Firdaus Abdullah Terajui Dewan Bahasa

CATATAN A.F.YASSIN

Tugas Mencabar Menunggu Firdaus di Dewan Bahasa?

 

Beberapa bulan dahulu nama bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr. Firdaus Abdullah termasuk dalam senarai yang disebut-sebut menggantikan Datuk Abd. Aziz Deraman sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa. Ketika itu salah seorang ahli keluarganya, yang pernah bertugas di Dewan Bahasa pernah bertanya kepadanya, “Betulkah Abang berminat jawatan itu?” Kurang pasti apa jawapan Firdaus. Ketika itu Firdaus bertugas sebagai Pengerusi Eksekutif Utusan Karya, anak syarikat Kumpulan Utusan Melayu Bhd. Nama Firdaus terus diperkata bersama beberapa nama lain, termasuk Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa, Haji Bakar Mohamad dan Pengarah Penerbitannya, Datuk Anwar Rithwan. Kemudian timbul pula nama-nama dari Kementerian Pelajaran. Nama Datuk Johan Jaafar, yang mengakui dirinya seorang petani, turut juga disebut-sebut.

 

Berdasarkan laporan Utusan Melayu Mingguan minggu lalu, Firdaus telah mengesahkan menerima surat pelantikan menggantikan Aziz. Dan beliau mula bertugas 1 Mei depan. Masa beberapa minggu diperlukannya memandankan dia terpaksa melepaskan jawatannya di Utusan Karya. Maka mulai 1 Mei Firdaus berhijrah sekali lagi dari segi kerjaya, dari Universiti Malaya ke Utusan Melayu dan kini ke Dewan Bahasa.

 

Penghijrahan kali ketiga ini sedikit di luar amalan biasa. Lazimnya penghijrahan dalam kerjaya adalah berlandaskan usia bekerja kepada usia bersara. Usia 56 menjadi sempadan bagi yang bekerja dengan kerajaan. Firdaus bekerja dengan kerajaan sebagai pensyarah dan memasuki usia bersara pada tahun 1999, walaupun beliau memilih untuk terus berkhidmat sebagai pensyarak kontrak. Dan kini dalam usia 61 tahun beliau berhijrah kembali dari usia berasa kepada “usia bekerja” sebagai pegawai kerajaan. Inilah isu utama yang dibangkitkan oleh segelintir orang, terutama beberapa pegawai Dewan Bahasa sendiri. Malah ketika nama Firdaus disebut-sebut sebagai pilihan utama, seorang editor majalah di Dewan Bahasa menganggapnya sebagai “khabar angin”  sahaja.  Katanya, selagi tidak ada pengumuman rasmi dari kerajaan, kami tidak akan percaya dengan berita berkenaan. Menurutnya, telah banyak nama disebut-sebut tetapi setelah hampir lima bulan, jawatan itu masih dibiarkan kosong.

 

Berdasarkan pernyataan yang dibuat Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa sedikit masa yang lalu, ada kecenderungan kesatuan itu mahukan orang dalam mengambil alit jawatan Aziz. Menurut kesatuan, orang dalam lebih memahami masalah yang timbul dalam Dewan Bahasa. Daripada pernyataan itu Kesatuan lebih cenderung mengharap supaya Haji Bakar atau Anwar dilantik berdasarkan kekananan mereka. Penyair Sutong Umar Rs, bekas Ketua Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan ketua unit sastera budaya Berita Harian turut mencadangkan agar orang dalam diberikan keutamaan.

 

Namun pengalaman menunjukkan baik orang dalam mahupun orang luar, masalah Dewan  Bahasa tetap “pi mai pi mai tang tu juga.” Seperti kata ahli veteran Dewan di pertemuan pegawai veteran dewan bahasa di rumah Bung Karim Abdullah pada tahun 2003 dahulu, “Budaya kerja Dewan Bahasa ini sudah menjadi institusi yang tidak boleh dirombak dan diubah. Siapa pun memimpnnya dan mempunyai idea baru untuk menambah-baiki budaya kerja itu akhirnya dia sendiri menjadi pengawal ketat budaya itu.”

 

Menurut bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa, Datuk Dr Hassan Ahmad, Orang yang keluar dari Dewan Bahasa mampu meningkatkan kerjayanya di tempat barunya tetapi orang yang sudah bagus di luar dan masuk Dewan Bahasa, dia akan berubah mengikuti budaya kerja Dewan Bahasa.  Tidak jelas sama ada orang itu akan berpretasi lebih baik atau sebaliknya apabila mengikut budaya kerja Dewan Bahasa. Jika kata-kata Hassan ini  boleh dijadikan landasan, maka kedatangan Firdaus ke Dewan Bahasa boleh menimbulkan kesan positif atau negatif kepada dirinya, terutama kepada wawasan yang mahu diketengahkannya. Wawsan itu melibatkan peningkatan kualiti sumber manusia Dewan Bahasa. Matlamatnya ini barangkali berbeza berbanding matlamat bekas ketua-ketua pengarah yang lalu. Perbezaan ini dapat difahami kerana latar belakang kerjaya Firdaus sendiri.

 

Setelah bertahun-tahun berteori ketika menjadi pensyarah di pusat pengajian tinggi, maka kini sampai masanya untuk Firdaus mengamalkan teori-teori ajarannya itu. Bidang Firdaus ialah ekonomi dan pentadbiran. Pernah menjadi dekan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, pernah menjadi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan pernah menyandang jawatan eksekutif tertinggi di syarikat penerbitan. Semua pengalaman itu kini boleh dijadikan senjata baginya “menambak” sasaran kepincangan yang mungkin wujud di Dewan Bahasa. Baginya kelemahan dan kepincangan yang ada di Dewan Bahasa, jika benar-benar wujud, adalah berpuncakan daripada kelemahan memanfaatkan secara optimum sumber manusianya. Dan ini boleh dikaitkan dengan system kenaikan pangkat yang terlalu tertutup sifatnya. Dengan bahasa yang mudah, pegawai dan kakitangan Dewan Bahasa sukar naik pangkat.

 

Akibatnya ada di kalangan pegawainya yang perlu menjalani “marked time” sebelum sampai usia bersara. Kadang-kadang pegawai berkenaan telah sampai ke gaji maksima dan pangkat tertinggi dalam sesuatu skim tanpa memungkinkan sebarang kanaikan yang lebih tinggi. Maka bermulalah zaman bosannya dan hari-hari terakhirnya dipenuhi dengan anggukan burung perkutut. Mahu berhirah kerjaya ke luar Dewan Bahasa, usia tidak mengizinkan, dan jika mahu terus kekal di Dewan Bahasa, mereka terpaksa berpuas hati dengan gaji dan pangkat statiknya. Khabarnya, ketika Dewan Bahasa di bawah pimpinan Datuk Haji Sujak Rahiman, ada cadangan mewujudkan apa yang disebut sebagai system kenaikan pangkat secara selari (parallel promotion).

 

Alasannya Dewan Bahasa dianggap sebagai institusi penyelidikan (bahasa dan sastera). Maka para pegawainya mestilah mempunyai kelayakan akademik yang tinggi dan mempu menikmati gaji dan jawatan yang baik. Ketua Bahagian tidak semestinya lebih tinggi daripada pegawai-pegawai penyelidik di sesuatu bahagian. Ketua Bahagian hanyalah dilihat sebagai pegawai yang menatbir bahagiannya dengan dibayar elaun pentadbir khas. Tidak pasti sampai ke mana cadangan ini dilaksanakan, tetapi melihat system kenaikan pangkat di Dewan Bahasa, yang tidak ubah seperti di sebuah jabatan kerajaan, maka adalah dianggap cadangan itu hanya tinggal cadangan.

 

Firdaus mungkin boleh meneliti cadangan ini semula jika keutamaannya ialah membina insan yang professional di Dewan Bahasa. Sebabnya dengan kuasa autonomi yang ada pada Dewan Melalui Aktanya sendiri struktur organisasi Dewan Bahasa tidak semestinya mengikuti syturktur organisasi sebuah jabatan kerajaan. Dewan Bahasa mempunyai badan pengelolanya sendiri untuk memantau sebarang kegiatan tanpa perlu merujuk kepada Kementerian pelajaran, terutama yang ada kaitannya dengan pelaksanaan dasar.

 

Dalam pada itu sekadar memberi latihan dan meningkatkan kelayakan akadamik kakitangannya tidak akan membawa kesan yang banyak jika kenaikan pangkat tidak terbuka luas. Malah ia menimbulkan masalah pula seperti yang sedang dialami Dewan Bahasa sekarang ini. Masalah itu ialah meletakkan pegawai bukan pada tempatnya yang sesuai dengan kelayakan, pengalamnan tugas dan kecenderungannya. Misalnya, seorang kerani dinaikkan ke jawatan penolong editor majalah. Padahal rangka tugas jawatan barunya itu tidak kena-mengena langsung dengan tugas lamanya sebagai kerani.

 

Begitu juga halnya seorang editor, misalnya diberikan jawatan baru sebagai pegawai pentadbir sesebuah cawangan. Sepatutnya kerani dinaikkan ke jawatan dalam bahagian pentabiran seperti penolong pagwai tadbir. Anggota sidang editor bahagian buku atau majalah pula  dinaikkan menjadi editor di bahagiannya. Masalah lain yang boleh dikaitkan dengan pembaikan sumber manusia ini ialah kerja anjal yang kini diamalkan di institusi itu. Masalahnya bukan siapa patut datang pukul tujuh atau pukul lapan pagi kerana mengelakkan  kesesakan lalu lintas. Tetapi ia perlu diselaraskan berdasarkan rangka tugasnya. Dewan Bahasa mempunyai sekumpulan editor bahagian majalah dan menerbitkan pelbagai majalah umum. Dewan Bahasa mempunyai sekumpulan penyelidik dalam bidang bahasa dan sastera. Di samping itu tentunya ada pula sekumpulan pegawai tadbir dan pengurusan.

 

Maka ada tiga jenis manusia: Editor, penyelidik dan pentadbir. Matlamat kerja tiga jenis manusia ini ialah menghasilkan kerja yang tip-top tetapi tugasnya berlainan. Mereka diharapkan mencapai prestasi kerja yang tinggi dan memuaskan. Soalnya, bagaimanakah  menilai prestasi ketiga-tiga jenis manusia ini? Apakah dia diukur dari sudut kedatangannya,  tepat 8.00 pagi dan pulang 5.00 petang? Atau dia diukur daripada kerjanya yang mengikut diselesaikan mengikut jadual? Dan bagaimana dengan seorang editor yang perlu datang 8.00 pagi dan pulang 4.45 petang tetapi mengikut jadual kerja dia perlu menemui seseorang untuk mendapatkan bahan majalahnya pukul 8.00 malam? Andainya tugasnya berakhir hingga 11.00 malam, esoknya dia perlu berada lagi di pejabat pukul 8.00 pagi. Tentulah tidak adil baginya sedangkan seorang pentadbir, misalnya. tidak punya kerja tambahan di waktu malam. Pernah juga dipersoal mengapa membuat temu  janji di luar waktu kerja. Masalahnya bukan editor yang menentukan masa temu janji tetapi subjek yang hendak ditemui itu akan mencari masa sesuainya.

 

Masalah ini pernah dibincangkan sejak zaman Sujak lagi, malah sebelumnya tetapi tidak ada jalan penyelesaian yang memuaskan. Tambahan pula sebarang kerja di luar waktu pejabat tidak dianggap kerja lembur untuk pegawai. Kalau pun ada pampasan, ia perlu diganti dengan mengambil cuti tanpa rekod. Bagaimana mungkin editor berkenaan mengambil cuti tanpa rekod sedangkan tugasnya perlu diselesaikan mengitu jadual. Majalah wajib keluar sebaik tiba bulan baru. Jika lambat maka prestasi editor berkenaan akan terjejas.

 

Demikian, beberapa masalah yang tidak pernah selesai-selesai di institusi penyelidikan bahasa dan sastera ini. Firdaus mungkin ada ramuan dan resipinya jika benar beliau mengutamakan agenda sumber manusianya setelah mula bertugas di sana. Apapun jua,  tugas Firdaus akan menjadi lebih mudah memandangkan beberapa bahagian telah pun diswastakan, terutama yang melibatkan pencetakan, pemasaran dan penjualan buku Dewan Bahasa. Malah beberapa majalah terbitannya sudah juga difrencaiskan. (Catatan modified on 13 April 2005).

 

 

 

 

One Response “Firdaus Abdullah Terajui Dewan Bahasa” →
  1. Hey, awesome site.I saw this on bing on a semi related term. Reguards from Africa

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: