AHMAD BADAWI ABDULLAH FAHIM

Ahmad Badawi Bin Sheikh Abdullah Fahim (Ulama)

 

Sebagai satu parti yang meletakkan agama Islam sebagai asas perjuangan sejak penubuhannya, Umno mempunyai barisan kepemimpinan ulama yang tidak gentar berhadapan dengan musuh yang berani mencabar maruah agama, bangsa dan negara. Antara tokoh ulama awal yang menyertai perjuangan Umno sejak Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan ialah Dato’ Haji Ahmad Badawi bin Sheikh Abdullah Fahim iaitu bapa kepada Timbalan Perdana Menteri dan bakal Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Allahyarham dilahirkan di Makkah ketika bapanya, Sheikh Abdullah Fahim meneruskan pengajian ilmu Islam di tanah suci itu. Beliau mempunyai seorang isteri, Datin Kailan binti Haji Hassan.

Sejak tertubuhnya Umno pada 1946 hingga ke saat akhir kematiannya pada 7 Mei 1977, beliau memaparkan semangat juang yang tinggi untuk membebaskan bangsa dan tanah air daripada belenggu penjajahan di samping mengisi erti kemerdekaan. Sepanjang hayatnya, beliau menjadikan agama Islam sebagai tunjang perjuangannya. Dalam setiap ceramahnya, beliau tidak pernah ketinggalan untuk menyuntik semangat perjuangan Islam di kalangan ahli-ahli Umno. Dorongan itu amat terserlah khususnya ketika Umno sedang berjuang habis-habisan untuk menentang penjajahan Inggeris yang ketika itu semakin keras menentang kebangkitan orang Melayu.

Dalam satu ucapannya di Kuala Kangsar pada 1955, Dato’ Ahmad Badawi, mengingatkan orang-orang Umno bahawa kalau agama Islam dan amalan Islam tidak dilaksanakan oleh orang Melayu pada masa negara telah merdeka, maka kemerdekaan itu tidak akan memberi faedah kepada orang-orang Melayu. “Kalau orang Melayu mengenepikan Islam setelah merdeka, maka mereka yang berjuang dalam politik tidak akan ke mana, hanya menjadi alat bagi kepentingan orang lain saja,” katanya. (Mokhtar, 1997; ms 104).

Dalam ucapannya itu, Dato’ Ahmad Badawi meninggalkan sembilan pesanan yang amar bererti untuk dijadikan pegangan dalam perjuangan bangsa Melayu. Sembilan mutiara kata-kata Allahyarham ialah:

*    Berjuang dengan ikhlas dan kerana Allah

  • Setiap pejuang mesti berani, berdisplin, mematuhi pemimpin dan jangan menikam kawan dari belakang
  • Jangan menggunakan landasan perjuangan dan parti politik untuk mencari wang dan kekayaan
  • Jangan menggunakan wang untuk mendapat tempat dalam parti politik
  • Dalam apa keadaan sekalipun, setiap perjuangan jangan meninggalkan sembahyang fardu
  • Kalau menjadi pemimpin mestilah ada sifat Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah.
  • Kalau ada perselisihan dalam harakah (parti), hendaklah berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan perselisihan itu.
  • Tiap-tiap pemimpin jangan sombong dan jangan menghina rakyat, kerana pemimpin boleh datang dan boleh pergi kerana adanya rakyat.
  • Jangan menukarkan politik dengan ekonomi akibatnya kiat menjadi hamba orang dan negara tergadai.

Kata-kata hikmat beliau itu menunjukkan Dato’ Haji Ahmad Badawi adalah seorang pemimpin yang berwawasan jauh. Beliau sudah mengingatkan ahli-ahli Umno mengenai bahaya politik wang, bahaya meninggalkan asas Islam dalam perjuangan parti, bahaya menjadi pemimpin yang takbur dan sombong, bahaya tidak melaksanakan ajaran Islam dan bahaya perpecahan bangsa Melayu. Jelas, Dato’ Haji AHMAD Badawi bukan saja hanya bercakap saja mengenai perjuangan tetapi melaksanakan apa yang dilafazkan.

Antara contoh paling jelas ialah pengorbanan beliau yang sanggup bekerja tanpa mengambil wang rakyat meskipun wang itu adalah selaras dengan kerja-kerja yang beliau lakukan. Allahyarham tidak pernah mengambil elaun perjalanan, elaun mesyuarat dan beberapa elaun lain yang layak diterimanya semenjak beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (Adun) dan ahli Exco Pulau Pinang. Perkara ini disahkan oleh Bahagian Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Mokhtar, 1997; ms 106).

Beliau juga enggan menerima gaji yang banyak ketika beliau dipertanggungjawabkan untuk menjadi  pengetua sebuah sekolah agama yang digelar “Daeratul Maarif al-Wataniayah” di Kepala Batas, Pulau Pinang. Pada kebiasaannya, pengetua sekolah menengah yang menempatkan pelajar lelaki dan wanita ramai sehingga beratus-ratus orang akan menerima gaji sehingga beribu-ribu ringgit setiap bulan. Tetapi atas dasar perjuangan Haji Ahmad Badawi yang berasaskan kecintaannya kepada perjuangan agama, bangsa dan negara, Allahyarham mengenepikan kenikmatan harta dunia yang dianggapnya bersifat sementara sahaja.

Jsuteru, bagi jawatan itu, Allahyarham hanya menerima elaun RM50 sebulan. Malah, beliau menggunakan harta bapanya, seorang lagi pejuang bangsa Melayu yang tulen, Sheikh Abddulah Fahim, untuk dibelanjakan bagi wang saku, wang untuk keretanya yang berjenama Morris 8 model tahun 1951 dan sara hidup keluarganya. Allahyarham tidak sanggup untuk mengambil wang gaji memandangkan sekolah tidak memiliki dana kewangan yang cukup kerana hidup matinya sekolah itu amat bergantung kepada wang yuran RM2 sebulan yang disumbang pelajar. (Mokhtar, 1997; ms 88). Perjuangan Islam yang ditegakkan oleh Allahyarham amat terserlah kerana di peringkat awal perjuangan Umno, tokoh Pulau Pinang itu menjadi ulama Umno yang ulung dalam usahanya menyeru kepada ahli-ahli Umno dan bangsa Melayu khususnya supaya menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka.

Ini terbukti apabila beliau amat menentang gejala rasuah di kalangan bangsa Melayu. Beliau juga amat tegas dalam menegakkan syiar Islam di dalam parti dan negara khususnya dalam menentang kemungkaran yang membabitkan kepentingan umum seperti rasuah. “Islam melarang perbuatan rasuah di kalangan pemerintah dan rakyat, kerana perbuatanb rasuah itu sama jahatnya dengan merompak atau menyamun” katanya di Ipoh pada 1975 (Mokhtar, 1997; ms 82).

Beliau juga seorang pejuang yang tidak mementingkan jawatan,. Walaupun beliau pernah menjadi Naib Ketua Pergerakan Pmuda Umno yang sanggup berdepan secara langsung dengan penjajah British, tetapi demi muafakat bangsa Melayu beliau tidak kecewa apabila orang lain yang dipilih sebagai Ketua Pemuda. Ini terbukti apabila krisis kepemimpinan berlaku dalam Umno dan Allahyarham Kapt Tun Hussein meletak jawatannya, Dato’ Haji Ahmad Badawi, memegang jawatan itu selama empat bulan. Selepas itu,  Saadon Jubir (Tun) dipilih memegang jawatan itu, Dato’ Ahmad Badawi tetap memegang sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda. Proses berlangsung tanpa sebarang kekecohan.

Inilah sikap pemimpin bangsa Melayu yang perlu dijadikan model dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu.  Dato’ Haji Ahmad Badawi adalah lambang bagi kebangkitan perjuangan Islam dalam Umno dalam usaha mengukuhkan bangsa Melayu di peringkat awal perjuangannya. Teras yang ditanam kukuh menjadikan Umno kini menjadi parti Islam bangsa Melayu yang terbesar dan paling kukuh di dunia sehingga hari ini. Rujukan MS 88-115 dalam buku  Sheikh Abdullah Fahim.

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: