S. Panit

MENCRI IDENTITI BERSAMA S.PANIT

Oleh A.F.Yassin

 

Untuk mencari S. Panit saya menghubungi Ismas Saring. Kata Saring, “Engkau ke Sijangkang, Batu Tujuh Tiga Suku, tanya orang di sana, tahulah mereka. Rumahnya tepi jalan saja.” Telah lama juga tak bertemu dengannya, sejak kali terakhir pada tahun 1987 di Kementerian Pendidikan.Dan saya amat memintai karya-karya puisinya sejak ia mula diterbitkan pada tahun 1964. Nama S. Panit gagah ketika itu, sederet dengan nama-nama besar yang seangkatan dengannya dan menghiasi dada kahbar dan majalah seperti  Jaafar H.S, Kemala, Shamsuddin Jaafar, Maimun Rahman, Atondra, Ahmad Razali dan Yassin Salleh, sekadar menyebut beberapa nama.

 

Keinginan saya menemuinya berputik kerana amat jarang nama S. Panit  menghiasai dada akhbar dan majalah sekarang ini, paling-paling lima tahun kebelakangan ini. Maka Jumaat lalu, saya ke Sijangkang dan bertanya kepada penduduk Batu Tujuh Tiga Suku. Mereka tak kenal S. Panit.

“Kalau Suhaini kenal? Suhaini Paniti?” Saya tanyakan seorang lelaki setengah umur.

“Tidak pernah dengar nama itu. Rasa saya tidak ada orang yang bernama itu di sini. Saya orang sini,” jawabnya. Dia memanggil isterinya.

“Kalau Dr. Saihani ada. Dia tinggal  di Batu Tujuh sana.”

“Yalah, Dr. Saihani. Dia ini dulu bekerja di Kementerian Pendidikan?”

“Betul, Dr. Saihani kerja di situ dulu. Ini dia dah pencenkan?”

“Saya fikir begitulah.”

 

Saihani menyambut kedatangan dengan renungan memanjang. wajahnya seperti orang yang ingin bertanya. Ia saya lihat bersih berseri.

“S. Panit bukan?”

“Ya!” jawabnya.

“Saya Fadzil, dulu bekerja di Fajar Bakti.”

“Fadzil, Fadzil Fajar Bakti. Ini bukan A.F.Yassin?”

Saya mengangguk.

“La! Rupa awak lainlah. Tak macam dulu.”

Saihani benar-benar terkejut. Dia terus menggenggam erat tangan saya dan menggoncangnya beberapa kali. Serta merta wajahnya berseri dengan senyumannya melebar. “Tak sangka dapat jumpa semula kawan lama. Minta maaf sangat-sangat kerana saya tak cam. Rupa awak banyak berubahlah,” katanya.

 

Saihani di depan saya ini juga sudah banyak berubah. Dia bukan S. Panit yang saya kenali pada tahun 1987 dahulu.  Kelihatan wajahnya lebih bersih dan berseri. Dan kemesraannya bagaikan saya ini adalah salah seorang ahli keluarganya. Katanya dia amat senang dikunjungi kawan-kawan. Apatah lagi, jika kedatangan seorang kawan yang dia tidak pernah duga. Kalau Ismas Saring, Ahmad Razali atau Ahmad Sarju, mereka sudah sering. Dari renungannya saya menjangka dia seperti mahu bertanya “mimpi apa saya menemuinya Jumaat itu?”

 

“Novel saya Jasa Guru yang Fajar Bakti terbitkan itu mungkin tak ada stok lagi ya,” tanya S. Panit memecah kegugupan.

“Sudah lama sangat. Biasanya selepas dua atau tiga tahun, kita akan jual stok secara penghabisan dengan diskaun tinggi. Maklumlah penerbit jarang mahu simpan stok lebih dua tahun.Tapi buku you digunakan di sekolah beberapa ketika. Biasanya nama S. Panit lebih dikenali dalam bidang puisi kan?”

“Betul. Ada juga beberapa buah cerpen  yang saya cipta. Tak banyak. Saya kira ada lebih kurang 10 buah. Kalau puisi saya tidak dapat kira jumlahnya. Mungkin dua ratus atau tiga.”

 

Peminat puisi mungkin masih ingat sajak pertama S. Panit yang tersiar dalam Utusan Zaman, 30 Ogos 1964. Sajak berjudul “Pencarian” ini memperlihatkan  keinginan S. Panit menelusuri erti kehidupan dengan segala keindahan dan keghairahannya yang selama ini hanya dapat dibayangkannya. Seperti nukilnya, Terasa nikmat hidup ini/ Jika mendakap dan merasa/ Keindhan manusia dan Nirwana/ Selama ini masih menggiur rasa/ masih merabaraba/ Bangun tumbang silih berganti/ Dalam menghambat keghairahan. S. Panit mengakhiri “Pencarian”nya dengan  Sedang usia memburu mati/ Masih meregangregang sejati/ Atau hidup beragam sejoli/ Belum pasti.

 

Ketika itu S. Panit baru berusia 24 tahun dan mengajar di Sekolah Kebangsaan Batu Laut, Sepang. Selama bertugas sebagai guru S. panit memanfaatkan bakatnya dalam genre puisi ini dengan mencipta ratusan sajak dan disiarkan dalam pelbagai akhbar mingguan, seperti Utusan Zaman dan Berita Minggu serta majalah Dewan Sastera, Mastika dan Dewan Masyarakat. “Saya juga tak lupakan majalah Bara yang sering menyiarkan karya dan rencana saya,” katanya.

 

S. Panit mencari dirinya ketika mencipta dan dalam pencarian itu dia berhijrah dari satu dimensi ke satu dimensi kehidupan sejajar dengan perjalanan usia yang semakin menuju kedewasaan dari sudut pemikiran dan pengalaman. Katanya, “Dari segi ini saya berasa  saya belum tua kerana saya masih terus belajar dan mencari. Bagi saya jika sudah tua itu bererti kita sudah menyanggupi untuk berfungsi sebagai ketua, dan boleh memberi tunjuk ajar kepada orang yang lebih muda.”

 

“Sebut orang yang lebih muda ini, bagaimana pandangan you tentang penulis generasi muda hari ini?”

“Inilah saya sedikit musykil. Saya tak pasti apakah kerana saya ini sudah lama tak menulis dan nama saya tidak tersiar, maka penulis muda hari ini tidak mengenal saya. Saya katakan begitu kerana pernah pada satu ketika saya menghadiri majlis yang diadakan di Klang oleh sebuah persatuan penulis di Selangor. Saya lihat ramai penulis muda ini buat tak kisah dengan penulis lama. Dan penganjur majlis pula tidak memperkanalkan penulis-penulis lama kepada mereka. Saya masih ingat masa dulu-dulu, dalam pertemuan begini, kita bergaul mesra, yang baru dan yang lama.”

“Kenapa jadi begitu.”

“Saya tak pasti. Dan mungkin juga saya prasangka terhadap mereka. Barangkali mereka segan. Tapi tak tahulah, susah kita nak teka.”

 

“Karya-karya mereka bagaimana?”

“Saya melihat ada kecenderungan bagi mereka mencipta karya non-konvensional. Saya akui ini satu hal menarik, tapi kadang-kadang ada di kalangan penulis muda ini belum kenal benar dengan basics penulisan. Jadi sebaiknya yang belum menguasai basics ini, mencipta karya yang tidak melanggar konvensi terlebih dahulu. Bagaimanapun, usaha penulis muda ini perlu dipuji sebagai usaha dinamis. Jangan kita larang, tapi dalam pada itu kita kena rasional.”

 

“Maksud you?”

“Kita lihat tema dan persoalan, baik sajak, cerpen mahupun novel. Saya akui sendiri saya tidak banyak menulis cerpen, cuma kira-kira 10 buah semnatar novel dua buah, itu pun novel kanak-kanak, tapi saya melihat, penulis terutama yang muda-muda perlu memperjuangkan persoalan yang lebih besar, yang nasional sifatnya dan yang lebih mendesak. Saya percaya para sasterawan boleh memanfaatkan isu bangsa, agama dan negara, misalnya ketika mencipta. Dan yang lebih unggul mereka perlu menjanakan minda dengan pertanyaan bagaimana nasib Melayu selepas tahun 2020. Ini sebagai contoh. Juga bagaimana, misalnya dengan status Takkan Melayu  Hilang Di dunia yang disuarakan nenek moyang kita dahulu.”

 

“Biasanya, sasterawan tidak tertarik dengan isu begini. Terlalu propaganda bunyinya?”

“Di sinilah letaknya ketrampilan seorang sasterawan. Bagaimana mencipta tanpa melihat karyanya sebagai propagandis tetapi tetap mempunyai persoalan bangsa, agama dan negara. Kita melihat unsur ini dalam Imam, karya Dato’ Abdullah Hussein atau Biar Buang Anak karya Aziz Jahpin. Lebih menarik jika pengolahan dan jalan cerita sesuatu karya itu diambil dari sudut futuristik yang berusurkan jangkaan dan ramalan.”

“Contohnya?”

“Katakanlah kita lihat masalah orang Melayu di Felda. Barangkali kita jangkakan ada masalah tenaga kerja kerana kebanyakan anak peneroka bekerja di bandar dan yang tinggal ibu bapa yang sudah semakin tua. Siapa nak mengeluarkan hasil sawit? Dalam hal ini para penulis boleh membuat penyelidikannya sendiri dan kemudian mencipta sesuatu. Apabila karya itu dibaca, ia dapat memberi gambaran kepada pembaca tentang penyelesaian kepada masalah itu.”

 

“Bagaimana jika you sendiri menulisnya?”

“Genre saya lebih kepada puisi. Melalui puisi, agak sukar untuk kita sampaikan mesej tentang masalah ini. Saya mencadangkan kepada para novelis dan cerpenis kita supaya memanfaatkan isu besar ini, setidak-tidak idea mereka dapat dijadikan sebagai maklum balas oleh pihak berkuasa. Maksudnya, dalam soal peneroka Felda tadi, mungkin ada sasterawan yang simpati dan menulis bagaimana jalan keluar terbaik tentang masa depan peneroka, bila anak-anak mereka berkerja di bandar. Seca futuristik kita melihat kemungkina kita dapat memanfaatkan, misalnya, penghuni pusat-pusat serenti yang terlibat dalam soal dadah sebagai tenaga kerja di rancangan Felda. Mereka dalam proses pemulihan. Apa kata kalau sasterawan menggambarkan kebaikan tenaga kerja ini di Felda dengan mengolah kehidupannya secara kreatif. Cuma sasterawan memerlukan sedikit pengetahuan tentang pengurusan ladang dan fungsi pusat serenti. Selebihnya mereka bolah gunakan usur kreativiti mereka. Dalam puisi, pengolahan tentang masalah  ini  mungkin sukar,” ujarnya.

 

S. Panit mengharapkan suatu hari nanti akan wujud sasterawan yang lebih serius berkarya tentang budaya dan kehidupan bangsa. Dia ingin melihat bagaimana suatu hari nanti kawan-kawan sasterawan  menghayati karya yang dipelopori Arenawati tentang kisah pelaut. Menurutnya, sejarah menunjukkan bangsa Melayu adalah juga bangsa pelaut. Barangkali akan ada di kalangan sasterawan kita memnafaatkan tema pelaut ini untuk memungkinkan bangsa Melayu kembali menjadi pelaut, tetapi berdasarkan teknolgi maritim canggih hari ini. Katanya, ” Kita melihat Datuk Azhar sedang membuktikannya ketika ini apabila menggunakan kapal layar mengelilingi dunia. Apa kata kalau sasterwan meneroka bidang ini dan mengolah bagaimana nanti Malaysia mempunyai sebuah universiti maritimnya. Sasterawan boleh memanfaatkan kecanggihan fasiliti pelabuhan di Pelabuhan Kelang sebagai asas pengolahan karyanya atau melihat Pulau Carey sebagai latar cerita,” katanya.

 

S. panit semakin seronok bercerita. Kata-kata “kalau”nya masih panjang. Dia membayangkan  penilis muda hari ini akan mempelopori tema besar bangsa Melayu ini untuk mencipta karya besar pada masa depan. “Mereka punya ilmu bantu yang dapat dimanfaatkan. Ramai yang tinggal di kota besar. Barangkali mereka punya wawasan sendiri bagaimana memanfaatkan bakat mereka untuk membangun masyarakat Melayu di bandar-bandar. Bagaimana, misalnya mereka mengolah untuk akhirnya mencipta bandar-bandar bercirikan Melayu. Dan adalam bidang ekonomi bagaimana mereka nanti mengolah supaya matlamat 30 % ekonomi berada di tangan Melayu dapat dilaksanakan,” katanya.

 

Pengalaman S. Panit sebagai guru di Sekolah Menengah Methodist Teluk Datuk (1970-1976), di Sekolah Kebangsaan Sungai Buaya (1965-1969), Sekolah Kebangsaan Batu laut (1956-1964) dan kemudian sebagai pegawai di Kementerian Pendidikan mematangkan mindanya untuk bercita-cita besar terhadap “survival” bangsanya, terutama orang Melayu. Kegiataannya sejak di universiti lagi seperti memberi petunjuk bahawa S. Panit, seorang penyair yang prolifik pada dekad-dekad 70an dan 80an, mempunyai pemikiran yang luas tentang “survival” bangsa, agama dan negaranya. Saya meneliti salah sebuah sajak ciptaannya tahun lalu tapi belum disiarkan. Antara lain S. Panit menulis, “Ketika itu bulan redup/ Indah dan merendah/ Dingin memayungi muqrarabin/ Membasahi kamar-kamar syahdu/ zuhud merafak kesempurnaan…Perjalanan di tanah biasa/ Terasa berbahtera di laut bergelora/ Mencari kaki langit/ Dengan bahasa berdikari/ Takbertepi.” Dan akhirnya S. Panit mengungkapkan, “Bersama kejernihan air memercik/ Kembali pada pengalaman jauh dekat/ yang mengatur catatan lidah/ Kilat pengetahuan/ Terhimpun sebuah kalimah/ Kekurangan adalah kesempurnaan.”

 

Demikianlah sejak sekian tahun S. Panit berhijrah dalam diri “meraba-raba” meraih pengalaman sehingga akhirnya dia mengerti bahawa segala yang bersifat kekurangan itu adalah sebenarnya sifat sempurna kita sebagai “makhluk Tuhan”. S. Panit bagaikan sudah menemukan dirinya. Dia begitu kerdil di sisiNya dan bahawasanya dia cuma sebagai hambaNya yang serba kekurangan.

 

Apapun jua, dia melihat masa depan sebagai pesara dengan penuh rasa syukur. Dan dalam bidang persuratan, dia berusaha untuk terus berkarya. Salah satu rancangan terdekat ialah mengumpulkan semula semua karya puisinya untuk dibukukan. “Amat disayangkan kalau karya-karya itu dibiar bertaburan,” katanya. “Saya juga tengah mencuba-cuba menulis novel umum. Kisah keluarga tetapi membawa persoalan perubatan dan penyakit.”

 

S. Panit  meraih ijazah kedoktoran dalam bidang perubatan alternatif dan hoemopati dari Sri Lanka pada tahun 1996. Jawatan terakhirnya sebelum bersara opsyenal ialah Timbalan Pegawai pendidikan Daerah Petaling dan Klang (1990-1995). Sebelum itu S. Panit  bertugas sebagai Timbalan Ketua Unit Uruskhas (1987-1990) memangku Ketua Setiausaha Sulit  (Kanan) Kementerian Pendidikan Malaysia (1983-1984) dan Pegawai Khas Perhubungan Awam di kementerian yang sama (1982-1987).

 

Sebelum berpisah, S. Panit berbisik kepada saya, “Saya harap satu hari nanti, saya akan dapat menimati karya besar hasil sasterawan kita yang mengolah persoalan pembinaan bangsa  agama dan negara.” (Petikan daripada Berita Harian, 7 Jun 1999).

 

 

 

 

 

Be the first to start a conversation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: