Abd. Rahim Bakar: Karenah Politik Awalan

Mengharung Ranjau Politik Awalan

Penglibatan Abd. Rahim dalam politik bermula pada tahun 1966 ketika dia mendaftar sebagai ahli UMNO, Cawangan Beserah Selatan. Abd. Rahim terpaksa menjadi ahli UMNO jika dia mahu meneruskan kegiatan dalam bidang sukan di kampungnya. Seperti katanya, “Di kampung saya, kalau hendak masuk aktiviti main bola atau apa-apa kita kena masuk UMNO. Kalau tidak jadi ahli kita akan dianggap anti-sosial. Dan kalau tak masuk UMNO kita dikira tidak suka campur orang.” Abd. Rahim menjadi ahli UMNO ketika umurnya 23 tahun.

Tahun itu pula merupakan tahun kritikal buat negara kerana masih lagi berkonfrontasi dengan Indonesia, gara-gara kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia pasa 16 September 1963. Seingat Abd. Rahim pada tahun 1966, telah ada tanda-tanda bahawa Indonesia sedang mengalami perlahihan kerajaan dari Presiden Soekarno kepada penggantinya Letnen Jeneral Soeharto. Presiden yang baru itu telah mengarahkan Menteri Luar, Adam Malik mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abd. Razak di Bangkok dalam usaha menamatkan dengan rasmi gerakan konfrontasi terhadap Malaysia.

Abd. Rahim banyak membaca tentang kejayaan Tun Abd. Razak dalam bidang diplomasi ini, terutama urusannya menamatkan pertelingkahan bersenjata dengan Indonesia. Dia mengkagumi personaliti pemimpin berasal dari Pekan itu. Ini merupakan salah satu sebab dia memasuki UMNO. Sejak itu juga Abd. Rahim tidak ketinggalan mengikuti kegiatan pemimpin agung negara kelahiran anak Pahang. Abd. Rahim menjadikan Tun Abd. Razak sebagai sumber kekuatannya untuk kekal dalam UMNO, dan tidak tertarik untuk menyertai parti-parti lain.

Namun keahliaannya dalam UMNO hanyalah bersifat pasif. Sebagai pegawai kerajaan, kegiatan politik tidak begitu diberikan perhatian. Lagi pun kemasukannya dalam UMNO hanyalah untuk membolehkannya bergiat dalam sukan bola sepak di kampungnya. Ketika bertugas di Temerluh sebagai Penolong Pegawai Daerah selama dua tahun (1967-69), Abd. Rahim tidak juga bergiat dalam politik. Begitu juga halnya ketika dia bertugas di Majlis Bandaran Kuantan (1969-1971).

Minatnya untuk berkecimpung dalam bidang politik bermula ketika Abd. Rahim menyandang jawatan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Negeri Pahang setelah pulang daripada berkursus di East-West Centre, Hawaii. Barangkali ruang lingkup pemikirannya ketika itu mula memperlihatkan sifat-sifat global, membantunya menilai masa depan kerjayanya. Tambahan pula pergaulan dan pergeseran bahu dengan tokoh-tokoh politik tempatan, terutama dengan Dato’ Mohamad Jusoh, Menteri Besar Pahang semakin mendorongnya untuk berjinak-jinak dengan politik per se.

Lagi pula pada waktu itu di Beserah, belum ada parti lain yang membuka cawangan. Yang ada hanyalah parti UMNO. Abd. Rahim melihat melalui politik UMNO, orang Melayu akan dapat pembelaan yang lebih. Abd. Rahim yakin Melayu masih mundur dan perlukan pembelaan. Fikirnya, kalau politiklah yang boleh membantu bangsa Melayu, maka parti yang boleh memberi kesan kepada nasib orang Melayu adalah UMNO sendiri atau Perikatan yang sedang memerintah. Baginya parti-parti lain hanyalah sebagai pengacau, tanpa memberi kesan yang banyak kepada orang Melayu.

Bagaimanapun, dia tidak dapat menafikan bahawa keadaan hidup bermasyarakat di Beserah, khususnya di Kampung Pantai yang menyebabkannya terpaksa menjadi anggota UMNO. Ketika itu sesiapa sahaja anak muda yang giat bersukan dan giat bergaul dalam masyarakat perlu menjadi ahli UMNO. Hanya UMNO yang mempunyai kemudahan riadah dan bersukan. Pertubuhan lain seperti gerakan belia dan sebagainya belum wujud. Abd. Rahim terpaksa menjadi ahli UMNO kerana dia seorang ahli sukan. Banyak pertandingan diadakan dan setiap pertandingan diadakan melalui pertubuhan seperti UMNO Cawangan Beserah Selatan.

Katanya, “Semacam fesyen waktu itu. Saya ingat satu peristiwa ketika saya baru masuk UMNO pada tahun 1966 atau 67. Masa itu umur saya baru 23 tahun. Biasanya waktu petang saya pakai seluar pendek, pakai selipar dan memikul but bola. Saya berjalan dari rumah ke padang bola dekat masjid. Bila sampai saya nampak ramai orang di rumah UMNO Beserah. Rumah itu di tepi padang bola. Oleh kerana awal saya sampai, budak-budak lain pun tak ada saya pun join majlis itu. Ketika Tan Sri Ghazali Jawi, Menteri Pertanian sampai dan naik ke Dewan saya pun ikut sama. Rupa-rupanya ada majlis dialog. Saya kurang pasti apa yang diucapkan oleh Tan Sri Ghazali. Tetapi yang saya ingat bila majlis dibuka untuk pertanyaan saya, barangkali kerana nakal, ego saya entah apa sebabnya, mengangkat tangan untuk bercakap.”

Abd. Rahim mengemukakan pertanyaan kepada Tan Sri Ghazali, “Benar atau tidak bahawa kalau di rantau ini, di mana ada sawah padi  di situlah ada kemiskinan? Seolah-olah  orang bersawah atau bertanam padi ini oang menempah untuk jadi miskin. Kalau itu benar, mengapa kerajaan Malaysia sibuk sangat menyuruh orang Melayu bertanam padi beramai-ramai? Atau mengekalkan penanam padi terus bertanam padi? Adakah kerana kerajaan hendak pastikan orang Melayu terus miskin, atau apakah sebabnya?”

Abd. Rahim kurang ingat jawapan menteri berkenaan tetapi dia melihat ada tanda-tanda marah di wajah menteri dan Ismail Siabit, ketua UMNO Cawangan. Setelah itu Abd. Rahim terus meninggalkan majlis berkenaan untuk main bola di padang bersama kawan-kawan yang telah menunggunya. Tidak lama kemudian saya ditukarkan bekerja di Temerloh, padahal saya baru sahaja beberapa bulan bertugas di Kuantan. Tidak pasti apakah disebabkan keceluparan Abd. Rahim atau keberaniannya maka dia sampai ke hari ini sentiasa sahaja dipilih oleh cawangannya itu sebagai salah seorang wakil ke mesyuarat UMNO Bahagian Kuantan.

Di kampungnya tidak ada parti lain ketika itu kecuali UMNO. Abd. Rahim melihat orang Melayu akan dapat pembelaan melalui parti itu dan boleh memanfaatkan sebanyak mungkin kerana UMNO parti Melayu yang ditubuhkan untuk membela nasib bangsa Melayu. Dalam pada itu seperti katanya, “negara ini asalnya negara Melayu. Jadi orang Melayu perlu dibela bersungguh-sungguh. Tetapi waktu itu orang Melayu masih mundur. Saya merasakan kalau politiklah boleh membantu bangsa, yang paling memberi kesan mengikut formula yang ada pada masa itu, rasanya parti Perikatan/UMNO. Parti-parti lain hanya mengacau sahaja dengan tidak memberi kesan yang baik kepada bangsa Melayu.”

Secara perlahan tetapi berhemah Abd. Rahim “menjerat” diri bergiat dalam politik. Pemikiran politiknya bercambah dan kerjayanya memdekatkan lagi dia dalam politik per se. Sebagai setiausaha Msjlis Perbandaran Kuantan, ADO di Temerluh  dan sebagai pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang merupakan saluran yang menjeratnya. Kedekatannya itu ditambah lagi dengan cara berfikirnya terhadap nasib orang Melayu yang perlukan pembelaan. Tindak-tanduknya membela nasib orang Melayu di Temerloh dan di Kuantan bagaikan mencurah minyak ke dalam api yang sedang membakar. Puncak daripada jeratan politiknya ialah keadaan melarat keluarganya dan orang kampung yang hidup sebagai nelayan di Kampung Pantai.

Dalam pada itu sikap kawan-kawan rapatnya memperlekeh keinginannya berpolitik turut menjadi cabaran kepadanya. Abd. Rahim memahami bahawa sikap kawan-kawannya itu hanya satu gurauan, tetapi jauh di dalam hatinya, sikap itu seperti menduga kesungguhannya untuk menceburkan diri dalam bidang itu. Pernah kawan wartawannya, Mokhtar Mahmud Baginda bersenda dengannya dengan berkata  bahawa Abd. Rahim akan hanya menambah masalah, terutama jika berangan-angan nak jadi menteri besar.

Abd. Rahim mengenali Mokhtar ketika bertugas di Temerloh pada tahun 1967. Ketika kembali bertugas di Kuantan, Abd. Rahim menyambung persahabatannya dengan Mokhtar. Banyak manfaatnya bersahabat dengan wartawan. Abd. Rahim boleh tumpang dengar cerita terbaru terutama yang berkait rapat dengan politik. Pula Mokhtar memang cerdik menghidu berita di sekitar Kuantan.

Pada awal tahun 1978 Abd. Rahim diberitahu Mokhtar bahawa menteri besar yang ada ketika itu akan diganti selepas pilihanraya. Mokhtar pernah memaklumkan kepada Abd. Rahim bahawa belum ada calon yang sesuai. Kalau pun ada yang dicadangkan pemimpin UMNO peringkat pusat menolaknya. Abd. Rahim yakin dengan kata-kata Mokhtar, seorang wartawan kanan yang telah lama berkhidmat di Pahang. Ketika itu Mokhtar cukup disenangi oleh semua golongan masyarakat dari peringkat istana hingga ke pegawai kerajaan dan rakyat biasa. Ketika Mokhtar berkata bahawa belum ada calon yang sesuai, Abd. Rahim memikirkan Dato’ Abdul Razak Hitam yang dianggapnya paling kanan dalam politik UMNO Pahang dan paling layak memegang jawatan berprestij itu.

Demam pilihanraya sedang melanda di Pahang dan di seluruh negara. Skenario politik Pahang tidak begitu menentu. Angin kencang bertiup tentang isu menteri besar yang khabarnya akan diganti. Selain Abd. Razak. Tan Sri Hamzah Abu Samah, ketika itu pengerusi perhubungan UMNO Pahang masih terus membisu, tanpa membuat sebarang komen apabila nama Abd. Razak disebut-sebut.

Keyakinan Abd. Rahim bahawa Abd. Razak mungkin akan menjadi pengganti untuk menyandang jawatan itu disandarkan kepada arahan Hamzah kepada Abd. Rahim supaya memanggil pulang Abd. Razak dari Eropah. Abd. Razak sedang berada di Eropah kerana membuat promosi pemasaran terhadap  kayu tropika. Semasa berbincang-bincang kosong dengan Mokhtar, Abd. Rahim malah tersasul dengan berkata, “Apa susah-susah nak cari bakal menteri besar. Bagi kepada aku sajalah, nanti selesai semua masalah.”

Perbualan kosong itu juga mendedahkan pemikiran Abd. Rahim tentang konsep politik dan masyarakat. Baginya kalau jawatan itu diberikan kepadanya dia akan pastikan tidak ada lagi apa yang disebutnya sebagai hanky-panky. Sebagai ketua, katanya  “Kita sentiasa ingat kepada rakyat. Kita datang dari rakyat, kita tentu kembali kepada rakyat.” Mokhtar pula berani meletakkan jawatan kalau Abd. Rahim dilantik menteri besar dan terus bekerja dengannya dan sama-sama “memajukan negeri.” Barangkali Mokhtar seperti halnya Abd. Rahim bercanda ketika bercakap demikian.

Jauh di sudut hati, Abd. Rahim memang sudah mula memasang angan-angan. Andainya dia dicalonkan atau namanya “naik” dia akan berbuat sesuatu untuk mengubah skenario politik Pahang. Perbualan kosong dengan Mokhtar mendatangkan perubahan mendadak kepada dirinya. Dia mula resah.  Dia benar-benar ingin tahu perkembangan mutakhir tentang politik negeri Pahang.  Pengalaman politik Abd. Rahim hanyalah dia pernah dipilih sebagai ahli jawatankuasa Bahagian Kuantan pada tahun 1976-77. Ketika itu dia masih bertugas sebagai pegawai kerajaan di Kuantan.

Citia-cita Abd. Rahim untuk aktif sepenuh masa dalam politik tidak direstui isterinya. Namun Abd. Rahim tidak memerlukan isterinya dan isterinya amat memahami tabiatnya. Cita-cita Abd. Rahim turut tidak disenangi Menteri Besar Dato’ Mohamad Jusoh, melaluinya Abd. Rahim dapat mendekati Tun Abd. Razak. Menteri Besar tidak senang dengan kritikan Abd. Rahim terhadap sistem pentadbiran kerajaan negeri. Pernah juga Abd. Rahim semacam mengugut Menteri Besar untuk menyertai PAS jika dia tidak diterima UMNO. Baginya nasib orang Melayu perlu menjadi tumpuan utama pentadbiran dan jika ada dasar yang menyeleweng jauh daripada tujuan ini dia tidak tanggung-tanggung mengkritik.

Kadang-kadang Abd. Rahim tawar hati untuk menceburkan diri kerana awal-awal lagi minatnya tidak diendahkan malah diperkecilkan oleh pemeimpin negeri, tidak terkecuali menteri besar. Yang membuatnya terus berdegil ialah kata-kata Mohktar Baginda tentang perjudian kerjayanya jika Abd. Rahim terpilih menjadi menteri besar yang baru. Mokhtar berkata demikian di sebuah restoran di Bangunan UMNO Kuantan.

Suatu hari, bulan Ogos 1978,  Abd. Rahim menerima pesan supaya berjumpa dengan  Dato’ Ali Shariff, Ketua UMNO Bahagian Kuantan. Pada mulanya Abd. Rahim enggan memenuhi pesan itu dan meminta Dato’ Ali sendiri datang menemuinya. Baginya siapa yang mahu jumpa dia harus datang. Dalam hal ini Dato’ Ali yang mahu jumpa maka sepatutnya dato’ itulah yang datang menemuinya. Kemudian Dato’ Ali sendiri menelefon Abd. Rahim dan memintanya datang ke rumahnya dengan segera. Ada hal penting yang hendak dicakapkannya. Abd. Rahim tidak punya pilihan kecuali hadir di rumah Dato’ Ali.

Pertemuan empat mata Abd. Rahim dan Dato’ Ali memulakan episod baru dalam kerjaya politik Abd. Rahim. Malah pertemuan itu merubah hidupnya daripada seorang pegawai kerajaan kepada seorang pemimpin politik. Dia juga tidak menyangka bahawa begitu ramai pemimpin politik Pahang yang berkebolehan dan berpengalaman luas, dia pula yang akan menjadi tumpuan politik rakyat Pahang. Pertemuan di rumah Dato’ Ali benar-benar memberinya satu pilihan yang sukar mahu ditolak.

Dato’ Ali memaklumkan bahasa nama Abd. Rahim telah dipilih daripada senarai pendek yang diserahkan kepada pimpinan UMNO Pusat untuk menjadi calon Barisan Nasional di kawasan Dewan Undangan Negeri di Beserah. Abd. Rahim serba salah dengan keputusan parti. Keputusan dibuat oleh presiden parti, Dato’ Hussein Onn, yang juga Perdana Menteri benar-benar mengejutkannya.

Pada mulanya dia enggan menerima pencalonan kerana dia merasakan belum begitu bersedia. Keluarganya juga belum bersedia menerimanya sebagai seorang ahli politik. Seperti kata isterinya, “Dalam politik, masalahnya banyak. Ada kata mengata. Kalau kalah hendak kerja apa.” Kemudian dia terfikir akan kerjayanya sebagai pegawai negeri sejak tahun 1966 lagi. Pengalaman selama hampir 12 tahun sebagai pegawai kerajaan mendekatkannya dengan Peraturan Am dan sistem pentadbiran. Malah kuasa yang diberikannya dalam sistem birokrasi pentadbiran memberinya ruang yang cukup banyak untuk membantu rakyat, terutama orang Melayu yang baginya masih dhaif dan perlu pembelaan.

Abd. Rahim semakin serba salah apabila dia diberitahu Dato’ Ali bahawa kawasan Dewan Undangan Negeri yang akan diwakilinya ialah Beserah. Selama ini kawasan itu diwakili Haji Ismail Siabit. Dia teringatkan peristiwa perebutan jawatan pengerusi Persatuan Kebajikan Beserah yang berakhir dengan kekalahan Haji Ismail. Dato’ Ali yang dipanggil “cikgu” oleh Abd. Rahim meyakinkannya bahawa masalah Haj Ismail telah pun diselesaikan dan parti telah memilih Abd. Rahim sebagai ganti. Dengan keyakinan itu Abd. Rahim diminta menemui Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Dato’ Hamzah Abu Samah, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Ini bermakna Abd. Rahim dikehendaki pergi ke Temerloh menemui Dato’Hamzah untuk mengambil surat tauliah pencalonan. Sebelum ini Abd. Rahim mendapat tahu semua calon Barisan Nasional di peringkat negeri dan parlimen dalam pilihanraya umum 1978 telah menerima telegram untuk mengambil surat tauliah masing-masing  daripada Dato’ Hamzah.

Pemilihan Abd. Rahim sebagai calon Barisan Nasional di kawasan Dewan Undangan Negeri merupakan berita terbaik buat kawan-kawannya, seperti Long Ahmad Zainal Abidin, Razali Mustapha, Razali Abbas, Raja Ali Raja Mahmud, Osman Ali dan Adnan Talib. Namun pada mulanya bd. Rahim minta pemilihannya itu jangan dihebohkan. Razali Mustapha, misalnya, masih ingat bagaimana dia dimaklumkan oleh Abd. Rahim tentang pemilihan itu. Kata Razali, “Abd. Rahim kata, mungkin belum tentu lagi…Ada ura-ura, tapi janganlah bising sangat, janganlah heboh sangat. Rahim ini apa sahaja yang hendak dibuatnya seperti rahsia sahaja. Sedangkan pada kita apalah patut dirahsiakan sangat.”

Menurut Razali lagi, “Orang kampung di Berserah memang menerimanya. Semua orang suka. Perangai dia dari kecil lagi, dia tidak malu buat kerja. Buat kerja dengan betul, seperti menolong ayah. Masyarakat pandang keadaannya. Makna kata dia bekerja bukan hendak cari nama. Ketika dia kerja di Kuantan dia selalu datang ke Beserah bermain  bola dan bercerita. Sebab itu kalau dia jadi calon orang tidak pertikaikan.”

Setelah menerima surat tauliah daripada Dato’ Hamzah di Temerloh, Abd. Rahim kini berdepan dengan reaksi ahli-ahli keluarga, ayah dan ibu, abangnya Johan, Ramnah, Banun, Rohani, Hashim, Abdul Rahman, Saadiah dan Puziah. Ketika membincangkan keputusan itu setiap anggota keluarga cuba meyakinkannya supaya menolak sahaja tawaran parti untuknya bertanding. Abd. Rahim terpaksa menjual nama Dato’ Hussein Onn dan seperti katanya kepada anggota keluarga, “Saya kena hormat Dato’ Hussein sebab dia itu perdana menteri kita.” Abd. Rahim masih ingat cara Dato’ Hamzah melayannya ketika bertemu di Temerloh. Malah kebanyakan orang UMNO yang hadir berasa hairan kemesraan yang wujud antara dua tokoh ini. Barangkali orang-orang UMNO di Temerloh tidak tahu bahawa Abd. Rahim dan Dato’ Hamzah “memang kenal rapat” antara satu dengan yang lain. Malah ada cerita menarik di sebalik perkenalan ini. Abd. Rahim masih ingat bagaimana Dato’ Hamzah menelfonnya pada suatu hari sebaik sahaja kerajaan dibuarkan untuk mengadakan pilihanraya. Dato’ Hamzah mahu Abd. Rahim mencari Dato’ Razak Hitam sampai dapat. Razak adalah Exco Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Mohamad Jusoh. Dato’ Razak sedang berada di Eropah untuk mempromosikan perusahaan kayu tropika. Dato’ Hamzah minta Abd. Rahim menghubunginya supaya pulang dengan segera.

Amat besar kemungkinan ahli-ahli keluarga Abd. Rahim melihat dunia politik itu bukan sahaja tidak kekal tetapi turut mempersia-siakan bakat pentadbiran yang ada padanya. Mereka mahu Abd. Rahin terus berkhidmat sebagai pegawai kerajaan. Bagaimanapun watak degil Abd. Rahim menggagalkan usaha keluarganya untuk menarik balik keputusan Abd. Rahim. Abd. Rahim kuat berpegang kepada  kata putus yang telah diberikannya kepada Dato’ Hamzah di Temerloh dan amanah yang telah diberikan Dato’ Hussein Onn.

Semua ahli keluarga akhirnya akur dengan keputusan Abd. Rahim. Mereka amat memahami perangai Abd. Rahim yang bernama “Usof” itu. Dia memiliki semangat kental seperti yang dimiliki datuk dan ayahnya. Jika datuknya berkecimpung sepanjang hayat menjadi nelayan, dan ayahnya dengn bisnes menjuak ikan sebagai peraih dia kini tetap dengan caranya pula, iaitu meletakkan setingkat lagi dunia kerjayanya kepada yang lebih mencabar –  bidang politik. Dia mengambil risiko yang tinggi kerana dunia politik merupakan dunia yang penuh dengan serba kemungkinan. Sebaik sahaja dia meletakkan jawatannya sebagai pegawai kerajaan dalam tempoh 24 jam, dia tidak akan menoleh ke belakang lagi. Sandarannya hanyalah kepercayaan yang diberikan presiden parti dan pengerusi perhubungan Negeri Pahang, Dato’ Hamzah.

Maka bermulalah tugas baru Abd. Rahim. Dia tidak lagi bekerja ikut masa pejabat, 8.00 pagi 4.00 petang, tetapi siang malam selama 24 jam, jika perlu. Dalam politik, masa tidak wujud. Ketika Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan 8 Julai 1978 sebagai tarikh pilihanraya umum, Abd. Rahim sudah bersedia  daripada sudut waktu dan tenaga. Dia juga mengharapkan rakan-rakan sekampungnya akan turut membantu dalam kempen.

Abd. Rahim berdepan dengan tiga calon lawan, iaitu calon PAS, Syed Hassan Bin Syed Idrus, calon Parti Tindakan Demorasi (DAP, Jaafar Hussein dan calon Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM), Mohd Ali Ismail. Jumlah pengundi di Beserah ialah 10,690 orang. Ini satu pertandingan empat penjuru yang akan menguji populariti  Abd. Rahim. Berbanding calon-calon lawan, Abd. Rahim masih lagi dianggap “budak hingusan” dalam politik. Beberapa tokoh politik Pahang yang sedang meningkat yang turut sama bertanding dalam pilihanraya umum 1978 itu termasuk Khalil Yaakob, Dato’ Hamzah dan Ghazali Shafie. Khalil bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri di Ibam menentang calon PAS, Abdullah Jaafar. Dato’ Hamzah di kawasan Parlimen Temerloh, menentang Hj Ahmad Sulaiman dari PAS dan Ghazali menentang juga calon PAS, Kassim Yahya di kawasan Parlimen Lipis.

Sebagai calon pertama kali bertanding dalam pilihanraya umum, Abd. Rahim mendapat dukungan padu daripada Menteri Besar . Ini dapat dilihat semasa menyerahkan borang pencalonannya pada hari penamaan calon di bangunan Pejabat Daerah Kuantan. Turut serta mengiringi Abd. Rahim ialah anggota-anggota keluarganya. Abd. Rahim begitu yakin kerana seperti seperti katanya, “Saya sudah biasa jumpa orang kampung, saya tak rasa apa-apa.”

Menteri Besar amat yakin Beserah dapat dipertahankan. Baginya Beserah kawasan selamat. Selama ini wakil rakyat Beserah, Haji Ismail Siabit tidak pernah mengalami kesukaran mengekalkan kerusi Dewan Undangannya. Beserah memang kubu kuat BN. Awal-awal lagi Abd. Rahim menjangka majoriti pengundi Beserah menyokongnya. Abd. Rahim anak jati Beserah calon paling popular. Namun begitu dalam hati kecil juga tentang padahnya jika terlalu  yakin (over-confident).  Katanya kepada Dato’ Mohamad Jusoh ketika menunggu keputusan pencalonan, “Walaupun Beserah kampung saya, saya tak nak ambil mudah Dato’.” Pertama kali Abd. Rahim melihat begitu ramai penyokong BN mengiringinya ke tempat penamaan pencalonan. Pelbagai kain pemidang dan spanduk dilihatnya berkibar memberi semangat. Antara pemidang itu ada yang tertulis: “Undi BN untuk kesejahteraan rakyat.”

Kempen bermula malam itu juga. Abd. Rahim meminta penyokong untuk berkumpul di balai raya Beserah. Dan Abd. Rahim berfikir cara terbaik untuk berkempen menjelang tarikh pilihanraya, 8 Julai. Kawan-kawan rapatnya turut sama membantu. Raja Ali, misalnya bertungkus lumus menyiapkan minuman dari rumahnya. Seorang lagi kawannya yang kebetulan mempunyai kenderaan, diminta oleh Abd. Rahim untuk membawanya ke sana ke mari semasa berkempen. Kata kawannya itu, “Dalam segi kempen ini, orang parto boleh dikatakan semualah. Kawan-kawan rapat boleh dikatakan terus menyerap dalam cawangan-cawangan yang ada, iaitu di tengah, selatan dan utara Beserah. Kawan-kawan menyusup masuk dan menjalankan tugas masing-masing yang telah ditetapkan.”

Tuah menyebelahi Abd. Rahim. Keputusan pilihanraya untuk kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Beserah kekal di tangan BN. Cuma wakilnya berganti tangan daripada Haji Ismail Siabit kepada Abd. Rahim Bakar. Pekikan “Hidup Barisan.. Hidup Rahim!” bergema di seluruh ruang Dewan Majlis Perbandaran Kuantan. Sebagai menunjukkan rasa solidariti dan perpaduan Haji Ismail turut bersama Abd. Rahim untuk dinobatkan pada malam itu juga sebagai “Yang Berhormat” yang bari bagi mewakili Beserah dalam Dewan Undangan Negeri Pahang.

Kejayaan Abd. Rahim dalam percubaan pertama seperti telah diduga Abd. Rahim sendiri atas sebab popularitinya di kawasan kelahirannya. Baginya ini adalah kejayaan kedua untuk menguji popularitinya di Beserah setelah dia menang dalam pemilihan ke jawatan Pengerusi Persatuan Kebajikan Beserah  sebelumnya. Dia menduga bahawa faktor kemenangan hampir seluruhnya terletak kepada kegiatan aktifnya dalam bidang belia, kebajikan dan lebih-lebih lagi bidang sukan.

Tetapi dalam pada itu, Abd. Rahim terfikir pula apakah sikap lantangnya menyuarakan masalah rakyat, terutama orang Melayu menjadi faktor penentu sehingga dia terpilih menjadi calon mewakili BN di Beserah? Tidak siapa dapat menjawabnya dengan pasti kecuali pemimpin-pemimpin utama BN di Kuala Lumpur. Turut sama difikirkan setelah menang kerusi Beserah ialah cabaran yang menantinya setelah dia berubah kerjaya dari seorang pentadbir kepada seorang ahli legislatif di peringkat negeri. Dari seorang yang melaksanakan dasar kepada seorang yang menggubal dasar. Berjayakah dia mengatasi cabaran itu? Paling penting lagi, bagaimana dengan masa depan kerjayanya dalam bidang politik? Belum jelas peranan yang akan dimainkan dalam kancah politik, sama ada di peringkat negeri mahupun nasional. Yang dia fikirkan setelah berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Beserah ialah bagaimana dia akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di kawasan yang diwakilinya, yang rata-rata adalah orang-orangnya sendiri, baik kawan mahupun keluarga dan sanak saudara. Abdul Rahim melihat mereka adalah “orang kite.”

 

 

2 Responses “Abd. Rahim Bakar: Karenah Politik Awalan” →
  1. Truly insightful bless you, I’m sure your current visitors could quite possibly want even more posts of this nature maintain the excellent work.

    Reply
  2. Very good day, this is the really superb website, I’ve plummeting in adore studying many of the posts and threads contained after the location, sustain the nice work as well as hope to learn a lot more exciting articles from the time to come.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: