Othman Puteh Telah Tiada

Kini Othman Puteh Sudah Tiada!

 

Dr. Othman Puteh, 60 tahun kurang lebih dua bulan,  tidak sempat menyambut Ramadhan yang datang seminggu sahaja lagi. Othman dijemput pulang menemui Sang Penciptanya sehari setelah menyelesaikan tugasnya berbincang dan berpuisi di rumah Dato’ Ismail Abbas di Putatan, sabah.  Bagaikan cara kebetulan di majlis perbincangan dan baca puisi itu, Othman mendeklamasikan sebuah sajak, yang menurut Ustazah Jalidar Abd. Rahman dan Jaafar Ungkil tidak pernah dilakukannya. Dan paling kebetulan perbincangan terfokus kepada “Selamat Tinggal Sabah” karya Raymond Majmumah.

 

Pernah juga apabila Ramadhan menjelang tiba, Othman bertanya sama ada saya akan mengadakan majlis buka puasa di rumah. Saya yakin Othman mahu meneruskan tradisi majlis berbuka puasa rumah ke rumah di kalangan kawan-kawan rapatnya. Tidak sering juga Othman memaklumkan bahawa beliau dan keluarga akan menghabiskan 10 hari Ramadhan munajat di Makah dan Madinah. Lebih-lebih lagi setahun dua kebelakangan ini Othman punya sebab ke Tanah Suci. “Usaha kami terakhir. Harap-harap Hizairi akan pulang,” katanya.

 

Ternyata semua itu tidak akan tertunai lagi. Othman terlebih dahulu kembali ke Rahmatullah Ahad minggu lalu setelah terjatuh di kamar mandi dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Beliau gagal  diselamatkan.

 

Othman berada dalam keadaan “segar bugar” ketika ditemui beberapa hari sebelum ke Sabah. Saya diminta datang ke rumahnya di Bandar Baru Bangi kerana beliau mahu menyerahkan wang RM30.00 sebagai bayaran membeli buku “Sembang Sastera Bersama Orang Persuratan” terbitan tahun 1998. Sehari sebelumnya Othman menelfon saya, untuk membeli berkenaan. Ada beberapa naskhah yang masih tersimpan. Tanya Othman, “Berapa harganya? Aku nak beli bukan nak percuma.” Setelah berbual beberapa ketika Othman bertanya lagi, “Macam mana, kau nak datang ke rumah aku atau aku bayar di Rumah Gapena kemudian?”

 

“Aku datang ke Bangi. Lama tak jumpa.” Kira-kira 11.00 pagi kami bertemu tapi cuma di get rumahnya. Othman hanya memakai kain pelikat dan tidak berbaju. Cucunya, yang cuma satu itu dan masih berusia kira-kira dua tahun mengekornya di belakang. “Dia ini manja sungguh,” kata Othman sambil menyerahkan duit RM30.00 kepada saya. “Buku yang dulunya tidak boleh pakai lagi, basah.”

“Banjir ke?”

“Bocor. Kena air hujan. Tak masuk dulu?” pelawanya.

“Saya rasa tak payahlah. Kau pun  sedang sibuk dengan cucu. Balik dari Sabah nanti, kita sembang panjang di Rumah Gapena atau makan roti canai di La Rizz. Bawalah Usof (Mohd Nor) atau Rahman Shaari. Lama tak jumpa mereka.”

 

Itulah bualan kami terakhir. Apabila Zulkhairi dari Gapena memaklumkan berita duka ini melalui telefon, Ahad, 3.30 petang, saya hampir tidak percaya. Makluman Zulkhairi mengesahkan berita sebelumnya yang disampaikan Jalil Rahman, mantan pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak. Jalil pula mendapat berita dari Zaiton Abu Samah, editor Dewan Pelajar. Saya menghubungi Kamaluddin Lela dari Utusan Melayu yang kemudian menghubungi Wahba.

 

Ratusan saudara mara, sahabat taulan dan penulis tanah air bergegas menziarahi jenazah buat kali terakhir di kediaman Othman di Bandar Baru Bangi. Dari Kulim kelihatan Drs Anuar Ahmad, dari Terengganu datang Shariff Putera, dari Johor ada Zam Ismail. Dari Sabah datang Jalidar Rahman dan Jaafar Ungkil. Dari Singapura, Jamal Tukimin telefon yang beliau akan sampai sebelum zohor bersama-sama Masuri SN. Saya melihat wajah-wajah duka antaranya wajah Dharmawijaya, Rahman Shaari, Abdul Ahmad , Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahim Marshidi. Wajah-wajah suram itu mengiringi perjalanan  terakir Othman untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas. Mereka berempat adalah dia antara yang paling rapat dengan Othman, dua dekad terakhir ini.

 

Seorang lagi kawan rapat Othman, iaitu  Dato’ Prof. Dr. Hashim Awang  masih berada di Brunei hanya dapat merakamkan perasaan dukanya melalui e-mel yang dikirimkan kepada saya. Antara lain Hashim menulis, “Saya sungguh-sungguh merasa terkejut dan kesedihan mendalam atas berita kematian saudara (Othman) yang sama-sama kita sayangi. Moga-moga rohnya sentiasa  berada dalam keberkatan dan tergolong sebagai ahli syurga.

 

“Pemergiannya adalah kehilangan besar bukan  sahaja dilihat sebagai seorang sahabat, tetapi juga kehilangan seorang intelek dan pengarang Melayu…Saya amat merasakan kehilangannya, dan juga merasakan giliran saya menjadi semakin hampir. Ini adalah peringatan untuk kita bersedia secukupnya menghadapi Tuhan apabila tiba masanya nanti.”

 

E-mel Hashim menggambarkan kegiatan Othman dalam dunia persuratan. Othman disifatkan sebagai “darling” penerbit, pelajar dan penulis generasi muda. Malah Othman dianggap “godfather” kepada penulis muda yang bergabung dalam Sekretariat Penulis Muda Gapena (SPMG). Sumbangannya untuk memasyarakatkan sastera di kalangan penerbit, pelajar dan penulis muda tiada batasnya. Othman menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air, dari Perlis hingga ke Sabah, memenuhi jemputan pelbagai pihak untuk berceramah, berbengkel dan berbincang tentang sastera. Sebagai bekas pendidik di UKM dan kemudian karyawan tamu di Universiti Malaya, Othman menganggap kegiatannya itu sebagai satu tanggungjawab moral kerana hidup matinya adalah dalam dunia yang hanya dia datu, iaitu kesusasteraan.

 

Tidak perlulah diperkatakan berapa jumlah karya yang telah dihasilkan dalam bentuk buku. Seperti pernah Othman berkata, “Aku tidak tahu berapa banyak buku aku yang telah diterbitkan, baik novel, kumpul cerpen atau esei. Tapi anehnya aku tahu cerpen dan novel siapa yang telah diterbitkan sejak sebelum perang lagi.”

 

Dari Penerbit Fajar Bakti datang ziarah sekumpulan editor dan pegawai pemasarannya. Begitu juga halnya pegawai dan editor dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Puluhan jumlahnya yang datang berziarah. Norazah Aziz , editor kanan Utusan Publications dan Distributors (UP&D) datang dengan kerusi roda. Azah tidak akan dapat melupakan saat-saat manis bersama Othman dan ahli-ahli panel Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dalam mesyuarat akhir pemilihan di berbagai-berbagai tempat. Othman merupakan pengerusi panel yang tegas tetapi menyenangkan. Tidak cerewet dan menggunakan pendekatan konensus ketika membuat pemilihan karya. Azah kebingungan dan kesal kerana karya-karya Othman yang sedang dalam proses penerbitan tidak akan dapat dilihat Othman

 

Demikianlah. Othman kini hanya tinggal kenangan. Kegigihan dan kesibukannya memenuhi permintaan pelbagai pihak dan menyiapkan kertas perbincangan dan karya baru bagaikan masa-masa berlalu melebih 24 jam sehari. Setiap kali ditanya bila beliau tidur, makan dan bermain dengan cucu, Othman hanya ketawa dengan menjawab pendek, “Ada. Tidur juga. Makan! Mana-mana pun makan.” Lalu dia membuka diarinya. “Kalau nak makan roti canai dan minum teh tarik, petang ini tak bolehlah. Esok sahajalah. Petang ini aku ada di Rumah Gapena.”

 

Sebagai Bendahari Gapena memang sepatutnya Othman berada di Rumah gapena untuk menjalani tugas-tugas yang melibatkan kewangan. Bagaimanapun, belum tentu Othman berada di Rumah Gapena petang itu. Mungkin sahaja beliau di Dewan Bahasa berbincang sesuatu dengan editor, sama ada di bahagian majalah atau bahagin buku. Atau beliau dibawa waktu berlalu di kedai buku DBP. DaripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali! (25 Oktober 2003).

 

 

 

 

 

 

 

One Response “Othman Puteh Telah Tiada” →
  1. Just great resources for us..

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: