menjadi kawasan yang mereka minati, dengan laut begelora dianggap kawan sepermainan. Sekolah begitu asing dalam latar kehidupan kanak-kanak. Bagaimanapun tidak halnya dengan Yusof yang senang ke sekolah. Ada kemungkinan besar hanya Johan kawan Yusof waktu itu maka Yusof melihat Johan bukan setakat abang dan ahli keluarga. Di samping itu keakraban dua adik abang ini sejak kecil sukar memisahkan mereka. Walaupun Johan kadang-kadang memarahi Yusof sambil menyakiti badannya dengan tamparan, cubitan dan pergelutan namun Yusof tetap mahu bersamanya.

Keinginan Yusof ke sekolah bersama abangnya akhirnya tercapai juga apabila kedua-dua orang tuanya membenarkannya. Dengan syarat  Yusof mestilah berbuat seperti kanak-kanak yang lain, iaitu selepas sekolah Yusof perlu pula pergi mengaji di sebalah petangnya. Yusof menjadi kanak-kanak yang paling gembira dan dalam masa sehari dua dia dihadiahkah orang tuanya papan batu dan qalam. Usia Yusof ketika itu empat tahun.

Inilah permulaan Yusof menerima pendidikan formal di sekolah. Walaupun masih belum berusia sekolah namun dia telah merasakan pengalaman pertama bersekolah. Sekolah mereka, Sekolah Melayu Beserah,  terletak tidak berapa jauh dari rumah dan berdekatan dengan padang. Sekarang sekolah itu sudah dialihkan kira-kira beberapa meter ke utara. Tapak sekolah masih boleh dikesan sehingga hari ini.

Yusof masih ingat bagaimana dia mula menjejakkan kaki di sekolah. Lantai sekolah masih tanah. Setiap meja mempunyai bangku panjang yang boleh memuat empat atau lima orang murid. Meja dan bangku guru lebih kecil. Yusof melihat guru Johan yang sudah lanjut usia.

Setelah memperkenalkan kepada guru yang lanjut usia itu Yusof dibawa Johan ke  Darjah I. Guru darjah menerima Yusof dengan senang hati sebagai murid tambahan tanpa ada rekod persekolahan. Mulai saat itu juga Yusof dan Johan setiap hari ke sekolah di samping menunaikan tanggungjawab membawa kuih untuk dijual di kedai kopi. Sebelum pulang mereka singgah di kedai berkenaan untuk mengutip hasil jualan.

Kedegilan Yusof ketika usia yang begitu muda mempunyai kesan kepada masa depan persekolahannya. Kemasukan ke sekolah pada usia pra-sekolah memberi kelebihan umur kepadanya. Yusof merupakan murid yang mempunyai kecerdasan sederhana dan ini dapat dilihat daripada prestasinya dalam peperiksaan. Misalnya, Yusof hampir sahaja gagal memasuki peperiksaan kelayakan (entrance examination) untuk ke Darjah Khas Melayu  atau Special Malay Class (SMC). Darjah ini diadakan sebagai kelas peralihan bagi murid-murid di sekolah Melayu memasuki sekolah Inggeris kerajaan. Kelas ini samalah fungsinya seperti Kelas Peralihan (Remove Class) bagi murid-murid sekolah jenis kebangsaan hari ini untuk memasuki Sekolah Menengah. Bezanya cuma kalau Kelas Peralihan bermula di Tingkatan I, Darjah Khas Melayu bermula di peringkat Standard Four Sekolah Rendah Inggeris Kerajaan. Special Malay Class I setaraf dengan Standard Four. Murid-murid Special Malay Class ini kemudian akan bertaut dengan murid-murid sekolah rendah Inggeris proper di peringkat Darjah VI (Standard VI).

Kerajaan Inggeris ketika itu telah mewujudkan satu sistem persekolahan di mana murid-murid di sekolah Melayu dibolehkan masuk ke sekolah Inggeris di peringkat rendah melalui peperiksaan kelayakan SMC. Peperiksaan itu diadakan ketika murid berada di Darjah IV. Jika lulus peperiksaan kelayakan ini murid-murid akan diserapkan ke sekolah Inggeris di Standard IV. Selama dua tahun murid-murid ini belajar sebelum diintegrasikan dengan murid-murid Standard VI. Ertinya pada tahun ketiga semua murid di SMC, jika lulus peperiksaan, akan naik darjah menjadi sebahagian daripada murod-murid Standard VI.

Pada mulanya keputusan peperiksaan Darjah III yang diterima Yusof  menunjukkan dia gagal nak darjah  (ke Darjah IV). Yusof begitu kecewa. Malah lebih mengecewakannya lagi setelah gurunya yang dipanggil Cikgu Hambal, memaklumkan bahawa Yusof tidak layak memasuki peperiksaan kelayakan ke Special Malay Class. Abu Bakar yang melihat kekecewaan anaknya itu meneliti keputusan peperiksaan Yusof dan mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan itu. Dia pasti ada kesilapan dalam pengiraan markahnya. Mengikut perkiraannya sendiri Yusof lulus peperiksaan dan berhak naik darjah.

Abu Bakar kemudian membawa Yusof ke sekolah dan menemui Cikgu Hambal. Dalam pertemuan singkat itu berlaku sedikit kekecohan tentang nama Yusof, bagaikan comedy of errors. Ketika Cikgu Hambal menyebut nama Abd. Rahim Abu Bakar menidakkan nama itu kerana anaknya bernama Yusof bukan Abd. Rahim. Cikgu Hambal membuktikan nama Abdul Rahim melalui surat beranak Yusof. Nama Abdul Rahim juga tertulis dalam buku kedatangan. Timbul sedikit kekeliruan dengan Abu Bakar masih mahu anaknya dipanggil Yusof. Menurutnya sejak lahir lagi mereka suami isteri memanggil nama anakanya Yusof. Maka selama ini Yusof punya dua nama. Di rumah dia Yusof dan di sekolah dia Abdul Rahim.

Kurang jelas apakah yang dibincangkan oleh Cikgu Hambal dan Abu Bakar. Hanya Cikgu Hambal mengakui bahawa markah Abd Rahim tersilap kira. Abd. Rahim (Yusof) sebenarnya lulus peperiksaan. Masalahnya ketika itu ialah sekiranya Abdul Rahim dinaikkan ke Darjah IV dia sudah terlambat untuk didaftar masuk peperiksaan kelayakan SMC. Mujur usia Abd Rahim setahun lebih rendah dan dia boleh mendaftar masuk pada tahun berikutnya. Maka kedegilan Yusof mahu ikut abangnya ke sekolah beberapa tahun sebelum ini menyelamatkan keadaan dan seterusnya tidak mengganggu hasrat Yusof ke sekolah Inggeris.

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: