BAHA ZAIN

BAHA ZAIN “BERGURU DENGAN BINATANG”

Terasa aneh apabila ada yang ingin berguru dengan bianatang. Apakah tiada lagi insan yang boleh diharapkan untuk mendapatkan tunjuk ajarnya? Itulah yang terlintas dalam benak saya ketika membaca anekdot-anekdot Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain, yang diberi judul “Berguru Pada Binatang”. Buku nipis berkulit hijau ini baru sahaja diterbitkan dan dilancarkan pada malam 31 Mac lalu di Kayu Manis Kefe, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur.

Warna hijau dan protagonis binatang? Dua elemen alam yang tidak dapat dipisahkan. Warna hijau bererti alam semulajadi dengan kehijauan alam sekitar dan binatang adalah penghuni milik alam itu. Baha seperti mahu kembali kepada alam semulajadi untuk mencari sesuatu yang baginya persis sudah hilang sekarang ini. Baha melukiskan gerak rasanya  dengan berkata bahawa “Kehijauan adalah bahasa alam yang minta diabadikan Tuhan Maha Pencipta dan manusia kecil di dalamnya.

Dengarkan Baha bersuara, “Hakikat kehidupan haiwan dengan pelbagai rupa dan resminya yang aneh – sewaktu makan, mengawan, berjuang stc – telah berlaku sejak makhluk ini diwujudkan. Kewujudannya lebih panjang  daripada lagenda  dan ingatan manusia.”  Katanya lagi, “Binatang bertindak mengikut naluri  dan lebih bersifat mekanikakl. Ini membezakannuya daripada manusia  di samping perbezaan-perbezaan lain  yang ketara seperti bahasa, dan kebudayaan yang diamalkan oleh manusia.”

Ada semacam pengakuan jujur oleh Baha Zain. Baginya seolah-olah makhluk Tuhan yang dicipta dalam bentuk binatang atau haiwan itu punya sifat-sifatnya yang tersendiri. Kehidupan makhluk ini boleh dimanfaatkan manusia sepanjang hayatnya sebagai sumber makanan, alat pengangkutan, penjaga keselamatan , hiburan dan lain-lain.

Baha Zain akur bahawa perhubungan antara manusia dengan haiwan  banyak dipenglipur-larakan sejak zaman silam lagi. Malah lebih jauh dari itu hubungan itu telah terjalin melalui penciptaan karya manusia dalam berkomunikasi  seperti satira dan peribahasa. Kita menggunakan simbol dan watak haiwan untuk menyindir dan bersatira. Kita menggunakan watak manusia untuk mencipta sesuatu yang kurang ketara tetapi cukup berkesan dalam peribahasa. Betapa berkesannya apabila kita mengata seseorang dengan “seperti lipas kudung” atau “Seperti anjing dengan kucing”. Kata Baha Zain, “Dunia haiwan dengan dunia manusia seolah-olah serupa dan saling bergantungan. Dan bagi anak-anak cerita-cerita yang bertemakan haiwan adalah suatu realiti  di dalam imaginasinya. Begitu filosofikal sekali Baha Zain apabila berkata bahawa manusia yang hendak menunjukkan kebenaran, kebaikan atau mendidik selalu menampilkan  dunia haiwan sebagai perbandingan, kiasan atau contoh. “Apabila membaca atau mendengar cerita-cerita binatang, kadang-kadang kita ketawa. Dalam pada itu, kita berasa terusik dan tersenda. Ia telah memperkaya seni, dan rohani kita.”

Demikianlah Baha Zain yang mencari kejituan dalam hidup. Baha Zain  begitu ikhlas menyatakan isi hatinya, malah terlalu jujur barangkali. Berapa ramaikan insan seperti Baha Zain ini berkelana dalam dirinya mencari kejujuran dan semata-mata kejujuran. Demi kejujuran itulah Baha Zain mencipta 13 anekdot haiwan sejak 20 tahun yang lalu seperti yang diakui penerbitnya. Melalui “Kata Pengantar” penerbit menyatakan keyakinannya bahawa cerita yang dimuatkan masih menggugah  “fikiran kita sekarang dan malahan pada abad akan datang.” Saya yakin cerita-cerita binatang ini bukan setakat mengggah fikiran  kita di abad mendatang tetapi selagi dunia masih terus berpusing  di atas paksinya dari barat ke timur.

Pengakuan Baha Zain pada malam pelancaran bukunya ini (turut dilancarkan “Esei dan Puisi Bahasa Zain: Tentang Penulis dan Persekitarannya) begitu memberangsangkan. Baha Zain artikulit dalam bicaranya tentang binatang. Baha Zain bercerita tentang katak, tentang ayam, tentang naga, tentang singa, tentang beruk, tentang lembu, tentang kancil, tentang helang, tentang ular senduk, tentang pipit (sejenis burung tentunya) dan tentang gajah. Ada lelucon dalam ceritanya dan menjadikan orang ketawa. Namun mereka secara tidak langsung mentertawakan  diri manusia itu sendiri, bukan haiwan yang menjadi watak antagonis dan protagonis cerita.

Hal ini disebabkan seperti kata Baha Zain “Saya bercerita dan berkaya atas isu moral bukan isu politik dan ada yang menganggap karya saya sinikal.” Ada yang berpendapat anekdot Baha Zain berunsur satira politik. Baha Zain sedikit kurang enak dengan “tanda harga” begitu. Baha Zain mengakui dia seorang yang “apolitikal”. Ertinya Baha Zain menjauhkan diri dari politik. Katanya, “Saya tidak ikut mana-mana partiu (politik). Saya ada parti saya, iaitu nak bebas menulis.”  Cuma kadang-kadang tersindir juga dibuatnya apabila Baha Zain dalam ketawanya berkata, “Binatang sekarang tak pandai cakap Melayu, binatang dulu pandai.”

Pandangan Baha Zain tentang kebebasan ini mengingatkan saya kepada pandangan yang serupa oleh Usman Awang  (Datuk) beberapa bulan yang lalu. Baha Zain dan Usman (sama-sama di Dewan Bahasa dan Pustaka satu ketika dahulu) bagaikana mempunyai “wavelength” yang sama dalam melihat situasai dan kondisi politik kontemporer di tanah air. Mereka harus bebas menjadi perakam zaman, tanpa melibatkan diri dalam peristiwa yang dirakamkan itu. Dan sememangnya penulis perlu bebas seperti yang dimahukan Baha Zain. Di Malaysia kebebasan itu tetap ada sehingga malam itu Baha Zain dengan jelas mengucapkan rasa penghargaannya kepada kerajaan. Katanya, “Saya puji kerajaan Malaysia kerana tak ada seorang sasterawan piun ditangkap. Inilah kehebatan demokrasi di negara kita.” Tentunya Baha Zain mengaitkan pujiannya itu dengan kebebasan penulis bersuara.

Makanya, Baha Zain bebas menulis tentang binatang, mengolahnya dengan suara hati yang tulus lagi netral. Tidak ada warna yang dipalit oleh imaginasinya. Haiwan digambar dan dilukiskan dengan watak-watak  polos binatang itu. Cuma terkadang-kadang Baha Zain cuba malarikan diri daripada memberikan gambaran tradisi watak binatang itu sendiri. Maksudnya Baha Zain mencari haluan baru dalam mewujudkan watak binatangnya. Sebagai contoh, binatang kancil secara tradisinya dilihat sebagai binatang yang cerdik dan pintar. Kancil selalu sahaja menang dalam pertarungan akalnya dengan binatang-binatang lain, seperti buaya atau singa.

Baha Zain melalui anekdot “Kancil Hendak Jadi Gajah” telah memecahkan tembok tradisi watak kancil itu. Kancil tidak lagi sepintar dulu, malah kancil bagi Baha Zain telah kehilangan mitosnya. Bagaikan mitos kancil sudah dimusnahkan oleh Baha Zain. Konon ceritanya seekor kancil melihat gajah berak besar. Kancil pun teringin nak berak besar supaya nanti ada yang kata kalau berak besar tentu badan besar seperti gajah. Kancil pun berangan-angan mahu berak besar. Kancil berfikir ia perlu makan seperti gajah jika mahu berak besar. Maka kancil pun makan apa yang dimakan gajah. Dan tidak henti-hentinya.

Sehari sesedah itu kancil terasa senak perut. Kancil sukacita kerana tidak lama lagi ia akan membuang najis sebesar berak gajah juga. Bagaimanapun senak perutnya bertukar menjadi sakit perut. Kancil meneran kuat untuk melepaskan najis dalam perutnya. Tetapi najis itu tidak juga mahu keluar. “Kancil berhempas pulas dan berguling-guling di atas tanah. Ia sudah tidak dapat menahan kesakitan dan segala angan-angan besarnya  (untuk berak besar) lenyap begitu sahaja. Ia hanya menunggu nasib takdir sahaja untuk menyelamatkan penderitaan da nasibnya yang malang itu. Gajah terus berjalan jauh mencari hutan yang menjanjikan lebih banyak makanan. Ia tidak menyedari bahawa ada kancil yang sedang menderita kesakitan gara-gara najisnya yang besar itu.”

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Ini peribahasa menggunakan binatang. Dan kancil seperti tupai yang sememang tidak dianggap oleh kancil. Kini kancil sama dengan tupai dalam mladeni egonya sendiri sehingga akhirnya terjebak kerana bodoh sombongnya. Kancil  dilihat oleh Baha telah kehilangan kepintarannya kerana egonya yang telah mencapai ke peringkat megaloman. Ego telah menguasai diri dan akhirnya dia tersungkur dalam keegoannya. Kurang jelas apakah anekdot kancil ini suatu satira politik atau sekadar “mainan moral Baha Zain” dalam mencari kejujuran dan keikhlasan dalam mencipta karya. Sebabnya Baha Zain berulang kali berkata bahawa “kejujuran dalam mencipta dituntut daripada penulis tetapi tidak ramai yang berjaya memenuhinya.”

Buku “Berguru Pada Binatang” ini menyeronokkan. Tatarias buku ini mempunyai kesan psikologis kepada anak-anak yang membacanya. Jalan ceritanya lancar dan enak dibaca. Kepada anak-anak yang masih di peringkat awalan (tender age) anekdot ini mengundang ketawa. Kepada orang dewasa, yang barangkali boleh selesai membaca buku ini dalam masa dua jam, akan turut terhibur sambil berfikir panjang dan dalam. Dalam hati mereka pasti tertanya-tanya, “Apakah pengarangnya hanya mahu berjenaka atau atau ada sesuatu yang ingin disampaikan kepada mereka yang bagaikan sudah termakan cabai rawit?”

Baha Zain dengan anekdot-anekdot haiwan malam itu membuat pengakuan jujur tentang dirinya sendiri. Katanya, “ Saya  bahagia kalau disanjung oleh fellow (teman-teman) sasterawan.”  Malam itu juga (jatuhnya malam ulangtahun ke-15 berdirinya Pustaka Cipta, penerbit milik Baha Zain) Baha Zain menerima sanjungan ikhlas dari para sasterawan yang hadir, khususnya Prof. Madya Rahman Shaari yang penyair. Rahman memuji, misalnya karya puisi Baha Zain sebagai “bersifat konvensional, iaitu pengakuan jujur. Kejujuran dalam puisi amatlah perlu, tetapi jarang yang berjaya. Bahkan kebanyakan penyair tidak menyedari perlunya kejujuran itu.”

Begitu pula halnya dengan “Berguru Pada Binatang”. Baha Zain mencipta sejujurnyanya, yang lahir dari hati. Ini satu pengakuan jujur Baha Zain yang dilahirkan melalui watak dan perwatakan binatang.

2 Responses “BAHA ZAIN” →
  1. This is a good example of a site that has been indexed but has fallen out of index. In this case a good investigative crawl issue has resolved the problem.

    Reply
  2. Good article and thank you for the code. Does it still work with WordPress 3.3?

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: