Abd. Rahim Bakar: Pendidikan Inggeris

 Pendidikan Inggeris

Pada zaman penjajahan Inggeris, sistem persekolah berasaskan kepada etnik, iaitu ada sekolah Melayu, ada sekolah Cina dan ada sekolah India. Bagaimanapun yang menjadi asas pokok kepada sistem itu ialah sekolah Inggeris. Sekolah ini menjadi tunggak dan ramai ibu bapa mengharapkan agar anak mereka berjaya masuk ke sekolah Inggeris, khasnya di peringkat sekolah menengah.

Sekolah Melayu ditubuhkan untuk mengajar anak-anak Melayu menjadi petani. Mata pelajaran yang diadakan termasuklah yang ada kaitannya dengan pertanian dan pertukangan. Memang pun tujuan Inggeris mengarahkan sistem di sekolah Melayu itu untuk memberi kemudahan kepada anak-anak Melayu berkebun atau bertukang setelah tamat persekolahan di Darjah VI. Yang cemerlang akan meneruskan pelajaran di Maktab Perguruan Tanjung Malim bagi lelaki atau Maktab Perempuan Melayu Durian Daun, di Melaka bagi perempuan.

Dalam pada itu ada pula satu kaedah yang digunakan untuk memindahkan murid-murid Melayu yang pintar ke sekolah Inggeris. Kaedah ini dinamakan kenaikan ke Kelas Khas Melayu atau Special Malay Class. Kaedah ini dicipta kerajaan penjajah untuk sebilangan kecil murid Melayu yang bijak dan mempunyai prestasi cemerlang dalam kelas dan telah lulus baik dalam peperiksaan kelayakan ketika berada di Darjah III sekolah melayu. Lazimnya dalam sesuatu peperiksaan kelayakan di sesebuah sekolah murid –murid yang berjaya mendapat markah terbaik dimasukkan ke Kelas Khas Melayu ini.

Sistem persekolahan Melayu dan Inggeris ini ada kaitannya dengan dasar Kerajaan Inggeris di Tanah Melayu. Apabila Inggeris kembali ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kdua dan setelah Jepun menyerah kalah, ia berusaha kembali membina sistem berkenaan. Ini dapat dilihat dari  Council paper No. 53 (1946) seperti yang dinyatakan H.R. Cheeseman, “Objektif jangka pendek dalam pembinaan semula pendidikan selepas perang  adalah untuk meletakkan semula sekolah-sekolah kepada keadaan dahulunya seberapa cepat yang boleh, dan membuat peruntukan  kepada semua yang dahulunya telah tidak mendapat pendidikan oleh sebab peperangan. Objektif jaga panjang ialah untuk membina  semula pendidikan  di mana tiap-tiap komuniti itu  menikmati perkembangan pendidikan yang sepenuh-penuhnya.”

Melalui sistem inilah pada tahun 1952 Abdul Rahim berpindah sekolah. Dari Sekolah Melayu Beserah yang bertiang batu bulat, beratapkan batu merah nipis dan berlantaikan tanah Abdul Rahim pindah ke sekolah rendah Inggeris, Abdullah School di Kuantan, kira-kira enam batu dari Kampung Pantai. Abd. Rahim dimasukkan ke Special Malay Class I (SMC I), setaraf dengan Standard IV di sekolah Inggeris. Suasana persekitaran sekolah adalah baru dan asing baginya. Kebanyakan murid yang ditemuinya bertutur dalam bahasa Inggeris. Malah mulai saat itu Abdu Rahim perlu pula membiasakan diri bercakap dalam bahasa Inggeris. Malah ada peraturan jika mana-mana murid bercakap dalam bahasa Melayu dalam kelas dia akan didenda dengan membayar sehingga 10 sen. Maka dapat dibayangkan kebimbangan Abd. Rahim ketika itu. Bahasa Inggerisnya masih di peringkat asas, malah hanya tahu menghafal satu dua perkataan namun dia terpaksa mengelak daripada bercakap dalam bahasa Melayu di depan kawan-kawan.

Sistem persekolahan Melayu dan Inggeris ini ada kaitannya dengan dasar Kerajaan Inggeris di Tanah Melayu. Apabila Inggeris kembali ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kdua dan setelah Jepun menyerah kalah, ia berusaha kembali membina sistem berkenaan. Ini dapat dilihat dari  Council paper No. 53 (1946) seperti yang dinyatakan H.R. Cheeseman, “Objektif jangka pendek dalam pembinaan semula pendidikan selepas perang  adalah untuk meletakkan semula sekolah-sekolah kepada keadaan dahulunya seberapa cepat yang boleh, dan membuat peruntukan  kepada semua yang dahulunya telah tidak mendapat pendidikan oleh sebab peperangan. Objektif jaga panjang ialah untuk membina  semula pendidikan  di mana tiap-tiap komuniti itu  menikmati perkembangan pendidikan yang sepenuh-penuhnya.”

Apun jua, Abd. Rahim berasa gembira kerana dapat memenuhi cita-citanya sejak kecil, malah cita-cita kedua-dua orang ibu bapanya. Tanpa merasa penat dia saban hari ke sekolah dengan menunggang basikal baru yang dibeli ayahnya. Basikal itulah menjadi teman rapatnya dan kalau tidak hujan dia akan menunggang basikal ke sekolah. Abd. Rahim diberikan 20 sen untuk belanja sekolah, cukuplah untuk membeli makanan pada waktu rehat.

Seperti halnya  dengan murid-murid SMC di seluruh negara Abdul Rahim dan rakan-rakan sedarjahnya mula membiasakan diri dengan menghafal beberapa ayat Inggeris untuk meminta izin keluar kelas. Misalnya, Abdul Rahim masih ingat bagaimana dia terpaksa menghafal satu ayat penting, jika mahu keluar untuk ke bilik air. Ayat itu ialah “Please sir, may I go out?”. Ayat-ayat Inggeris lain yang perlu dihafal termasuk, “Good morning sir!”. “Goof Afternoon sir!”.

Perasaan Abdul Rahim pada hari pertama bercampur bimbang dan takut. Rasa mahu pulang pun ada kerana keadaan dan suasana sekitar yang begitu asing baginya. Manakala buku yang bakal digunakannya akan berubah sama sekali. Semua matapelajaran diajar dalam bahasa Inggeris kecuali matapalejaran Bahasa Melayu. Kebimbangan Abd Rahim tidak menghairkan kerana ketika di sekolah Melayu dia tidak pernah diajar bahasa itu. Mata pelajaran Bahasa Inggeris tidak diajar. Ada sebab mata pelajaran itu tidak diajar di sekolah Melayu.

R.O. Windstedt dalam bukunya Education System in Malayan Malay antara lain menulis, “ Untuk memulakan bahasa Inggeris adalah mustahil disebabkan oleh ianya memakan perbelanjaan terlalu banyak kerana membayar gaji guru-guru  bahasa Inggeris itu. Lagi pula, memulakan bahasa Inggeris mempunyai akibat yang buruk sebab ianya membuat pelajar Melayu meninggalkan tanahnya  dan mencari kerja di pekan-pekan sebagai kakitangan rendah kerajaan.”

Abd. Rahim merupakan anak Melayu yang menjadi mangsa kepada  sistem pendidikan Inggeris ini. Begitu juga halnya dengan ribuan anak Melayu pada zaman itu. Keinginan untuk belajar di sekolah Inggeris hanya tinggal keinginan bagi kebanyakan anak Melayu. Yang bernasib baik perlu pula menghadapi ujian kelayakan sebelum diterima masuk. Abd. Rahim hampir gagal memenuhi cita-citanya itu.

Semasa dalam SMC, Abd. Rahim dan murid-murid lain mula-mula diajar membaca dalam bahasa Inggeris dengan menggunakan buku bacaan yang diimport khas dari England. Ada yang kata buku-buku bacaan itu sudah 20 tahun usianya dan telah lama digunakan di negara penjajah itu. Abd. Rahim mula menyebut perkataan Inggeris ketika dia diajar membaca sebuah buku bacaan terbitan Oxford University. Ayat-ayat mudah seperti “This is a man.”,  “This is a pan” dan “A man and a pan” begitu sukar disebutnya tetapi tetap kekal dalam ingatan setelah itu. Ada pula buku bacaan “Old Lob and His Family” sebuah buku tentang seorang tua dengan binatangnya. Dari segi pergaulan Abd. Rahim ternyata mudah berkawan dan cepat mesra. Dia dianggap salah seorang paling popular di sekolahnya setelah memasuki SMC II dan kemudian Standard VI.

Abd. Rahim menuntut di sekolah itu hingga tahun 1957. Pada tahun itu dia berada di Form III (Tiangkatan III) dan pindah ke Sekolah Inggeris Sultan Abu Bakar, di Air Puteh, Kuantan. Ketika itu terjadi perubahan tentang status sekolah. Sekolah Inggeris Abdullah kekal menjadi sekolah rendah manakala Sekolah Inggeris  Sultan Abu Bakar menjadi sepenuhnya sekolah menengah Inggeris. Mujurnya sekolah menengah ini lebih dekat dengan kampung Abd.  Rahim. Turut sama pindah sekolah ialah kawan-kawannya seperti Abd. Hadi Jaafar dan Abd. Halim Ali (kini Tan Sri). Di sekolah baru ini Abd. Rahim mendapat lebih ramai kawan baru. Salah seorang daripadanya ialah Lim Ah Lek (kini Dato’Seri), anak seorang hartawan yang terkenal di Kuantan. Bapa Lim Ah Lek ini bukan sahaja kaya tetapi seorang derwawan yang disegani.

Hubungan Abd. Rahim dengan Lim Ah Lek bukan setakat kawan biasa. Malah ada ketikanya dia dan Lim saling membelanjai waktu rehat. Lim tidak banyak berkawan dengan murid sebangsanya. Dia lebih intim dengan Abd. Rahim. Jika satu hari Abd. Rahim “belanjanya” makan maka pada esoknya pula Lim yang berbuat demikian. Kadang-kadang Abd. Rahim hairan juga kerana di sekolah Lim dianggap murid yang dianggap tangkai jering. Hubungan Abd. Rahim dengan Lim berlanjutan selama tiga tahun, iaitu semasa mereka berdua berada di Form I, II dan III. Lim melanjutkan pelajarannya di Australia ketika di Form IV.

Walaupun sudah berada di peringkat sekolah menengah, namun Abd. Rahim masih meneruskan tugas lamanya, iaitu sebelum ke sekolah dia akan menghantar kuih di kedai kopi seperti biasa. Ketika pulang dia akan mengutip hasil jualannya di kedai itu. Di sebelah tengah hari pula, iaitu selepas sekolah dan makan tengah hari, dia akan membantu tokkinya mengangkat ikan dari perahu ke pantai. Dia juga banyak membantu ayahnya menjual ikan. Di sebelah petang dia masuk kelas mengaji al-Quran di madrasah yang berhampiran.

Abd. Rahim tidak dapat mengelak daripada melakukan tugas-tugas ini. Dia adalah tipikal seorang budak dari keluarga yang susah hidupnya. Ada ribuan budak sepertinya di sepanjang pantai  di bahagian timur Semenanjung ini. Dia bukan Ah Lek yang hidup hampir sempurna kerana orang tuanya berada. Keadaannya ini memberi kesan kepada pelajarannya. Tugas membantu orang tuanya selepas sekolah dan di hujung minggu menyebabkan Abd. Rahim kurang bergaul dengan kawan-kawan yang fasih berbahasa Inggeris, terutama yang bukan Melayu. Sehingga dengan demikian dia tidak mempunyai kesempatan untuk berlatih bertutur dalam bahasa Inggeris.

Prestasi bahasa Inggerisnya dalam peperiksaan amat lemah. Malah dia gagal memperoleh keputusan yang cemerlang dalam matapelajaran itu di peringkat peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) setaraf dengan Sijil Rendah Pelajaran hari ini. Akibat kelemahannya ini Abd. Rahim terpaksa mengambil peperiksaan kelayakan bahasa Inggeris (qualifying test) sebelum dibolehkan mengambil peperiksaan Senior Cambridge dan Malaysia Certificate of Education (MCE). Kelemahan dalam mata pelajaran ini turut menghalangnya mendapat prestasi baik dalam peperiksaan itu.

Apabila keputusan peperiksaan Senior Cambridge diumumkan dia  memperoleh 12 agregat dan berhak berada di Gred Satu atau Pertama (First Grade), tetapi dia tidak mendapat kredit dalam Bahasa Inggeris. Hanya lulus. Dengan demikian dia hanya layak mendapat Gred II (Second Grade).Oleh kerana itu dia gagal terpilih melanjutkan pelajaran ke Form VI secara automatik. Dia terpaksa mengambil peperiksaan sekali lagi untuk lulus dengan lebih baik dan setelah itu perlu memohon untuk naik ke Form VI, jika keputusannya baik. Inilah yang dilakukannya ketika meneruskan pelajarannya di Form VI di English College, Johor Bahru kemudian.

Demikianlah, seimbas lalu terlihat mata pelajaran Bahasa Inggeris benar-benar mempengaruhi prestasi pelajarannya. Seperti katanya, “Saya anak kampung yang berada dalam suasana kampung  orang Melayu. Saya amat lemah dalam bahasa Inggeris. Sehingga dalam pepriksaan saya di Form III saya tidak dapat lulus sepenuhnya. Saya kena ambil ujian kelayakan (qualifying test) di Form IV. Setelah lulus baru saya boleh masuk pepriksaan Senior Cambridge di Form V. Ketika mengambil peperiksaan ini sekali lagi Bahasa Inggeris mengurangkan prestasi saya. Bahasa Inggeris saya hanya mendapat keputusan lulus tidak kredit.” Dengan demikian walaupun agregatnya berada dalam kelompok Gred I, namun Abd. Rahim tetap mendapat Gred II untuk sijil Senior Cambridgenya kerana mata pelajaran Bahasa Inggerisnya tidak mendapat kredit. Namun bagi peperiksaan MCE dia tetap memperoleh gred I.

Pada tahun 1960, sebelum dan sesudahnya, sudah menjadi satu kecenderungan di kalangan pelajar-pelajar yang menunggu keputusan peperiksaan Senior Cambridge dan MCE untuk membayar niat atau bersuka-suka dalam bentuk riadah. Abd. Rahim juga tidak ketinggalan. Tetapi dia tidaklah sampai mengatakan bahawa riadahnya kali ini sebagai memenuhi niat. Abd. Rahim malah secara spontan menimbulkan ideanya ini kepada kawannya Razali Mustafat dan Hadi Jaafar ketika mereka sedang bermain bolasepak di padang kampungnya.

Abd. Rahim mengajak mengembara ke Singapura dengan berbasikal. Walapun cadangan itu dipersetujui namun ada masalah mendapat izin daripada orang tua masing-masing. Hanya Abd. Rahim yang dibenarkan ayahnya sedangkan Razali dan Hadi belum pasti. Akhirnya Razali dan Hadi memutuskan tidak memberitahu orang tua masing-masing. Dengan berbekalkan RM30, Rahim dan kawan-kawan memulakan perjalanannya menuju Singapura melalui beberapa bandar pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.

Ketika bermalam di rumah kawan sekolah yang hanya dipanggil Mohamad di Pekan, mereka turut disertai Mohamad. Kawan sekolah mereka itu tahu selok-belok kawasan Singapura dan dia ingin menunjukkan jalan. Singapura ketika itu belum lagi mencapai kemerdekaannya dan masih lagi sebuah negara di bawah kerajaan Inggeris. Maka tidak begitu menjadi masaalah sangat untuk memasuki Singapura. Kawalan imigresen tidaklah seketat sekarang. Cuma pihak kastam yang memberikan sedikit kawalan ketat kerana Singapura adalah sebuah negeri yang seluruhnya kawasan bebas cukai.

Dengan Mohamad, ahli kumpulan kembara menjadi empat orang. Di Rompin mereka bermalam di rumah kawan lama bernama Mustafa (sekarang Ahli Dewan Undangan Tioman). Bagaimanapun setibanya di Mersing mereka  ditemukan dengan seorang gadis yang cantik. Mereka sepakat untuk bermalam di rumah gadis itu. Mereka lupa bertanyakan nama gadis itu.

Di Johor Bahru, Abdul Rahim menerima sedikit musibah. Dia terjatuh ke dalam parit bersama basikalnya, membuatkan  Hadi berseloroh dengan mengatakan Abd. Rahim terlalu sangat mengkhayalkan gadis cantik itu sehingga tersasar. Padahal sebenarnya Abd. Rahim termasuk dalam satu lopakan air yang dalam sehingga basikalnya menjajar menuju parit. Di tambak Johor mereka tidak mengalami banyak masalah. Perjalan masuk ke Singapura licin dan mereka terus mengayuh basikal ke Geylang Serai. Mereka tahu kawasan Geylang Serai banyak terdapat orang Melayu. Selain itu ramai juga orang Melayu Johor dan negeri-negeri lain membeli-belah di kawasan itu. Abd. Rahim dan kawan-kawan berada di Singapura selama tiga hari. Mereka tidur di surau dan makan roti sahaja untuk menghilangkan lapar. Hal ini disebabkan mereka harus berjimat dengan duit RM30. Satu ketika Abd. Rahim mendengar Razali merungut, tidak menjamah nasi. Sepanjang pengembaraan ke Singapura pulang balik itu amat jarang mereka mendapat nasi, kecuali ketika bermalam di Pekan, Rompin dan Mersing.

Mereka tidak membeli apa-apa kerana tidak berduit kecuali beg kain seorang satu. Dalam perjalanan pulang mereka hampir kebuluran ketika sampai di Nenasi. Mereka bertemu dengan seorang kampung yang memberi mereka tebu. Di Pekan pula, mereka minum air parit yang hitam warnanya. Kata mereka air tak kotor cuma berwarna. Mereka bermalam di rumah Razali di Batu Enam, Simpang Pekan-Kuantan, Bidang Rasau.

Ternyata Abd. Rahim mempunyai jiwa kembara juga. Barangkali jiwa mudanya ketika itu merupakan manifestasi jiwa anak-anak muda seusianya. Itulah pola pemikiran para remaja yang menunggu keputusan Senior Cambridgenya. Abd. Rahim memanfaatkan masa menunggu keputusan peperiksaan dengan mengadakan kegiatan kembara yang penuh cabaran. Bukan mudah untuk berbasikal dari Beserah ke Singapura. Apatah lagi keadaan darurat baru sahaja berakhir setelah 12 tahun kerajaan menentang Parti Komunis Malaya (1948-60). Apa sahaja boleh terjadi di sepanjang perjalanan ke selatan.

Satu perkara yang paling menarik dalam kehidupan bersekolah Abd. Rahim ialah kecenderungannya berjimat cermat dan suka mencari duit tambahan.  Amat jarang anak Melayu yang masuk zaman remajanya mempunyai kecenderungan sepertinya. Tujuannya mencari wang tambahan itu adalah untuk membeli barang-barang kesukaannya, seperti kasut bola atau baju bola. Pada hujung minggu, ketika tidak bersekolah Abd. Rahim membantu datuknya, walaupun ayahnya melarang, menangkap ikan di laut dalam, menggunakan perahu besar lengkap dengan pukat tarik, pukat payung dan pukat dalam. Sebab uatama ayahnya tidak membenarkannya ke laut ialah bahasa yang digunakan oleh awak-awak perahu nelayan terlalu kesat sehingga kadang-kadang mencarut. Pastinya bahasa ini tidak patut didengar oleh anak muda seperti Abd. Rahim.

Abd. Rahim memerhatikan cara menangkap ikan melalui pukat ini. Melalui cara itu ada yang disebut juragan dan ada pula awak-awak, iaitu orang yang mengendalikan proses penangkapan melalui pukat. Perahu yang digunakan besar. Jumlah awak-awakan kadang-kadang berjumlah 12 orang. Setiap awak-awak akan mendapat habuannya melalui hasil tangkapan. Sebagai contoh jika jumlah awak-awak itu 12 orang. Pendapatan bagi seluruh awak-awak itu dikira mengikut kaedah unit atau markah (point). Biasanya jumlah unit ialah 20. Dengan jumlah ini ada awak-awak yang mendapat lebih daripada sat unit.

Abd. Rahim  hanya mendapat satu unit kerana dia hanya awak-awak biasa. Manakala juruselam, misalnya, yang mempunyai tugas lebih berat mungkin mendapat tiga unit. Maka dalam soal pembahagian ini lazimnya Abd. Rahim mendapat paling banyak RM25.00. Melalui kerja beginilah Abd. Rahim berjaya membeli kelengkapan sukannya, terutama kasut bola jenis broadway yang hanya boleh didapati di Singapura. Abd. Rahim memang minat sukan. Malah dia dianggap sebagai jaguh kampung dalam sukan bola sepak ketika berada di Form III, IV dan V.

Di samping itu untuk mendapat duit tambahan, Abd. Rahim membantu ayahnya dalam perusahaan bilis kecil-kecilan. Ayahnya mempunyai bangsal ikan bilis di tepi pantai, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya. Di bangsal inilah Abu Bakar memasak ikan bilis dan kemudian menyetornya. Bangsa ini seperti kilang perusahaan ikan bilis. Abu Bakar mengambil Johan, Abd. Rahim bekerja sebagai kuli pada hari-hari tidak sekolah. Selain mereka berdua ada seorang lagi yang dianggap Abd. Rahim “memang handallah.” Ada juga dua “kuli” wanita yang kerjanya memisahkan bilis dengan ikan-ikan kecil.

Ada peristiwa menarik yang tidak boleh dilupakan Abd. Rahim ketika membantu ayahnya di bangsa ikan bilis ini. Peristiwa ini diceritakan banyak kali oleh Abd. Rahim dari dahulu hingga sekarang kerana peristiwa itulah yang banyak mempengaruhi perwatakannya. Peristiwa ini berlaku ketika dia di Form III atau IV. Dia tidak ingat tahunnya. Ceritanya, “ Pada suatu ketika  musim bilis masuk seperti biasa saya terpaksa tolong ayah. Kalau bilis sedang dijemur di tengah padang rumput saya kena tunggu supaya kambing tidak datang makan, atau menunggu perahu balik untuk mengeluarkan ikan bilis bagi diproses. Banyaklah juga kerja lain di bangsal itu.

“Waktu itu ceritanya ada  satu filem sedang ditayangkan di bandar Kuantan. Filem itu saya rasa boleh jadi Ben Hur, Spatacus atau filem-filem seperti begitu. Filem-filem seperti itu biasanya dilakonkan oleh Charlton Heston, Kirk Douglas atau Tony Curtis. Masa itu kami memang gila sangat tengok filem kolosal seperti itu. Saya rasa filem itu ada beberapa hari sahaja lagi ditayangkan di Kuantan. Jadi saya tengah cari duit untuk tengok filem itu. Dan saya terpaksa tengoknya pada waktu malam kerana pada siangnya saya terpaksa bantu orang tua.

“Saya terpaksa kerja kuat hendak mendapatkan duit tambahan itu. Saya terpaksa mengangkut air dari laut untuk penuhkan kolah. Saya kena kerja cepat untuk mengelakkan masa terbuang. Apabila ayah saya datang saya minta izin daripadanya untuk tengok wayang di Kuantan. Dia tidak sedap hendak membenarkan kerana mungkin kerja masih banyak lagi.  Dia kemudian beri saya satu ringgit. Saya termenung. Bagaimana pun saya ambil juga duit itu.

“Saya kira-kira tak cukup duit sebanyak itu. Tiket wayang yang paling murah 65 sen. Tinggal 35 sen. Tambang bas 30 sen. Jadi mana duit untuk minum dan sebagainya. Saya berlari ke rumah yang jauhnya tiga kilometer. Saya terpaksa berbuat begitu kerana takut terlambat. Dalam belari itu saya menangis dan bertekad bahawa sejak itu saya tidak akan meminta wang lagi daripada ayah saya. Dengan emak pun tidak. Peristiwa itu cukup mempengaruhi watak saya. Sehingga sekarang pun saya jarang memohon  bantuan dengan orang lain. Bukan tidak ada tetapi susah saya hendak meminta bantuan.”

Kalau pun ada hanya sekali Abd. Rahim masih meminta duit daripada ayahnya setelah peristiwa itu. Ketika itu dia sedang menuntut di Form VI di English College, Johor Bahru. Abd. Rahim menerima Biasiswa Persekutuan berjumlah RM45 sebulan. Pada suatu waktu dia kehabisan wang sedangkan biasiswa belum diterima untuk bulan itu. Abd. Rahim bimbang dia akan dikeluarkan daripada asrama (hostel) kerana belum membayar kehabisan wang. Abd. Rahim memerlukan RM60 lagi untuk membayar wang asrama. Dia meminta bantuan orang tuanya. Oleh kerana Abd. Rahim jarang meminta bantuan wang daripada orang tuannya, dia terkejut apabila dia diberikan RM100, iaitu lebih RM40. Dia tidak faham mengapa dia diberi lebih daripada jumlah yang dia minta. Dia tidak ingat bagaimana perasaannya ketika itu atau apa yang dia sedang fikirkan. Dan belum pun duit itu sampai Abd. Rahim telah memperoleh wang biasiswa yang tertunggak.

Abd. Rahim tidak dapat melupakan peristiwa “minta duit” itu. Seperti katanya ketika bernostalgia, “Itulah satu peristiwa  yang saya ingat sampai sekarang. Bukan sahaja perhubungan saya dengan orang tua saya telah berubah tetapi juga saya menjadi orang yang menyendiri lebih private. Saya tidak lagi meminta-minta. Saya juga tidak suka lagi menonton.”

Ibu Abd. Rahim kenal sangat watak anaknya itu, tetapi dalam hal ini dia tidak dapat menyelami sikap dan perasaannya setelah dua peristiwa meminta wang dari orang tuanya. Barangkali sehingga hari ini Abd. Rahim masih juga menyelami isi hati ayahnya. Dia benar-benar ingin tahu mengapa ayahnya memberinya wang yang tidak cukup sewaktu dia ingin menonton wayang manakala wang yang berlebihan ketika dia meminta bantuan membayar duit asrama.

Abd. Rahim melahirkan rasa kesalnya setiap kali dia teringatkan dua peristiwa itu. Akibat peristiwa itu hubungan dengan orang tuanya renggang. Juga dia tidak mempunyai sikap meminta-minta walaupun dia berada dalam keadaan sukar sekalipun. Dia berasa terpinggir dan dipinggirkan. Dia semacam tidak diiktiraf oleh keluarganya lagi kerana perangainya itu. Katanya, “Saya rasa kehilangan besar. Ini agak berat. Tapi peristiwa ini banyak mewarnai, mempengaruhi warna-warna  watak saya dalam kehidupan.”

Tentang pendidikannya di Johor Bahru ini ada satu cerita menarik yang barangkali telah memberi kesan mendalam kepada Abd. Rahim, terutama yang dihubungkaitkan dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Biasanya kebanyakan pelajar di peringkat menengah atas, seperti di Form VI, selalu sahaja gatal-gatal tangan “minta kerja”. Ketika berada di Form VI Lower (sekarang Tingkatan Enam rendah), Abd. Rahim dan seorang kawannya Abd. Hadi Jaafar yang sama-sama lemah dalam mata pelajaran Inggeris. Kemudian sebagai budak kampung, mereka sering sahaja dihantui perasaan rindu  kampung halaman. Sudahlah begitu, mereka tidak dapat makan seperti di kampung. Yang ada makanan “nasi kawah” di asrama. Ketika memasuki ujian dalam kelas ada yang berebut-rebut untuk menduduki tempat tercorot, bukannya tempat teratas dengan markah tertinggi.

Keadaan seperti ini memaksa  mereka mencari jalan keluar. Abd. Hadi cuba memohon tempat di Maktab RIDA, kelolaan MARA sementara Abd. Rahim Maktab Teknik di Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Ketika itu semua calon dikenakan temu duga untuk dipilih. Abd. Rahim bernasib baik kerana dipnggil untuk temu duga berkenaan. Pada hari temu duga dia bertemu dengan “senior”nya semasa menuntut di Sekolah Sultan Abu Bakar di Kuantan. Seniornya memberitahu Abd. Rahim bahawa pelajar di maktab berkenaan “susah nak lulus kerana pelajarannya amat susah.”

Mendengar kata-kata seniornya itu Abd. Rahim patah semangat, apatah lagi kursus yang bakal dia mohon ialah kejuruteraan elektrikal. Bagaimanapun dia teruskan juga sesi temu duga. Tidak lama kemudian dia menerima keputusan yang dia diterima masuk maktab berkenaan. Oleh kerana pengaruh cerita seniornya dia menolak tawaran maktab berkenaan. Akhirnya dia dapat tahu seniornya itu “tak pandai orangnya, dari segi kerjanya, dari segi teknikal dan segi matematiknya.” Kurang jelas apakah Abd. Rahim berasa kesal kerana menolak tawaran maktab itu atau memang sebenarnya dia berasa takut dengan kursus itu.

Abd. Rahim juga memohon untuk menjadi juruterbang. Dia bersama Samsuri Arshad dan Lai Tiong Jin menghadiri temu duga di Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Mereka tidak begitu berminat untuk memohon jawatan itu, tetapi mereka terikut rentak tindakan pelajar-pelajar seusia mereka di zaman itu untuk “gatal-gatal tangan” membuat permohonan pelbagai kursus atau jawatan. Barangkali ada keinginan di kalangan pelajar umumnya untuk melihat nilai komersial sijil persekolahan mereka.

Abd. Rahim memohon jawatan juruterbang itu tanpa restu ibubapanya. Begitu juga halnya dengan Samsuri dan Lai. Maka mereka memohon dengan “sambil lewa sahaja.” Mereka lulus temu duga pertama dan diminta hadir dalam temu duga kedua. Abd. Rahim gagal kerana secara fizikal dia tidak cukup tinggi sementara dua kawannya yang lain berjaya. Tidak lama mereka

dalam perkhidmatan itu. Selepas enam bulan mereka berhenti. Samsuri menjadi polis dan Lai meneruskan pelajaran di universiti, di Singapura.

Abd. Rahim pernah juga membuat permohonan untuk mendapatkan biasiswa Syarikat Shell untuk menampung pelajarannya. Dalam temuduga yang diadakan di Singapura Abd. Rahim telah dinyatakan berjaya oleh Panel Penemuduga. Masalah timbul tentang hubungan pemberian biasiswa itu dengan pendidikan di luar negara. Sebagai anak kampung yang sering sahaja bersama orang tua dan jarang menyesuaikan diri dengan keadaan di luar lingkungan daerahnya, sesuatu yang disebut “luar negara” amat menakutkan. Begitu jugalah halnya dengan Abd. Rahim.

Dia tergamam dan membisu ketika seorang ahli panel bertanya jika dia bersetuju kalau nanti dihantar melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Akhirnya Abd. Rahim menolak biasiswa yang ditawarkan itu kerana enggan ke luar negara. Ahli panel menyebut bandar Wellington, New Zealand sebagai tempat dia akan melanjutkan pelajaran. Yang difikrkan Abd. Rahim ketika itu ialah sebuah bandar besar yang begitu asing baginya. Tidak ada orang Melayu dan dia memikirkan bagaimana dia akan dapat menyesuaikan diri dengan suasana asing itu.

Dia meminta agar dia meneruskan pelajaran di dalam negeri sahaja. Ada kemungkinan besar Abd. Rahim mengalami kompleks rendah diri kerana penguasaan bahasa Inggerisnya yang masih lemah. Dia tidak dapat menghadapi orang yang bahasa pertamanya bahasa Inggeris seperti di bandar Wellington itu. Dengan keputusan itu dia kehilangan kawan karibnya, itu Abdul Hadi Jaafar, Samsuri Arshad dan Lau Tiong Jin kerana mereka semua telah pindah belajar.

Setelah keputusan Sijil Tinggi Persekolahan (Higher School Certificate) diumumkan, sekali dia berasa kecewa. “Jinx” bahasa Inggeris masih menghantuinya. Dia gagal dalam mata pelajaran “General Paper” dan dengan itu dia hanya memperoleh pangkat “statement”, walaupun dia lulus cemerlang dalam mata pelajaran Geografi, Sejarah, Ekonomi dan Bahasa Melayu dengan mendapat pangkat “principal”. Maka musnahlah harapannya untuk menjejakkan kaki ke universiti. Cita-citanya sejak kecil untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading itu berkecai ketika keputusan diterimanya. Akhirnya dia mahu pulang kampung sahaja untuk bersama rakan-rakannya yang lain seperti Abd. Hadi Jaafar, Razali Mustaffar, Mohd Razali Abbas, Yaakob Othman, Wan Ahmad Abd. Rahman, Ahmad Kassin, Ibrahim Othman dan Abd. Manaf Moris.

Ketika berada di kapung, Abd. Rahim cuba dihiburkan oleh kawan-kawannya. Ada sahaja senda gurauan yang diselitkan setiap kali mereka bermain bola. Malah seorang bedua cuba mencari jalan supaya Abd. Rahim berjaya juga akhir masuk universiti. Kata orang penantian adalah satu penyiksaan. Abd. Rahim tidak dapat lari daripada penyiksaan ini kerana telah menjadi satu keazaman dalam dirinya untuk suatu hari nanti dia akan melanjutkan pelajarannya ke pringkat universiti. Namun apalah dayanya kerana mata pelajaran Bahasa Inggeris sering sahaja menjadi penghalangnya.

Dalam pada itu dia terfikir juga bahawa dia memperoleh principal dalam empat mata pelajaran. Sedangkan dia mendapat tahu bahawa ada pelajar yang hanya memperoleh dua principal berjaya meneruskan pelajarannya di universiti. Masa sudah begitu suntuk untuk memohon kerana banyak waktu dihabiskannya di kampung. Dia teringat seorang yang bernama Wan Manaf Wan Abd. Rahman. Wan Manaf orang kampungnya sendiri. Razali Mustaffar juga teringat akan Wan Manaf, yang pernah belajar di London dan ketika itu berkerja di Pejabat Pelajaran, Kuantan. Wan Manaf adalah bekas guru. Melalui pertolongan Wan Manaf yang diperkuat dengan empat mata pelajaran principal Abd. Rahim akhirnya berjaya juga melangkahkan kaki ke Universiti Malaya. Dia mendaftar di Jabatan Pengajian Melayu. Turut sama mendaftar pada sesi pengambilan tahun 1963 itu ialah Rafidah Aziz, Sabaruddin Chik, Adib Adam, Mazlan Ahmad, Shukur, Zahid dan Khairuddin Musa.

Ironisnya, walaupun cita-cita untuk memasuki universiti itu berkobar-kobar dalam jiwanya, tidak sedikit pun Abd. Rahim mempunyai wawasan  masa depannya. Atau dia tidak mempunyai cita-cita yang lebih lagi daripada hanya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Abd. Rahim hanya mahu “berbuat sesuatu sebaik mungkin dengan apa yang berada di depannya. Apa nak jadi selepas itu adalah takdir.”  Tujuan utama Abd. Rahim hanya hendak mendapat kelulusan. Jika kelulusannya cemerlang dia akan mencari kerjaya yang baik pula. Katanya, “Saya tidak ada ambition.”

Bagusnya Abd. Rahim dia dapat menyesuaikan diri dengan situasi baru, di mana dan bila-bila masa sahaja. Inilah keistimewaannya. Ini dapat dibuktikannya ketika dia berdepan dengan situasi kegagalan, seperti kelemahannya berbahasa Inggeris. Baginya setiap masalah yang muncul mestilah ada jalan penyelesaiannya. Cabaran sengit untuk masuk universiti adalah juga bukti keistimewaannya menyahut cabaran. Besar kemungkinan kemasukannya ke Universiti Malaya yang melalui jalan berliku memberikan keinsafan kepadanya. Maka dengan cepat-cepat dia menyesuaikan diri dengan suasana kampus. Dia terus aktif dalam sukan dan sesekali dia mengikuti pidato pelajar di Speaker’s Corner dalam kawasan kampus. Dia tidak begitu terpengaruhi dengan pidato umum kawan-kawan seuniversitinya. Apa yang lebih penting ketika itu ialah bagaimana dia mencapai prestasi cemerlang dalam setiap peperiksaan tahunan, memikirkan peringkat kecerdasannya amat sederhana. Abd. Rahim menamatkan pengajiannya dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Dua.

Seperti yang dijelaskan, Abd. Rahim aktif sakan dalam ko-kurikulum, baik sukan mahupun kegiatan seni seperti drama pentas ketika di sekolah menengah. Bolasepak sudah sebati dengan darah dagingnya. Jarang sekali dia tidak bermain bolasepak ketika petang hari. Sehinggakan dia sanggup ke Singapura untuk membeli kasut bola yang mempunyai jenama yang dia minati. Selain bolasepak, Abd. Rahim bermain kriket, hoki dan ragbi. Guru sukan Ragbi, Aladad Khan menjadi idolanya. Dalam pada itu Abd. Rahim turut menunjukkan bakat kepemimpinannya dan dilantik menganggotai Pengawas Sekolah (School’s Prefect). Dia turut dilantik sebagai Timbalan Kapten Asrama dan menjadi penggerak utama Persatuan Bahasa Melayu di English College, Johor Bahru.

Pernah suatu ketika, Abd. Rahim sebagai pemimpin Persatuan Bahasa Melayu diminta mengarahkan satu pementasa drama berjudul “Peristiwa di Rembang Petang”. Ceritanya ialah pertarungan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Di samping mengarah, Abd. Rahim dikehendaki berlakon sebagai Hang Jebat. Watak Hang Tuah akan dijayakan oleh Samsuri Arshad. Seperti lazimnya, setiap pementasan mesti menyisipkan watak heroin. Yang memegang watak herion dalam pementasan ini ialah Hasnah Abdullah (sekarang Pendaftar, Universiti Kebangsaan Malaysia). Seolah-olah pementasan itu mendedahkan lagi bakat seni Abd. Rahim yang selama ini terpendam.

2 Responses “Abd. Rahim Bakar: Pendidikan Inggeris” →
  1. You actually make it seem so easy along with your presentation but I find this matter to be actually something which I feel I’d never understand. It kind of feels too complicated and very broad for me. I’m having a look ahead to your next put up, I will attempt to get the hang of it!

    Reply
  2. I guess I should fill something out while I’m here visiting. Thanks for putting up great stuff. It’s asking for a web site here while I’m posting this, so here’s one that I was just checking out. Take care.

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: