Abd. Rahim Bakar: Gamitan Hawaai dan…

State flag. The flag of Pahang. Flag ratio 1:2.

Bendera Pahang Image via Wikipedia

Gamitan Hawaii dan Negara Matahari Terbit

Sebelum Abd. Rahim ditukarkan ke Kuantan untuk bertugas di Lembaga Kemajuan Negeri Pahang, dia dikehendaki mengikuti kursus kepemimpinan (leadership course)  di Pulau Hawaii, Amerika Syarikat. Ketika itu dia masih berkerja di Kemnetrian Pembangunan Luar Bandar, Kuala lumpur. Kursus ini diadakan pada awal tahun 1972. Pada mulanya dia tidak mempercayai apa yang dikatakan bosnya, Dato’ Harun. Sebabnya, ada ramai lagi pegawai yang lebih kanan daripadanya. Sepatutnya salah seorang daripada merekalah yang dipilih untuk mengikuti kursus itu. Apatah lagi kursus diadakan di luar negeri.

Dato’ Harun nampaknya serius dan memang benar orang yang dipilih adalah Abd. Rahim sendiri. Abd. Rahim tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya kerana terpilih ke East West Centre tempat kursus diadakan di pulau peranginan yang terkenal di seluruh dunia itu. Dia tidak lagi berasa rendah diri kerana kelemahan berbahasa Inggeris. Malah dia telah mengatasinya. Barangkali pergaulan dan komunikasi semasa bertugas menghilangkan rasa rendah dirinya. Betul, kata orang Inggeris “practice makes perfect” (alah bisa tegal dek biasa).

Abd. Rahim memberitahu isterinya Rosnah (mereka berkahwin pada tahun 1971). Kata Abd. Rahim dia akan meninggalkan Rosnah selama sebulan di Hawaii, pulau impian itu. Abd. Rahim bangga dengan sikap isterinya yang tidak banyak karenah. Jika pemergian Abd. Rahim ke Hawaii adalah untuk kebaikan keluarga dan kerjayanya, Rosnah relah ditinggalkan. Lagi pula, perpisahan hanya satu purnama. Walaupun belum sampai setahun berkahwin, namun kerana tugas dan tanggungjawab, Abd. Rahim terpaksa beralah dan “hanya menurut perintah.” Lagipun kursus kepemimpinan itu adalah penting untuk masa depan kerjayanya. Tidak ramai yang diberi peluang untuk mengikuti kursus kepemimpinan seperti itu di luar negeri.

Ketika berada di East-West Centre, ruang lingkup pemikiran Abd. Rahim mula berubah. Barulah dia tahu dunia ini tinggi rendah. Selama ini dia seperti katak di bawah tempurung, memikirkan hanya Malaysia sahaja dunianya. Kuala Lumpur itulah dunia impiannya. Hawaii mencelikkan matanya. Malah Hawaii juga menyedarkannya bahawa ramai anak Melayu telah berkelana jauh di perantau untuk menimba ilmu.

Di pulau impian itu Abd. Rahim berkenalan banyak anak Melayu, antaranya Siti Zaharah Sulaiman ( kini Dato’ Dr.) yang sedang menuntut di Universiti Hawaii di peringkat doktor falsafah (Ph.D). Shaharuddin Rejab, suaminya turut sama menuntut.

Yang membuatkan Abd. Rahim berasa takjub ialah penguasaan anak-anak Melayu yang menuntut di sana dalam penggunaan bahasa Inggeris. Malah pegawai-pegawai Melayu yang mengambil kursus sebulan di East-West Centre bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Misalnya dalam sesi perbincangan berkelompok, kebanyakannya diketuai oleh anak-anak Melayu. Antara yang fasih berbahasa Inggeris dalam kursus itu ialah Tengku Nasron, pegawai Perbadanan Pembangunan Iktisas Negeri Kelantan dan seorang lagi yang Abd. Rahim tidak ingat namanya, setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS).

Bagi yang pertama kali mengikuti kursus kepemimpinan seperti di Hawaii itu tumpuan perhatian adalah maksimum. Begitu juga halnya dengan Abd. Rahim. Dia tidak mungkin akan mempersia-siakan peluang yang diberikan. Seorang anak kampung sepertinya hanya akan memperbodoh diri jika kesempatan itu diabaikan. Abd. Rahim masih ingat syarahan profesor (guru) di East-West Centre tentang ciri dan corak kepemimpinan yang baik dalam sesuatu organisasi. Ada pemimpin yang lahir secara alamiah (semula jadi), dengan karisme yang datang sendiri. Ada pula yang lahir melalui pembentukan oleh pemimpin yang lebih berwibawa. Apapun jua, bakat kepemimpinan lahir daripada penglibatan. Ada yang muncul cepat dan ada pula perlahan. Semuanya amat bergantung kepada ciri-ciri kepribadian seseorang.

Bagusnya Abd. Rahim ialah dia jarang ponteng kuliah. Sikap ini bersarang dalam hatinnya. Disiplin ini barangkali adalah hasil didikan orang tuanya ketika dia masih kecil dahulu. Manusia seperti Abd. Rahim yang mengalami hidup sebagai anak orang miskin di kampung menyedari bahawa setiap kesempatan yang diberikan untuk meningkatkan ilmu dan taraf hidupnya tidak akan datang menggolek banyak kali. Bagaikan telah ditiupkan semangat demikian oleh orang tua dan datuknya dan semangat itu menjadi pegangannya.

Ada kalanya Abd. Rahim keluar dari tempat penginapannya mengambil angin di tepi pantai. Sekaligus dia teringatkan pantai Beserah, tempat dia bermain dan membesar bersama kawan-kawan yang sebaya. Mahu rasanya dia terbang pulang untuk bersama keluarga, terutama isteri tercinta. Walaupun hanya sebulan di perantauan, namun laut dan deru ombak pantainya mengembalikan rasa cintanya kepada laut Beserah dan Kampung Pantai. Jerih-perih orang tuanya membesar dan mendidiknya bagaikan suara gamitan yang mahunya pulang.

Dalam perjalanan pulang Abd. Rahim mengambil kesempatan mengunjungi Tokyo. Dia bersama seorang sahabat, peserta dari Jabatan Agama Islam Selangor (tak ingat namanya) bersetuju pulang melalui negara matahari terbit itu. Barangkali dia memikirkan kepulangan ke tanah air ibarat orang menyelam sambil minum air. Bagaimanapun Abd. Rahim masih teringatkan salah satu perbahasan kecil semasa kuliah yang berakhir dengan satu ketegangan. Semuanya bermula  dengan dakwaan seorang peserta tentang tujuan sebenar Amerika Syarikat menubuhkan pasukan keamanan (peace corps) yang bertugas dengan secara sukarela di negara-negara membangun. Tugas mereka ialah memberi bantuan teknikal melalui pendidikan. Malaysia sendiri tidak terkecuali menerima perkhidmatan pasukan keamanan ini.

Peserta dari Taiwan dengan keras menolak dakwaan pensyarah. Baginya pasukan keamanan Amerika itu hanyalah satu helah bagi menempatkan perisik-perisik Amerika. Anggota pasukan kemanan itu sebenarnya adalah perisik yang ditanam di negara-negara membangun dan Amerika Syarikat, menurutnya tidak jujur. Pensyarah itu pula mengakui bahawa dia juga seorang ahli sukarelawan pasukan keamanan Amerika. Perbahasan tentang peranan pasukan keamanan Amerika itu terhenti tanpa mencapai sebarang persetujuan.

Abd. Rahim terkejut kerana dengan tiba-tiba sahaja bilik kuliah menjadi gelanggang politik dan kecam-mengecam antara peserta dan pensyarah. Dalam perbahasan itu peserta Taiwan dan India memainkan peranan penting. Dan tindakan pensyarah meninggalkan bilik kuliah sebelum waktunya menjadi tanda tanya besar di kalangan peserta. Apa sudah jadi?

Ternyata prasangka dan prejudis terhadap sikap Amerika Syarikat ke atas negara-negara sedang membangun begitu menebal seperti yang ditunjukkan oleh para peserta dari Asia dan Afrika. Dakwaan peserta dari Taiwan tentang niat jahat Amerika Syarikat seperti menjolok sarang tabuan. Tiba-tiba sahaja hal sensitif seperti meletus menjadikan keadaan kuliah tidak menentu. Inilah yang dapat difahami Abd. Rahim. Malah barangkali pula perbahasan sensitif dan tegang  itu menjadi mimpi ngeri yang ingin dia elakkan semasa berkursus di negeri orang.

Abd. Rahim dan sahabatnya pulang ke Malaysia dengan menaiki penerbangan JAL 838 yang menggunakan pesawat DC10 yang mendarat di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo pukul 6.30  petang waktu tempatan. Cuaca amat dingin waktu itu kerana Jepun masih dalam musim sejuk (winter) bulan Januari 1973. Kedinginan membalut tubuhnya. Ia  adalah pengalaman kedinginan musim sejuk yang pertama baginya. Dan Tokyo merupakan bandar asing kedua selepas berada di pulau Hawaii yang dikunjungi Abd. Rahim. Abd. Rahim tidak dapat pastikan apakah dia berasa bertuah kerana dalam usia muda itu dia telah memijak bumi negara asing. Namun rasa bertuahnya tidaklah sebaik pelajar-pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran ke luar negeri sebaik sahaja tamat persekolahan menengah di Malaysia.

Di negara matahari terbit masalah yang mendesak ialah makanan. Abd. Rahim tidak memikirkan masalah itu sebelum bertolak ke Tokyo. Negara maju itu yang “timbul” daripada reruntuhan bangunan akibat pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945, dua tahun setelah Abd. Rahim dilahirkan memang memberi masalah kepada pengunjung beragama Islam. Tidak dapat dipastikan apakah akan ada makanan halal di negara itu, khususnya di Tokyo?

Untuk mengelakkan perasaan syak wasangka terhadap makanan halal dan haram Abd. Rahim memutuskan untuk memakan ikan dan telur di samping nasi. Ini mengingatkannya tentang peristiwa berbasikal ke Singapura dari Kuantan semasa menunggu keputusan peperiksaan Sijil Persekolahan awal tahun 1960an dahulu. Cuma di Tokyo Abd. Rahim tinggal dua malam. Maka keadaan tidaklah seteruk pengembaraan berbasikalnya.

Yang paling menarik tentang negara matahari terbit itu ialah kemajuan drastik yang dicapainya hanya dalam masa suku abad setelah perang dunia kedua. Ini hanya dapat dilakukan kerana budaya kerja dan disiplin yang tinggi yang dimiliki masyarakat Jepun. Kadang-kadang Abd. Rahim terfikir juga Malaysia mungkin boleh menjadi negara maju dalam temph 25 tahun andainya masyarakat mempunyai budaya kerja dan disiplin seperti masyarakat Jepun. Tetapi hal itu mustahil dilaksanakan kerana setelah mencapai kemerdekaan, lima belas tahun dahulu, imbasan untuk menjadi negara maju masih belum kelihatan.

Apatah lagi, Malaysia baru sahaja pulih daripada tragedi 13 Mei 1969, yang berakhir dengan korban jiwa yang tidak sedikit jumlahnya. Malaysia seperti kembali ke zaman baru merdeka dan segala-galanya bermula dari titik kosong. Malaysia tidak senasib Jepun kerana penduduknya yang terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya. Penduduk Jepun hampir seluruhnya homogen. Jepun tidak dijajah malah menjajah sedangkan Malaysia sudah dijajah silih berganti selama  400 tahun.

Abd. Rahim terperanjat apabila teksi yang dinaikinya berhenti di sebuah bangunan yang tinggi. Bangunan itu rupa-rupanya hotel, tempat penginapan mereka selama dua malam. Abd. Rahim bagaikan tidak percaya yang dia akan tinggal di hotel yang mewah begitu. Belum pernah dia menginap di hotel yang begitu besar dan tinggi, sekalipun di Malaysia. Dia terasa bersalah kerana keluarga yang ditinggalkan di Kampung Pantai tinggal di rumah kecil sedangkan dia tinggal mewah di hotel. Dia bagaikan mahu pulang sahaja tetapi komitmen kepada sahabat dan janjinya untuk bersama di Tokyo untuk sehari dua tidak memungkinkan dia kembali serta merta. Dia pun cuba memanfaatkan kunjungannya ke Tokyo itu sebanyak mungkin.

Peristiwa yang tidak dapat dia lupakan di Tokyo berlaku pada malam pertama dia tiba di bandaraya raksasa itu. Sahabatnya mahu menonton opera Jepun, semacam bangsawan kita di Malaysia. Abd. Rahim tidak minat tetapi atas desakan sahabat dia temankan juga. Dalam tidak minat itu Abd. Rahim terasa seronok juga menonton. Walaupun tidak faham bahasa yang digunakan, namun Abd. Rahim cuba menikmati gerak lakon pentas dengan suara tinggi rendah dan memanjang watak-wataknya. Turut mengasyikkannya ialah cara berpakaian pelakon-pelakon di pentas. Tradisi adalah segala-galanya di atas pentas. Pakaian kuno ala kimono, baik lelaki dan perempuan.  Abd. Rahim dan sahabatnya menonton sampai habis.

Sekembalinya ke hotel, mereka menunggu teksi yang hampir larut malam tidak muncul-muncul. Mereka mulai resah kerana malam merangkak lalu tanpa sebuah pun teksi yang datang. Setelah lama menunggu terpacul sebuah dan berhenti di depan mereka. Abd. Rahim menunjukkan kad hotelnya. Tetapi dengan bahasa isyarat pemandu teksi mengatakan tidak tahu di mana letak hotel itu. Abd. Rahim mendengus. Katanya dalam hati, “Mana mungkin pemandu teksi tidak tahu jalan di Tokyo.” Kemudian orang yang lalu lalang dan penonton-penonton opera yang keluar panggung tidak pula mempedulikan mereka.

Keadaan itu menimbulkan syak di hati Abd. Rahim bahawa orang Jepun tidak mempunyai siukap tolong-menolong, tetapi lebih seperti enau dalam belukar. Mereka nampaknya tidak mahu ambil tahu tentang masalah orang lain, terutama orang asing. Ketika dia memikirkan hal itu, tiba-tibanya cermin tingkap di sebelahnya diketuk orang. Abd. Rahim melihat ada seorang lelaki  berdiri di sisi teksi dengan berpakaian kot panjang (overcoat) dan topi berbulu. Lelaki itu tersenyum sambil menunggu pintu dibuka.

Abd. Rahim marah-marah kepada lelaki itu. Takkan dia mahu naik teksi yang sama. Dia mungkin menuju ke destinasi yang lain dan bertentangan dengan laluan Abd. Rahim ke hotel. Setelah beberapa lama, Abd. Rahim pun membuka cermin tingkat. Lelaki itu bertanya kepada Abd. Rahim arah tujuan dalam bahasa Inggeris yang fasih. Abd. Rahim terkejut mendengar lelaki itu berbahasa Inggeris. Dia tidak menyangka dalam keadaan malam yang telah hampir dinihari ada juga manusia samaritan yang mahu menolongnya. Abd. Rahim menjawab dengan harapan lelaki itu akan memaklumkan kepada pemandu dalam bahasa ibundanya. Sememangpun harapan Abd. Rahim terpenuhi kerana lelaki itu bercakap sesuatu kepada pemandu yang menyahut dengan perkataan “Hait!” Lelaki itu kemudian memberitahu Abd. Rahim dan sahabatnya bahawa pemandu teksi sudah mengetahui ke mana hendak dituju.

Seribu sesalan timbul dalam hati Abd. Rahim. Dia amat kesal dengan sikap terburu-buru menuduh bangsa Jepun tidak tahu menolong orang. Dia juga kesal kerana menyangka orang Jepun yang bukan-bukan. Prasangkanya yang tiba-tiba ketika dia dalam keadaan marah itu memang tidak berasas. Dia menyedari bahawa prasangka dan memandang rendah orang lain dalam keadaan terdesak adalah satu sikap yang tidak rasional. Dia banyak belajar malam itu. Dalam hati dia berjanji supaya mengelakkan diri daripada begitu mudah naik darah apabila mengalami tekanan. Ini satu tabiat buruk yang sebaiknya dihindari. Masa akan menentukan sama ada Abd. Rahim yang ketika itu belum pun berusia 30 tahun.

Satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakan Abd. Rahim ia semasa dia dengan sahabatnua itu bermalam di Taipeh dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Hawaii. Dua malam di Tokyo sudah dilaluinya. Ketika di Taipeh, ibukota Taiwan itu, berlaku satu gempa bumi (jumlah skalanya tidak pasti). Abd. Rahim cemas dan takut. Dia bimbang apa sahaja boleh terjadi kepadanya. Namun bagi penduduk Taipeh, gempa seumpama itu satu perkara biasa. Ramai yang tidak kisah lagi kerana telah terlalu biasa.

Kemudian ada pula sistem mengawal penuntut daripada menjadi kutu rayau di luar sekolah. Sistem itu dijelaskan oleh peserta kursus  yang sama-sama kuliah dengan Abd. Rahim. Peserta itu berjawatan tinggi dalam bidang pendidikan. Khabarnya dia bertugas sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Pendidikan Taiwan. Melalui sistem kawalan penutut itu, setiap guru diberi satu kawasan di luar sekolah untuk menjaga murid-murid supaya tidak terlibat dalam kegiatan jahat. Tugas guru pengawal ini ialah mencatat kegiatan penuntut di luar sekolah, pergerakannya, percakapannya dan segala sesuatu yang dilihat melanggar disiplin penuntut. Dengan pengawasan ketat seperti itu penuntut akan sedar dia diawasi sepanjang masa. Kemudian penuntut yang keliuar dari kawasan sekolah perlu pula berpakaian yang menandakan mereka adalah murid sekolah. Abd. Rahim menilai sistem pengawasan penuntut oleh guru di dalam dan luar sekolah ini amat baik untuk mengurangi kegiatan juvana anak-anak sekolah.

Demikianlah Hawaii dan Tokyo merupakan destinasi pertama di luar negara buat Abd. Rahim menanggalkan kepompong pemikirannya. Dia tidak lagi berada seperti katak di bawah tempurung. Mindanya semakin terbuka luas, terutama apabila dia berkesempatan berkenalan dan bergaul dengan orang asing. Peserta-peserta kursus di East West Centre dari pelbagai bangasa – Taiwan, Afrika, India dan Amerika – benar-benar memberikannya satu peluang untuk bertukar fikiran. Kursus dan pergaulan dengan masyarakat dunia itu bagaikan memberikan satu anjakan pradigma kepadanya. Dia bermuasabah diri bahawa banyak yang perlu dipelajari untuk menyempurnakan sikap dan tindakan agar menjadi seorang pemimpin yang baik dan dihormati. Satu yang boleh dipelajarinya ialah “respect does not come by itself but must be earned”. Dia hanya akan dihormati jika dia menghormati orang.

Jika di East West Centre, Hawai dia belajar bagaimana mahu menjadi pemimpin yang baik dan cekap maka di Tokyo dia belajar secara muasabah diri bagaimana mengawal perasaan dan mengelak daripada bersikap prejudis terhadap orang lain. Kedua-dua pelajaran in amat membantu Abd. Rahim meningkatkan prestasi kerjayanya.

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: